Lebih
kurang pukul 8.30 malam, 5 Disember 2008, tetamu istimewa yang ditunggu pun
tiba, saya bersama Puan Norsiah Sabri dan Saudara Amran dan isteri saya, Hana
menyambut Ahli Parlimen Bentong, YB Datuk Liew Tiong Lai, Menteri Kesihatan
untuk penutup majlis dan menyampaikan sijil kepada para peserta yang telah
mengambil bahagian dalam bengkel produksi seni.
Seluruh
taman dihiasi dengan lampu yang berwarna-warni, di bawah khemah terdapat para
penduduk kampung yang diundang untuk menyaksikan jenaka bangsawan dengan
percuma dan yang terpenting setiap kali saya mengadakan majlis, keutamaan
diberikan kepada lebih kurang 50 anak yatim di rumah anak yatim yang menjadi
jiran saya.
“Tidak beriman mereka yang boleh tidur
nyenyak jika ada jirannya yang tidur dalam kelaparan.”
-Imam Ali K.W.J
Saya
berterima kasih kepada Datuk Liew yang dalam kesibukan, masih sanggup hadir di
satu majlis kecil di sebuah kampung Melayu yang terpencil di tengah hutan rimba
di pergunungan Banjaran Titiwangsa. Kenapa agaknya saya mengundang Menteri
Kesihatan hadir ke Majlis Kesenian? Orang bukan Melayu pula. Apakah kerana saya
suka menimbulkan kontroversi? Liew Tiong Lai yang baru menang Naib Presiden MCA,
bekas Setiausaha Politik Datuk Lim Ah Lek mantan Ahli Parlimen Bentong tidak
banyak protokol, tidak banyak songeh.
Mungkin dia tahu yang mengundang sunat,
yang menerima undangan wajib hadir.
Berhentilah menjual insya-Allah
sebagai alasan.
Berapa
ramai pemimpin kita yang bila diundang di saat terakhir tidak sampai seminggu
hendak mengadakan majlis melalui telefon
genggam sanggup datang, melainkan undangan itu datang dari Pak Lah, Najib
dan Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong, hendak
hidup.
Kita
hormat pemimpin bukan kerana gelaran Yang
Berhormat tetapi yang mesra rakyat,
yang tahu tanggungjawab sebagai Wakil Rakyat.
Tidak guna beri nombor telefon handset kalau telefon tidak diangkat. Mesra rakyat bila musim perlukan undi.
Di antara yang cepat jawab panggilan saya ialah Datuk Idris Jusuh, biarpun masa
itu masih menjawat kerusi MB dan beberapa lagi pemimpin di antaranya Datuk Seri
Ali Rustam, Datuk Syed Ali Al-Habshi, Datuk Norza Zakaria dan KJ. Tanya mereka
yang pernah menghubungi pemimpin yang hipokrit,
kawan bila ada hajat terutama bila sudah menjadi Menteri. Memang sakit hati sebab itu kalau Menteri tidak
tabur duit, sorry jangan mimpi mereka
akan beri undi. Jawabnya memang hendak kena
mandi.
Datuk Syed Ali Al-Habshi dan Pak Habib |
Datuk Norza Zakaria |
Program
yang diadakan pada malam ini diadakan buat julung-julung kalinya berjaya
menghimpunkan Persatuan-Persatuan Penggiat Seni Budaya (NGO’s) Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur dalam sebuah program yang berbentuk bengkel produksi
di luar wilayah dan berjaya melibatkan 10 orang remaja dari Kampung Janda Baik.
Mengikut
Puan Norsiah, antara lain objektif penganjuran bengkel ini adalah untuk
mengeratkan silaturrahim antara ahli-ahli persatuan NGO’s memantapkan
pengurusan seni dan hala tuju persatuan, juga untuk membuka minda ahli-ahli
baru persatuan (remaja) akan peri pentingannya memelihara seni, budaya dan
warisan bangsa.
Memang
sudah lama saya ingin Taman Hana menjadi perkampungan Seniman, tempat
berkumpulnya para pelakon, pemikir, penulis dari seluruh nusantara di taman
yang saya bina setelah mendapat ilham dari Taman Ismail Marzuki di Jakarta dan
taman serta pentas di kediaman tokoh agung Rendra di Indonesia yang anda dapat
saksikan dalam youtube saya di www.shalattas.com
Taman Ismail Marzuki di Jakarta, Indonesia |
Keinginan
saya menjadi satu kenyataan apabila kick
off yang pertama dimulakan oleh saudara Amran dari Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ketika beliau tersesat dan tertarik dengan
konsep Wadi Hussein, taman di tengah-tengah hutan rain forest tertua di dunia seperti dalam filem The Last Horizon.
