Chat With Us LIVE!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, May 3, 2013

Melayu Itu UMNO, UMNO Itu Kafir?


Malam itu adalah malam yang syahdu, malam di mana ummat Islam di seluruh pelusuk alam sedang menyambut hari keputeraan seorang manusia agung, seorang insan terpilih, manusia maksum yang telah memberikan cahaya di dalam kegelapan manusia. Malam itu Stadium Negara, Kuala Lumpur turut bergema alunan lagu yang memuja-muji kebesaran Yang Maha Berkuasa dan selawat serta salam sejahtera ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW memenuhi setiap ruang. Allah SWT dan para malaikat turut berselawat ke atas Muhammad SAW. Nabi yang ummi, Nabi dan Rasul yang terakhir.

Konsert besar-besaran oleh kumpulan nasyid yang pertama yang berjaya mengadakan persembahan secara besar-besaran diiringi dengan band dan musik hebat. Dengan pukulan drum, rabana, kompang dan latarbelakang koir menjadi penyeri dengan suara yang timbulnya dari hati yang menusuk jiwa dan menikam sukma. Tarikhnya pula bertepatan dengan sambutan ini. Ia semacam mengalu-alu dan meraikan kelahiran Muhammad SAW, seorang junjungan besar, seorang rasul dan seorang manusia suci yang jatuh pada 12 Rabiulawal, 1420 tahun yang silam bersamaan 26hb. Jub 1999.

Kehebatan dalaman yang ada pada anggota raihan begitu mempersonakan. Mungkin kalau selain dari Raihan yang menjadi penghiburnya tentulah konsert ini tidak semeriah ini.

Farihin Abdul Fatah
Pak Habib mengucapkan syabas buat kumpulan Nasyid popular Raihan yang telah mempersembahkan konsert ini secara percuma sebagai menghargai sokongan peminat terhadap kumpulan itu yang merintis jalan kebangkitan muzik nasyid. Tapi tanpa sokongan daripada peminat siapalah Raihan.

Namun sayangnya, pada malam itu Raihan tidak menyanyikan lagu-lagu lama daripada album pertama dan kedua yang telah membawa mereka ke mercu kejayaan. Sebaliknya mereka hanya menyebut beberapa baris daripada lagu lama mereka seperti Sifat 20 dan 25 Rasul, sedangkan Raihan terkenal kerana lirik-lirik dakwahnya di dalam lagu-lagu mereka.

Pak Habib yang memenuhi jemputan dari Farihin, pengurus Raihan itu datang bersama empat orang anak Pak Habib, isteri, menantu dan juga cucu. Pak Habib telah diberikan tempat duduk VIP.


Mungkin ada yang bertanya sejak bila pula Pak Habib menjadi seorang pengkritik seni? Namun, bagi mereka yang sudah biasa membaca buku-buku Pak Habib, Pak Habib sebenarnya memulakan kerjaya penulisan ini di dalam bidang seni dan tulisan-tulisan awal Pak Habib adalah mengenai dunia hiburan, mengenai artis-artis dan tokoh filem. Malah di satu ketika dulu Pak Habib turut terlibat di dalam dunia seni, menjadi model, pelakon filem dan juga pelakon pentas. Tapi itu dulu. Ia telah menjadi satu sejarah.


Anggota-anggota kumpulan Raihan terdiri daripada Azahari Ahmad, Che Amran Idris, Nazrey Johani, Abu Bakar Mohd Yatim dan pengurus mereka, Farihin Abdul Fatah adalah merupakan kumpulan artis yang paling popular dan paling di minati ketika ini. Raihan bukan sahaja dikenali oleh orang dewasa malah kanak-kanak, termasuk mereka yang belum bersekolah turut menyanyikan lagu-lagu Raihan kerana Raihan telah memainkan peranan sebagai pendakwah dan telah berjaya menyampaikan mesej Islam melalui dunia hiburan. Kalau kita pernah membaca sejarah Wali Songo, dakwah dimulakan dengan hiburan sambil mengambil hati rakyat.

Walaupun sudah muncul sebagai artis terkenal tapi kumpulan Raihan masih tidak glamor. Mereka masih lagi bersikap rendah diri  kepada sesiapa sahaja yang datang mendekati atau menghampiri mereka sama ada para wartawan ataupun peminat-peminat biasa. Walaupun sudah menempa kejayaan yang besar, mereka tetap mengamalkan cara hidup yang sederhana dan mengekalkan identiti Islam mereka.

Bila kita melihat artis yang menyenangkan kita ini tidak sombong, tidak ego, tidak glamor dan tidak meninggi diri dan tidak terlibat dalam maksiat dan mereka masih hidup dalam golongan yang beriman dan bertaqwa, mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan larangannya, tidak terlibat dengan dadah, tidak kena dam, tidak kena fit, tidak berdengung, tidak hidu gam, tidak minum dulu sebelum buat persembahan dan setiap kali persembahan tidak bawa awek sama, berpeluk, bercium dengan peminat, maka kita terpaksa bertanya, siapakah yang pernah mendidik anggota-anggota kumpulan ini sehingga mereka boleh jadi tidak sombong bila sudah berjaya? Siapakah anggota-anggota Raihan sebelum mereka menubuhkan kumpulan nasyid ini? Kalau orang yang mendidik anggota-anggota Raihan, malah ada di antara seorang anggotanya yang berasal dari agama Kristian sebelum memeluk agama Islam berjaya mendidik anak-anak ini sehingga menjadi individu-individu yang misali, maka tentulah orang ini hebat.

Almarhum Tan Sri Abdul Hamid Othman
Turut hadir menyaksikan konsert itu adalah Raja Permaisuri Agung Tuanku Siti Aisyah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Abdul Hamid Othman.

