Walaupun anda tidak akan bersetuju dengan semua yang
saya kedepankan, saya fikir sesekali elok juga kalau kita membuka minda dan
cuba menyelidiki sedikit tentang rahsia-rahsia ‘Hakikat Insan’ di mana di dalamnya tersembunyi ilmu kerohanian untuk
mengenal diri dan Tuhan. Ilmu ini penting kerana dengannya, baru kita boleh
faham tujuan kita dijadikan, dari mana kita datang, kenapa kita perlu melalui
roda kehidupan dan ke mana kita akan kembali.
Pernahkah
anda terfikir kenapa Adam yang dibuat dari tanah, dipilih menjadi khalifah?
Kenapa tidak pilih sahaja malaikat yang dibuat daripada cahaya atau jin dari
api sedangkan mereka telah dijadikan berjuta-juta tahun sebelum adanya manusia?
Selepas itu kenapa pula mereka diarah bersujud kepada Adam sedangkan kita tahu,
cuma Allah sahaja yang layak disembah?
Cuba kita fikir. Azazil, penghulu malaikat ketika itu yang dikatakan bumi mana dan langit mana yang tidak ada kesan sujudnya pun tidak mendapat penghormatan sebegitu tinggi.
Kalau
dahi dia boleh lebam macam sesetengah orang yang menganggap kesan hitam di dahi
sebagai tanda orang bertakwa lantaran selalu bersujud kepada Allah, entah macam
mana hitamlah agaknya dahi Azazil. Entah-entah lekuk terus. Kurang-kurang
jendul luas.
Begitu
juga malaikat Jibril yang menjadi perantara wahyu kepada para Rasul atau
lain-lain malaikat tinggi seperti Mikail dan sebagainya. Mereka telah
berjuta-juta tahun beribadat memuji Allah tanpa berhenti untuk makan dan minum.
Tidak pernah derhaka langsung, sentiasa menurut perintah Allah. Begitu punya
banya mahkluk Allah yang mulia telah wujud ketika itu tetapi Adam yang baru
sahaja dicipta pula yang diangkat dan disuruh mahkluk lain sujud. Kenapa Tuhan
pun boleh pilih kasih? Tentu ada rahsia di sebalik kejadian ini bukan? Tapi bolehkah
rahsia ini senang-senang dihuraikan, dicerita sedangkan masyarakat umum lebih
sibuk membicarakan Islam siapa yang lebih betul, siapa lebih banyak mengikut
sunnah Nabi, siapa punya jubah lagi cun, janggut siapa lebih mengancam. Silap
cakap nanti orang kata kafir, tak pun kena cekup dengan JAKIM.
Bagi
mereka yang menyimpan rahsia itu berilah peluang supaya ianya dapat dikongsi
bersama mereka yang mahu mencarinya. Saya percaya ramai juga orang yang
dahagakan jawapan. Sembunyi lama-lama pun buat apa? Dunia pun sudah hampir
hendak kiamat. Kalau dunia tidak kiamat, kalau dunia tidak berakhir, hidup kita
tetap akan berakhir. Kita semua pasti akan mati. Dalam kehidupan, itu sahaja
yang pasti.
Imam Shafie |
Kita
sudah 46 tahun merdeka, sudah agak lama keluar dari kepompong penjajah.
Walaupun ada di antara orang Melayu yang pemikiran dan jiwa mereka belum
merdeka, tetapi sedikit sebanya, cara mereka berfikir sudah berubah lebih-lebih
lagi dengan kedatangan era langit terbuka dan dunia tanpa sempadan.
Dahulu
cuma ada Radio Malaya. Lepas itu TV
hitam putih, TV warna, telefon bimbit dan hari ini sudah ada Internet. Orang
Melayu sudah didedahkan dengan semua ini dan kita kini berada di era langit
terbuka. Apakah kita mahu terus hidup seperti katak di bawah tempurung?
Pemimpin-pemimpin
hari ini harus ingat, dahulu orang Melayu cuma baca muqadam dan Quran tanpa
mengetahui maknanya. Cukuplah kalau setakat nak menunaikan rukun yang Nampak,
boleh baca surah ketika sembahyang, tidaklah malu orang nak buat menantu. Ada
juga yang mengkaji lebih sedikit tapi tidak banyak. Itupun cuma orang tua
sahaja yang sanggup membaca kitab selain daripada kitab-kitab asas ilmu tauhid,
ibadat, tajwid dan lain-lain.
