Tidak pernah saya merasa begini berat hati hendak menulis
sebuah rencana untuk Mingguan Kota, sebabnya kerana saya terfikir bagaimana
orang yang waras akal dan rasional pemikirannya tidak dapat hendak membayangkan
bagaimanakah sebuah negara di dunia moden hari ini boleh diperintahkan dan
ditadbirkan dengan hanya menggunakan satu slogan iaitu semangat yang kosong,
tak tahulah saya melainkan dengan pemerintahan diktator?
Datuk Harun mewakili kumpulan Serpihan, yang kita tak tahu
hujung pangkal perjuangan pertubuhannya yang belum berdaftar tiba-tiba mahu
ambil alih pemerintah negara. Macam orang belum bernikah tiba-tiba saja mahu
melahirkan anak.
Rakyat mesti tahu amalan hidup pemimpin sentiasa berkait
rapat dengan corak pemerintahan. Bila kita hubungkaitkan semua faktor-faktor
ini, maka kita akan dapati bahawa ideology adalah satu persoalan yang penting.
Mereka yang mahu memerintah wajib memberitahu kepada rakyat yang akan
memberikan kuasa kepada mereka, ideology apakah yang akan dibawa dan
diperkembangkan sekiranya golongan Tunku dan kumpulan serpihannya mahu
menghidupkan UMNO lama itu memerintah negeri ini nanti atau salah seorang dari
mereka dijadikan Perdana Menteri.
Kerja rebut-rebut kerusi macam bidan terjun ini bukan kerja
orang politik yang berpandangan jauh, bukan kerja seorang nasionalis.
Banyak persoalan yang dapat dikemukakan dan kalau kita rajin
bertanya maka kita tanyakanlah. Apabila kita tanyakan dengan secara
sungguh-sungguh maka akhirnya ada di antara mereka yang akan bertanya seperti
sebuah cerita yang telah diceritakan oleh seorang kawan saya kepada saya. Ada
pun ceritanya adalah seperti berikut;
Pada suatu masa dulu ada dua orang pemuda tinggal di dalam
suatu kampung. Ada pun kampung itu letaknya di Jajahan Gasang dalam sebuah
negeri bernama Kilatan. Yang tua bernama Ibrahim, timang-timangannya Brehim.
Yang muda bernama Abdul Rahman, timang-timangannya Deraman.
Pada suatu hari berlakulah satu perselisihan pendapat. Brehim
memberitahu Deraman ada seekor burung sedang hinggap di atas belakang seekor
lembu. Burung itu sangat besar dengan sayapnya yang berkilau-kilau. Apabila
Brehim memberitahu kepada Deraman, maka Deraman pun keluarlah untuk melihatnya.
Apabila Deraman melihatnya maka berkatalah Deraman;
“Bukan burung Brehim!” kata Deraman.
“Kalau bukan burung, binatang apa?” Tanya Brehim.
“Kambing Deraman!”
“Burung! Tengok kaki dia tu dua. Burung! Berahim”
“Kaki dua pun dah kambing, kambinglah!”
Tiba-tiba burung itu pun terbanglah ke angkasa. Maka berkata
Deraman.
“Tengok, dia terbang. Burung Berahim.” Deraman tetap berdegil
biarpun yang dilihatnya terbang itu burung, dia tetap berkata, “Terbang pun dah
kambing, kambinglah!”
Saya tahu Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua Semangat 46 tidak
akan senang bila ditanyakan sesuatu mengenai ideologinya. Apakah Tunku, Hussein
Onn, Ku Li dari golongan kapitalis atau pun feudal? Bagaimana pula dengan Harun
dan Rais Yatim? Apakah mereka ini sosialis macam Shahrir dan Musa atau
kapitalis macam Tunku dan Ku Li?
Sistem pragmatis yang menjadi amalan demokrasi kita boleh
berubah ikut mana ‘iman’ di depan
kita. Kalau imam di depan kita itu,
kita tak tahu sama ada dianya Islam, Qadiani, atau Bahai, kita main masuk dalam
saf di belakangnya, maka rosaklah sembahyang kita. Kalau dia Islam boleh juga
kita faraqahkan.
Mengikut Allahyarham Tun Razak, UMNO yang dipimpinnya adalah
sebuah pertubuhan politik yang pragmatis.
Jadi jelaslah di sini bahawa di antara sebab-sebab utama mengapa
Dr.Mahathir ditentang oleh golongan serpihan, terutama Tunku dan Ku Li kerana
mereka tidak setuju dengan ideology yang dibawa oleh Perdana Menteri kini.
Mahathir yang telah melahirkan buku ‘Dilema Melayu’ cuba membawa perubahan ideology mengikut cara dan gaya hidup dan
visinya yang tidak disenangi oleh golongan istana.
British dan barat merasakan kiranya Mahathir berjaya
menewaskan rancangan global barat terhadap bekas tanah jajahannya, ia akan
mendatangkan kesan yang buruk pada kuasa-kuasa besar. Kemerdekaan yang dibawa
oleh Mahathir tanpa pekikan merdeka adalah satu-satunya hakikat yang amat
digeruni oleh bekas penjajah kerana ia benar-benar akan menjadikan negara ini
Negara yang merdeka berlainan dari cara Merdeka Tunku.
Apakah orang Melayu sedar bahawa Barat sedang memerhati dan
merenung dengan mata tajam akan visi Mahathir terhadap negaranya. Kepercayaan
yang menjadi amalan Dr.Mahathir sudah mula secara perlahan-lahan difahami oleh
rakyat. Dalam masa yang sedikit lagi tidak mustahil akan menjadi ikutan. Dan
setengah-setengah pihak sudah nampak peluang yang Mahathir berikan pada para pelapis
yang tahu apa erti kemerdekaan yang sebenarnya. Visi Mahathir sudah mula tampak
jelas oleh rakyat yang berjiwa nasionalis melainkan mereka yang pura-pura
mengaku diri nasionalis tapi terus menjadi ejen-ejen pemikiran imperialis
barat. Ini semua amat ditakuti oleh Barat. Sebab bagi Barat, Malaysia adalah
sumber bahannya yang utama.
Dari itu mereka akan gunakan anak negeri yang sanggup
bersubahat dengan mereka untuk tentang Mahathir mati-matian.
Ejen-ejen imperialis barat mahukan setiap penganutnya mesti
terdiri dari mereka yang tidak ada asas agama, tidak taat pada Tuhan, tidak
taat pada rasul, tidak taat pada pemerintah di Negara di atas bumi yang mereka
pijak. Penjajah mahukan ejen-ejen mereka dari kalangan orang-orang yang tidak
berdisiplin dan tidak bermoral supaya bila mereka ini dijadikan pemimpin kelak,
mudahlah mereka akan jadi boneka.
Kuasa-kuasa luar, mahu kita semua terus hidup terjajah. Jiwa
raga dan agama kita juga mereka mahu jajah dan siapa lagi kalau bukan
boneka-boneka suruhan mereka yang dapat lakukan ini semua.
Maka sebab itu untuk mengetahui semua ini kita patut
mengetahui politik pertama yang bermula sebelum datuk kita Adam, diturunkan di
dunia. Dari itu, ikutilah cerita kejadian Adam dan bermulanya politik di dunia.
Nabi Adam a.s adalah manusia pertama yang dijadikan oleh
Allah s.w.t. Dia menjadi Nabi dan Rasul. Adam juga adalah manusia pertama di
muka bumi ini. Begitulah yang diajarkan oleh al-Quran.
Walaupun demikian yang diajarkan oleh al-Quran tetapi bukan
tidak ada pula orang yang percaya kepada teori Charles Darwin yang mengatakan
manusia ini berasal daripada sepsis beruk yang telah mengalami evolusi.
Al-Quran membawa berita benar bahawa tatkala Allah s.w.t
hendak menjadikan Adam a.s, Allah telah berfirman kepada para malaikat:
“Sesungguhnya Aku
hendak jadikan seorang khalifah di muka bumi ini.
(Al-Baqarah: ayat 30)
Maka berkatalah para malaikat sekalian:
“Mengapa Engkau hendak
jadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan kepadanya dan
menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan
mensucikan Engkau.”
(Al-Baqarah: ayat 30)
Allah s.w.t menjawab dengan berfirman:
“Sesungguhnya Aku
mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”
(Al-Baqarah: ayat 30)
Allah s.w.t menciptakan Adam a.s itu dari segumpal tanah.
Allah s.w.t kemudiannya telah meniupkan roh ke dalam Adam dan lalu
memerintahkan kepada iblis supaya sujud kepada Adam a.s.
“Sujudlah kamu kepada
Adam”
(Al-Baqarah: ayat 34)
Maka sujudlah sekalian malaikat, tidak ada satu pun yang
tertinggal dan ingkar kecuali Iblis. Iblis telah ingkar kepada perintah Tuhan
itu keran berasakan dirinya yang lebih mulia daripada Adam a.s
Demikianlah berita yang dibawakan oleh al-Quran tentang
makhluk Tuhan yang ingkar kepadaNya. Dengan terjadinya peristiwa itu, maka
bermulalah catatan dan sejarah keingkaran yang disebabkan oleh ego kerana
kejadiannya daripada api.
Iblis berasa dialah yang lebih mulia kerana asal kejadiannya
dari cahaya. Itulah egonya. Itulah iblis yang sangat angkuh, sombong, dan
bongkak adalah perbuatan yang tidak disukai oleh Tuhan.