Konsert Raihan pada malam ini memang cukup menarik, cukup memukau dan cukup indah. Tapi malangnya suasana meriah itu Pak Habib lihat di cemari dengan upacara sembah-menyembah manusia. Setiap kali ada tetamu undangan mahu memula atau mengakhiri persembahannya, maka mereka pun mengangkat tangan menyembah Raja Permaisuri Agung walaupun sebelum ini Tuanku Permaisuri hanyalah seorang rakyat biasa.

Kalau sekalipun, Tuanku Permaisuri adalah dari kalangan mereka yang berdarah dan berketurunan Raja, apakah beliau patut disembah-sembah macam tok pekong? Ini kalau Mahathir ada, mesti marah. Ini kerana yang ada imuniti dan daulat, Mahathir saja. Raja-raja mana ada imuniti lagi. Ini sudah tersalah sembah. Pak Habib rasa, lepas ini Hamid Othman mesti kena panggil dengan Mahathir kerana ada protokol yang tidak kena.

Kita orang Islam atas apa juga sebab, memang tidak dibenarkan sama sekali menyembah sesama manusia. Peristiwa sembah menyembah ini pula berlaku dalam satu majlis yang diwarnai dengan puji-pujian bagi Allah dan Rasulnya dan bertepatan pula dengan sambutan Maulidur Rasul yang sepatutnya mengingatkan kita akan kelahiran Nabi Muhammad SAW yang telah mendapat wahyu dari Allah SAW bagi menghapuskan segala macam bentuk khurafat dan penyembahan yang selain daripada Allah SWT.

Bukankah Allah SAW telah berfirman dalam surah Az-Zariyat, ayat 56: “Dua tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-ku.”

Itu adalah perintah Allah SAW yang terang dan jelas. Jadi yang kita sembah-sembah manusia, pasal apa? Hamid Othman, selaku Menteri Agama, buat apa? Kenapa dia tidak menegur perbuatan ini? Apakah dia takut? Kalau takut, takut dengan siapa? Tuhan atau tuan?

Kerja sembah-menyembah ini kerja orang kafir. Tapi kalau orang lihat orang Islam pun ada yang jenis sembah manusia. Pak Habib rasa orang kafir pun akan turut terkejut sama. Lainlah kalau sembah-sembah tok pekong untuk dapat nombor  ekor. Ini menyembah kerana dulu lagi orang dah menyembah, maka kita turut sama menyembah. Orang Islam tidak ikut budaya, kebiasaan yang bertentagan dengan Al-Quran dan Sunnah.

Tapi, marilah kita tinggalkan cerita Raihan dan soal sembah menyembah. Bila cakap pasal ‘kafir’ ini, Pak Habib teringat kepada peristiwa yang berlaku kepada Pak Habib beberapa minggu terdahulu.

Ustaz Haji Hadi
Semasa Pak Habib sedang minum kopi di lounge Lapangan Terbang Sultan Ismail Johor Bahru, tiba-tiba Pak Habib teringat berita muka depan akhbar Berita Harian 8hb Jun 1999 dengan tajuk “Amanat Haji Hadi Punca PAS Mengkafirkan UMNO”. Ini cerita lama, cerita sebelum peristiwa Memali. Apakah Ustaz Hadi akan menerima nasib yang sama seperti Ibrahim Libya? Apakah beliau akan ditangkap di bawah ISA? Apakah ini tidak seperti orang bermain bunga api? Kenapa tiba-tiba cerita ini dihidupkan semula?

Pak Habib pernah diajar oleh Allahyarham ayahanda Pak Habib, "apabila kita mendengar atau melihat sesuatu, kita hendaklah berfikir, gunakan akal. Betul ke apa yang kita tengok atau dengar itu? Kita tidak boleh main tengok saja dan lepas itu terpengaruh dengan apa yang berlaku di depan mata kita. Kita kene tengok dan pandang dengan teliti sebab boleh jadi apa yang kita tengok itu cuma satu mimpi."

Kebetulan pula kita ini terdiri daripada manusia yang berilmu, berakal dan lebih-lebih lagi kalau kita ini seorang Islam. Islam tidak suruh kita terima sesuatu itu secara bulat-bulat tanpa usul periksa. Dengar, siasat dan fikir terlebih dahulu.

Tuhan sudah mengingatkan kita, jangan sesekali kamu mempercayai berita yang kamu dapati dari orang yang fasiq. Tuhan suruh kita berfikir, apa lagi kalau orang yang berkata itu seseorang yang kita muliakan. Kita kena baca apa yang tersirat kerana orang yang menyampaikan berita itu sudah tidak lagi menjadi ahli PAS.

Kita jangan jadi macam lembu yang nampak rumput, nampak pucuk, nampak daun, terus ragut. Atau monyet yang nampak pisang dan buaya yang terjumpa bangkai, dia ngap tidak kira halal haram. Kalau binatang yang buat kerja macam ini, oklah. Binatangkan. Kalau lembu jumpa pokok dia makan, apa boleh buat, dia lembu. Tapi kita ini manusia yang ada soal jawabnya dengan Tuhan. Bagaimana kalau cerita itu merupakan satu fitnah semata-mata? Maklumlah sekarang inikan kita berada dalam dalam Kurun Fitnah. Orang yang menyampaikan fitnah sudah tentulah berdosa besar dan orang yang mendengar fitnah dan bersuhabat pun berdosa juga. Jadi kenalah kita berhati-hati bila bercakap dan mendengar sesuatu itu.

