Chat With Us LIVE!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, June 7, 2012

Politik Serpihan (1989): Ghost Busters Vs Ahli – Ahli Sihir Malayan Union


“England was prepared to grant political freedom to all her Colonial possessions as soon as a generation of intellectuals and politicians imbued through English education with the ideals of English culture were ready to take over but under no circumstances would the British Government for a single moment tolerate an independent Islamic state”

Petikan dari tulisan Lord Cromer dalam bukunya ‘Modern Egypt’ yang dihasilkannya dalam tahun 1908, iaitu 80 tahun yang lampau bermaksud:

“England sudah pun bersedia untuk memberikan kebebasan politik kepada semua takluk jajahannya sebaik sahaja satu generasi intelek dan ahli-ahli politik yang dididik menerusi pendidikan British serta dengan penyerapan nilai-nilai kebudayaan British sudah bersedia untuk mengambil alih. Namun, biar sesaat pun kerajaan British tidak akan bertoleransi dengan sebuah Negara Islam yang bebas dari pengaruh Barat.”










Tiga Perdana Menteri sebelum Datuk Seri Dr.Mahathir adalah mereka yang mendapat pendidikan Inggeris. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri yang pertama kalau kita selidiki kehidupannya, kebudayaan yang menjadi amalannya masih lagi jelas kebaratan. Mungkinkah kerana Mahathir bukan lagi mewakili gambaran orang yang dikehendaki oleh British baik dari segi kehidupan mahupun kebudayaan ataupun cara mentadbirkan negara dan bangsa, maka Mahathir kini perlu ditentang habis-habisan?

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia. (Qur'an, 13:11)

Jika disemak kembali, mengikut buku sejarah bangsa Melayu belum mempunyai satu sejarah yang agung yang dapat dibanggakan, sama ada sejarah sebelum atau sesudah merdeka.  Apakah kerana generasi yang terdahulu tidak mampu mencipta sejarah agung untuk bangsa Melayu, maka kita pun mesti membiarkan sejarah yang ditulis oleh mereka terutama mengenai Islam memperdayakan kita? Kini di zaman kebangkitan Islam kita mempunyai cita-cita besar untuk menjadikan bangsa kita setanding dengan bangsa-bangsa lain yang maju di dunia. Dari itu kita mesti berani mengkritik diri dan sanggup menghadapi apa saja ujian dan cabaran.

Kata-kata Dr.Mahathir di malam puisi panjang untuknya pada 24 April tahun 1982 seperti di bawah ini saya muatkan semula untuk renungan kita bersama.
“Saya mimpikan sebuah negara di mana tiada siapa yang papa – setiap orang adalah memadai cukup pakaiannya, sambil menikmati usia lanjut yang sihat – sebuah Negara di mana setiap anak kita menikmati pelajaran secukupnya agar nanti, bila tiba masanya, mereka akan berkemampuan mengambil tanggungjawab dari ibubapa mereka – lebih-lebih lagi, saya mimpikan sebuah negara yang akan dihormati dan dicontohi oleh setiap Negara lain di dunia ini.”     Datuk Seri Dr.Mahathir

Mimpi dan cita-cita Mahathir sedang dipraktikkan di perkampungan Al-Arqam. Di Al-Arqam tidak ada manusia yang menganggur. Mereka hidup cukup makan dan pakai serta bekalan pelajaran untuk dunia dan akhirat dan mereka hidup bebas dalam konteks Islam yang boleh dibanggakan.

Mari kita imbas kembali ke zaman Hang Tuah. Apakah kita sudah cukup berbangga dengan sejarah kepahlawanan Hang Tuah yang sanggup membunuh sahabatnya sendiri atas prinsip setia kepada sultan? Begitu juga dengan keberanian Hang Jebat yang menderhaka dan menjadikan saudaranya sendiri sebagai seteru dan yang bergelimpangan mati akibat pergaduhan mereka berdua adalah umat Melayu sendiri. Namun kini ada orang yang mahu jadikan Jebat sebagai hero.