Dengan keingkaran Iblis terhadap Tuhan itu maka bermulalah
sejarah penderhakaan dalam dunia Tuhan ini. Maka Iblis pun jadi makhluk yang
bebas, bebas menentang Tuhan yang menciptakannya, bebas membuat kemungkaran dan
segala kejahatan yang Iblis suka. Iblis telah membebaskan diri dari Allah.
Umat Islam yang berpegang kepada al-Quran dan al-Hadis
menerima perintah agar taat kepada Allah dan taat pada Rasulnya. Adapun Rasul
itu adalah pemimpin ummah pada zaman-zamannya yang tertentu. Adapun Nabi
Muhammad s.a.w itu adalah nabi akhir zaman. Beliau adalah pemimpin ummah. Dan
taat kepada pemimpin adalah ajaran yang dibawa oleh al-Quran.
Namun demikian bukanlah tidak ada orang yang mengikut contoh
dan sunnah Allah tetapi dalam waktu yang sama menurut juga contoh dan teladan
iblis kerana mereka ini berasa dialah yang pandai, dialah yang pintar, dialah
yang hebat, dialah yang bijak, dialah yang cerdik, dialah yang segala-galanya.
Mereka ini sedang menunggu masa kehancurannya. Akan tiba waktunya, cepat atau
lambat. Apabila tiba waktu itu maka mereka itu akan terhumban ke lembah
kehinaan serta kedurjanaan.
Begitulah pengajaran dan contoh teladan yang dapat diambil
daripada berita benar yang dibawa oleh al-Quran. Akibat dari perbuatan
ingkarnya itu maka terkeluarlah iblis dari syurga. Maka bebaslah iblis yang
lebih senang jadi bebas dari tunduk kepada khalifah pilihan Allah.
Sebelum ia dihantar keluar dari syurga, iblis telah meminta
kepada Tuhan agar memperkenankan permintaannya untuk membujuk dan membawa
sebanyak mungkin anak cucu Adam bersama-samanya. Allah telah perkenankan
permintaan tersebut.
Di sinilah bermulanya sejarah demokrasi ciptaan Tuhan. Allah
berikan iblis memancing undi membuat propaganda untuk menarik Adam hidup bebas
sepertinya.
Maka mereka yang tidak beriman dan tidak taat pada perintah
Allah dan Rasulnya akan terbujuk, terpengaruh, tertipu melaksanakan
kehendak-kehendak iblis di dunia. Di dunia dia bebas membuat apa yang disukai
oleh iblis dan di akhirat nanti tidak ada lainlah temannya kecuali iblis dan
syaitan. Dan neraka jahanamlah tempat tinggalnya manusia yang ego dan tidak
taat pada perintah Allah yang telah ditetapkan di dalam al-Quran.
Sesungguhnya banyak pengajaran dan pelajaran daripada
al-Quran yang boleh diambil oleh orang-orang yang tidak angkuh dan tidak
sombong. Orang yang sanggup mengalah, kalau dia dah kata kambing tapi yang
dilihatnya itu burung yang mempunyai dua kaki, dia tak akan kata terbang pun,
kambing juga.
Dengan Nama
Allah Yang Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta
alam. Selawat serta salam ke atas junjungan Penghulu Para Nabi, Muhammad SAW
serta kaum keluarga dan sahabat-sahabatnya.
Saudara-Saudara yang saya
kasihi,
Surat yang
sedang saudara-saudara baca ini bukanlah surat pertama saya kepada seorang
raja. Enam tahun yang silam dalam ‘CHALLENGER
– SIAPA LAWAN SIAPA’ saya telah menulis kepada saudara kita Sultan Mahmud
Iskandar, mengingatkan kekanda kita tentang perlawanan
yang boleh merugikan bangsa dan negara kita. Warkah saya telah menjadi sejarah.
Kini sekali lagi datang satu perlawanan, antara Mahathir
dan Mahmud, satu Perdana Menteri, yang lagi satu Sultan. Dulu yang memulakan perang hingga mengakibatkan matinya
UMNO pun orang Johor juga, dua M pecah menjadi musuh. Politik!... biasalah.
Terlebih dahulu izinkan saya perkenalkan diri kepada saudara-saudara
sekalian. Nama saya Hussein Bin Alwee Alattas, berumur 52 tahun, sudah menulis
25 buah buku. Saya telah menjelajahi hampir seluruh dunia. Saya dikenali dengan
panggilan Pak Habib ahli firasat,
pemikir, penganalisa dan peramal politik. Itu sajalah kerja Pak Habib pun.
Nampaknya saya selalu tersepit bila ada pergaduhan antara
orang Johor dan orang Kedah. Nasib baiklah Pak Habib tak ‘asobiah’ dari segi
puak dan semangat kenegerian. Dan beruntunglah kerana tak kesah sangat dengan
peri bahasa ditelan mati emak diluah
mati bapak.
Apakah yang hendak dihairankan sangat, telan atau luah, kematian, adalah benda yang paling dekat dengan kita,
bertawakal sajalah berpantang ajal
sebelum maut. Tapi kalau sudah sampai masa nak mati apa salahnya, mati
sajalah.
Sebenarnya pergaduhan ini bukannya satu perkara yang personal. Dan bukan besar macam mana
sangat pun, lebih kurang macam kes suami isteri aje. Dulu antara Musa dan
Mahathir. Mereka kawan baik, tapi masing-masing mempunyai cara sendiri.
Politik…
Mengikut Dr. Mahathir pindaan perlembagaan sudah selesai. Beliau sudah Berjaya,
sekurang-kurangnya raja-raja tak berani meminta itu dan ini lagi. Bagi saya krisis pemikiran ini akan berlarutan
buat satu ketika.
Saudara-saudara yang
duduk di Istana,
Sebenarnya antara pemimpin politik yang bernama Menteri atau Sultan yang menjadi simbol,
dari segi melakukan kesalahan, mereka lebih kurang sama aje, ‘manusia biasa’. Disebabkan rakyat yang
tidak berdosa, terutama orang Melayu di kampung-kampung, mahu tak mahu, kita
tak ada pilihan melainkan meleraikan dulu kemudian kita cuba baikkan mereka
semula, kita tak mahu bergelar pengecut, bacul dan dayus.
Kita terpaksa berbuat sesuatu untuk menyelamatkan satu
rumah tangga yang hampir nak roboh ini terutama orang Melayu yang telah melihat
kejayaan dan kegemilangan di bawah pentadbiran Dr. Mahathir, mesti memihak
kepada pemimpin yang mahukan kemajuan, kiranya kita mahu dunia member kredit kepada bangsa dan negara kita.
Kita bukan menyebelahi Che Det anak Master Mohamad yang dulu dianggap Big
Brother oleh Al-Mutawakil.
Kita sudah 35 tahun merdeka, apalah erti kemerdekaan kalau masih hidup seperti ‘paria’ di dalam sebuah negara di mana
agama rasminya Islam.
Kerana kita mahu memulihkan semula maruah Bangsa Melayu, kerana kita mahu pencapaian orang Melayu
dibidang ilmu, perniagaan, perusahaan, teknologi moden dan lain-lain yang
sedang diusahakan oleh kerajaan masih diperingkat rendah menjadi satu
kenyataan. Kita terpaksa melibatkan diri kita. Ini bukan masanya kita menangguk di air yang keruh. Bukan
waktu dan ketika hendak memulang paku
buah keras. Walaupun kita tahu kedua-duanya, UMNO dan istana sama-sama
telah lama buat silap.
Hari ini hampir semua
bangsa di dunia sudah bebas daripada penjajahan secara fizikal. Namun masih ada
yang terhina pada pandangan umum. Sebabnya ialah bangsa-bangsa ini gagal memaju
dan menjayakan bangsa dan negara mereka setelah merdeka.
Sebaliknya ada yang
menjadi lebih mundur dari semasa mereka dijajah. Kegagalan bangsa-bangsa yang
sudah merdeka untuk mencapai kemajuan tidak dapat tidak membawa kehinaan kepada
mereka.
Mereka ini mungkin marah
dan mengungkit bahawa kita semua adalah sama dan harus dihormati sebagai
manusia.
Tetapi hakikatnya ialah
kelemahan atau kegagalan sesuatu bangsa tetap menyebabkan dunia umumnya dan
bangsa-bangsa yang maju khasnya memandang rendah kepada mereka.
Sebenarnya kemerdekaan negara sahaja kadangkala tidak mencukupi untuk menentukan kejayaan sesuatu
bangsa itu. Demikianlah dengan orang Yahudi yang menumpang di negara-negara
Eropah. Mereka lebih berpengaruh dan berkuasa di negara mereka bermastautin dan
secara kolektif di dunia semata-mata kerana mereka cekap dalam berbagai-bagai
bidang.
Dr. Mahathir Mohammad
Perhimpunan Agung UMNO 1992
Kita kini berada dalam satu zaman dimana kedudukan raja
dan para sultan sebagai satu lambing, bukan saja sudah dipersoalkan tetapi
keadaannya sudah seperti telur dihujung tanduk. Kita tidak mahu ianya tidak
dapat dikawal seperti apa yang berlaku di Sumatra pada 3hb. Mac 1946
“Jatuhkan raja!... Rakyat
yang berkuasa…” Beramai-ramai mereka menyanyikan lagu yang membakat semangat
rakyat.
“Darah rakyat masih
berjalan,
Menderita sakit dan
miskin,
Padanya datang
pembalasan,
Rakyat yang menjadi
hakim.”
