Chat With Us LIVE!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, April 18, 2013

Kontroversi Buku Saya Ada Nilainya


Syed Hussien Al-Attas: Kontroversi Buku Saya Ada Nilainya
oleh Hasnifalina
dipetik dari majalah Hawa, Jun 1991

Saya sebenarnya datang dari kaki lima. Saya pernah jual ubat, segala jenis ubat! Kadang-kadang untung, kadang-kadang tidak. Saya juga pernah jadi tukang kebun kepada seorang Mat Salleh yang saban hari memanggil nama saya sekadar kebun sahaja.

Saya juga pernah mengambil upah kopek kelapa, jadi salesman, bomoh dan kebanyakan kerja yang orang lain tak pernah buat saya dah buat.

Jadi jangan hairan jika saya kembali semula ke kaki lima. Jatuh bangun saya seperti adanya sekarang semuanya di tangan Tuhan. Saya tidak rugi apa-apa. Lagipun kaki lima kan panjang dan sudah tentu ada ruang untuk saya.

Begituhlah kata penulis buku politik yang kontroversi, Syed Hussien Al-Attas ketika saya menemuinya di pejabat Al-Suhaimi, miliknya di Plaza Pekeliling.

“Keluarga saya sebenarnya adalah dari golongan berada. Saya boleh hidup senang jika saya mahu. Saya tidak perlu mengeluarkan setitik peluh untuk mencari kemewahan hidup.”

“Saya mahukan reality dalam hidup sebagai seorang lelaki dan hamba Tuhan. Keperitan hidup adalah satu cabaran buat saya. Tidak ada kejayaan tanpa kegagalan dan tidak ada kesenangan jika tiada kesengsaraan,” kata Syed Hussien tegas.

“Cabaranlah yang meletakkan saya seperti adanya sekarang. Kalau dulu saya sering dipanggil ‘Pak Nujum Moden’ tetapi sekarang ‘Pak Habib Penulis Kontroversi’. Dua gelaran itu memang sedap didengar. Ada class, ada glamour. Tetapi yang menanggungnya adalah saya sendiri!”

Mengapa saudara berkata begitu? Tanya saya. Syed Hussien mencapai sebuah buku sambil berkata: “Buku inilah yang menaikkan seseorang selaku orang penting dalam kerajaan dan menjatuhkan seseorang pula. Tetapi apa yang saya dapat?

Cuba anda jawab sayakah atau ada orang lain yang menjelaskan ganti rugi $100,000 semata-mata kerana buku itu? Tanyanya kepada saya.

“Kalau anda nak tahu, jawapannya ada dalam kandungan (content) buku terbaru saya Perang Parit Raja yang akan terbit hujung bulan ini,” jelas beliau yang tidak pernah menyesal akan apa yang telah berlaku.

“Saya adalah manusia yang tidak pernah menyesal. Itu mungkin sudah takdir,” katanya lagi.

bersama Ros Yatimah
Syed Hussien adalah penulis yang boleh dikatakan pro kepada kerajaan pemerintah. Ini dapat dibuktikan melalui beberapa bukunya, Pemuda Di Zaman Mahathir, Bahtera Lama Nakhoda Baru dan Teman Ku Pemimpin-Pemimpin.

Namun begitu, buku Syed Hussien berbentuk ramalan adalah yang paling popular dan sentiasa ditunggu-tunggu oleh ramai pembaca, khususnya mereka yang terlibat di dalam dunia politik Melayu.

Antaranya, Siapa Selepas Musa?, Perdana Menteri Kelima, Tuan Nasib Pemimpin Malaysia, Musa Derhaka?, Siapa Lawan Siapa dan beberapa buku lagi.
Bersama Ros Yatimah
Syed Hussien tidak lari dari menghasilkan buku-buku berbentuk sindiran sinis kepada tokoh-tokoh politik tertentu yang antaranya, Hantu Bukit Cina, Talqin Untuk UMNO, Revolusi Istana Dan Rakyat, Perang Di Kuala Linggi 1978, Sarawak Kepada Siapa Hendak Diserahkan dan lain-lain lagi.

Macam mana saudara menilai seseorang pemimpin politik dan kemudian menghasilkannya hingga menjadi sebuah buku yang sensasi? Tanya saya mencelah.



“Sebelum saya menilai seseorang pemimpin, saya perlu mengenalinya terlebih dahulu. Inilah yang dikenali sebagai firasat.”

