Chat With Us LIVE!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, April 23, 2013

Sampai Bila Mahu Mengkritik?


Jika anda berkesempatan atau telah membaca hanya beberapa saja dari lebih 65 buah buku, ratusan rencana di beberapa tabloid dan majalah, pasti anda tahu minda S.H.Alattas. Hendak kenal penulis perlu mengenali mindanya terdahulu; dengan membaca apa yang tersirat disebalik tulisannya yang berlapis dan berlapik.

Apakah anda sanggup menentang arus diketika orang ke depan, anda ke belakang? Itulah yang telah saya lakukan; ketika orang takut dengan Raja saya mengkritik Raja. Ada orang kata saya gila, akan tetapi kerana kegilaan orang-orang mudalah dunia menjadi bertambah maju.

Hidup jangan pandang ke depan saja, sesekali mesti menoleh ke belakang - Anwar Ibrahim menjadi tersohor kerana terlibat dengan kes ‘belakang’. Bila melihat bintang di langit jangan lupa rumput di bumi. Bila lihat mutiara jangan lupa pada kerang yang menyimpannya.

Saya tahu ramai yang mengkritik saya terutama mereka yang tidak pernah baca satu pun buku saya. Saya pun tidak kisah, “suka hati mak engkau lah”. Memang tanggungjawab penulis dan pemikir buat kerja mengkritik, lagipun kalau nak marah nak buat macam mana. Jenis macam perangai anjing, bila seekor anjing menyalak semua anjing lain ikut menyalak sama. Jika ditanya kenapa, jawapannya mudahkan; anjing adalah teman manusia terbaik, ‘a man’s best friend’ akan tetapi anjing itukan binatang dan binatang mana ada akal - yang ada hanya ‘animal instinct’. Kita ini makhluk yang ada akal fikiran, mengapa tidak tafakkur?

I think, therefore I am - Rene Descartes

Ramai penulis yang terpaksa melalui hidup seperti ini; mangsa ‘fitnah’ seperti apa yang pernah berlaku kepada sahabat saya Datuk Norza, mantan Setiausaha Politik Pak Lah di Kementerian Keewangan (MOF). Seperti yang dilaporkan oleh Josylen Tan dalam akhbar The Star 1hb Julai 2007. Kebanyakan yang mengkritik, membelasah, belum lagi baca bukunya, dengar cakap-cakap orang saja. Datuk Norza mangsa fitnah, mangsa mereka yang ada PhD dan berjiwa Raja di zaman Singapura di langgar todak.
The Green Dome in Madinah

Singapura di langgar todak
Jika kita mahu jadi pahlawan, mesti sanggup mati di gelanggang, mahu jadi hero mesti sanggup kena kutuk, kena ujian, kena belasah; kalau tidak jadi pak pacak sajalah. Seandainya sahabat Rasulullah SAW, Abu Dzar Al-Ghifari RA tidak mengkritik khutbah Uthman Ibn Affan kerana membina Istana Hijau dan mengamalkan kronisme dan nepotisme, sejarah dia dibuang di padang pasir dan mati seorang diri di padang pasir, dia tidak akan jadi ‘legend’.

Teh tarik satu boss!
Akibat tidak membaca tersirat, apa lagi yang malas membaca, tapi tetap mahu jadi pengkritik di blog, berlagak paling ganas namun tidak berani kritik diri sendiri. Lempar batu sembunyi tangan. Berani mengkritik tapi tidak berani tunjuk muka macam Hishamuddin Rais; blogger tersebut serupa ‘goblok’.

Berapa ramai yang tahu dua identiti yang berbeza antara ‘kerajaan’ dengan ‘pegawai kerajaan’, ‘politik’ dengan ‘orang politik’, ahli UMNO dengan ahli politik, menteri dengan pemimpin? Pengkritik dan pemfitnah?

Yang kotor, yang korup ‘pemimpin politik’ bukan politik biar pun ada yang mengatakan ‘politics is dirty’; itu politik Machiavelli atau politik Muawiyyah. UMNO tidak berdosa, Islam tidak salah, yang salah orang Islam. Sebab itu timbul seekor kerbau membawa lumpur terpalit. Nila setitik rosak susu sebelanga. Kerajaan BN tidak berdosa, tidak ada salahnya, yang salah mereka yang menjadi kakitangan kerajaan yang rasuah, yang tidak ada adab, tidak menjalankan tugas dan tanggungjawab. Yang pelik kakitangan kerajaan pun menyalahkan kerajaan. Satu jari menunjuk ke arah orang, tiga menunjuk ke arah diri sendiri. Lu fikirlah bro.