Lagu komunis ini telah diharamkan oleh kerajaan
Indonesia. Tetapi apabila berlaku satu pengkhianatan oleh pihak Parti komunis Indonesia, lagu yang sama
dinyanyikan oleh orang-orang komunis. Contohnya semasa pembunuhan
Jenderal-Jenderal di Lubang Buaya
pada 30 haribulan September 1965 di Jakarta. Beramai-ramai mereka nyanyikan
lagu ini dengan penuh semangat.
Revolusi Istana Dan Rakyat
Kerana pergaduhan ini akan merugikan istana, terutama
anak cucu cicit raja-raja yang tak berdosa, yang mungkin akan menjadi mangsa
dendam kesumat mereka yang pernah menjadi mangsa kekejaman raja dan kerabat.
Saya bimbang tak dapat tanduk telinga
nanti dipulas. Apakah tidak mungkin komunis mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh? Amerika
memang tunggu peluang untuk tumpang sekaki.
Pak Habib adalah satu-satunya penulis yang telah
membukukan peristiwa yang berlaku di Sumatra dalam tajuk Semangat 46 kerana Pak Habib bimbang nasib malang 46 akan
menjangkiti ke istana.
Hampir diseluruh pelusuk dunia, manusia tidak lagi mahu mendewa-dewakan manusia, kerana mereka telah sedar bahawa kerja macam itu, adalah kerja sia-sia, apa lagi sesudah kita
ketahui asal usul mereka yang didewakan itu sebahagiannya adalah
manusia-manusia durjana, penyamun, kaki tangan penjajah yang telah
membelakangkan bangsa dan negara semata-mata untuk wanita, takhta dan kuasa.
Untuk mendapat dan mengekalkan kuasa, saudara mara tolak tepi.
Tidak ada lagi manusia-manusia agung, yang bersifat
kudus, melainkan Allah, pencipta sekelian alam, ramai Yang berhormat
Menteri-Menteri pun lebih kurang sama, tidak lagi dihormati seperti
sepatutnya akibat salah sendiri, terikut-ikut dengan budaya feudal. Ada
yang lebih penyangak dari penyamun.
Mengikut istilah Zahrin Mohd Yasin mereka ini lebih
kurang macam tu aje. Pergi cari makan sama-sama, hasil yang dapat, tak bagi
rata, itulah yang jadi kecoh. Kalau ulur dan gugur semua o.k.
Sebenarnya rakyat bukan yakin sangat dengan pemimpin 46.
Biar pun ada dua tiga yang bekas pemimpin ada ‘Lord Presiden’ yang sudah jadi botol-botol
kosong buat bising, orang tahu dulu masa duduk dalam kerajaan senyap. Bila
datang musim gugur dan hulur barulah nak buat sibuk. Politik…
Cahaya kebangkitan Islam sudah bersinar di mana-mana.
Umat Muhammad di mana-mana tidak lagi mahu mengikut guru-guru ketua agama
mereka. Mereka mahu mengikut perjalanan Rasulullah yang sebenarnye. Ketua-ketua
yang cakapnya tak serupa bikin telah menyesatkan umat Islam di seluruh
dunia. Dalam Islam tak ada amalan “Do
what I told you to do but don’t do what I do”. Itu amalan orang-orang murtad.
Setelah kewafatan Rasulullah ramai penduduk Arab murtad, kerana Islam masih belum
meresapi sanubari mereka. Diantara mereka ada yang mengaku masuk Islam, tetapi tidak mempelajari dan memahami Islam. Mereka
cuma menyatakan keislaman tanpa keimanan. ‘Islamnya’ adalah semata-mata untuk menyelamatkan diri, mendapat nama, membolot kebendaan dan
kuasa.
Mereka yang ketandusan iman seperti ini apabila dapat
peluang seperti yang dilakukan oleh orang-orang munafik dalam Perang Tabuk,
akibat menderhaka, berani mendabik dada sambil menyatakan “kami sudah beriman”.
Tetapi Allah meminta Rasulullah SAW menyatakan kepada
mereka: “ Kamu belum beriman, tetapi
kamu hanya boleh mengatakan kami menyerah diri (patuh tunduk) kerana keimanan
itu belum lagi meresap masuk ke dalam lubuk hati kamu”.
Akibat kegagalan
saudara-saudara menjalankan amanah Allah, akibat terlalu mementingkan diri dan
keluarga serta puak-puak sendiri, akibat
cinta dunia dan takut mati telah member gambaran kepada umat Islam, bahawa raja-raja yang berketurunan Islam di
seluruh dunia Cuma boleh bermegah-megah, disebabkan mereka terkenal sebagai
orang-orang yang terkaya di dunia sedangkan jutaan muslimin dan muslimat
diseluruh pelusuk dunia hidup dalam keadaan sengsara. Kemiskinan dan kebuluran
telah meragut nyawa dan iman mereka. Inilah kesinambungan Muawiyahisme yang bermula dari Firaunisme.
Fikirkan bezanya keadaan hari ini dengan zaman Muawiyah menjadi raja dahulu? Dan Abu
Hurairah menjadi ‘ulamanya’.
Alhamdulillah umat Islam sudah bangkit dari tidur yang lebih lama dari
peristiwa pemuda yang tidur di gua Al-Kaffe.
Pembunuhan beramai-ramai dilakukan oleh raja Arab Saudi
dan Kuwait sambil bersekongkol dengan Amerika, akibat kekebalan yang ada pada mereka, Tuanku-Tuanku patut nasihat dan
suruh mereka buang kekebalan itu
sama.
Semoga peristiwa berdarah
di Memali yang telah berlaku semasa Datuk Musa jadi pemimpin negara dulu
tidak berulang lagi, nasib baik ketika itu ada kertas putih yang telah memberikan Musa kekebalan seperti yang ada pada Al-Mutawakil dalam masalah menzalimi
manusia. Semoga ianya menjadi peringatan dan pengajaran kepada mereka yang ada
kuasa kerana pembunuh tidak akan nyenyak tidurnya.
‘Macbeth, Macbeth sleeps no more’
William Shakespeare
Allah menjadikan manusia untuk menolong antara satu
dengan lain bukan suruh berbunuhan sesame sendiri. Inikan pula sesama Islam.
Muawiyah adalah orang yang mengaku sahabat Rasulullah SAW
dalam masa yang sama telah melantik dirinya raja dan dengan menggunakan kuasa
pedang memaksa rakyat menerima anaknya, Yazid sebagai Tengku Makhkota.
Pembunuhan dan penjenayah telah cuba mematikan Islam
dengan menggunakan ‘kuasa kekebalan yang ada pada mereka’ adalah raja yang
pertama dalam sejarah Islam yang menghapuskan sistem Khalifah. Keluarga
Muawiyah yang telah membunuh hampir semua anak cucu Rasulullah SAW di karbala
pada 10 Muharram, Hari Asyura.
Mudah-mudahan dengan terhapusnya kekebalan yang ada pada
raja kita, maka akan hapus juga semua kekebalan
yang berbentuk ‘Firaunisme’ yang ada
pada Al-Malik-Al-Malik yang berada di negara-negara Arab.
Mudah-mudahan Islam akan bangkit semula seperti zaman kejayaannya
dan semoga ianya dapat membawa keinsafan kepada raja-raja Islam yang lainnya
dan mereka akan bersatu padu membangunkan umat Islam diseluruh dunia.
Alhamdulillah, Allah telah menghidupkan semula Islam di
bumi Malaysia yang bertuah. Mudah-mudahan Allah akan selamatkan rakyat dan
Negara kita dan umat Islam seluruh dunia.
Saudara-saudara yang
bijaksana,
Memang sudah semestinya dalam sejarah sesuatu bangsa,
satu perubahan, sama ada dengan cara
evolusi atau revolusi pasti akan berlaku, kerana adanya kesedaran dalam
pemikiran bangsa itu akibat dari kebijaksanaan dan keberanian pemimpin yang
mempunyai visi untuk masa depan bangsanya.
Perubahan diperlukan dalam semua bidang penghidupan
kerana ‘Allah tidak akan mengubah nasib
sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri’ dan atas kehendak rakyat dan
dengan pertolongan Allah, perubahan yang tidak disenangi oleh Tuanku-Tuanku
kini sedang berlaku di Negara kita. Dan saya percaya rakyat akan berjaya untuk
menuju visi yang mereka telah tetapkan, iaitu Wawasan 2020.
Berpandukan kata-kata pemimpin agung Islam Saidina Ali
Bin Abu Talib karamullah Huwajhah.
“Walaupun kita berada di pihak yang (batil)
salah, kiranya kita tahu mengatur strategi, kita pasti akan menang.”
Inikan pula kita berada di pihak yang benar yang mahu
mengembalikan maruah dan martabat bangsa kita seutuhnya.
Sama ade kita mahu mempercayainya atau tidak, Islam
mengajar kita bahawa manusia itu bersifat (baharu)
‘hawadith’ dan yang baharu pasti
tidak kekal, pasti akan binasa. Kekayaan
dan kuasa tidak akan kekal dalam satu puak manusia buat selama-lamanya.
Semua yang diatas tanah akan kembali menjadi tanah. Cuba menungkan kata-kata
seorang sufi dibawah ini.
“Jika dunia ini dapat
dimisalkan sebagai suatu kendi (yang dibuat daripada emas) yang rapuh dan
lemah, sedangkan akhirat dapat dibandingkan dengan suatu kendi (yang terbuat
dari tanah) yang tidak boleh pecah lagi kekal abadi, maka tentulah orang-orang
bijaksana akan lebih menyukai yang kedua dari pada yang pertama.”