Prasangka yang salah ini hampir terdapat pada semua manusia. Jika kata-kata atau berita itu datangnya daripada orang yang disanjunginya, maka terus saja ditelan bulat-bulat, sekalipun tidak benar. Kita bukannya monyet atau kera yang tercium belacan. Sebaliknya jika kata-kata itu diucapkan oleh orang yang dihinanya, terus saja ditolak bulat-bulat, sekalipun perkara itu benar. Apakah kita selama-lamanya kenal akan kebenaran semata-mata dengan melihat siapa yang menuturkannya. Apakah kita mahu bersama-sama mereka yang meletakkan nilai kebenaran pada orang, bukan meletakkan nilai orang pada kebenaran. Inilah satu kesesatang yang nyata tiada tandingannya. Dan yang anehnya, ramai di antara kita yang terus membiarkan diri berada di dalam kesesatan.

Kita ada tiga mata: mata kasar, sama macam mata lembu, mata belalang atau mata katak yang melihat dengan nafsu. Selain daripada itu, kita juga ada mata kepala, mata yang boleh melihat dengan menggunakan ilmu pengetahuan yang berpandukan akal yang berfungsi sebagai penapis atau filter. Beruntunglah manusia yang dapat menggunakan akal fikiran. Mereka ini taklah jadi pengikut yang membabi buta atau blind followers. Dan yang paling istimewa lagi, kita boleh melihat dengan mata hati setelah Allah SWT memberikan hidayah-Nya.

Pak Habib tidak tahu kenapa tiba-tiba saja timbul lagi cerita PAS mengkafirkan UMNO? Ada apa-apa ke? Kalau nak diikutkan cerita ini sudah ketinggalan zaman. Malah dalam kekecohan politik hari ini, dan bahkan dalam politiking antara UMNO dan PAS, isu ini pada mulanya tidak timbul.

Hati kecil Pak Habib bertanya apakah ada agenda yang tersembunyi? Pilihanraya umum sudah pun hampir dan apa yang dapat kita lihat hari ini ialah PAS dan parti-parti pembangkang lain mempunyai pengaruh yang lebih kuat terhadap masyarakat jika dibandingkan dengan beberapa pilihanraya yang terdahulu. Peperangan isu-isu antara parti semakin terasa. Pertembungan pendapat, ideologi antara pemimpin dan parti politik semakin mendapat liputan dan perhatian pihak media massa dalam menyebarkan maklumat terkini berhubung isu-isu semasa negara yang hangat lagi sensasi. Sehubung dengan itu kedua-dua belah pihak  mengambil kesempatan menggunakan media massa sebagai senjata peperangan antara mereka. Pihak yang sini memburukkan yang sana, pihak yang sana memburukkan yang sini dan begitulah seterusnya.

Perkara yang sama pun berlaku kepada UMNO. Hampir semua media massa memainkan berita yang boleh merugikan UMNO, tapi kenapa pucuk pimpinan membiarkan saja? Hairan. Kesian Dr Mahathir, sudahlah tua, sakit pulak tu. Akibat menjadikan Anwar seorang hero, akhirnya dia yang terpaksa hidup dalam ketakutan. Siapalah agaknya manusia kalut yant menjadi penasihatnya?

Tun Dr Mahathir
Prof Shahnon Ahmad
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tidak siapapun tahu. Begitulah nasib Tuan Haji Hadi Awang, ulama PAS yang menjadi semakin popular hari ini malah lebih popular dari Shahnon Ahmad (SHIT) hanya melalui amanat yang pernah disampaikan oleh dia. Bukan senang hendak dapat publisiti yang begitu besar. Adalah ‘can’ Haji Hadi nak menang dalam pilihan raya umum sekali lagi. Bagi Pak Habib itu merupakan satu rahmat, satu kurniaan dari Tuhan. Bukankah kita ini sepatutnya bersyukur dengan rahmat dan kurniaan Tuhan?

Bintang kalau sudah nak terang, ada saja yang datang membawa keuntungan. Mula-mula kes Anwar kena buang, lepas itu Anwar kena tangkap. Anwar dibicarakan, kemudian Anwar dihumban pula ke dalam penjara. Tak pasal-pasal PAS yang dapat bonus. Mahathir cakap apa-apa pun sekarang ini, rakyat dah tidak percaya, lebih-lebih lagi Mahathir banyak lakukan hal-hal yang di luar jangkaan. Dalam Perhimpunan Agung baru-baru ini, Mahathir bantai Anwar habis-habisan. Sudahlah hamba Allah itu merengkok dalam penjara. Dulu orang ramai marahkan Rahim Noor sebab pukul Anwar Ibrahim dengan tangan yang terikat dan mata yang tertutup di dalam lokap, sebaliknya hari ini Mahathir pula membantainya dengan kata-kata yang amat menyusuk jiwa. Dan inilah peluang keemasan bagi PAS.

Pak Habib tak mahu menaruh buruk sangka terhadap orang yang baik. Pak Habib percaya Ustaz Hadi seorang yang baik dan berilmu cuma mungkin dia terlanjur kata. Maklumlah kadang-kadang manusia ini ada masanya terpujuk oleh emosi kemarahannya. Dan Pak Habib rasa dia sudah pun bertaubat dan yang paling penting Tuhan tahu niat hatinya dan kita tak pernah dengar pun dari mulutnya sendiri yang menghukum UMNO itu kafir lagi.

Omar Khalid
Kita tak tahu niat Omar Khalid yang menimbulkan semula cerita Haji Hadi mengkafirkan orang UMNO. Biar bagaimanapun sebagai seorang penulis yang hari-hari terpaksa berhadapan dengan bermacam-macam manusia terutama para peminat Pak Habib yang menghantar surat, faks, menelefon, apalagi yang datang berkunjung ke rumah dan juga yang Pak Habib jumpa di mana-mana, mahu tak mahu, biarpun cerita ini cerita lama Pak Habib terpaksa menyuarakan pendapat Pak Habib kerana Pak Habib rasa usaha menegakkan Islam ini sepatutnya menjadi kewajipan kita semua.

Setiap individu seharusnya berusaha memahami ajaran Islam dan mempraktikkannya dalam kehidupannya setiap masa.