Saya banyak mengkritik pemimpin UMNO hingga ada yang menganggap saya diperalat oleh orang tertentu di dalam UMNO. Saya di label penulis upahan dan bila saya bela pucuk pemimpin UMNO, di label sebagai penulis upahan UMNO. Saya memang sudah lama tidak peduli dengan label yang diletakkan pada saya. Saya tidak hidup kerana presepsi orang. Saya tidak terhutang hidup dengan manusia.

Jika takut dengan ketinggian, jangan panjat pohon kelapa. Suka tidak suka kita kena terima. Lantak pi lah orang nak kata apa pun. Nabi Muhammad SAW dan Tuhan pun orang kata, inikan pula kita manusia. Memang tidak ada orang yang akan mendirikan tugu untuk seorang pengkritik. Siapa yang mahu menjadi pengkritik mesti bersedia ke penjara, di heret ke mahkamah, hidup keluarga sengsara.

Use your head and think.
Sebenarnya saya sudah lama mahu berhenti menulis buku politik, kerjanya penuh dengan bahaya, nyawa sentiasa terancam. Namun alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan; alang-alang mandikan orang, biar dia basah; alang-alang bermain dakwat biar siap satu buku ‘masterpiece’ Masih ada perjuangan yang belum selesai; kata Tun Dr Mahathir, “Siapa kalau bukan penulis dan pemikir yang mesti menulis dengan tulus ikhlas, kita suka tidak suka, kena teruskan juga. Tidak macam Menteri, bila sudah berhenti tidak ada apa lagi tanggungjawab yang mesti dipikulnya. Jauh berbeza dengan seorang penulis kerana 1000 tahun selepas penulis telah mati, orang akan terus membaca karyanya."

Setiap orang pasti membuat silap kerana selaku manusia biasa tentu banyak salah silapnya. Lagi besar tanggungjawab yang dipikul, lagi banyak silap. Jadi salahkah penulis mengingatkan kerajaan bahaya yang mendatang? Apakah penyampai berita, pembesar suara rakyat boleh dituduh melakukan kerja tukang cacat pemfitnah dan penghasut?

Menyaksikan sikap orang Melayu sesama Melayu bertempur sesama mereka untuk memenangkan calon MIC, K. Parthiban di Ijok maka terfikirlah saya, apakah selamanya Melayu harus terus bergantung kepada cakap-cakap orang politik sahaja (political animal)?

Hampir setiap pilihan raya kecil atau pilihan raya umum saya perhatikan kerajaan terpaksa mengorbankan sejumlah peruntukan yang besar terutama pilihan raya kecil untuk meraih undi pegundi. Sampai bila BN akan mengulangi tradisi memujuk rayu membeli undi yang paling teruk berlaku di era Dato Sri Najib menjadi Perdana Menteri? Patutkah kesilapan diulangi? Beri tayar kereta pada pemandu teksi, mereka ambil; beri pitis demo ambil, tapi undi belum tentu lagi. Kerana nama Najib dan para Menteri UMNO yang sudah rosak, berhenti sajalah.

Apa yang berlaku di Ijok dapat saya saksikan kesedaran pengundi bahawa membawa projek jalan raya, klinik sekolah dan macam-macam lagi adalah tanggungjawab kerajaan Tan Sri Khalid. Yang melawan calon kerajaan BN adalah bekas orang UMNO yang kecewa dengan pucuk pemimpin; setiap yang pandai dipancung. Khalid adalah seorang tokoh korporat. Rakyat sudah semakin sedar dan terbuka minda mereka, hendak sembunyi macam mana lagi? Ceramah pilihan raya yang tidak melahirkan ‘public opinion’; ‘listen, listen, listen’ sampai lapan kali.

Memang ada pihak yang marah dengan Anwar membawa isu peribadi dan isu nasional di Ijok kononnya tidak sesuai dengan aspirasi tempatan. Kita jangan lupa ‘public opinion’ saja yang boleh mengulingkan satu-satu kerajaan dan rakyat mahukan ‘public opinion’ bukan ‘listen, listen, listen, listen.’