“Saya tidak akan sentuh langsung jika saya tahu pemimpin itu macam Ikan Temakul yang hidup dalam dua dunia. Pemimpin seperti ini hanya akan merosakkan bangsa Melayu, kerajaan dan parti politik. Saya gelarkan mereka itu Politikus Ikan Temakul,” jelas Syed Hussien sambil ketawa kecil.

Biarpun dengan hanya sebatang pen berharga seringgit saya boleh menjatuhkan seorang pemimpin. Bukan saya sahaja, malah penulis-penulis buku politik lain berkemampuan berbuat demikian.

Saya telah buktikan dan saya tidak pernah melakukannya sesuka hati. Itu bukan kerja saya. Saya adalah penulis yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa.

Saya bukannya sasterawan negara yang mengambil masa agak panjang untuk menghasilkan sesuatu karya. Saya tidak boleh cari makan kerana periuk nasi saya bergantung kepada jualan buku-buku saya.

Jadi jangan hairan jika saya pernah menghasilkan empat buah buku politik dalam masa empat tahun berturut-turut. Masa dan peristiwa adalah penting buat saya.

Saya rasa saya adalah penulis paling cepat menghasilkan sesebuah buku. Buku Siapa Selepas Musa saya siapkan tidak sampai seminggu.

Kebiasaannya saya akan menulis sekiranya ada pertandingan tertentu seperti siapa yang bakal merebut jawatan tertinggi di dalam UMNO atau dalam sebarang pilihanraya.

Saya selalunya sudah dapat meramalkan siapa yang menang dan siapa kecundang. Anda boleh merujuk kepada buku Challenger dalam pemilihan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO 1987.”

Syed Hussien juga adalah penulis buku politik yang pertama di Malaysia. Kemudian disusuli pula oleh Subky Latiff dan penulis-penulis lain selepas itu.

Mungkin agaknya banyak pengalaman pahit manis yang pernah saudara tempuh apabila mula-mula menceburkan diri dalam penulisan buku politik, tanya saya.

“Saya bukannya orang baru ketika mula-mula menulis. Saya pernah menjadi penulis tamu untuk Majalah hiburan dan majalah Berita Filem ketika di Singapura. Jadi bab menulis itu tidaklah kekok.

Ketika saya berhijrah ke Kuala Lumpur dan suasana di Chow Kit (yang dianggap sebagai Universiti) sudah tidak hangat lagi, saya terbang ke Sabah dengan penampilan sebagai seorang penulis buku sepenuh masa,” cerita Syed Hussien.

Di sana saya telah berjaya menghasilkan buku politik yang pertama iaitu Teman Ku Pemimpin Sabah 1972. Kemudian ke Sarawak pula kerana suasana politik di situ menarik hati saya.

Dalam suasana politik yang agak panas, saya telah menghasilkan buku kedua iaitu Kenapa Rosli Dhobi dan 3 Hero Sarawak Dihukum Bunuh?

Malangnya buku kedua itu tidak berapa baik. Bukan buku yang tak baik tapi nasib saya yang tak baik. Saya diarahkan mengemaskan barang-barang saya dan meninggalkan Sarawak dengan segera.

“Nasib saya tak baik lagi buat kali kedua. Macam nasib buku kedua saya. Kali ini saya ditahan di dalam lokap kerana buku saya Pada Siapa Sarawak Nak Diserahkan. Ketika itu Rahman Yakob menjadi Ketua Menteri,” katanya.

Sehingga sekarang menurut Syed Hussien, beliau sama sekali tidak dibenarkan memasuki Sarawak. Beliaupun tidak tahu sebab musababnya. “Satu hari nanti kalau saya berkesempatan menemui Taib Mahmud di Kuala Lumpur, saya nak tanya dia kenapa.”



Bagaimanapun Syed Hussien merakamkan penghargaannya kepada kesemua kakitangan polis di Limbang kerana selama merengkok di dalam lokap, beliau menerima layanan yang amat memuaskan.

Dilahirkan di Johor Bahru, Syed Hussien tidak lulus tingkatan tiga (school drop-out). Kerana itulah beliau tidak pernah hidup dengan bekerja makan gaji.

“Saya terpaksa berkerja sendiri. Siapa hendak beri kerja yang baik-baik? Berniaga pun saya tidak pernah pinjam bank. Bank pun takut nak beri pinjaman. Jadi nak tak nak, saya kenalah berusaha,” ujar beliau ketawa.