Usaha ini juga merupakan usaha seluruh ummat Islam tidak kira di peringkat dan bidang apa sekalipun mereka berada. Pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat baginda, ummat Islam terdiri daripada berbagai-bagai jenis profesion. Tapi dalam masa yang sama mereka semua adalah merupakan para pejuang dan penegak Islam.

Pada ketika itu sebenarnya tidak timbul soal lambang dan slogan, isu sama ada seorang itu ulama atau tidak, malah tidak timbul soal gelaran-gelaran yang tertentu yang boleh dihubungkan dengan jihad dan perjuangan Islam.

Subky Latiff
Persoalannya, kalau benar orang UMNO itu kafir misalnya, maka Pak Habib pun terlibat samalah, sebab Pak Habib juga bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin UMNO. Macam Subky Latiff yang bersekongkol dengan PAS dan menjadi lidah rasmi PAS.

Antara Pak Habib dan UMNO semacam ada satu ikatan kerana UMNO itu tulang belakang kepada BN, kerajaan yang memerintah hari ini dan kerajaan ini, kerajaan kita. Menyokong UMNO tidak bererti kita tidak boleh menegur dan mengkritik. Kalau perlu kita berperang, kita isytihar perang. Kita berperang dengan individu yang berada di dalam UMNO yang tidak betul. Satu sebab Pak Habib sanjung UMNO adalah kerana mereka yang berada di pucuk pimpinan tidak fanatik, tidak asobiah kerana mereka boleh menerima kritikan dan dari masa ke semasa mereka berubah. Apakah nanti sesudah Pak Habib mengisi borang keahlian PAS, Pak Habib masih boleh menegur pucuk pimpinan PAS?

Al-Mutawakkil Sultan Johor
Tahun 1946, UMNO lahir di Istana Johor. Tahun 1988 UMNO mati di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Pak Habib telah membacakan talqin untuk UMNO dalam buku Pak Habib, Talqin Untuk UMNO. Tahun 1988 UMNO-BARU sekali lagi lahir di dalam istana yang sama. Kalau UMNO bukan Islam, mahukah Almarhum Sultan Ibrahim dan juga Al-Mutawakkil, iaitu Sultan Johor Darul Takzin memperkenankan kelahiran UMNO di dalam istananya?

Pun begitu setakat ini Al-Mutawakkil Sultan Johor nampaknya hanya menyepi apabila isu UMNO kafir ini digembar-gemburkan semula oleh Omar Khalid.

Waktu Haji Hadi kata UMNO kafir dulu, Al-Mutawakkil adalah Yang di Pertuan Agung dan hal elwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasanya. Kenapa baginda tidak panggil Haji Hadi untuk menghadapnya? Kalau baginda tidak lempang pun setidak-tidaknya baginda marah seperti baginda marahkan Musa Hitam sewaktu dia masih jadi Timbalan Perdana Menteri dulu. Apakah Al-Mutawakkil takut dengan PAS atau memang baginda setuju dengan apa yang diperkatakan oleh Haji Hadi?

Sekiranya PAS berjaya membentuk kerajaan Persekutuan, apakah parti itu sanggup mengubah seratus-peratus sistem yang ada termasuk pembayaran gaji, elaun dan sumber-sumber hasil serta cukai yang dikenakan oleh kerajaan sekarang? Kalau PAS berjaya membentuk kerajaan Persekutuan, apakah Haji Hadi yang berkemungkinan dilantik sebagai Perdana Menteri tidak mahu tinggal di Kediaman Rasmi Perdana Menteri yang baru dibina di Putrajaya? Macam mana pula dengan ibu pejabat Kerajaan Persekutuan, apakah ia akan berpindah ke Nilam Puri?

Seri Perdana, Putrajaya
Dan apakah PAS akan menjatuhkan hukuman terhadap Barisan Nasional, seperti mana kerajaan BN mengharamkan ajaran-ajaran tarikat kerana dikatakan sesat? Apakah tindakan PAS tentang mereka yang terlibat dalam peristiwa Memali? Apakah mereka akan membebaskan tahanan ISA? Menghapuskan ISA? Menghapuskan enakmen-enakmen tambahan dan bidaah-bidaah dalam perundangan Islam? Bagaimana pula dengan bentuk tindakan yang akan diambil terhadap Majlis-majlis Agama Islam dan Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri yang bertanggungjawab mewujudkan perundangan-perundangan tambahan itu? Macam mana pula dengan adat sembah menyembah? Rakyat masih dalam keadaan bimbang dan ragu-ragu, takut-takut terkeluar dari mulut harimau, masuk pula ke dalam mulut buaya.

Kalau PAS sanggup memikul tanggungjawab ini dan sanggup pula menukar segala sistem yang dianggap tidak berasaskan Islam, maka Pak Habib mengucapkan syabas dan syukur alhamdulillah. Tapi sebelum itu PAS mestilah terlebih dahulu menyenaraikan perkara-perkara yang Pak Habib katakan itu sebagai ‘Manifesto Rasmi Parti’ di dalam pilihan raya umum ini.

Seperti yang Pak Habib katakan, Pak Habib adalah seorang penulis yang sudah biasa bermati-matian mempertahankan UMNO sewaktu UMNO memperjuangkan agama Islam dan hak-hak orang Melayu dan Islam. Tidak mustahil kalau satu ketika nanti Pak Habib mempertahankan PAS di dalam tulisan-tulisan serta buku-buku Pak Habib. Tapi buat masa ini, biarlah Pak Habib secara bermati-matian mempertahankan kebenaran. Kalau UMNO benar, Pak Habib akan katakan benar. Dan kalau UMNO salah, Pak Habib akan tetap dan terus menegur demi kebaikan. Kalau ada di kalangan orang PAS yang menaburkan fitnah dan berkata tidak benar, maka adalah menjadi tugas Pak Habib menegur dan mengkritik dengan cara yang biasa Pak Habib lakukan, biarpun Pak Habib tidak popular di kalangan mereka yang fanatik kepada PAS. Mengkritik PAS tidak bererti Pak Habib tidak sukakan Islam? PAS dan Islam adalah dua entiti yang berbeza. PAS hanyalah sebuah parti politik sekular yang dipimpin oleh mereka yang lebih mirip kepada agama sedangkan Islam adalah satu agama suci yang universal.