Pada
mulanya saya tidak bersetuju program ini diadakan kerana saya belum bersedia
biarpun Wadi Hussein yang namanya saya pilih kerana saya dilahirkan di Kampung
Wadi Hassan, dibesarkan di Wadi Hana di Johor Bahru yang dibuka oleh datuk saya
Almarhum Datuk Syed Hassan Alattas D.K yang dilahirkan di Pekan, Pahang.
Taman
yang telah memenangi lanskap yang mengandungi flora dan fauna, telah dikunjungi
oleh jutaan manusia di seluruh dunia melalui internet dan hampir setiap minggu
ada saja pengunjung dari semua bangsa. Akhir-akhir ini, ramai pengantin, orang
Cina yang suka bergambar di Taman Hana pada hujung minggu.
Saya
bangga jika kita dapat menyumbang sesuatu kepada agama, bangsa dan negara
kerana saya percaya bila manusia mati hanya tiga perkara yang tidak
memutuskannya pertama ilmu yang bermanfaat, sudah 56 buah buku saya terbitkan,
selain sudah berpuluh tahun menulis di akhbar, majalah dan internet.
Mudah-mudahan amal jariah jika diterima, ke semua ibadah tersebut untuk kedua
orang tua saya yang sudah arwah, semoga Allah kurniakan kami anak-anak yang
soleh. Saya sentiasa mengingatkan diri saya, daripada menadah tangan
mengharapkan subsidi kerajaan lebih baik kita menyumbang sesuatu kepada
kerajaan.
Memang
saya bercadang untuk mengundang Menteri Kebudayaan, Datuk Shafiee Afdal yang akan
merebut kerusi Naib Presiden untuk merasmikan pentas yang diberi nama Pentas Sudirman apabila siap sepenuhnya
nanti tetapi kita perlu masa yang panjang. Mulakan dengan Ahli Parlimen Bentong
dulu, dia pun peminat seni juga.
Mungkin
ramai yang terlupa arwah Sudirman Haji Arshad, Datuk Sarimah dan penghibur
terkenal selain Datuk Siti Nurhaliza, penulis terkenal Pak Sako dan Keris Mas
berasal dari Pahang, pahlawan Mat Kilau, Tok Gajah dan Tun Abdul Razak, bapa
Datuk Najib yang telah memenangi kerusi Presiden UMNO, orang Pahang.
Pak Sako |
Keris Mas |
Sejak
berita gempa bumi di Janda Baik, pengunjung dari KL yang suka bercuti di hujung
minggu di resort serta homestay mula
berkurangan, padahal bukan seperti kejadian di Bukit Antarabangsa yang berlaku
pada subuh 6 Disember 2008.
Antara
sebab saya memberi sokongan sepenuhnya untuk mengadakan program seperti ini
supaya keyakinan orang ramai bahawa gempa bumi tidak menjadi masalah dan tanah
tinggi milik Melayu ini perlu diberikan pendedahan kerana ianya sama indahnya seperti
Bukit Tinggi Frazer atau Cameron Highland. Hendak harapkan EXCO Pelancongan
Pahang, buang masa. Ketika Datuk Maznah menjawat jawatan tersebut sekalipun,
dia tidak pernah melawat taman ini dan memajukan industri pelancongan Janda
Baik. Manalah orang tidak marah pada pemimpin UMNO yang tidak membantu
memajukan Melayu.
Saya
selalu mengingatkan diri saya jika mahu disayangi, kita perlu menabur budi dan
menabur jasa dengan ikhlas, dengan tidak mengharapkan pembalasan. Ramai
pemimpin kita yang sudah lupa tugas dan tanggungjawab terhadap agama, bangsa
dan negara. Bila ada jawatan keutamaan diberi kepada keluarga saja. Rasa
kepedulian terhadap bangsa dilupakan. Mereka menjadi begitu materialistik.