Seorang mukmin tidak seharusnya dipatuk kali kedua oleh ular di lubang yang sama. Hanya umat yang meneliti sejarah saja yang dapat mempelajari dari lubang dan jurang yang pernah membawa celaka pada bangsanya.

Mari kita bertanya lagi, apakah kita sudah cukup berpuas hati dengan keberanian Dato’ Sagor yang sanggup membunuh Residen Inggeris di Pasir Salak? Atau Rosli Dhoby yang telah membunuh Dunken Stewart, Gabenor Sarawak? Sesudah itu Inggeris masih juga terus berkuasa dan yang jadi mangsa orang Melayu juga.

Apakah kemajuan yang telah dicapai oleh umat Melayu sama ada dari segi kerohanian pemikiran dan kejayaan kebendaan, ataupun sejarah kepahlawanannya yang boleh kita bangga-banggakan? Atau apakah sejarah bangsa Melayu masih lagi berada di tahap yang masih lagi boleh ditafsirkan sebagai “backward”?

Di Perak, orang Melayu sama Melayu masih terus juga bertelagah. Ramai di antara mereka yang tidak senang adanya kuasa di tangan pemimpin Melayu yang mereka anggap tidak sehebat dan segagah mereka dan mereka mesti binasakan orang yang lebih berjaya dari mereka untuk kepentingan politik kotor yang menjadi amalan politik cantas mencantas hari ini. Begitu juga di Sarawak dan di negeri-negeri lain di Malaysia.

Bilakah agaknya sejarah keagungan bangsa Melayu yang sebenarnya seperti zaman keagungan kesultanan Melayu yang dapat menegakkan politik bermoral serta kerjasama ilmuan serta pemerintahan yang dapat menegakkan keadaan akan berulang kembali?

Dari dulu hingga ke hari ini perpecahan demi perpecahan di kalangan bangsa Melayu tidak juga dapat diatasi dan masih berkeadaan seperti penyakit yang sukar diubati. Ianya sama seperti dalam masa kita sibuk menghadapi peristiwa Malayan Union dulu. Orang-orang Melayu ketika itu tidak mahu duduk dalam sebuah pertubuhan yang besar yang mereka sama-sama tubuhkan, iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Antara mereka sesama sendiri masih lagi terdapat golongan yang mementingkan kedaerahan dan kenegerian. Maka itulah sebabnya pada ketika itu tumbuhnya lebih dari lima puluh pertubuhan, kesatuan dan persatuan Melayu di peringkat daerah.



Pertelingkahan ideologi sesama ulama seperti yang terjadi antara Pusat Islam dan Al-Arqam masih juga berterusan seperti di zaman tahun tiga puluhan dulu, yang mana golongan ulama yang digunakan oleh British dengan beralasan sebagai penasihat agama kepada raja-raja Melayu telah menuduh ulama muda atau kaum muda mengamalkan ilmu salah dan menentang raja-raja Melayu.

Alhamdulillah Allah mentakdirkan. Dalam hati perut orang-orang British tumbuh satu macam keinginan untuk terus menjajah Negara ini dan memaksa ejen Raja-Raja dan bangsa Melayu, supaya menerima projek yang dinamakan Malayan Union. Disebabkan niat jahat British yang berhasrat menakluki Raja-Raja dan bangsa Melayu inilah maka tumbuhnya perpaduan orang Melayu. Bangsa Melayu bangun bersatu, tentang Malayan Union dan terus kepada perjuangan yang besar, iaitu menuntut kemerdekaan. Itulah semangat 1946 yang sebenarnya. Semangat perpaduan Melayu untuk menegakkan maruah bangsa yang berlandaskan Islam.

Tiba-tiba 42 tahun kemudian, timbul segolongan pemimpin Melayu menamakan golongan mereka sebagai ‘Semangat 46’. Mereka ini adalah dari golongan yang telah tewas dalam pertandingan merebut jawatan mengikut lunas-lunas demokrasi.