Pak Habib rasa masalah yang sebenarnya berlaku yang menjadi punca permusuhan antara UMNO dan PAS perlu diperjelaskan kerana ummat Islam di negara kita terutama generasi muda sedang berada di dalam dilema. Pemikiran mereka bercelaru, jadi tidak tentu arah. Tidak tahu siapa yang hendak diikut.

Ustaz Ashaari
Para pengikut Al-Arqam yang sudah biasa dengan Ustaz Ashaari, pasti mengatakan bahawa ‘Abuya’ (bapa) mereka itu adalah yang terbaik akhlaknya, kelakuannya, PRnya dan kepimpinannya. Ustaz Ashaari turut melaksanakan perniagaan dan pendidikan yang berbentuk Islamiah. Beliau berjaya mengajak dan mengubah wanita-wanita Islam menutup aurat.

Kita kena tanya diri kita sendiri (terutama ahli-ahli UMNO dan juga ahli-ahli PAS), apakah betuk ke kita ini Islam? Kalau Islam, Islam kita ikut kayu pengukur siapa? Ikut kayu ukur PAS atau ikut kayu ukur UMNO atau ikut kayu ukur yang telah ditetapkan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam hadis-hadis baginda dan wahyu-wahyu Allah yang telah disampaikan menerusi baginda.

Pun begitu kita tidak boleh kata Mahathir tidak memperjuangkan Islam. Kalau nak sebut satu per satu boleh jadi satu buku. Nanti kata nak mengampu Mahathir pula. Yang jelas Mahathir Mohamad adalah seorang Islam melalui namanya, tapi soal hati kita tidak tahu. Orang di Malaysia tumpang mendapat nama baik dan sanjungan kerana perjuangannya dalam mempertingkatkan ekonomi dan industri ummat Islam adalah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan kebanyakkan pemimpin-pemimpin dan Raja negara-negara Islam di dunia ini.

Begitu juga dengan PAS, kegigihan dan ketabahan mereka dalam mengharungi politik yang berada di pihak pembangkang, kita kena salute juga sebab mereka berani menyuarakan kebenaran dan memperjuangkan Islam. Dengan adanya parti pembangkang yang berani seperti ini, barulah UMNO tidak boleh tidur lena.

Asas perjuangannya adalah sama iaitu untuk menegakkan agama Islam sungguhpun platform dan pendekatannya mungking agak berbeza, tetapi matlamatnya adalah satu, iaitu untuk mendaulatkan Islam dan menjadikan Islam satu agama yang terus diperjuangkan hingga ke generasi yang akan datang.

Pak Habib rasa hal ini perlu diperjelaskan kerana ummat Islam di negara kita, khususnya generasi muda, sekarang ini mengalami kekeliruan dan ketidaktentuan fikiran tentang siapakah sebenarnya yang seharusnya memperjuangkan Islam, dan di antara model-model pejuang Islam pula siapakah sebenarnya yang merupakan pejuang-pejuang tulen dan berwibawa.

Oleh itu apakah bezanya perjuangan ini pada seorang jurutera, doktor, peguam, arkitek dibandingkan dengan perjuangan seorang ilmuwan Islam, ulama dan sebagainya? Atau perjuangan antara parti-parti politik yang mempunyai perlembagaan dan program ke-Islaman masing-masing?

Burung Kakak Tua
Bagi Pak Habib kekeliruan ini tidak seharusnya timbul, kerana seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW bahawa setiap individu dan setiap kumpulan di kalangan ummat Islam adalah merupakan pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab dan harus melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik-baiknya. Malangnya, sistem pendidikan yang ada di negara ini sekadar mampu melahirkan pemikir-pemikir ala ‘burung kakak tua’, yang hanya tahu menghafal saja, tidak pandai menggunakan akal  untuk berfikir. Maka lahirlah golongan ‘exam oriented’ yang belajar hanya untuk lulus peperiksaan yang sebenar. Di dunia jugalah tempat dijalankan sesi soal jawab antara manusia dengan manusia, antara Tuhan dengan manusia. Inilah ujian paling besar bagi makhluk bernama manusia.

Sungguhpun keadaan pembangunan material sudah berubah pada masa kini disebabkan proses pemodenan dan peningkatan ilmu pengetahuan, tetapi pada dasarnya prinsip perjuangan Islam adalah sama. Oleh kerana pemimpin agama masih berfikir secara jumud, menggunakan agama untuk berpolitik, maka ramai yang tidak menghormati para ulama. Atas sebab yang sama juga Dr Mahathir boleh bubuh otak ulama-ulama UMNO macam Hamid Othman, Zainal Abidin dan lain-lain ulama dalam koceknya. Tidak mustahil perjuangan mendaulatkan agama dan menjadikan ajaran-ajaran Al-Quran dan Hadis sebagai panduan serta sistem yang mengatur kehidupan manusia, hanya akan menjadi satu lip service saja. Sejurus saja berhenti dari memegang jawatan menteri, tugas agama ditinggalkan di pejabat sama sekali.