Apakah
sesudah 51 tahun merdeka kita masih hidup menadah tangan, masih bersikap subsidi, hidup dengan bantuan kerajaan
tetapi masih retorik dengan ketuanan Melayu. Jadi Tuan macam mana kalau ramai
orang kita hidup dalam kemiskinan? Apa pun tiada, ramai masih duduk dalam rumah
pangsa PPRT, lantai menjadi bumbung dan bumbung rumah orang menjadi lantai
orang di tingkat atas, berkongsi dinding. Apa gunanya retorik tentang tanah
air? Bila tanah dan air sudah dimonopoli oleh puak tertentu saja. Jika tidak
ada tapak tanah, sebidang tanah untuk sebuah rumah di muka bumi pun tidak ada,
hendak berpolitik macam mana?
Anda
akan bertanya untuk apa saya buat taman di kawasan seluas 6 ekar tanpa mendapat
bantuan dari kerajaan? Tuhan kita kaya. Kenapa kita tidak percaya pada sifat
pemurah dan penyayang Allah? Tuhan beri kita akal dan tulang empat kerat untuk
apa?
51
tahun kita merdeka, Cameron Highland, Frazer Hill, Penang Hill, Maxwell Hill
semua taman yang indah di tanah tinggi peninggalan penjajah. Janda Baik adalah
satu-satunya tanah tinggi milik Melayu. Kisah bagaimana perkampungan ini dibuka
telah didokumentasikan oleh arwah Keris Mas dalam sebuah novelnya.
Cameron Higland |
Sesudah
mereka, Genting Highland terbina dengan megahnya menjadi mercu tanda pusat
perjudian dan hiburan atas usaha kegigihan Uncle
Lim, Tan Sri Lim Goh Tong. Bukit Tinggi milik Berjaya Group, orang Melayu
sekadar menjadi pekerja sahaja. Beribu Melayu jadi pekerja dengan keluarga Lim.
Pemimpin kita buat apa? Leka berpolitik dan leka berebut kuasa, nasib rakyat
tidak terbela.
Lim Goh Tong |
Kita
perlu tanya apa sumbangan yang boleh kita beri pada negara, bukan apa yang negara
boleh beri pada kita? Seperti yang diingatkan oleh mendiang John F. Kennedy.
John_F._Kennedy |
Pelik,
pemimpin politik sanggup berhabis berjuta ringgit beli undi, tidak bolehkah
disalukan sedikit untuk membangunkan industri pemikiran? Perpustakaan awam
memberi grant kepada karyawan yang
mahu berkarya. Kita terlupa antara perkara terpenting untuk membangunkan
tamadun sesebuah negara, ia memerlukan para karyawan, seniman, pemikir dan
sasterawan. Kalau ada pun sekadar melepas
batuk di tangga.
Dari
segi ini saya hormat Datuk Seri Ali Rustam, dia telah memberikan sokongan
kepada persatuan karyawan yang dipimpin oleh Freddie Fernandes membuka pejabat
di Rumah Media Melaka di mana dimuatkan untuk pengarah filem yang berminat
dalam filem animasi, boleh menggunakan peralatan seperti komputer tercanggih
khusus untuk animasi. Selain dari itu, Datuk Ali memberi tanah lot untuk
karyawan membina rumah kediaman mereka di Melaka.
Dengan
izin Allah, saya bercita-cita untuk menubuhkan sebuah yayasan supaya bila saya
sudah menjadi arwah nanti, kediaman dan taman ini akan menjadi Warisan Negara “National Heritage” yang mengandungi auditorium,
sebuah perpustakaan yang menyimpan semua buku karya penulis Melayu dari seluruh
nusantara sejak zaman dulu kala.
Saya
yakin dengan bantuan kawan-kawan yang ikhlas, yang ingin membangunkan bangsa
yang masih tidur lena, dengan industri
pemikiran menerusi sastera dan seni budaya, insya-Allah tahun 2009, University of Life yang pertama di Malaysia akan dibangunkan di Janda Baik. Aset
Al-Hussein Foundation yang akan dimulakan bernilai 5 juta ringgit. Kalau Tan
Sri Lim Kok Wing boleh tubuhkan universiti dan seterusnya University Lim Kok Wing di London, kenapa kita tidak boleh
memulakannya di Kampung Janda Baik?