Tanpa memikirkan makna perkataan ‘semangat’ itu sendiri, mereka berbangga dipanggil ‘Semangat 46’. Menurut Kamus Dewan, ‘semangat’ ialah Spirit. Spirit itu maknanya hantu! Saya takut kalau-kalau hantu Harrold Mac Michael orang yang mengasaskan Malayan Union itu telah menyerap ke dalam semangat pemimpin-pemimpin 46. Ini kerana semua orang tahu British tidak mahu melepaskan negeri-negeri di bawah takluk jajahan yang telah dibebaskannya itu untuk menuju ke arah keislaman, seperti yang dihajati oleh British mengikut kata-kata Lord Cromer lapan puluh tahun yang lampau. Apalagi di bawah pimpinan Dr.Mahathir, ramai di antara saki baki anak-anak angkat British yang pernah mewakili Britain memerintah negara satu masa dahulu kini kehilangan kedudukan bila Team B yang disokong oleh Tunku dan Tun Hussein Onn tewas di tangan Team A dalam tahun 1987.

Apabila menyebut orang-orang Melayu bersatu pada zaman itu, iaitu dalam tahun 1946, kita tidak boleh melupakan jasa-jasa wartawan-wartawan Melayu yang berkhidmat dalam akhbar-akhbar Melayu, seperti Utusan Melayu di Singapura, Majlis di Kuala Lumpur dan Warta Negara di Pulau Pinang. Mereka menulis dengan serius meniupkan semangat setiap individu Melayu dan menyeru supaya bersatupadu, menentang projek Malayan Union dan menuntut kemerdekaan Negara dari penjajah British.

Sejarah merupakan satu-satunya khazanah bangsa. Jauh daripada itu, apakah kita cukup senang dan bangga dengan kemerdekaan negara kita melalui perundingan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman sehinggakan Inggeris sanggup berundur tanpa pertumpahan darah? Dulu mungkin kita bangga, tetapi setelah kita sedar yang kita ini dianggap lebih kurang macam kucing oleh Bapa Kemerdekaan, sedangkan orang-orang Inggeris dan Amerika macam harimau maka mulalah jiwa merdeka ini memberontak, kerana selama ini kita adalah satu bangsa yangberani, bangsa yang sanggup menyabung nyawa untuk mempertahankan maruah bangsa dan negara.

Sejarah silam menunjukkan betapa kita telah dipermainkan hingga kita terus jadi mangsa. Walaupun ramai pahlawan kita telah gugur akibat mangsa fitnah dan dendam, serta iri hati, namun mereka tetap pahlawan kita.

Kesilapan besar para pemimpin kita adalah kerana mereka tidak berani memberi sanjungan kepada pahlawan kita seperti Negara-negara lain di dunia. Sebaliknya mereka yang menjadi alat penjajahlah yang selalu diagung-agungkan dan diberi sanjungan.

Sesudah Malaysia merdeka, kita kehilangan Pulau Singapura dan banyak lagi pulau-pulau disekelilingnya. Tunku tetap juga dengan gelarannya Bapak Malaysia. Sandiwara apakah namanya ini? Kalau benar kita bangsa yang sudah merdeka, kalau benar kita mengamalkan demokrasi, kenapa kita taku bertanyakan hak milik kita? Tetapi kita terus membiarkan mereka yang menentang kerajaan terus mencabar dan mempersoalkan kedudukan pucuk pimpinan kita hingga timbul kacau bilau antara ummah?

Tunku Abdul Rahman, Dr.Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah, Musa Hitam, Ghaffar Baba tidak penting. Yang penting ialah prinsip. Yang penting ialah kebenaran dan kita mesti berani mempertahankan prinsip dan kebenaran.