Oleh kerana tanggunjawab kepada agama adalah merupakan tanggunjawab bersama, mengapakah pula kita perlu memikirkan bahawa tugas memperjuangkan agama hanya menjadi milik individu atau kumpulan yang tertentu saja? Pernahkah kita terfikir bahawa apa yang terjadi di antara ulama PAS dan ulama UMNO ini merupakan dasar ‘pecah dan perintah’ yang telah lama dilaksanakan oleh pihak penjajah ketika menjajah tanahair kita dulu?

Pak Habib tidak berminat hendak berkhutbah dengan panjang lebak mengenai prinsip-prinsip Islam tetapi setahu Pak Habib orang Islam sepatutnya berkasih sayang, ingat-mengingati dan tolong-menolong, mendorong kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sesama saudara Islam.

Sebaik-baik agama (Islam) tidak dijadikan sebagai agenda utama dalam politik. Politik adalah gula, asam dan garam dalam kehidupan manusia. Jika ia berlebihan, boleh membawa mudarat dan penyakit. Macam api, waktu kecil jadi kawan, bila besar jadi lawan.

Sabda Rasulullah SAW: Orang mukmin itu diumpamakan dalam keadaan saling kasih-mengasihi dan sayang-menyayangi; sebagaimana seluruh badan, apabila satu anggotanya mengahud sakit, seluruh anggota yang lain sama-sama berasa demamnya dan berjaga malam.

Setiap orang Islam hendaklah menyayangi sesama orang Islam sebagaimana dia menyayangi dirinya sendiri. Kalau kita tidak suka orang lain menfitnah kita, samalah juga orang lain tidak suka difitnah. Anak anjing menyalak pada emak dan bapaknya kerana ia telah menjadi perbuatan lumrah, sepertimana yang dilakukan oleh emak dan bapak anjing, teringat Pak Habib kepada Rahim Noor. Nasib baik dia dah bersara, kalau tidak lebam bijik mata Pak Habib.

Apakah kita sebagai manusia juga mempunyai kelaziman yang sama seperti anjing? Kalau kita suka mencari kesilapan dan kesalahan orang lain, jadi jangan marah kalau orang lain pula yang mendedahkan ‘kurap’ dan ‘kudis’ kita. Cerminlah terlebih dahulu diri kita sebelum membuka pekung orang lain. Kesilapan orang lain didedahkan dan kebaikannya diketepikan kerana menurut ideologi - ‘orang lain salah maka akulah yang betul’ - tanpa perlu untuk mereka sendiri menunjukkan contoh yang baik. Pemikiran semacam inilah yang dipenuhi dengan hajat untuk berkuasa dan menjatuhkan orang Islam lain.

Rasulullah SAW bersabda: Di antara seorang mukmin kepada seorang mukmin yang lain adalah ibarat sebuah bangunan, yang sati mengukuhkan yang lain.

Dato Seri Anwar Ibrahim
Setelah kita tengok apa yang Dr Mahathir dan kuncu-kuncu serta pengikutnya buat terhadap saudara Anwar Ibrahim, kita terpaksa bertanya pada diri kita sendiri: “Bolehkah kita meletakkan kesalahan bulat-bulat terhadap Haji Hadi Awang kerana menuduh UMNO itu kafir? Apakah pemimpin-pemimpin UMNO (termasuk Presidennya) mengikut landasan-landasan serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam seperti yang diperjelaskan di dalam Al-Quran dan Hadis, sewaktu memecat Anwar Ibrahim atas alasan tidak bermoral? Apakah ulama-ulama dalam UMNO sama ada yang bergelar Menteri atau tidak, atau yang memangnya ahli asal UMNO atau melompat masuk ke dalam parti tersebut (setelah meninggalkan PAS) berani menegur Presiden parti? Sebaliknnya ahli-ahli PAS yang masuk UMNO bantai bekas parti mereka habis-habisan, bukannya mereka hendak memperbetulkan keadaan tetapi bertindak sebaliknya.

Sepatutnya bagi yang berilmu, mereka mestilah mengajar ilmu yang ada pada mereka kepada masyarakat. Tetapi apa yang Pak Habib lihat berlaku adalah sebaliknya. Terdapat golongan-golongan tertentu yang mempergunakan ilmu demi kepentingan sendiri. Jadi nak salahkan siapa. Memang betul ada ahli UMNO yang berperangai macam kafir, yang perangai lebih dari kafir pun ada. Minum arak, kaki judi, berzina, liwat, skandal dengan isteri orang, rasuah, rogol gadis bawah umur, jumpa bomoh, guna sihir untuk jatuhkan kawan dan lawan dan macam-macam lagi termasuk yang tidak pernah sembahyang pun ada.

Mereka yang mengaku diri Islam ini sanggup melakukan apa saja termasuk menipu orang lain dengan alasan perbuatan itu satu takdir ataupun bohong sunat.

Nampaknya bukan amalan agama yang diperintah oleh Allah SWT yang diamalkan oleh golongan yang dikatakan sebagai ulama dunia. Kita menghina wanita-wanita yang menjual maruahnya, menjual dirinya. Apakah menjual ilmu, menjual kedudukan, menjual nama tidak sama level dengan orang yang menjual maruah? Maruah itu apa? Apakah perempuan yang melacur saja dianggap tidak bermaruah? Bagaimana dengan orang munafik yang menjual agama, bangsa dan tanahair? Mereka sanggip mempergunakan kedudukan dan ilmu yang ada pada mereka demi mengaut keuntungan dunia semata-mata. Jika keadaan seumpama ini masih berleluasa, bolehkah ulama UMNO membuktikan kemampuan mereka menerajui parti yang mempertahankan kedaulatan agama Islam ini? Nampaknya ulama-ulama kita hari ini terperangkap di dalam sistem yang lebih banyak menimbulkan masalah daripada menyelesaikan masalah. Mana tidaknya, ulama-ulama kita hari ini terdiri daripada ulama-ulama siang, malam cari makan tempat lain.