Dari surat Imam Al-Ghazali
Kepada Sultan Saljuq
Jika kekebalan ini tidak dihapuskan semasa
Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri, apakah pemimpin sesudahnya akan
mengekalkannya nanti? Apakah pemimpin sesudahnya berani? Biar bagaimanapun kita
patut angkat topi kerana keberanian Mahathir mengeluarkan kita dari kepompong, dari selubung yang sudah
terlalu lama menutupi umat Islam yang terlalu mementingkan dunia.
Busuk pemerintah,
busuk ulamaknya maka busuk jugalah umat yang
dipimpinnya. Mengikut hadith, rakyat di dalam satu Negara mengikut rajanya
sebagai contoh, rakyat Saudi dibawah pimpinan Fahd, ramai yang menyerupainya
terutama semasa berada di luar negerinya ibarat
ikan yang sudah busuk kepalanya pasti perutnya juga akan pecah menjadi busuk.
Firaun berlawan dengan Nabi Musa a.s. adalah sebaik-baik
teladan yang boleh kita pelajari dari Al-Quran. Begitu juga contoh terbaru dari
Iran dimana Almarhum Imam Ayatullah Rohullah Khomeini, pemimpin agung Islam
(Shiah) berjaya menjatuhkan raja segala
raja yang dibantu oleh kuasa-kuasa besar dunia, kini Iran menjadi Negara
Islam yang maju terutama dibidang ilmu yang telah ditinggalkan oleh baginda
Rasulullah.
Segala-galanya di dunia ini adalah pinjam-pinjaman
belaka. Kita manusia tidak lebih dari seorang pelakun di pentas sendiwara.
Apalah yang Tuanku sekalian hendak berkeras dan bertegang urat sangat dalam hal
keduniaan seperti ini? Mati semua tinggal. Apakah saudara-saudara akan mati
seperti harimau mati meninggalkan
belang, mati seperti haruan makan anak, atau seperti raja bersiong? Mudah-mudahan
tidak seperti Sultan Mahmud mangkat
dijulang atau raja-raja dizaman dulu dengan sejarah yang amat aib dan
memalukan keturunan raja-raja Melayu.
Manusia disuruh memilih jalan ke syurga namun
terserahlah…
“Sehari yang dihabiskan
oleh seorang raja yang taqwa untuk menyelenggarakan keadilan, setara dengan
enam puluh tahun yang dihabiskan oleh seorang suci untuk ibadah dan solat”
Sabda Rasulullah
Raja yang hendak selamat dunia dan akhirat mesti
berpegang di bawah naungan Rasulullah SAW dan bernafaskan iman dan taqwa.
Rakyat di Malaysia umumnya dan bangsa Melayu khususnya
telah menempuhi banyak daerah perubahan di sepanjang sejarahnya. Peri laku dan
cara berfikir Tuanku patut turut berubah sama, barulah Tuanku dapat menerima
apa yang berlaku dengan tenang dan penuh rasional.
Kalau tidak tentu boleh sakit jiwa
dibuatnya nanti, ini pun ada yang makan
tak kenyang, tidur tak lena, berjalan pun dalam keadaan serba salah akibat
malu yang amat sangat, sabar.. istighfar dan mengucap, tentu ada hikmat semuanya
ini.
“dah cam no, arak pun
Tuanku dan segala undang nak berniaga sama. Segala pasir, kerja potong
rumput, AP, Kobis dan rezeki rakyat pun nak dirampas sama. Den dah kato, tak
ada kojo. Ketua-ketua adat tak patut
tak beradat, apalagi adat yang bersendikan Islam, kalau
terasa sakit cepat-cepatlah cari ubat, terasa diri berdosa tunggu apa lagi,
bertaubatlah. Itu namanya ajaran penebusan dosa dari Rasulullah SAW.
Cuba renung kembali kehidupan Tuanku sebelum dan sesudah
merdeka. Kereta yang dinaiki, istana yang menjadi tempat kediaman sudah
bertukar menjadi mahligai kayangan. Apakah ujian dari Allah ini telah
menjadikan Tuanku sekalian seperti manusia
yang lupa daratan? Seperti kacang lupakan kulit, membuang tongkat sesudah
menyeberang jambatan? Inilah padahnya, baru sedikit Allah nak tarik sudah
menggelabah. Di beri sebesar gunung minta lagi. Dengar cakap Pak Habib, jadilah
manusia yang bersyukur dengan sedikit yang ada sebelum dilaknat Allah Ta’ala.
Ramai orang Melayu sudah tak percaya lagi bahawa mereka mentimun, dan Tuanku durian. Pada mereka kedudukan Tuanku kini sudah berubah menjadi tempoyak sesudah Tuanku terkoyak akibat pendedahan. Alangkah
sedihnya bila timun sudah boleh melanyak durian yang sudah jadi tempoyak.
Aduh sakitnya.
Dimanakah kesucian
jikalau raja yang mereka sembah itu misalnya “mati bergelumang dengan arak”. Dimanakah kewibawaan Raja jikalau
undang-undang Negara tidak dipedulikan dengan merampas bukan haknya lagi?
Dimanakah kewarakan
jikalau selepas sembahyang di masjid terus bermain judi dengan wang rakyat?
Banyak mengabui rakyat sehingga konsep daulat seorang raja, dikeramatkan padahal daulat itu tertumpu kepada legitimacy, dengan izin, yang berasaskan kelakuan yang
mulia.
Semoga surat ini dapat
menimbulkan kesedaran kepada saudara-saudara bahawa tanah dan bumi yang diami
ini bukanlah haknya malah ianya adalah hak rakyat dan makhluk-makhluk Allah.
Raja-raja bukanlah
sebagai superhuman yang menjelma dari reincarnation
dewa-dewa. Raja-raja adalah manusia
biasa yang ditabalkan oleh rakyat dengan janji dan sumpah seperti yang termaktub
dalam sumpah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Pertama lagi yang
digubal oleh Demang Lebar Daun. Janji dan sumpah diantara Sang Sapurba dan
Demang Lebar Daun hanyalah satu kontrak sosial sahaja, bukan divine
contract. Jikalau mana-mana Raja yang melanggar
sumpah dan janji ini seperti ia mengaibkan rakyatnya yang disebutkan
terang-terang dalam sumpah ini, iaitu contohnya menampar rakyatnya, maka
istana Raja itu akan terbalik ‘bumbung turun ke bawah, tiang naik ke atas’. Kiasan ini ialah kiasan bahawa Negara itu
akan hancur.
Dr. Affirudin
Dewan Rakyat
Itu baru perjanjian
antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba. Cuba kita perhatikan bagaimana
pula raja-raja dizaman ini mengangkat sumpah, dan apa akan jadi pada mereka
yang dimakan oleh sumpah yang dijanjikannya. Ingatkah Tuanku sumpah dengan
menjunjung Quran tak boleh buat main-main?
Apabila seseorang raja
ditabalkan, ia lazimnya mengangkat sumpah yang berbunyi: “Wallahi, wabillahi,
watallahi.. beta akan memerintah seadil-adilnya” dengan menjunjung Qur'an di
atas kepalanya.
Upacara ini berunsur
Islam, dan menekankan dua perkara. Pertama, raja bersumpah untuk berlaku adil.
Kedua, raja adalah dibawah kemuliaan Quran yang dijunjungnya dan oleh itu,
tertakhluk di bawah hukum-hukum Allah yang terhimpun didalam Quran dan tidak
mengatasinya.
Kesedaran rakyat yang mahukan perubahan secara drastic
akibat dari ombak ketiga yang bukan
saja telah merubah politik, ekonomi dan geography dunia secara global tapi
ianya telah melibatkan negara kita yang menjadi tumpuan dan perhatian dunia.
Belum pernah rasanya berlaku dalam sejarah setelah
merdeka Negara ini, semacam kebangkitan dan penyataan yang meluap-luap, rasa
tidak senang terhadap perilaku pihak istana. Cerita-cerita yang selama ini
tersebar luas di kalangan rakyat, yang dibisikkan dengan penuh waspada dari
seorang ke seorang, kini terbongkar tanpa bendungan. Ianya sudah tidak dapat dikawal
lagi seperti api yang memamah rumput kering dihutan gersang.
Kesedaran di kalangan rakyat ini terbangun secara
serentak, tanpa mengira kaum dan kedudukan kecuali manusia-manusia yang hatinya
ditutup oleh Allah.
Sekiranya setengah-setengah pihak berasa serba salah
dengan isu “krisis perlembagaan”
tidak lama dulu, sekali ini keraguan itu ternyata hilang walaupun ada yang
mempersoalkan nawaitu Dr. Mahathir tetapi apabila mereka menyedari bahawa
krisis yang berlaku hari ini sebenarnya adalah ‘krisis pemikiran’, mereka yang pemikirannya terbuka bangga
terlibat menentang kemungkaran pihak raja-raja yang merosakkan bangsa dan
negara.
Suara yang terdengar melalui media dan yang dibincangkan
dengan hangat oleh pelbagai pihak, merupakan suara rakyat yang tulen dan jati,
Namun Tuanku berhak menganggapnya sebagai permainan
politik kerajaan untuk merebut kekayaan dan kuasa yang ada pada Tuanku
untuk dibahagi-bahagikan sesame mereka.. terserah, katalah apa pun.
Penyamun Tarbus.