Tapi
hari ini ramai anak-anak muda yang memahami buku-buku karya Al-Ghazali, Ibnu Khaldun, Hamzah Fansuri,
Jalaludin Rumi, Dr. Ali Shariati, Ayatollah Murtada Muttaharani. Mereka
terdedah dengan begitu banyak pendapat, berinteraksi dengan berbagai golongan
dari berbagai jenis agama atau mazhab. Tentu sahaja pemikiran mereka lebih
kritis, tidak senang menerima bulat-bulat apa yang disuapkan seperti anak-anak
muda zaman dahulu. Bagi mereka yang boleh mengaji, berbagai jenis kitab agama
termasuk yang berkaitan dengan kesufian boleh didapati dengan mudah di
kedai-kedai buku dan dibaca oleh semua peringkat orang Melayu. Pergi saja ke KLCC, atau di kedai-kedai buku MPH, semua jenis buku merangkumi semua
subjek boleh didapati.
Cuba
kita Tanya dengan anak muda yang baru balik dari Amerika dan Eropah, apakah
agama itu syariah saja? Apakah Islam itu cukup dengan mengerjakan rukun yang
lima saja? Bolehkah syariat berdiri tanpa hakikat?
Syariat, hakikat, tarikat
dan makrifat, roh dan jasad, manusia
dan Tuhan memang tidak dapat dipisahkan. Ia ibarat ombak dan pantai, aur dan
tebing, irama dan lagu, bunga dan kelopaknya. Kita perlu melihat dan menghayati
agama dari kesemua aspek ini. Kita mesti lihat dengan pandangan dari dalam ke
luar dan dari luar ke dalam. Dengan cara ini barulah kita boleh menjadikan diri
kita seorang ulama.
Manusia
kena pandang pada yang satu ingat kepada
yang ramai dan pandang yang ramai ingat kepada yang satu. Kalau kita cuma
tengok dari satu sudut pandangan sahaja, maka jadilah kita macam ulat dalam
kepompong yang cuma lihat dunia dalam batasan kepompongnya sahaja atau katak
yang berada di dalam telaga yang hanya nampak dunia ini mengikut pandangan
matanya saja, sehingga datang hujan lebat membawa air memenuhi perigi dan dia
dapat keluar. Soalnya, sampai bila kita nak hidup dalam kepompong atau jadi
katak dalam perigi buta. Cuba fikir, apakah semua benda yang berlaku di
dunia ini berlaku secara kebetulan?
Tentu ada sebab kenapa Dr. Mahathir buat Menara Berkembar Petronas (Petronas Twin Tower). Ada dua menara. Dua kalau dipasangkan lagi jadi nombor 22. Mahathir mula kata dia akan bersara pada 31 Oktober 2003 setelah memerintah selama 22 tahun dan penduduk Malaysia bertambah menjadi 22 juta orang. Pengumuman persaraannya pula dibuat pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO tahun 2002 setelah begitu lama mempromosi Wawasan 2020. Adakah ini semua kebetulan? Kenapa dia suka sangat dengan nombor 22? Mungkinkah ini semua berlaku melalui ilham, yang terjadi di bawah jadual Allah? Mungkin juga Mahathir ada belajar hakikat insan. Bukankah segala-galanya di dunia ini dijadikan berpasang-pasangan? Ada langit ada bumi ada lelaki dan ada perempuan! Adam yang hidup dalam syurga yang penuh dengan segala macam nikmat itu pun perlukan Hawa, sebagai pasangannya. Hidup pula pasangannya mati.
Kalau
ada luar mesti ada dalam, ada dahulu ada sekarang, ada zahir dan ada batin.
Kayu pun kalau kita bakar dia keluar asap. Ada asap yang keluar harum-haruman,
ada asap yang keluar busuk. Takkan dalam tubuh manusia tidak ada apa-apa?
Masakan di dalam hati manusia itu kosong sahaja. Mesti ada benda. Kalau tidak
ada yang hitam, mungkin ada yang putih..!