  

Kenapa kita takut nak Tanya Yang Teramat Mulia Tunku? Kenapa beliau masih lagi belum menjelaskan kepada kita semua kenapa dan mengapa Singapura diserahkan tanpa membuat perundingan dengan orang Melayu? Kenapa beliau dengan senang hati telah menyerahkan sebahagian bumi Melayu yang sangat berharga dengan mudah sekali? Kenapa?

Kenapa kita masih terus membiarkan Tunku menjadi duri dalam daging kepada bangsa Melayu? Kenapa Tunku tidak biarkan rakyat hidup dalam aman? Bila lagi Tunku nak jadi seorang ayah yang baik dan adil?

Sementara Tunku masih kuat dan bertenaga tentu Tunku berani menceritakan kenapa beliau terus-terusan menentang Dr.Mahathir? Apakah marah beliau pada Mahathir itu personal? Semoga kemarahan dan keinginan ‘Semangat 46’ yang mahu menjatuhkan pemimpin ini dapat dihentikan dengan serta merta.

Tunku Abdul Rahman bernasib baik kerana rakyat Malaysia tidak memintanya membayar wang ganti rugi atas tindakannya. Seandainya beliau berada di Korea tentu beliau sudah jadi seperti Chun, bekas Presiden Korea Selatan.

Cuba Tunku tengok bagaimana rakyat Korea mendesak kerajaan yang ada sekarang supaya Chun memulangkan semua harta selain dari $20 juta wang parti yang telah pun dipulangkan. Bagaimana kalau orang Melayu desak Mahathir supaya tuntut Tunku suruh dedahkan rahsia penyerahan Singapura dan tuntut Tan Sri Othman Saat, Datuk Musa Hita, Rais Yatim, Ku Li dan lain-lain ahli Semangat 46 supaya dibawa mereka semua kepada pengadilan rakyat.

Jika majalah Far Eastern Economic Review mentafsirkan daerah Limbang bernilai US$15 ribu juta, Pulau Singapura yang menjadi pusat perdagangan, kewangan dan teknologi ASEAN tentulah bernilai berlipat-lipat ganda lagi.

Tunku nak bayar dengan apa? Tunku cuba-cubalah Tanya dekat Datuk Musa. Manalah tahu kot kalau-kalau dia masih simpan lagi duit-duit untuk derma rumah UMNO. Kenapa rakyat yang menjadi penyokongnya tidak mempersoalkan tulisan-tulisan saya mengenainya, sebelum mempercayai segala tuduhan dan kritikan Musa terhadap Dr.Mahathir serta kerajaan yang ada?

Musa Hitam sudah ditawarkan jawatan menteri tak berportfolio. Sepatutnya dia terima atau tolak saja. Kenyataannya di akhbar entah berapa kali dibuat, berunding dengan pengikut-pengikutnya entah berapa kali telah diadakan, dan buat kedua kalinya rundingan dengan Tan Sri Muhyiddin, Menteri Besar Johor akan diadakan. Akibat permainan Musa, ramai rakyat Johor jadi keliru dan bercelaru. Begitu juga Ku Li dan apa akan terjadi pada lima orang dari mereka yang dipelawa masuk jadi ahli M.K.T?

Bila kita korek cerita-cerita lama, tentu ada orang akan kata perbuatan ini satu dosa besar sama dengan memfitnah. Padahal kita sekadar bertanyakan sesuatu untuk rakyat berfikir, jangan dengar cakap sebelah pihak saja. Golongan serpihan tak habis-habis mengungkit-ungkit dan terus mencari salah UMNO dan Presidennya dan terus memburuk-burukkan kerajaan di bulan yang baik dalam ceramah-ceramah agama mereka untuk sambutan Maulidul Rasul.