Apa, mika ingat beta tak tahu?
Di Malaysia perubahan yang banyak telah kita alami
setelah kurun ke-18 disebabkan pemerintahan kolonial Inggeris, dari segi
ekonomi dan politik, tetapi ia mengandungi unsur-unsur moden yang kita perlukan
sekarang. Dan yang paling ketara ialah apabila Mahathir mengambil alih
kepimpinan negara.
Ratu Inggeris yang menjadi Berhala Besar kepada Negara
yang pernah dijajahnya juga telah jauh berubah. Entah esok, entah lusa, England
juga akan menjadi sebuah republik.
Perdana Menteri semasa membentangkan usul pindaan
perlembagaan ada berkata bahawa kerajaan tidak berniat hendak menukar sistem
yang ada kepada Republik, namun segala-galanya terserah kepada pilihan rakyat.
Manusia boleh merancang, namun Tuhan saja yang dapat menentukan segala-galanya.
Saudara-saudaraku sekalian,
Apakah Sembilan orang
raja yang sedang menduduki istana di Malaysia akan kekal sebagai raja pada
tahun 2000 nanti? Mahathir selaku Menteri Dalam Negeri akan mengambil tindakan
kepada sesiapa yang mempersoalkan institusi raja-raja? Ghafar Baba sebagai
orang kedua menafikan yang kita sedang menuju kearah republik. Ini cakap-cakap
orang politik. Mereka boleh buat apa kalau republik menjadi pilihan rakyat?
Dr. Mahathir bukan kuat sangat, jika sekiranya pengundi
di Kubang Pasu menolaknya, ini bererti dia mesti bersara dan kembali sebagai
seorang doctor biasa.
Dan jika ada pihak yang berani membongkar siapa Ghafar
sebenarnya, apakah Ghafar masih boleh kekal dikerusinya? Dan tak mustahil
Ghafar akan terjun botol akibat bola golf dipadang Sembilan lubang.
Tidak ada manusia yang dapat lari dari Balasan
Allah.
Apakah peluang Tengku-Tengku Makhkota dan Raja-Raja Muda
untuk mewarisi takhta? Ini yang patut difikirkan oleh Tuanku kiranya Tuanku tak
mahu berubah dan bagaimana hendak memujuk rakyat, supaya tidak memusuhi mereka.
Kita sedar kenapa saudara-saudara semua sebulat suara tidak mahu menandatangani
rang undang-undang yang mahu dipinda. Kasihan Tuanku yang terpaksa dalam
keadaan di telan mati emak, diluah mati bapak.
Ini zaman manusia terpaksa memilih yang terbaik di kalangan terbilang bukan lagi mahu memilih yang terbilang dari kalangan yang
terbuang. Kita jangan membiarkan rakyat terpaksa membuat pilihan. Akibatnya
nanti institusi raja-raja terpaksa di pindahkan ke muzium apabila tidak ada
lagi calun anak raja yang layak untuk dijadikan Ketua Agama mereka. Dan tidak mustahil
Tengku Ibrahim dan Majid berperang merebut mahkota ayahandanya.
Tengok apa jadi pada Tengku Ali, Sultan Terengganu yang
dihalau dari singgahsana dan mahkotanya diberi pada raja yang ada hari ini.
Mereka yang duduk dalam rumah kaca jangan cuba main
baling-baling batu.
Saya faham, sudah menjadi kebiasaan raja-raja, sejak
dilahirkan hingga mereka menghembuskan nafas yang terakhir, mereka tidak pernah
ditegur, apa lagi dimarahi. Saya selaku seorang rakyat turut bersimpati dengan peristiwa
saudara-saudara diserang oleh media massa dan media elektronik. Tapi ‘everything is fair in war’ siapakah yang
telah mengisytiharkan perang?
Rakyat tak ada pilihan, Tuanku tak boleh rasa kecewa
sekiranya mereka sedikit pun tidak memikirkan bahawa yang diserang, yang dikutuk,
yang dicaci dan di cerca, dihina dikhalayak
ramai ini adalah manusia yang luar biasa. Raja mereka sendiri ibarat menepuk air didulang mercik ke muka sendiri
juga. Inilah satu ‘self destruction’
yang telah dilakukan oleh orang-orang Melayu. Dapatkah kita menerimanya sebagai
Qadak dan Qadar dari Allah? Tapi rakyat yang seperti orang sakit kencing manis,
sebelah kaki terpaksa di potong untuk meneruskan hidup mesti dilakukan juga.
Peristiwa ini diibaratkan seperti orang sudah jatuh dibiarkan ditimpa tangga. Kemudian
dijatuhkan pula pasu bunga di atas kepala, alangkah malu dan sakitnya.
Kasihan tuanku –tuanku sekelian yang seluar katuk yang dilondehkan dikhalayak
ramai. Apa nak buat, hari ni hari mereka.
Ampun Tuanku, satu
dua ampun, rakyat hari ini ‘ribu-ribu
ampun’ dah tak main lagi. Tak berdosa, tak bersalah, mintak ampun
banyak-banyak sangat buat apa? Hutang ‘ampun’ rakyat yang Tuanku simpan sekian
lama belum dibayar lagi. Kalau ada dividen macam ASN atau ASB sikit punya best. Tentu Melayu kaya lepas ni.
Terlebih dahulu, bagi pihak para penulis dan media massa,
sekali lagi saya memohon maaf dari saudara-saudara, Tuanku terutama Yamtuan
Besar Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Kelantan dan yang lain-lainnya.
Saya sedar mengata dan mengutuk orang ni berdosa tetapi
ini ajelah caranya untuk menyelamatkan Tuanku sekelian dan Negara kita. Ini
baru bunga dari kemarahan rakyat. Tengoklah bertapa bahayanya sebatang pena, maka ingat-ingatlah pena itu lebih berbahaya dari segala
senjata terutama bila ramai sangat manusia yang macam Abdullah Munshi sudah
menjelma. Dulu masa Pak Habib seorang saja Tuanku tak mahu membaca. Sekarang
bacalah dengan nama Allah.
Bukan saja saya berasa sedih, namun ramai umat Melayu
seolah-olah tak dapat menerimanya. Bayangkanlah bukan sekali dua, tapi hampir
setiap hari, kalau tak kuat iman, tak kuat pendirian, boleh ‘game’.
Sorry big brother saya pinjam bahasa ‘Mat
Rock’ bukan Mat Bulat yang tak
boleh bergolek lagi. Kesihan.
Kasihan Tok Mat, Setiausaha Agung UMNO yang sudah jadi
‘kuih bingka’, akibat mempunyai dua boss, Al-Mutawakil dan Mahathir dalam satu
masa. Lain Kali pemimpin UMNO tak boleh duduk dalam jemaah raja-raja lagi.
Nak buat macam mana memang satu kebiasaan kepada
sebahagian orang Melayu, cepat kasihan, cepat simpati kepada siapa saja yang
mereka anggap terpukul berlebih-lebihan. Sebab itu timbul perasaan simpati dan
marah, tapi lama kelamaan, bila mereka sedar bahawa apa yang disampaikan oleh
pihak media massa adalah ubat yang
terbaik bagi saudara-saudara. Rakyat tak kisah asal jangan melampau sudahlah. Rengan… rengan no problem.
Yang nampaknya akan
membahayakan Tuanka ialah juak-juak
dan botol-botol kosong yang akan
menggunakan Tuanku sebagai senjata dan alat mereka. Kelemahan orang Melayu
digunakan oleh puak yang sudah hampir terkangkang
tunggu masa nak masuk longkang saja lagi, merekalah yang mengambil
kesempatan, tanpa memikirkan perangai Melayu yang hangat-hangat tahi ayam dan
tak suka berfikir secara serius. Sifat yang tak tegas, tak konsisten, cepat lupa, yang tidak disedari oleh
Tuanku yang kini berada di dalam kecemasan, adalah perangai dan amalan
orang-orang Melayu, bila terantuk baru
nak terngadah.
Sesudah Tuanku semua
kalah nanti mereka akan kata yang sudah,
sudahlah, nak fikir apa lagi? Sebab itu sudah jadi sejarah. Sebenarnya
Tuanku, yang sayangkan sangat kekebalan Tuanku
itu ialah Ali Ali Baba dan kapitan kapitan. Tak kira bangsa Melayu
ke, China ke, India ke tau Serani ke, sama saja yang memperniagakan kekebalan Tuanku untuk kekayaan mereka. Mereka
makan isi, Tuanku cuma dapat tulangnya saja. Mereka inilah yang menggunakan
orang Melayu supaya terus bergaduh sesama sendiri.
Raja-raja yang saya
sayangi,
Hendak buat macam mana Tuanku, rakyat terpaksa bertindak
melalui media massa dan media cetak, kerana mereka tahu dengan perantaraan
Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Besar, Tuanku bukan saja bo layan
teguran dan nasihat, tapi ada masanya mereka kena peleceh aja. Tuanku tahu
siapa mereka.
Kalau selama ini Melayu dibuat seperti anak anjing (patik) dan debu-debu di tapak kaki (duli-duli)
apakah sekarang mereka akan peduli sangat apa yang sedang berlaku di dalam
istana? Al-Mutawakil semasa membuli seorang anggota polis di Istana Pasir
Pelangi memanggil anak buah Menteri Dalam Negeri anjing dan memanggil bapa anjing dan mencabar bapak-bapak anjing dari sejak jadi Tengku Mahkota hingga tercetus
peristiwa Bukit Serene. Inikah akibat dari jiwa hamba yang masih tertanam dalam
lubuk hati orang Melayu. Bilakah agaknya
kita boleh duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan saudara-saudara semua?