Sekurang-kurangnya
kita mesti faham jika ada yang zahir, mesti ada yang batin. Zahir ibarat
sangkar, batin ibarat burung di
dalamnya. Jika di zaman Mahathir,
sangkar saja yang dijaga baik-baik, sedangkan burung di dalamnya dibiarkan
kelaparan dan kurus kering maka mudah-mudahan Pak Lah akan memerhati
dan menjaga burung di dalam sangkar dengan baik. Barulah pembangunan itu
seimbang. Kalau tidak, kita akan terus dibelenggu berbagai masalah, dari yang
bersifat social mahupun yang berbentuk politik. Begitulah masalah UMNO! UMNO
ada segala-galanya tapi di dalamnya kosong..!
Pembangunan
yang dibawa oleh kerajaan BN di bawah pimpinan Dr. Mahathir kita tidak boleh
sangkal. Tapi isi yang dicari oleh hati yang kosong membuatkan orang Melayu
lebih mirip pada PAS yang lebih banyak bercakap tentang akhirat. Pemimpin UMNO tidak boleh salahkan orang Melayu hari ini,
bila mereka mula kritikal. Orang
ramai mahukan isi, beri kulit saja nak buat apa?
Yang
merosakkan bangsa Melayu hari ini adalah kulit!
Mahathir berikan rakyat Malaysia kemewahan material. Kekayaan material adalah
perlu bagi membina ummah. Tapi dua ‘E’ tak seimbang, (education and economy). Pendidikan berbentuk
duniawi diberi keutamaan
sedangkan pendidikan di bidang
kerohanian terlalu berkurangan.
Dari
satu segi, pembangunan ekonomi memang penting. Disebabkan orang kita telah
banyak yang berharta dan berpendapatan tinggi, umat Islam tak perlu memungut
derma di tempat-tempat awam untuk mendirikan masjid, surau dan sekolah agama.
Kerja ini satu penghinaan bagi Islam. Islam memang menyuruh kita supaya mencari
jalan untuk hidup makmur dan sejahtera di dunia ini tapi kita mesti ingat ini
cuma sementara. Dunia cuma tempat persinggahan sebelum kita berpindah kea lam
akhirat yang kekal abadi. Bila cakap pasal akhirat, kita mesti bercakap pasal
roh dan jasad kerana ia meliputi rahsia ketuhanan yang Maha Esa. Tuhan yang
kita tak nampak dan tak dengar suaranya tapi
kita sembah!
Cuba
tanya mereka yang sembahyang di rumah mahupun di masjid, apakah mereka yakin
adanya Tuhan? Cakap saja percaya tapi kebanyakan mereka langsung tak rasa takut
kat Tuhan. Kita diingatkan, kepadaNya kita sentiasa memohon pertolongan, tapi
kita kenal ke Tuhan kita? Tahu ke macamana Tuhan mentadbir alam, macam-mana dia
mencipta sesuatu kejadian? Tuhan tak wujudkan Petronas Twin Tower dan kilang
kereta secara tiba-tiba. Itu bukan kerja Tuhan! Manusia yang membuatnya.
Kenapa tak serahkan saja pada takdir untuk membuat ini semua?
Memanglah
Tuhan boleh buat apa sahaja Dia nak tapi semuanya ada tertib. Tuhan boleh tukar
basikal jadi kereta kalau Dia nak, Kancil jadi Mercedes Benz. Cukup dengan kata
Kun – jadilah, diikuti Fayakun – maka jadilah. Akhirnya akal
dan tangan manusia juga yang menjadikannya, manusia itu siapa?
Orang
Melayu hari ini tidak mahu lagi menelan apa saja dan ikut secara membuta tuli.
Ilmu agama kita mesti cari dan dalami, baru datang hidayah. Tapi nak cari macam
mana kalau itu tak boleh, ini tak boleh, semuanya sesat belaka! Dalam hal ini,
pemimpin patutnya menjadi contoh. Ilmunya mesti mantap dan terserlah melalui
cara kehidupannya. Pemimpin tak boleh kata ikut
apa yang aku cakap, jangan ikut apa yang aku buat. Cakap mesti serupa bikin! Pemimpin yang cakapnya tak serupa bikim tidak
layak menjadi pemimpin. Sebaliknya dialah yang harus dipimpin. Sekarang ini
berapa banyak orang mengaku layak jadi ulama lepas itu nak jadi pemimpin tapi
cakap tak serupa bikin. Disebabkan didewa-dewakan, diberi imuniti, cakapnya tidak boleh dipersoalkan, ulama dah jadi macam
Tuhan!