Isu yang Anwar bentangkan itu melibatkan isu pemimpin nombor dua kerajaan; ketika itu Najib musuh Timbalan Perdana Menteri. K. Parthiban, calon BN boleh dianggap tidak beza dengan pemimpin nombor dua negara - birds of a feather, flock together. Ia saling kait-mengait dan sehingga kini pun kita tidak nampak Najib Tun Razak mengambil pendekatan membersihkan maruahnya yang tercalat dek Anwar. Bila dia tidak heret ke mahkamah untuk membuktikan apa yang di kemukakan oleh Anwar Ibrahim sebagai fitnah, ia bererti benar. Najib macam pengantin perempuan, diam bererti setuju.

Penulis adalah mata, telinga dan suara rakyat bukan tujuan para penulis untuk melaga-lagakan kedua-dua pemimpin tersebut tapi sekadar mengingatkan sudah sampai masanya pemimpin di bawah kerajaan BN ketika itu diketuai Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) mengamalkan politik tidak sihat dan Pak Lah gagal melakukan ‘pemutihan’ dalam kerajaannya. Ketika dia berhenti baru orang tahu bahawa dia Mr Clean Man, sapu bersih, macam penyamun tarbus dalam filem P. Ramlee. Mr Clean Man cleaned everything macam vacuum cleaner. Seperti Musa Aman di Sabah dan Taib Mahmud di Sarawak.

Sama ada Pak Lah suka atau tidak suka, Pak Lah tidak melakukan rombakan kabinet. Pak Lah gagal mempastikan hanya pemimpin yang benar-benar ikhlas dan amanah sahaja yang di pilih untuk memikul tanggungjawab sebagai Menteri. Mana-mana Menteri sudah terlalu lama dalam kerajaan perlu ditukarkan dan diganti dengan orang baru; tidak banyak beza dengan Najib. Kawan saya Hassan beri tahu saya sepatutnya 80% dalam kabinet dapur Najib di mana Rosmah BN, Bini Najib, berkuasa perlu segera direhatkan; Rais Yatim disuruh pergi main jauh-jauh; sudah bakar jambatan simpan apa lagi?

But I takut main sorang-sorang...
Sheikh Muszaphar - Angkasawan Negara
Pemimpin yang sedia ada mesti pergi dan diganti oleh pemimpin baru. Bolehkah pemimpin lama menjadi contoh yang baik kepada rakyat? Pemimpin lama wajib dijatuhkan kerana rakyat benci dan meluat. Air yang keruh di hilir bolehkah jernih di hulu? Maka jangan marah bila Anwar dipilih jadi Perdana Menteri, kuasa memilih ditangan rakyat. Jika rakyat salah pilih, satu penggal saja dia jadi Perdana Menteri. Sapa pun jadi Perdana Menteri, pemandu teksi tetap tidak boleh jadi pemandu lori.

Kerajaan telah menghantar angkasawan ke angkasa lepas dalam bersaing dengan negara maju yang sudah lebih awal meneroka bidang tersebut supaya bangsa kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain. Bagaimana dengan para pemimpin, sampai bila hendak simpan kereta yang ‘chasis’nya yang sudah bengkok dan tidak boleh berlumba lagi? “Ingatlah setinggi-tinggi Airbus A380 atau Boeing 747-8 yang berada pada 30,000 kaki di atas langit akhirnya pasti mendarat juga.” Boeing bising masa turun dan memekak masa naik tetapi senyap apabila berada di atas; sangat berbeza dengan ahli politik. Semasa di atas atau di bawah sama saja bising; mereka leka bercakap.

The late 'Iron Lady' Margaret Thatcher (1925-2013)
Apakah orang Melayu tidak memerlukan pemimpin yang berwibawa untuk memimpin mereka dengan membuat dasar-dasar yang boleh mencorakkan halatuju mereka? Sampai bila baru kita mampu melahirkan negarawan seperti Imam Khoemini, Ghandi, Churchill, Abraham Lincoln, dan Sukarno? Nasib orang Melayu tidak akan berubah melainkan orang Melayu itu sendiri yang berubah dan menggubah nasib mereka. Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum jika mereka tidak mengubahnya sendiri. Mari kita ubah dan gubah nasib kita sebelum kita rebah. 