Selama ini rakyat tak pernah dapat melihat apa yang
berlaku di dalam istana. Tembok perpisahan antara raja dan rakyat sudah berlalu
begitu tebal. Raja hidup macam merak kayangan,sedangkan rakyat seperti
gagak di rimba, macam enggang dengan pipit.Padahal
tangan-tangan rakyatlah yang menyuap Tuanku sekeluarga. Alangkah baiknya jika
ada muhibbah dan silaturahim antara kita yang mengaku bersaudara, Allah Tuhan
kita, Muhamad nabi kita dan Al-Quran kitab kita.
Kalau Tuanku nak murka pun murkalah. Bukan hari-hari rakyat dapat peluang nak marah raja,
dalam seumur hidup inilah pertama kali dan mungkin terakhir.
Izinkan rakyat meluahkan perasaan mereka semoga Tuanku
dapat memahami siapa rakyat Tuanku sebenarnya, tak kenal maka tak cinta.
Sebab itu Tuanku kena ingat, kepada siapa Tuanku nak
murka? Kepada rakyat? Cuba Tuanku Tanya pada diri sendiri, Tuanku siapa dan rakyat itu siapa?
Bukankah rakyat
itu raja dan raja itu rakyat?
Ini baru pertama kali rakyat menunjukkan kemurkaan mereka, Tuanku nak marah tak
patut, tapi kalau nak marah pun marahlah,
tapi ingat…, kalau Tuanku marah ia
boleh merbahayakan kedudukan Tuanku sekelian. Marah…?
“Marah nanti kena jual”
Ahmad Nisfu
Filem P. Ramlee
Tiga Abdul
Ingat-ingatlah
Tuanku sekalian, kesabaran itu sebahagian
dari iman, dan Allah berserta dengan mereka yang sabar. Banyak-banyaklah
beristafar Tuanku. Mengucap Tuanku. Jika ada peluang bertaubat
dan minta bantuan dari Allah dalam keadaan retak mencari belah macam
ini, Tuanku tak ada daya dan upaya melainkan sujud kepada Allah,
beristafar dam minta petunjuk.
Cuba
bertenang dan jangan melatah, jangan cepat-cepat nak marahkan rakyat yang tak
berdosa. Cuba cari punca bagaimana perkara macam ini boleh meletup? Cari jalan
kompromi. Kalau tak ada api masakan ada asap. Apa salahnya sesekali cari
salah sendiri. Sekuat-kuat manusia adalah orang besar yang mahu mengaku salah
dan sanggup meminta maaf. Mustahil diantara raja tak ada yang buat salah.
Bukankah dahan
juga yang boleh menumbangkan pokok? Biar bagaimanapun cuba ikut nasihat
Rasulullah, jangan marah. Berlawan dengan keadaan marah boleh
menghukum diri sendiri. Orang yang hendak selamat mengikut ajaran Rasullah
jangan sesekali marah-marah.
Mengikut firasat
Raja Azlan, Yang DiPertuan Agung:-
“Sejarah telah menunjukkan juga bahawa di
setengah-setengah negara, takhta telah dialihkan dari istana dan ditempatkan di
muzium untuk dijadikan bahan sejarah budaya”
Firasat seorang raja yang satu
ketika dulu pernah menjadi Ketua Hakim Negara telah memberikan aspirasi
kepada rakyat yang mahu berfikir, dan inspirasi kepada saya untuk
menulis surat yang terpanjang kepada sembilan raja pada satu masa.
Terima kasih
saya juga kepada seorang puteri raja yang sangat kontroversi akibat perkahwinan
dan penceraiannya dengan Mike Tyson, Muhamad Taib Menteri Besar Selangor yang
selalu buat kecuh dengan istana. Ku Yah yang banyak menjadi bahan dalam
buku-buku saya terutama WANITA, TAKHTA DAN KUASA.
Keberanian Ku
Yah, jiran saya di Kampung Janda Baik dalam mempertahankan ideologi Dr. Mahathir dan memperjuangkan aspirasi
untuk memberi kesedaran bagi pihak istana biarpun tindakannya mendapat
tentangan yang hebat dari istana, tapi dia tetap menentang arus, sanggup
berjuang bersama-sama bekas suaminya.
Sekalung
bunga untuk Ku Yah, anakanda Sultan Selangor, penerbit Majalah Wajah,
yang satu-satunya puteri dari istana yang berani melibatkan diri bukan saja
dengan kata-kata semasa saya mengadakan temu bual dengannya, tetapi dilahirkan
di kertas hitam putih.
“Adalah juga satu perkara yang tidak wajar raja yang
menjadi ‘payung’ kepada rakyat dan negara menyalahgunakan kuasa semata-mata
kerana adanya peruntukan membabitkan kekebalan raja. Tidak timbul soal
kekebalan kerana manusia ini sama saja disisi Allah. Perlembagaan oleh semua
pihak tidak mengira darjat atau pangkat.”
Tengku Puteri Zahariah
Bte
Sultan Salahuddin Abdul
Aziz Shah
MAJALAH WAJAH
Januari, 1993
Saya percaya
tindakan Azlan dan Nazrin telah mempengaruhi ramai anak raja yang rasional.
Semasa
membuat ramalan tersebut, pandangan Raja Azlan adalah dari segi ilmu
pengetahuan dan kebijaksanaan. Yang Arif Raja Azlan menggunakan mata kepala
beliau ketika itu. Dan belumpun lama bayang-bayang firasatnya telah menjelma
manjadi kenyataan.
‘Propecy’ dan kata-kata seorang
raja mengikut bahasa istana ‘berdaulat’, mengikut kata orang tua-tua
dulu Tuanku dianggap manusia “mulut masin”. Cakapnya menjadi satu
kenyataan.
Kalau kita
tidak boleh terpengaruh dengan kata-kata seorang “Lord Presiden” yang
dengan tiba-tiba boleh jadi raja, kemudian dilantik pula menjadi Yang DiPertuan
Agung, kita nak percaya cakap siapa lagi? Selaku seorang ahli firasat, saya
yakin dengan firasat Raja Azlan. Baca bab senjata makan tuan
sebagai bahan bukti.
Anakandanya
Raja Nazrin, selaku Pemangku Raja Perak telah membantu untuk membuktikan firasat
ayahandanya itu betul. Nazrin bangun membela rakyat yang dizalimi oleh seorang
anak raja dari Johor.
Kedua beranak
yang pada mulanya adalah rakyat biasa begitu juga dengan ibu Nazrin. Tuanku
Bainun yang diangkat oleh Agung sebagai Tunku yang telah menimbulkan kemarahan
pada ramai raja telah menjadi pejuang kepada rakyat.
Kalau
bukan kerana raja dua beranak dari Perak ini yang berdiri teguh dibelakang
rakyat, mustahil Dr. Mahathir berani bersuara besar dan memulakan perang dengan
Bukit Serene dan istana keseluruhannya Che Det bukan kecil anak, dia
sudah pegang raja cukup-cukup, baru dia bertindak. An ada raja lain yang
bersubahat dengan diapun. Tapi depan raja-raja cukup lain pula. Nak hidup,
Brother!
“Tiada satu sistem pun yang wujud pada zaman moden yang
menafikan rakyat daripada hak asasinya dan kebebasan mereka,”
Raja Nazrin
Pemangku Raja Perak
Begitulah
tegasnya anakanda Yang DiPertuan Agung dalam satu temu ramah tanpa menyebut
peristiwa itu, tetapi difahamkan ketegasan itu dirujuk kepada tindakan Sultan
Johor memukul jurulatih hoki Maktab Sultan Abu Bakar, Douglas Gomez baru-baru
ini.
Raja Nazrin
selaku Pengerusi Hoki Perak telah mencetuskan satu revolusi pemikiran antara
raja dan kerajaan yang telah melibatkan rakyat jelata semasa baginda mempertahankan
Penjaga gol negeri itu, Mohammad Jaafar Selvarajah Veloo akibat dipukul oleh
putera Sultan Johor, Tengku Majid Idris sempena sukan SUKMA di Johor Bahru,
Julai 1992.
Cerita Nazrin
dan Selvarajah Veloo senyap bila timbul Sultan Mahmud dan Douglas Gomes di
Bukit Serene. Apa lagi yang menjadi Presiden Hoki Malaysia adalah Raja Azlan
sendiri, maka terjadilah ‘Battle of the Galaxy’, deng... de deng... Eh
Eh dah macam wayang pulak.
Suara dari
atas bukit bergema biarpun peristiwa ini bermula di atas padang bola hoki di
Larkin, Johor Bahru. Kes Veloo dan Majid mati di situ saja, maka bermulalah
satu episod yang baru.
Kalau kita
mengkaji sejarah,kita akan dapati sejarah selalu berulang. Jatuhnya
kerajaan feudal Melayu di masa lampau disebabkan perkara yang kecil juga.
Sebagai contoh bola sepak raga yang terkena destar Raja Muhamad,
akhirnya Tun Besar Tengah di bunuh.
Peristiwa itu
diceritakan dalam Al-kisah Cetera Yang kedelapan Belas, Sejarah Melayu.
Namun berapa kerat sangat kerabat di raja yang nak baca buku yang di tulis oleh
Tun Sri Lanang, biarpun Tun Sri Lanang penglipur lara Istana. Apa lagi buku
yang di tulis oleh Abdullah Munshi dan S.H. Alattas yang cuba mengingatkan istana
sejak sepuluh tahun dulu.