Imam Al-Ghazali |
Al-Ghazali ialah seorang genius, mahir dalam berbagai aspek
agama – fekah, usuluddin dan sebagainya – ketika masih budak lagi dan terkenal
sebagai seorang scholar jadi qadi besar apabila dewasa. Walaupun beliau telah
mendalami berbagai cabang ilmu lain terutama ilmu mantik, nahu, sarah dan
falsafah yang menjadi kebanggaan dunia Barat namun beliau merasakan semua itu
tidak mencukupi sehingga beliau menemui jalan Islam adalah penyatuan. Konsep
utamanya adalah pengEsaan, bukannya perpecahan. Ia bukan boleh hidup dengan
cara menimbulkan permusuhan sesame umat. Astaghfirullah..!
punyalah bidaah yang kita lakukan tapi
kerana kita bergelar ulama kita tak salah!
Ulama
kita lebih banyak menyuruh masyarakat membenci pihak-pihak tertentu yang tidak
sependapat dengan mereka. Ulama bersikap riak, takbur. Mereka mengatakan bahawa
puak dia saja yang terbaik. Nabi pun tak kata macam itu. Nabi kita tidak
membezakan antara orang Arab dan Ajam. Dia cuma kata yang membezakan seorang
Muslim itu adalah takwa.
Anak-anak
kita dilahirkan bersih seperti kain putih tapi siapakah yang menjadikan mereka
Nasrani, Yahudi dan Majusi? Bukankah ibubapa mereka sendiri? Sepatutnya mereka
memberikan pendidikan agama yang sempurna dengan memberi teladan yang elok. Ini
tak, mak bapak dek berbalah sesame sendiri, antara orang politik dengan orang
politik, parti dengan parti tapi masing-masing mengaku Islam. Macam mana anak
nak jadi elok?
Kenapa
kita tak fikir dan cari kesalahan kita sendiri? Kenapa nak hukum anak-anak?
Kenapa nak gari dan tangkap mereka? Penyakit ini datangnya dari mana? Kalau
bukan ciptaan orang tua mereka sendiri! Air
yang keruh di hulu masakan boleh jernih di
hilir? Agama bukan makanan macam roti canai, boleh kasi anak-anak kita
telan, mereka kenyang. Agama kena belajar, kena fikir, kena amal, kena rasa,
sudah rasa sedapnya baru tak lupa. Baru sayang agama. Baru hidup tak celaru. Ianya bukan satu harta pusaka yang boleh
diwarisi. Seperti nyanyian Raihan, yang bertajuk Iman.
Iman..
tak dapat diwarisi..
Dari
seorang ayah yang bertakwa…
Setiap
orang yang berdakwah, samada pemimpin politik, ulama atau penceramah, mahupun
ibubapa yang mendidik anak di rumah mestilah menampilkan sifat-sifat yang layak
dicontohi dan diteladani. Mereka yang bercakap di depan khalayak ramai pula
mesti mampu memberi penerangan yang jelas. Kenyataan yang dibuat mesti rasional
dan sanggup dipertanggungjawabkan termasuklah kenyataan dan penerangan yang
dibuat di TV.
Apa
yang Pak Habib nampak penceramah di TV seperti tak berani menjawab soalan
penonton secara berterus terang terutama hal-hal yang berkaitan dengan ilmu
hakikat, tarikat dan makrifat. Lain orang tanya, lain pula yang dijawab dan
jawapan yang diberikan pula berbelit-belit! Apakah takut salah cakap atau
lantang sikit besok muka tak keluar TV?
Islam
itu mudah, yang menjadikannya susah buat apa? Kita nak ajar hal-hal mengenai
Islam, ajarlah cara yang mudah! Akibat tak faham apa itu Islam, apa itu
manusia, siapa itu manusia, apa hubungan manusia dengan Tuhan, untuk apa tujuan
Tuhan jadikan manusia, menyebabkan anak-anak muda hari ini jadi celaru. Mereka
tak diberikan misi dan visi untuk
akhirat untuk mengimbangi visi 2020.
Tuhan
yang patut disembah tapi bila perkataan itu diterbalikkan, sebab yang haram
dihalalkan, yang halal diharamkan, jadilah HANTU. Sembah hantulah gamaknya.