Dalam penerbangan pulang dari Johor Bahru, kebetulan Pak Habib terserempak dengan dua orang kuat UMNO, seorang bernama Osman Safian, Naib Ketua Bahagian Pulai dan yang seorang lagi dikenali sebagai Tengku. Pak Habib ada bercerita sedikit pada Tengku tentang apa yang diperkatakan oleh Haji Hadi Awang mengenai pengkafiran UMNO.

Haji Hadi Awang ada berkata, dia menentang UMNO bukan kerana namanya UMNO, begitu juga Barisan Nasional tetapi kerana UMNO dan BN mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan jahiliyyah.

Cuba kita jawab, salahkah kita menentang benda yang tidak salah ditentang? Kitakan sudah merdeka, buat apa lagi nak mengekalkan budaya kafir di dalam sistem pendidikan di sekolah dan pusat-pusat pengajian tinggi?

“Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Kristian. Kita tidak payah masuk Hindu. Kita tidak payah masuk Buddha, tetapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku, agama suku.”

Kalau kata-kata ini tidak betul, kenapa tidak bawa saja Haji Hadi ke mahkamah? Maklumlah sekarang inikan musim orang saman orang.

Abul Ala Al-Maududi
Saidina Ali karamallahu wajhah pernah berkata bahawa jangan ditanya siapa yang berkata tetapi kita perlu fikirkan apa yang diperkatakan itu, benar atau dusta? Kalau ada sesuatu kebenaran mengenai apa yang kita dengar itu, kita tidak perlu tanya siapa pembawa berita itu. Cuba kita fikirkan apa yang ditulis oleh Abul Ala Al-Maududi dalam bukunya Let’s Be Good Muslim.

Kalau diterjemahkan, maka kata-lata Abul Ala Al-Maududi ini berbunyi lebih kurang begini:

“Orang kafir pun macam kita juga. Mereka berasal dari Adam dan Hawa. Mereka itu manusia macam kita juga - ada tangan, ada kaki, mata dan telinga. Mereka minum air yang sama seperti yang kita minum, menghirup udara yang sama dan duduk di muka bumi yang sama. Tuhan yang menciptakan kamu adalah Tuhan yang sama menciptakan mereka. Jadi kenapakah mereka mesti dianggap rendah dan kamu tinggi? Kenapakah kita sahaja yang akan masuk syurga sedangkan mereka akan dilaknat ke dalam neraka?”

“Jika kita merasakan diri kita orang Islam tetapi hakikatnya bodoh dan ingkar seperti orang kafir, bolehkah kita secara realitinya menjadi lebih mulia daripada mereka hanya kerana kita memakai pakaian yang berbeza, memiliki nama yang tidak sama dan makan makanan yang berlainan? Apakah di atas dasar ini kita akan dirahmati Allah di dunia dan di akhirat? Islam bukannya merupakan satu bangsa atau keluarga yang mana keahliannya secara automatik diwarisi oleh anak dari seorang bapa. Seorang anak ulama tidak akan mendapat kemulian di sisi Allah, sekiranya dia mengerjakan perbuatan-perbuatan mungkar kerana dia dilahirkan dan dibesarkan di rumah seorang alim ulama. Tuhan juga tidak memandang rendah kepada seorang lelaku dari keluarga yang papa, tidak menafikan amalan-amalannya hanya kerana dia dilahirkan dalam golongan tersebut.”

Islam itu bukannya satu bangsa tetapi di dalam dunia ini hanya orang Melayu saja yang berani menyatakan bahawa bangsa Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Dan secara automatik, anak-anak ketua agama, bila dia jadi Raja dia jadi ketua agama dan dia disembah oleh sekelian rakyat jelata dan rakyat mesti menggunakan ‘patik’ (anak anjing) bila bercakap dengan ketua agama. Adakah cara ini Islamik? Begitu juga UMNO, satu-satunya parti yang percaya bahawa Melayu itu UMNO dan UMNO itu Melayu. Apa akan terjadi kepada ahli UMNO yang bukan Islam? Bukankah ucapan ini bercanggah seperti keadaannya di Sabah?

Kembali kepada cerita Omar Khalid yang sudah terkeluar dari PAS masuk UMNO dan membongkar rahsia parti semasa dia bersama PAS dulu, ianya boleh menimbulkan tanda tanya kepada kita. Betul ke Omar Khalid ini hatinya bersama-sama UMNO atau jasadnya saja?

Maklumlah hari ini ramai yang masuk UMNO untuk dapatkan sesuatu. Tapi kalau kita boleh terima seorang bekas komunis atau sosialis yang boleh mengubah sikap dan minda masyarakat, biarpun jiwanya masih kekomunis-an atau kesosialis-an setelah meninggalkan parti yang berhaluan komunis dan sosialis, apakah tidak mungkin Omar Khalid, bekas aktivis PAS ini turut bermain sandiwara, bermuka-muka, berpura-pura dan menjadi batu api untuk timbulkan kemarahan rakyat terhadap UMNO.

Ibrahim Libya
Sebagai contoh, ramai orang yang sudah lupa akan amanat Haji Hadi Awang juga peristiwa Memali dengan terbongkarnya cerita kafir-mengkafir yang dibawa oleh Omar Khalid ini. Luka yang lama berdarah kembali. Rakyat teringat tuduhan yang dilemparkan ke atas Ibrahim Libya sebagai penjenayah. Siapakah yang membunuh orang Islam yang tidak berdosa itu kalau bukan atas arahan pemimpin UMNO yang menjadi Menteri Dalam Negeri ketika itu yang bertanggunjawab.