Yang
pelik, ada seorang pemimpin janji hendak menghadiahkan sebuah rumah peninggalan
penghulu yang telah dibeli dari kampungnya untuk disimpan sebagai warisan rumah
Melayu, senyap macam itu jer! Cakap tidak serupa bikin punya. Tidak payahlah
cakap ikut sedap mulut kalau tidak boleh tepati janji.
Tidak
perlu beri apa-apa pada saya. Tuhan saya kaya, saya percaya dengan kekuatan
ayat kun faya kun. Jika mahu sokongan
penulis ketika berebut kerusi dalam pertandingan UMNO, kalau awak layak kita
bantu. Kalau penulis sendiri pun kena kelentong, macam mana? Mudah-mudahan dia
ini bertaubat dululah sebelum hujung tahun ini.
Kalau
musim pemilihan barulah ahli UMNO dapat rasa duit pemimpin-pemimpin. Ada yang
bagi 300, ada 500, bukan bersedekah tetapi untuk pancing undi. Ketika itulah
mengikut cerita kawan saya bila pemimpin buka almari, duit jatuh berdebuk-debuk
diikat satu ketul RM5,000 dan RM10,000. Baru kita tahu betapa kayanya pemimpin
kita.
Duit
datang dari mana? Pantang pemimpin kena jemput. Kalau boleh semua bahagian nak
pergi supaya dapat undi tertinggi. Penulis bukan boleh beri undi. Inilah kerja
pemimpin yang suka buat kerja sumbang sambil menyumbang tanpa rasa kepedulian.
Habib Hassan Alattas |
Datuk
saya, Datuk Habib Hassan Alattas yang meninggal dunia pada tahun 1932,
meninggalkan sebuah Madrasah Alattas di Pekan selain Pulau Habib Hassan di
Kuala Pahang. Beliau berasal dari Sulawesi dan mempunyai hubungan yang rapat
dengan keluarga Sultan Pahang. Arwah Tan Sri Osman Saat mantan MB Johor, Datuk
Syed Mohd Idrus, Datuk Syed Zin mantan
Speaker Dewan Undangan, Datuk Ali masih Speaker, Mufti Besar Negeri Sembilan
dan Perak adalah murid tua Madrasah Alattas Johor Bahru. Tok Habib Hassan
Alattas adalah seorang ulama dan pendakwah, selain pengasas dan tuan punya
Madrasah Alattas dan Kuliyatul Alattas Kolej Islam yang pertama di Malaysia.
Selain dari membina beberapa buah masjid
dan surau di Johor dan Pahang.
Amran
telah mencadangkan sebuah banglo 4 bilik yang didiami oleh peserta dijadikan
sebagai Teratak Karyawan dan ia telah dirasmikan oleh YB Datuk Liew Tiong Lai.
Saya
berterima kasih kepada Ahli Parlimen Bentong yang telah banyak membantu
penduduk kampung. Selalunya di musim Hari Raya dia akan mengunjungi penduduk
Janda Baik, tetapi tahun ini dia sibuk dengan pemilihan jawatan dalam MCA.
Faridah Merican & Joe Hasham |
Ada
beberapa perkara yang menarik sepanjang perkampungan Seni itu, saya dapat
berjumpa dengan teman-teman lama di antaranya Radin, Khalid Salleh lebih mesra
dengan panggilan Wak, Datuk Faridah Merican dan Abon yang datang untuk memberi
ceramah.
Khalid Salleh |
Antara
teks ucapan beliau yang menarik ialah tentang nilai yang hampir pupus dari
masyarakat kita. Orang kita terlalu meterialistik. Datuk Liew Tiong Lai bukan
saja tidak makan babi biarpun Cina, dia seorang vegetarian, bawang putih pun
dia tidak makan. Ada orang kita tidak makan babi, tetapi tetap minum arak,
makan duit anak yatim, makan rasuah, bila lagi hendak muhasabah diri?
Datuk
Liew Tiong Lai memberitahu, saya membuat taman ini tidak mengambil wang
kerajaan, dia ingin membantu jadikan tempat ini sebagai homestay. Saya menolak dan meminta dia membantu orang kampung yang
lebih layak dari saya menerima bantuan. Dia memberi RM10,000 untuk bantuan JKKK
Kampung Janda Baik. Baguslah pemimpin yang suka menyumbang, tetapi tidak buat
kerja-kerja sumbang.
No comments:
Post a Comment