Jika anda membaca buku saya Kabinet April Fool yang diterbitkan pada tahun 2003, cukup ianya menceritakan mengenai Musa Aman, Mr Vacuum Cleaner. Bila Perdana Menteri tidak berani buat apa-apa, tidak mahu tukar orang baru, ‘cacing naik ke mata’. Musa Aman kini di beri jolokan vacuum cleaner oleh orang Sabah sahaja. Jangan marah orang Sabah bila mereka tukar selera dari BN, Bodek Najib, diganti dengan Anwar Ibrahim; Perdana Menteri baru.

Bila lagi mahu menyiasat dakwaan Datuk Dr Jeffrey @ Gapari Katingan @ Geoffrey Kitingan, nombor kad pengenalan 471022-12-5367, Timbalan Pengerusi PKR yang membuat laporan jenayah, pecah amanah, salah laku, salah guna kuasa dan rasuah kepada Musa Aman. Laporan polis dibuat kepada Ketua Polis Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah, Karamunsing, 88300 Kota Kinabalu dan yang terbaru rasuah 40 juta yang sudah di bawa ke Parlimen.

Dr Jeffrey Kitingan
Nama penuh dan identiti lengkap Dr Jeffrey Kitingan sudah cukup untuk membuktikan bahawa ini bukan fitnah, bukan surat layang kerana identitinya dirahsiakan. Dr Jeffrey menulis laporan polis ini pun menggunakan letterhead PKR. Bermakna Dr Jeffrey bertanggungjawab dengan dakwaan disabitkan kepada Musa Aman. Kalau Musa Aman sendiri rasa teraniaya, dianiaya dan difitnah, beliau perlu mengemukakan saman kepada Dr Jeffrey. Ini melibatkan maruah dan masa depan rakyat Sabah dan bila nama Musa Aman terpalit dengan dakwaan jenayah ini maka tidak hairanlah ramai menggunakan nama Pak Lah antaranya sebagai kawan baik Pak Lah, pernah membantu politik Pak Lah, untuk mengganti tempat Musa Aman.

Kalau benar Anwar Ibrahim menyebabkan fitnah dan dakyah palsu pasal Altantuya dan komisyen pembelian peralatan pertahanan negara, Najib perlu mengambil tindakan mahkamah menyaman Anwar. Mana boleh Najib mendiamkan diri pasal hal ini; ini melibatkan nama baik beliau dan mana baik negara. Anwar sudah mendakwa Najib dan kini Najib kena membersihkan nama baiknya.

Politik tikam belakang dan politik adu domba masih lagi menjadi mainan atau strategi utama dalam UMNO sekarang. Cara politik kotor dan jijik ini ditambah pula dengan taktik rasuah atau dikenali dengan politik wang. Apakah hanya dengan cara ini orang Melayu mampu berpolitik?

Bangsa di dunia sudah bangkit dari tidur, lihat di Thailand, Myanmar, Vietnam, mereka sudah bangkit dari lena yang panjang. Singapura mahu menjadikan bangsa berilmu, sayang orang Melayu masih bertempur sesama sendiri kerana fahaman politik. Ada baiknya kedua-dua parti buka Al-Quran dan kaji hadith-hadith Rasulullah SAW, pemimpin yang macam mana Allah SWT mahukan di ketika era Khilafah yang menggantikan Presiden, Perdana Menteri, Raja dan Sultan.

Pelik, para pemimpin Melayu yang sanggup lakukan apa saja hanya semata-mata kerana mahu kekal berkuasa. Apakah mereka tidak tahu bahawa kuasa itu amanah dan hanya Allah yang Maha Kuasa dan boleh memberikan kuasa kepada siapa saja yang dia suka. Pelik, wang sudah menjadi santapan jiwa binatang politik, political animal, yang tamak, bakhil, menyamun, merompak harta rakyat yang di amanah kuasa kepada mereka. Usaha-usaha membangunkan agama, bangsa dan negara sudah tidak lagi penting. Yang penting mereka kekal berkuasa dan mampu membolot sebanyak mungkin kekayaan peribadi dan konco di keliling sebagai contoh tauke lembu, Sharizat, Ketua Wanita UMNO. Inilah yang melemahkan UMNO kerana yang tidak dapat marah-marah, di belakang menjadi gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut.