Bertapa pada masa itu, permainan sepak raga menjadi
kegemaran. Anak kepada Bendahara Paduka Raja iaitu Tun Besar bersama
kawan-kawan sebayanya bermain sepak raga bulatan di jalan (lebuh) yang lapang.
Malangnya raga yang disepak oleh Tun Besar terkena destar Raja Muhammad hingga
jatuh ke tanah. Akibatnya Tun Besar dibunuh hingga mati.
Tengok
bertapa tidak sportingnya anak raja. Sejak zaman dulukala hingga ke hari ini
sebiji bola punya pasal, tak peduli manusia tumbang. Apakah mereka tak tahu
membunuh itu satu dosa besar? Adik prebet Adam pun jadi mangsa Sultan Mahmud di
padang golf Bola oh bola.
Benda-benda
yang bulat dan bergolek ini memang bahaya. Bila agaknya Tuanku-Tuanku nak
bertitah:
‘Sumpah tujuh keturunan, anak cucu beta tak boleh main
benda-benda bulat yang merbahaya macam ini lagi’.
Kata Mamak
teh tarik pada saya pula semasa diinterview mengenai bola hoki dan bola golf: “Mahu
main bola kalu, sendiri punya bola mainlah. Orang punya bola, ramai-ramai main
mesti banyak susah. Macam-macam sakit mesti mari.”
Ada ulama
berpendapat kesalahan membunuh, berzina, mencuri merompak, khianat dan minum
arak dimasukkan setara dengan kesalahan ‘jenayah murtad’. Antara
yang menjadi sandaran mereka ialah dua hadis yang menegaskan: “Sesiapa
menukar agamanya, bunuhlah ia” dan “tidak halal darah seorang Islam
kecuali salah satu daripada tiga perkara; lelaki (yang berkahwin) yang berzina,
membunuh dengan sengaja dan orang meninggalkan agamanya.
Fenomena murtad
yang menimpa dunia Arab ini juga menimpa masyarakat Asia Tenggara, terutamanya
Melayu Filipina. Sungguhpun ia berlatarbelakangkan sejarah kesultanan Islam dan
bangsa Melayu, tetapi kini hampir hilang identitinya.
Setelah
sekian lama Sepanyol menjajah, kemudian disambung oleh kerajaan Filipina
menjadikan Kristian sebagai ideologi negara, hak orang Islam terhakis. Jihad
“Moro” pimpinan Nur Misuari terpaksa diteruskan untuk mempertahankan kesucian
dan akidah dengan menuntut Negara Autonomi Islam. Kita yang masih kuat ini leka
bertelagah pasal apa?
Di Indonesia
hampir 90 peratus daripada 180 juta penduduknya yang selama ini dianggap Islam
mula dipertikaikan. Pada hal ada lebih kurang 40,000 diseluruh kepulauannya.
Tetapi kepimpinan Islam masih tak menonjolkan walaupun semua raja-rajanya sudah
dihapuskan.
Bekas tanah
jajahan Belanda ini selain mengharungi proses Kristianisasi, Islam yang dianuti
masih kuat dipengaruhi adat serta penyatuan unsur pra-Hindu dan Buddha yang
dikenali sebagai ‘kejawen’. Malah kejawen sudah mendapat
pengiktirafan secara tidak langsung dan dianuti oleh beberapa pemimpin negara
Indonesia. Apakah kekebalan Pak Harto jauh lebih kebal dari
raja-raja di Malaysia hingga rakyat Indonesia tak dapat berbuat apa-apa?
Apakah mereka
yang menunggu kelahiran seorang Mahathir di Indonesia? Menunggu kelahiran Imam
Mahadi (Ratu Adil) sudah lama tak menjelma-jelma juga walaupun Arqam sudah
berkembang disana.
Implikasi
daripada sebiji bola, Raja Muhammad tidak dapat mewarisi takhta Kerajaan Negeri
Melaka. Dan siapa tahu akibat beberapa biji bola, sejarah kejatuhan raja-raja
akan berulang? Yang sudah pasti raja-raja di Malaysia akan kehilangan kekebalan
mereka.
Akibat seulas
nangka yang dimakan oleh isteri Laksamana Bentan, seorang manusia yang
bernama Sultan Mahmud ketika itu menjadi raja telah membunuh ibu dan anak yang
tidak berdosa. Inilah ‘Firaunisme’ yang berlarutan di negara kita.
Peristiwa
Bukit Serene telah membuka sejarah lama dihati rakyat yang sudah luka ini
berdarah semula. Kalau tidak dihentikan bahaya akhirnya.
Kalau kita
selidik bola hoki, bola sepak raga, bola golf yang sebenar telor angsa
dan seulas nangka ini cuma sebab saja. Sebenarnya adalah disebabkan
sikap angkuh, sombong dan zalim yang keterlaluan, raja bertindak mengikut hawa
nafsu. Inikah suratan takdir namanya?
Maka
terjadinya Qadak dan Qadar sebagai pembalasan dan hukuman dari
Allah hasil dari doa-doa manusia yang dizalimi. Akibat tidak dapat mengawal
perasaan kerana merasakan diri “ Akulah raja dan raja boleh buat apa saja”
telah membawa duka nestapa.
Saya tidak
takut pada Tuanku sekelian sebab Tuanku pun macam saya juga, tak ada lebih tak
ada kurang, kita jadi dari setitik air mani yang hina. Bila mati jadi bangkai
yang sangat busuk. Apakah yang hendak dimegah-megahkan dan diagung-agungkan
sangat? Kerana kita tak sedar diri, tak kenal diri maka iblis dengan mudah
dapat menggoda dan membinasakan kita. Tapi kalau kita benar-benar takutkan
Allah, seganas-ganas binatang di hutan belantara tidak akan mengapa-apakan
kita. Inikan pula manusia yang keturunan yang sama macam kita.
Memang ulama
ahlul sunnah di keliling Tuanku dan kerajaan kita sedang nyenyak tidurnya,
namun tak boleh berdiam diri, kubur Tuanku kena jawab sendiri, lebih-lebih lagi
Tuanku yang menjadi ketuanya. Mengikutkan kata Sultan Selangor yang sudah,
sudahlah mulai hari ini:
“Kalangan ahli Dewan Diraja Selangor janganlah
teragak-agak untuk menegur atau menasihati anggota kerabat diraja negeri agar
dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik. Juga hendaklah menasihati
anggota kerabat diraja yang didapati menunjukkan prilaku sumbang dan banyak
mengadakan perundingan serta bersedia memberi nasihat jika berlaku apa-apa
perkara buruk.”
Sultan Salahuddin Abdul
Aziz Shah
Sultan Selangor
MAJALAH WAJAH
Januari, 1993
Apakah Tuanku berfikir bahawa
Melayu yang sudah didedahkan dengan segala macam keburukan sistem feudal dari
zaman dahulu kala hingga ke hari ini mahu kekal menjadi pacal-pacal yang hina? Masih mahu kekal sebagai anak
anjing dan debu-debu di bawah tapak kaki saudara-saudara sekalian
buat selama-lamanya? Di India mereka tak main kasta-kasta lagi.
Rakyat yang sudah tahu bahawa
raja-raja dengan sewenang-wenangnya telah membazir, dan memboroskan hasil jerih
pekik dan titik peluh mereka mahu terus membiarkan kekebalan berkekalan
ditangan manusia-manusia yang bersultan di hati beraja di mata berkekalan?
Sebodoh lembu yang sudah terkeluar dari kandang susah nak dimasukkan semula.
Kalau belanja berpatut-patut tak
apalah, ini sudah lebih. Kalau duit sendiri o.k-lah, ini hak rakyat. Masih
ramai umat Melayu hidup di bawah paras kemiskinan. Raja membazirkan wang
ringgit rakyat ikut sedap hati.
Mahukah rakyat kekalkan kekebalan
yang ada pada raja yang hobinya anak-beranak, memukul, membantai orang sesuka
dan sehendak hatinya, bukan satu, dua kes, yang tercatit 23? Apakah tidak ada
kerabat diraja yang lebih elok dari mereka yang layak duduk di atas takhta
menggantikan mereka?
Rakyat sedar bahawa yang mulakan
kisah ini ialah Sultan Johor dan keluarganya saja, Itu dari segi kriminal.
Bagaimana dari segi lain?
Peribahasa ada berkata, akibat nila
setitik rosak susu sebelanga, akibat seekor kerbau membawa lumpur semuanya
terpalit. Sultan lain tak garang dan kejam macam kerabat Johor tetapi
apakah mereka baik dari segi lainnya. Kelakuan raja bukan saja orang Kampong,
budak-budak yang belum berhingus yang ubun-ubun masih lembik pun sudah mula
kritikal?
Rakyat sesudah memenangi
pilihanraya umum tahun 1955 memilih sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan
kerana keadaan orang Melayu hidup ketika itu dalam keadaan daif, buta huruf dan
serba kemiskinan akibat dari pemerintahan feudal, dimana undang-undang
tidak dapat dikuat kuasa, keadaan dalam negeri kucar-kacir dan keamanan tidak
menentu 37 tahun yang silam. Itu dulu Tuanku, dulu lain, sekarang lain, tak
percaya Tuanku dengar lagu Datuk S.M Salim yang terbaru Dulu Lain...
Sekarang Lain...