Cuba PAS yang keluarkan isu ini, tentu sekali BN akan menuduh PAS cuba timbulkan huru-hara. Tapi sebenarnya tidak seorang pun tahu niat Omar Khalid. Hanya dia dan Allah SWT sahaja yang tahu. Kita jangan buruk sangka tapi kita ambil iktibar darinya. Firman Allah SWT:

“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangakaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan atau keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seorang dari kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya dan bertaqwalah kamu kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”
(Al-Hujurat:12)

Kita sudah pun tengok apa yang terjadi pada ahli PAS yang masuk UMNO. Tapi kalau mereka nak jadi macam Abdullah bin Ubai, terserahlah!

Omar Mokhtar - Desert Lion of Libya
Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh diperlakukan begitu dan kita lihat apa jadi pada Tok Mat dan Shabarudin Chik, macam mana pula orang yang macam Omar Khalid. Ini Omar Khalid, bukannya Omar Mokhtar, ‘Singa Padang Pasir’ - pejuang dan wira Libya yang menentang kafir dari tiga penjuru. Siapa tahu Omar Khalid cuma singa sarkas UMNO.

Kita kena percaya pada hukum karma, pembalasan dari Allah SWT walau sebesar zarah pun kebaikan akan dikira, begitu juga kejahatan. Ingatlah pembalasan dari Allah datang dalam bermacam-macam bentuk yang kita sendiri tidak menyangkanya. Biarkanlah pergaduhan antara Anwar dan Mahathir ini mereka selesaikan sendiri. Kita sebagai orang Islam ada paradigma sendiri. Kalaupun benar Anwar melakukan perbuatan di luar tabii itu, biarkan saja Tuhan yang menghukumnya. Tidak ada seorang pun manusia yang terlepas dari dosa-dosa yang pernah dilakukannya di dunia. Kalau tidak dibalas di dunia pun, di akhirat kelak pembalasannya akan diterima juga.

Cuba lihat apa yang terjadi pada Namrud. Raja yang berkuasa tetapi zalim, akhirnya jadi gila dan memukul kepalanya sendiri dengan kasut hanya kerana seekor nyamuk (yang sudah patah sayap) terbang masuk ke dalam hidungnya dan tidak dapat keluar.

Kalau betul kita merasakan yang kita sudah tersesat, sudah terlanjur disebabkan kita tidak tahu (tidak berilmu), maka apa salahnya kita kembali ke pangkal jalan dan bertaubat. Jangan tahu buat saja, tapi tidak tahu nak bertaubat.

Mari kita minta ampun dari Allah SWT, kita kena taubat nasuha. Kita terima hakikat bahawa kita memang sudah diselewengkan oleh penjajah. Tidak perlu lagi kita nak berlagak bodoh sombong. Satu puak difanatikkan dengan agama hingga menolak perlembagaan dan perkara-perkara yang berbentuk material. Sedangkan satu lagi puak mengejar keduniaan. Kita kena terangkan kepada para pembaca terutama kepada anak muda yang berminat dalam politik yang mahukan agama, siapa sebenarnya yang memperjuangkan Islam?

Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib berkata dalam Nahjul Balagha: Janganlah anda mengenali kebenaran melalui orang yang berkata. Tapi kenal lah kebenaran itu dulu, apa itu kebenaran? Nanti anda sendiri akan tahu siapakah ahli kebenaran itu.

Dengan kata-kata lain, dengarlah apa yang dikata, anda sendiri boleh mengukur sama ada perkataan itu benar atau dusta. Tidak perlu dihiraukan dari mulut siapakah perkataan itu dikeluarkan. Ringkasnya, orang yang lemah akal mengenali kebenaran dengan melihat siapa yang bercakap bukan mengenali kebenaran demi kebenaran.

Orang yang berfikiran waras mengenali kebenaran dengan meneliti perkataan itu sendiri. Kalau benar diterima, sama ada keluarnya dari mulut pendusta atau orang benar. Malah lebih jauh dari itu seboleh-bolehnya ia menapis kebenaran yang datang dari ungkapan orang sesat.

Seorang Badwi berkata kepada Rasulullah SAW: Aku mahu menjadi orang yang paling dihormati. Jawab Rasulullah SAW: Jika kamu tidak mengatakan orang lain atau sebarang makhluk maka kamu adalah orang yang paling dihormati.

Perkara yang diucapkan oleh manusia dengan lidah secara sedar atau tidak adalah timbul daripada budinya. Budi adalah keadaan rohani manusia atau sifat batinya. Di sinilah segala kalimah-kalimah yang mengalir dari mulut dan lidah adalah ungkapan dari makna yang terkandung dalam batin kita.

Lantaran itu bahasa manusia dipengaruhi oleh budi dan pekertinya. Dalam hal ini memilih kata-kata yang baik adalah termaruk budi pekerti yang tinggi. Demikian juga contoh teladan percakapan wahyu Allah SWT kepada nabi-Nya sering memakai bahasa terpilih.

Kalimah-kalimah kotor hanya lahir dari mulut orang yang kotor hatinya. Orang kotor tidak menghasilkan yang bersih, dan orang baik tidak akan menghasilkan yang kotor. Orang yang kotor ialah orang yang imannya kodong di dalamnya. Justeru, kekosongan iman itu akan diisi oleh sifat benci dan dendam oleh iblis.

Think, FIKIR, Tafakkur. Assalamualaikum!

Ramalan calon PRU13



Datuk Wan Farid dan Datuk Reezal Merican mantan setiausaha politik Pak Lah kini mencuba nasib di PR ke-13 menunggu dengan penuh debaran.


Siapa kalau bukan Datuk Idris Jusoh 'Pok Yeh' orang yang paling sesuai untuk menggantikan Datuk Hishamuddin sebagai Menteri Pendidikan?

 

Kalau saya dipilih bertanding di DUN tidak di parlimen itu bererti saya sudah di restui untuk menggantikan Ghani sebagai MB.


Di petik dari buku Gerhana Raja & Malaysia Today (2008)

I'm back!


Get your Tickets now!