Gunting dalam lipatan 'kain batik' - Lu fikirlah bro
Pemimpin pelapis seolah-olah diajar supaya berfikir bahawa semangat perjuangan untuk membangunkan bangsa dan negara itu tidak penting. Yang mesti difikirkan adalah macam mana nak dapatkan kuasa, macam mana nak hidup macam anak Menteri dan kerabat diRaja; tidak payah kerja boleh hidup seperti ‘the rich and famous’.

Bila rosak pemuda dalam sesuatu negara itu, alamat negara itu sedang menuju kehancuran kerana pemuda itu adalah harapan bangsa. Pemuda adalah tulang belakang satu-satu bangsa. Satu analisa yang terperinci patut dilakukan untuk mengkaji mengenai merosotnya nilai dan etika pemuda terutama muda-mudi Melayu. Apakah perancangan masa depan pemuda yang perlu dikemukakan oleh Najib, bukan beri kepada Agung.

Mat Rempit tumpas di tangkap polis
Lihat saja apa sudah jadi dengan anak muda di negara kita terutama anak muda Melayu. Kalau baca akhbar, boleh dikatakan apa saja masalah sosial yang terjadi melibatkan anak muda Melayu. Gejala Mat Rempit, Bohsia, penagihan syabu, buang anak dan pengangguran, berhutang dan menghadapi bankrupsi. Semuanya banyak melibatkan anak muda Melayu; anak Melayu yang ‘champion’. Apa sudah jadi? Salah siapa perkara ini berlaku? UMNO sudah diberi 55 tahun untuk menjaga negara; 9 Raja dan 1 Agung, semuanya Melayu. Ketua Hakim, Polis, Tentera, Pegawai Daerah - semuanya bumiputera.

Apakah salah anak-anak muda itu sahaja? Benar, mereka harus disalahkan kerana memilih jalan yang salah dalam meneruskan hidup mereka tetapi apakah tidak kita bertanya kenapa dan mengapa mereka memilih jalan begitu? Apakah sebagai pemimpin kita hanya tahu menyalahkan anak muda bila mereka salah memilih jalan? Apa guna jadi pemimpin kalau hanya tahu menyalahkan orang lain sahaja. Kenapa tidak turun padang dan ambil tahu kenapa masalah ini terjadi?

Akibat terlalu mementingkan kuasa dan kekayaan pemimpin yang sedia ada dan pemimpin pelapis hanya memandang segala masalah sosial yang berlaku ini dengan sebelah mata sahaja akibat terlupa bahawa hidup di dunia ini sementara. Kita ada akhirat yang kekal, sebab itu mungkin tidak ada usaha bersungguh-sungguh untuk memastikan bahawa gejala sosial yang banyak melibatkan orang Melayu ini dapat dibendung atau dikurangkan dengan menggunakan isu kerohanian kerana manusia itu 3 dalam 1: akal, jasad dan roh. Yang penting bagi pemimpin politik hari ini bukan memberi keutamaan kepada ilmu hakikat, tarikat dan ma’rifat. Semua itu bermula dengan agama iaitu dengan ilmu tauhid, mengenal Allah. Akhirnya mereka tidak kenal diri mereka dan tidak kenal akan Tuhan yang di sembah, hanya kuasa dan segala macam projek untuk menambahkan kekayaan peribadi yang diutamakan.

Ketam jalan senget suruh anak jalan lurus boleh ke?
Baik pemimpin tertinggi atau pemimpin di peringkat cawangan, semuanya sama sahaja. Cakap saja pandai tapi habuk pun tarak. Kata-kata ‘memperjuangkan nasib bangsa Melayu’, ketuanan Melayu; padahal Melayu hendak dapat rumah P.P.R.T pun amat susah, perlu rasuah. Sampai bila ketuanan Melayu hanya menjadi slogan untuk berkempen dan meraih undi baik semasa pilihanraya atau semasa pemilihan kepimpinan parti. Hendak memimpin bagaimana dengan perangai macam ketam yang jalannya senget suruh anak jalan lurus. 

Akhlak dalam ajaran Islam adalah bersifat rabbani, iaitu bersumber daripada Allah serta meliputi semua akhlak dan sifat mulia yang diajar Al-Quran.

The Light of the Quran
Kemajuan dan pembanggunan manusia itu perlu mengambil kira persoalan akhlak, maksiat dan kemungkaran yang dilakukan manusia mampu merosak kemuliaan darjat insan selain ia turut merosakkan struktur masyarakat.