Bila kita hendak berlawan
tak kira dengan siapa pun, kita kena fikir, untung ruginya kita berlawan. Kita kena ukur kemampuan kita, jangan kita ikutkan
nafsu akhirnya lesu. Ikutkan hati akhirnya mati. Ikutkan rasa binasa. Pesan
orang tua-tua patut diambil kira.
Apakah sembilan raja hari ini
mampu berlawan dengan 18 juta rakyat? Berlawan dengan Dr. Mahathir selaku
Perdana Menteri yang dipilih oleh rakyat bererti bergaduh dengan rakyat jelata.
Perlawanan ini bukannya sesuatu
yang peribadi, ini bukan pergaduhan antara Mahathir dan Mahmud, ini melibatkan
sistem, ini melibatkan kerajaan. Suka atau tidak, raja mesti mempertahankan
sistem yang mereka pilih atau kembali saja ke zaman feudal.
Apakah raja-raja berkemampuan
memerintah negara jika ditakdirkan mereka dapat kuasa dari tangan Perdana
Menteri? Hari ini bukan saja sultan tapi juga kerabat diraja telah turun
menemui rakyat minta mereka menyokong parti pembangkang? Saya rasa ada raja
yang dah gian nak berpolitik.
Kalau raja-raja nak berkuasa dan
berlawan dalam pilihanraya, bagus, tetapi mereka mesti meletakkan jawatan
sebagai raja dan bertanding di dalam pilihanraya. Namun Sultan Kelantan dan
Terengganu tak payahlah, takut ‘disqualified’, maklum sajalah.
Yang penting apakah Semangat 46
dan PAS sanggup berikan mereka kerusi PM dan kerusi kabinet kepada raja jika
mereka menang nanti? Kalau masih nak jadi Wakil Rakyat biasa, buat apa?
Dan apakah mereka boleh berfikir
seperti Dr, Mahathir? Kita sudah tengok Tunku, Ku Li dan Ku Din, masa jadi
Menteri kabinet. Arwah Tunku anggap orang Melayu ini tak lebih dari kucing,
baca surat Tunku dalam buku saya ‘TALKIN UNTUK UMNO’
Hendak berlawan macam mana?
Mereka sama sendiri pun tak betul, tak bertegur sapa. Pasal bola sebiji,
keluarga raja Perak berperang dengan keluarga raja Johor. Kerana bola sepak,
kerabat Kedah dan Pahang berjauh hati, hampir tercetus perang dingin antara dua
negeri. Macam budak-budaklah...
Dan bila Raja Azlan dilantik
menjadi Agong. Tak pernah Sultan Johor menghadiri upacara negara melainkan
menghantar Tuanku Bendahara sebagai wakil baginda dan di Johor beliau sendiri
telah mengisytiharkan diri sebagai His Royal Highness the King of Johor.
Macam manalah orang Johor tak
ego. Patutlah sesudah Musa Hitam letak jawatan, dia masih merasakan yang
dirinya masih Timbalan Perdana Menteri dan orang-orangya tak pernah iktiraf
Ghafar Baba, apa lagi Tan Sri Muhyiddin selaku Ketua Perhubungannya kena
peleceh dengan budak-budak Musa. Musa masih merasakan diri Ketua. Macam mana
UMNO Johor tak dihinggap ‘Sindrom Bisu’. Kesihan Bang Din, mana nak
berlawan dengan pihak yang membalas dendam menghentam Mahathir habis-habisan.
Selamatkah negeri kita kalau ego begini berterusan.
Tuanku,
Tanpa Tuanku sedari negara ini
bukan lagi milik Melayu. Melayu biarpun rakyat majoriti 56% tetapi umat Melayu di
bawah payung dan naungan Tuanku adalah umat dan rakyat yang masih hidup dibawah
paras kemiskinan. Orang Melayu yang kaya raya selain dari Tuanku dan para
kerabat masih boleh dibilang dengan jari, iaitu menteri-menteri dan kuncu-kuncu
mereka yang tahu memperkudakan Tuanku sekelian.
Janganlah hendaknya kita biarkan
sejarah berulang. Apakah Tuanku lupa nasib Tuanku sekelian dan umat Melayu
semasa raja-raja menandatangani perjanjian diatas ugutan Mac Michel? Bila
orang putih yang suruh untuk kepentingan mereka, cepat-cepat Tuanku
tandatangani, Tuanku sain tetapi bila rakyat yang menyelamatkan takhta dan
istana Tuanku, Tuanku tunjuk sombong, Tuanku main-mainkan rakyat. Mula-mula
Tuanku kata setuju, kemudian berdalih, berbohong.
Tak kira siapa kita ini, sama ada
raja, menteri atau pegawai tinggi kerajaan, selagi mulut kita dan keluarga kita
disuap oleh tangan-tangan rakyat, kenalah kita beringat-ingat sikit. Jangan
kita gigit tangan yang menyuap ke mulut, nanti “miss soru’, atau soru tergelincir, saya pinjam juga
kata-kata rakyat.
Pak Menteri, Pegawai-pegawai
Kerajaan dan raja serta kerabat mereka tidak tahu apa erti kehilangan sesuap
nasi, apa erti kelaparan, kerana
mereka hidup dalam kemewahan. Masalah mereka ialah memilih makanan dalam
‘menu’ jenis makanan untuk dimakan, berbeza dengan rakyat,
yang terpaksa memikirkan dapatkah aku sesuap nasi hari ini. Tahukah
saudara masih ada orang yang hanya dapat makan sehari sekali dinegeri kita?
Bila agaknya Tuanku sesekali turun, jadi rakyat, naik mini bas, tumpang tidur
di rumah-rumah haram dan cuba memerah tenaga cari sesuap nasi dengan hasil
titik peluh sendiri.
Biarpun setiap hari saudara
melihat apa yang sedang berlaku pada manusia di Somalia, Sudan dan
negara-negara Afrika, penderitaan rakyat di Bosnia, dan negara yang ditimpa
peperangan dan bencana alam. Ia tak akan mempunyai erti apa-apa kerana sudah
menjadi kebiasaaan manusia ‘berat mata memandang berat lagi bahu yang
memikul’. Sama seperti kita menunjuk warna kepada manusia yang buta.
Mudah-mudahan Allah memberikan taufik kepada raja-raja dan para pemimpin kita
yang hidup dengan membazirkan milik rakyat.
Apakah sesudah negeri kita
menjadi seperti Bosnia, seperti Somalia baru kita hendak insaf dan bertaubat?
Apakah kita tidak melihat bahaya kuasa-kuasa besar yang ingin melihat negara
menjadi kucar-kacir supaya Amerika dan sekutunya England kembali memiliki kita?
Mengucaplah Tuanku, beristafar, sebelum segala-galanya terlambat. Ini giliran
saudara meminta ribuan ampun dari Tuhan dan datang kepada rakyat untuk meminta
maaf dan menghalalkan harta rakyat yang telah dibelanjakan mengikut sekehendak
hati.
“ingat-ingat Tengku; lagi akan ditanya Allah Taala pada hari kemudian akan
segala hal rakyat itu kepada rajanya. Dan lagi, Tengku, bermula-mula yang masuk
neraka itu segala raja-raja yang zalim ia atas rakyatnya... Maka janganlah
Tengku kira orang yang menjadi raja itu terlebih besar dan terlebih mulia
daripada rakyatnya melainkan orang yang terkecil lagi hina adanya. Iaitu hamba
segala hamba Allah.
Kesah Pelayaran Abdullah
Munshi
Sebelum saya
mengakhiri warakah ini, memandangkan bulan Ramadhan sudah hampir tiba, sesudah
itu muncul pula bulan Syawal yang mulia, Pak Habib menawarkan diri untuk
meleraikan pergaduhan antara Istana dan UMNO. Marilah berdamai
dan berbaik semula. Adat manusia memang tak sepi dari membuat salah dan silap. Lautan
mana yang tak bergelombang, bumi mana yang tak di timpa dek hujan. Itu
pun untung Tuanku-Tuanku semua yang jadi raja. Kalau kita entah macam mana?
Pak Habib
tahu mereka macam suami isteri yang berpisah dan tak bertegur sapa akibat marah
yang tak ketara, namun niat dihati masih nak baik semula. Lidah
dan gigi lagikan tergigit, inikan pula dua institusi yang macam gergasi
dalam satu telaga.
Marilah kita buang
yang keruh dan ambil yang jernih. UMNO lahir dalam istana, dan bila
mati pun, Al-Mutawakil juga yang menghidupkannya semula di dalam istana.
Kenang-kenanglah kebaikan orang yang kita musuhi kita mahu berbaik semula.
Siapa lagi
kalau bukan pemimpin UMNO yang diharapkan untuk meneruskan tradisi menjaga
raja-raja. Bukankah mereka yang meletakkan semula raja-raja di tempatnya? Dan
buat sementara dan satu ketika kepada siapa lagi raja-raja nak menyandarkan
nasib mereka?
Fikirkanlah,
kiranya perang dingin ini berlarutan, apa jadi pada anak cucu kita? Apakah satu
hari nanti kita cuma sanggup berkata, bahawa pada satu masa dahulu negara kita
ini adalah sebuah negara yang indah, permai, aman dan damai tetapi
akibat kelalaian, kesombongan dan kezaliman kita,
negara ini sudah bertukar menjadi padang jarak padang terkukur. Fikirkanlah
sebelum nasi menjadi bubur, sebelum
kita semua berpindah ke dalam
kubur.