Sememangnya Tuhan telah menguirniakan Syed Hussien ilmu yang jarang dimiliki oleh manusia lain. Ilmu firasat atau ilmu yang meramalkan masa hadapan orang lain.

Bersama Sarimah
Beliau mula dikenali sebagai ahli firasat sekitar tahun 1960 ketika berada di Singapura. Ilmu firasat adalah ilmu yang membaca perwatakan seseorang melalui wajah ataupun membaca urat tapak tangan. Astrology dan numology.

“Saya bukannya tukang telek. Itu sudah syirik namanya. Saya mula mempelajari ilmu tersebut setelah melihat orang Melayu diperbodohkan oleh seekor burung yang bertindak menjadi tukang telek.

“Setiap kali orang nak tengok nasib, burung itulah yang mencabut kad. Apa yang tertulis di dalamnya itulah nasib orang itu. Ada ke nasib manusia ditentukan oleh seekor burung sarkis yang telah diajar oleh tuannya?” tanya beliau.

“Kita manusia yang telah dikurniakan akal dan fikiran oleh Allah SWT. Jadi mengapa sanggup diperbodoh-bodohkan? Oleh itu saya merasakan tidak salah jika kembangkan pengetahuan ilmu firasat sebagai khidmat kepada orang lain. Lagipun itu adalah pemberian Tuhan kepada saya.

“Tidak keterlaluan jika saya katakana saya adalah anak Melayu yang professional dalam bidang itu dan para pelanggan saya pula terdiri daripada anak-anak raja, raja dan pembesar negara,” ujarnya terus terang.

Mungkin kerana nama saya tersebar luas, penerbit majalah Berita Filem menjemput saya sebagai penulis tamu dan menramalkan nasib bintang-bintang filem Melayu ketika itu, di Studio Jalan Ampas.

Sesiapa pun tidak mengetahui filem Box-Office Nujum Pak Belalang arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee adalah idea daripada pekerjaan Syed Hussien.

“Saya selalu berada di lokasi penggambaran bersama teman-teman sendir seperti Aimi Jarr, Rahim, Raja Redzuan, Hamid Jins Melaka dan Salim Kassin.

“Ketika itu saya juga dianggap sebagai penulis hiburan dan pergaulan saya juga meluas di kalangan bintang-bintang filem. Saya ada juga tumpang sekaki membawa watak tambahan, secara tak langsung saya turut berkongsi popularity dengan mereka. Tetapi saya tak berani hendak berlakon secara serius,” cerita Syed Hussien lagi.

Sewaktu penggambaran filem Penagih dadah tajaan kerajaan negeri Johor, pengarah Mat Sentul dan timbalan pengarah Yasin Saleh tahun 1978
Bagaimanapun bidang tersebut tetap diteruskan sekiranya beliau ada masa lapang.


“Sekarang ni pun saya baru selesai shooting drama swasta 6 episod bertajuk Amir Haidar yang mengisahkan tentang diri saya sendiri. Penerbit dan penulis skripnya adalah wartawan. Tetapi jangan marah, saya jadi hero,” katanya tertawa.

Syed Hussien telah berjaya menghasilkan tiga buah buku firasat sekitar tahun 1969 terdiri daripada Firasat (Rahsia Mengenal Diri), Melangkah Dan Berjaya dan Rahsia Mimpi Anda. Ketiga-tiga buku tersebut dihasilkan dalam masa setahun.

Tidaklah saudara takut atau bimbang menjadi seorang penulis buku yang kontroversi, tanya saya lagi.

"Jika Takut Dilambong Ombak, Jangan Berumah Di Tepi Pantai"
Syed Hussien menuding jarinya kea rah sebuah poster yang tertera tulisan ‘Kalau Takut Dilambong Ombak, Jangan Berumah Di Tepi Pantai’.

“Seorang penulis mesti sanggup menanggung risiko dan bertanggung jawab ke atas setiap bahan yang ditulis. Apa yang saya lakukan adalah kerana Allah. Jika saya tersilap, mungkin kerana mengikut gerak hati, saya akan segera merujuk kepada Al-Quran. Saya tidak akan merasa takut sekiranya apa yang saya lakukan tidak bertentangan dengannya,” kata beliau tegas.
Begitu juga dengan wartawan masa kini. Wartawan wajar berpegang kepada etika kewartawanan itu sendiri. Wartawan juga perlu jujur dan boleh menyimpan rahsia.