Masalah keruntuhan akhlak yang melanda umat Islam hari ini disebabkan kegagalan memanfaatkan akal yang diperlukan untuk memahami Al-Quran dan Sunnah dalam konteks memahami kebaikan yang disogokkan budaya dan pemikiran barat.

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.”
(Al-Ahzab:21)

“Sejahat-jahat makhluk ialah mereka yang gagal memanfaatkan akal (surah al-Anfal:22), dan di antara golongan ahli neraka adalah mereka yang tidak menggunakan akalnya.”
(Al-Mulk:10)

“Seorang Muslim itu sangat ketat menjaga akhlaknya dan sentiasa melakukan muhasabah diri. Ia menjaga akhlaknya lebih ketat daripada seorang saudagar menjaga harta dan perdagangannya”

Pemuda adalah penerus generasi tua yang akan mengucapkan selamat tinggal tidak lama lagi. Di masa mudalah tertumpu segala sesuatu keberhasilan. Di dalam kitab suci Al-Quran ada menyebut bahawa keberhasilan nabi-nabi sudah terlihat di masa mudanya lagi seperti Nabi Ibrahim AS sewaktu menghancurkan berhala-berhala. Pada waktu itu baginda masih muda. Nabi Yusuf AS tatkala terselamat dari rayuan wanita jelita juga masih dalam keadaan muda. Ashabul Kahfi yang lari pergi ke gua untuk menyelamatkan imannya adalah pemuda-pemuda belaka. Begitu juga para sahabat Nabi SAW seperti yang dikatakan oleh Nabi Muhammad SAW tatkala melihat kemenangan Imam Ali. Baginda bersabda:

“Tiada pemuda kecuali Ali dan tiada pedang kecuali Dzulfiqar.”

Jadi peranan pemuda sangat penting sekali untuk masa depan bangsa dan Negara. Sayangkan anak tangan-tangankan, sayang isteri jangan ditinggalkan. Hari ini tukang kebas isteri orang ramai, terutama badut-badut politik yang bukan saja mahu menambahkan segala macam permit tetapi surat nikah pun nak tambah sama.

Almarhum Presiden Sukarno
Amanat Almarhum Presiden pertama Indonesia Pak Sukarno, “Berikan aku seratus orang tua, aku cuma boleh mencabut rumput dari gunung, tetapi berikan aku 10 orang pemuda, aku bisa mengugatkan dunia.”

Apa akan jadi kepada orang Melayu sepuluh atau dua puluh tahun akan datang? Pertubuhan Hak Asasi Manusia war-warkan menurut hak asasi manusia. Bagaimana dengan kebebasan makan minum saya? Siapa mengirim beras, tepung, gula, ayam, ikan dan keperluan dapur? Bebaskah Melayu yang seperti itik yang mati kehausan di tepi sungai, seperti ayam mati kelaparan di tepi kepuk. Padahal para pemimpin hidup kaya raya.

Seperti dalam buku-buku politik saya sejak di zaman Tun Razak, Hussien Onn, Mahathir, Pak Lah hingga ke zaman Najib, saya sering berkata bahawa buku saya tidak penting, saya sendiri tidak penting. Tun Mahathir tidak penting, Pak Lah tidak penting, Najib tidak penting, Anwar tidak penting tapi yang penting adalah masa depan orang-orang Melayu. 55 tahun merdeka, ramai Melayu yang nasibnya masih macam ayam, kais pagi makan pagi.

Berapa ramai bila melihat kesilapan pemimpin mahu menerima bahawa “lautan mana yang tak bergelombang, bumi mana yang tak timap dek hujan”, gading mana yang tak retak?”

Pak Habib di halau dan di tahan polis di PWTC
Pelik kenapa bila penulis politik membuat silap, dia menjadi panas setahun hujan sehari. Ini yang mengecewakan penulis, penulis ingin mengingatkan tentang pemimpin UMNO di Perhimpunan Agung mereka menggunakan polis untuk menghalau dan mengugut serta memalukan penulis. Ini yang menyebabkan mula-mula penulis terpaksa membuat ramalan Anwar Ibrahim bakal Perdana Menteri.
Think, FIKIR, Tafakkur.

-dipetik dari buku Anwar Ibrahim Perdana Menteri Siapa Mati?

Dah baca ke belum? Kalau belum, tunggu apa lagi!

No comments:

Get your Tickets now!