Habis syahadat pun tak faham. Tak tahu macam mana syahadat rasul dan macam mana syahadat
hamba. Syahadat bererti
menyembah Allah saja, tidak selain dari Allah. Sekarang ini orang lebih takut
pada hantu dari takutkan Tuhan. Tengok Misteri Nusantara nak, suruh mengaji tak
mahu. Agaknya pasal itu ramai orang jadi hantu?
Kenapa manusia hari ini sembah duit, sembah pangkat, sembah kuasa, sembah betina! Untuk benda-benda yang disembah ini mereka sanggup habiskan wang berjuta. Tuhan letak dekat mana? Bila syahadah sudah tak betul, tanyalah para ulama, bolehkah yang lain-lainnya betul? Maka terperanjat bila ada manusia mengaku beragama tapi agama mereka sekadar ritual.
Nabi
Muhammad saw selalu ditentang hebat, dikutuk, dihina, dituduh sebagai gila oleh masyarakat Arab Jahiliyah tapi baginda tak pernah
melatah apalagi senang-senang mengkafirkan orang. Tentu ada sebab kenapa dia boleh melalui ini semua dengan reda dan
tenang. Rahsia 13 tahun
disembunyikan di mana? Macam mana Muhammad boleh tak terpengaruh ikut budaya
Arab Jahiliyah yang sanggup menanam anak perempuan mereka hidup-hidup? Menyembah
berhala, minum arak, berjudi, melakukan kekejaman dan kezaliman berleluasa.
Macam manapun mereka tetap boleh menerima Muhammad saw sebagai nabi dan rasul
Tuhan kerana baginda orang yang terbaik, yang sentiasa bercakap benar. Juga
kerana keadilannya meletakkan kemanusiaan
dan kasih sayang di atas segala-galanya...!
Pada
mulanya, sinar kebenaran Nur Islam
dari Allah menerusi Al-Quran yang disampaikan melalui Malaikat Jibrail kepada Muhammad membuat mereka cuba membunuhnya.
Tetapi akhirnya Yahudi dan Nasrani serta Arab Jahiliyah dan pembesar kaum
bangsawan Quraisy terpaksa menerima Islam lebih-lebih lagi bila Islam difahami
oleh orang kafir sebagai agama yang memperjuangkan kepentingan manusia tanpa
mengira kelas atau kasta.
Maka
matilah Jahiliah oleh kekuatan kebenaran yang dibawa Muhammad. Nabi Muhammad
saw menyampaikan ayat-ayat Tuhan dengan mudah melalui akhlaknya yang mulia.
Baginda seorang yang jujur, ikhlas. Walaupun menerima ancaman godaan seperti
wanita, harta dan kuasa, dihadiahkan matahari di tangan kanan dan bulan di
tangan kiri, baginda tidak berganjak dari misinya untuk menyempurnakan akhlak
dan kehidupan manusia. Inilah politik Islam. Bukan berpolitik untuk mencari
Islam demi kepentingan puak dan diri sendiri. Nabi Muhammad mampu melakukan ini
semua kerana baginda faham hakikat insan. Malah dialah yang mengajar hakikat
insane kepada umatnya. Sebab itulah semangat orang Islam dulu begitu cekal
walaupun mereka fakir miskin dan teruk ditekan oleh puak Jahiliyah. Bilal bin
Rabah yang dipaksa supaya meninggalkan Islam untuk kembali kepada agama
jahiliyah sanggup menerima seksaan yang begitu berat. Beliau cuma menjeritkan
“Ahad, ahad” setiap kali disebat.
Maka
untuk kembalikan Islam di zaman Muhammad kita mesti memahami hakikat Islam yang
sebenarnya. Sanggupkah kita menolak kuasa, harta dan wanita? Beranikah kita
berkata benar, walaupun kebenaran itu pahit? Sanggupkah mereka meninggalkan
perbuatan rasuah yang sudah menjadi wabak? Kalau wabak rasuah, gila kuasa, gila
kekayaan, gila betina, gila judi ini boleh dihapuskan dan ikut seperti sunnah
rasul, maka penyakit masyarakat mudah diubati. Ada ke ulama yang sanggup jadi ‘role
model’ seperti ini? Adakah ulama yang dah master hakikat insan lalu layak dipanggil guru mursyid untuk
membimbing masyarakat kita ini?
No comments:
Post a Comment