Jika berita yang diperolehi disarankan supaya ‘off record’ janganlah ‘on record’ pula.

Seperti saya, mengapa saya mempunyai ramai rakan di kalangan pak menteri, timbalan dan wakil-wakil rakyat. Tidak lain, saya adalah seorang yang teguh kepada janji dan amanah untuk tidak membocorkan sebarang rahsia.

Sebahagian besar daripada pak menteri mahu dirinya dihormati ketika berada di hadapan public. Mereka sebenarnya cuma mahu menjaga title sahaja.

Tetapi jika bertemu di luar pejabat, pak-pak menteri ini adalah mereka yang boleh diajak bergurau. Sebagai contoh, Datuk Mohamad Rahmat saya panggil Mat Bulat sahaja dan sebaliknya dia memanggil saya Arab.”

Syed Hussien berkata beliau  tidak mengaggap pak menteri itu sebagai terlalu besar sehingga takut untuk ditemui. “Sebenarnya merekapun bergantung kepada nasib semata-mata.”

Ini katanya berlaku kepada bekas Menteri Kebajikan Masyarakat, Datuk Mustaffa Mohamad. Kalau dulu dia seorang menteri, kini tidak seorang wartawan pun yang mahu menulis mengenai dirinya.
“Sikap wartawan seumpama itu kalau ada perlulah dielakkan. Jangan masa menteri itu naik sahaja setiap patah perkataan boleh dijadikan bahan berita.

“Tetapi kadang-kadang kata wartawan ada betul juga. Ketika menteri itu naik, dia lupa wartawan yang menaikkannya. Jadi tidak hairan bila menteri itu jatuh, wartawan pun buat tak tahu. Jadi saya anggap, kedua-duanya sama tak betul,” tegas beliau.

Saya ajukan semula soalan saya tadi mengenai risiko menjadi penulis kontroversi serta mungkin ancaman yang diterima sama ada dirinya mahupun keluarga.

Syed Hussien mengakui beliau dan keluarga pernah diugut sama ada melalui jampi bomoh Siam, surat layang, telefon dan bermacam lagi.
S.H Al-Attas bersama M. Amin, pengarah dan pelakon filem, pada tahun 1960 di studio Cathay Keris Singapore

“Saya tidak takut kena ugut. Hidup dan mati saya adalah di tangan Tuhan. Kalau nak mati, tahun 1941 dulu saya dah mati. Masa itu perang Jepun.

“Emak saya kata saya boleh tersenyum apabila sebutir bom meletup kira-kira tiga ela daripada tempat persembunyian kami.

Saya tetap akan mati juga kalau tidak mati dibunuh. Tapi daripada seribu tahun hidup seperti kambing, adalah lebih baik mati seperti harimau ditembak. Esok sudah tentu jadi headline akhbar,” kata Syed Hussien sambil ketawa dengan nada agak besar.

Syed Hussien juga memberitahu, ketika Perang Telik belum meletus, selang dua hari beliau masih berada di sana kerana ingin menemui Presiden Saddam Hussien.

Menjawab soalan mengenai sejauh mana ujudnya penulis-penulis upahan, Syed Hussien berkata jika tidak ada pemimpin yang mengarut, maka tidak aka nada penulis-penulis upahan.

“Bagi saya yang membezakan seseorang manusia adalah harga diri. Jika seorang pemimpin buat kerja yang tidak elok, di mana harga dirinya?

Sebab itu saya tidak memandang rendah kepada pelacur kerana mungkin ada sebab dia jadi begitu. Orang yang saban hari duduk di masjid pun belum tentu akan ke syurga.

Walaupun memiliki nama yang gah di arena penulisan, namun tidak seorang pun daripada 8 orang anak-anaknya mengikut jejak sebagai penulis lagi. “Saya hanya mendidik. Masa depan mereka biarlah Allah yang menentukan.” Syed Hussien berkata dia tidak akan berhenti menulis. “Mana ada penulis yang mahu berhenti menulis?

“Mungking saya akan berhenti menulis buku politik. Saya berharap satu masa yang sesuai nanti saya akan meriwayatkan kisah hidup saya. Saya juga nak selitkan kisah cinta saya. Penulis pun berjiwa sentimental juga kan,” kata Syed Hussien tersenyum.





1 comment:

amrayy lensa said...

Terbaik lah abah..!!!!

Get your Tickets now!