Bekas-bekas pemimpin UMNO yang sudah jadi kaya raya dengan duit rakyat terus mengganggu dan cuba memusnahkan bangsa dan negara yang tidak berdosa? Penulis tak boleh sentuh mereka tetapi saya percaya rakyat yang bersikap kritis dan yang cintakan bangsa dan Negara dengan ikhlas akan dapat hentikan huru hara dan sengketa yang ditimbulkan oleh golongan serpihan ini? Jika mereka berani berfikir, berani membaca tulisan yang mendedahkan cerita yang sebenarnya.

Tunku dan ada di antara golongan serpihan turut terlibat dengan kemerdekaan. Mereka juga turut terlibat dengan mematikan UMNO hingga umat Melayu jadi huru hara hingga ke hari ini.

Bagaimana kalau kita bertanya apakah Tunku dan golongan serpihan yang sentiasa tidak pernah puas hati dengan kerajaan yang ada hari ini sama seperti yang didakwa oleh Lord Macauley dalam satu catatan kertas minit yang sangat tidak popular yang tertulis dalam bulan Februari 1836.

“To form a class of people who may be interpreters between us and the millions whom we govern; a class of persons, Indian in blood and colour but English in taste, in opinion, in morals and intellects.”

“Demi membentuk satu golongan orang perantaraan di antara kita dan jutaan manusia yang kita takluki, satu golongan manusia pada darah dan warna kulitnya sahaja India. Tapi, kehidupan, citarasa, pendapat, moral dan sifat inteleknya tetap Inggeris.”

India dan Malaysia adalah bekas tanah jajahan takluk Inggeris. Nasib yang saman dialami oleh orang Melayu seperti rakyat India kerana dipermainkan oleh golongan perantaraan yang menjadi pemisah antara Inggeris dan Melayu. Mereka inilah yang dikatakan talam dua muka.

Dan untuk menguatkan bahawa adanya orang Melayu yang menjadi ejen Inggeris terutaman di budang agama,Mr.Ewing dari Mission College semasa menjawab di dalam ‘Urdu Digest’ menyebut:
“While it id true that we have not succeeded much in converting people to Christianity, our objective is not limited to conversion. We want the students to be influenced by western culture, modes, habits and thoughts. True they (students) did not become Christians, but it is a measure of success that nobody passing through our institutions ever remains a Muslim in the true sense. If mission schools only achieve this much our investment is fully repaid.”

Kata-kata Ewing itu, jika diterjemahkan, bermaksud begini: “Sementara benar bahawa kami (Inggeris) telah tidak berjaya menukarkan agama pribumi kepada Kristian, namun matlamat kita tidaklah terbatas setakat penukaran agama sahaja. Kami mahukan para pelajar terpengaruh dengan kebudayaan, tatacara, kebiasaan dan pemikiran barat. Memang benar mereka (para pelajar) tidak menjadi penganut agama Kristian, namun itulah kejayaan kita kerana tidak ada seorang pun yang pernah menjejakkan kakinya dalam institusi-institusi kita keluar serta kekal sebagai seorang Islam dalam erti kata yang sebenarnya. Jika sekolah-sekolah dakwah ini hanyaberjaya mencapai yang sedemikian, maka kita bolehlah menganggapkan bahawa pelaburan kita sudahpun mendapat pulangan balik.”

Mereka yang sudah dididik dan masih menjadi ejen-ejen pemikiran imperialist barat merasakan penerapan nilai-nilai Islam, adanya Menteri Pendidikan yang berjiwa Islam adanya Menteri Penyiaran Datuk Mohd Rahmat, walaupun tidak berjubah dan tidak berserban dan tidak banyak bercakap mengenai Islam, tapi dari segi perbuatan telah menanamkan semangat cintakan negara melalui bendera dan perasaan setia dengan lagu setia, bukankah cintakan negara itu sebahagian dari Iman? Dan kesetiaan kepada Tuhan, Nabi dan pemimpin itu dituntut oleh Islam?

Cara Tok Mat mentadbirkan RTM kini ada mempunyai unsur-unsur keislaman dan menghidupkan budaya Melayu. Sebab itulah agaknya Tok Mat menjadi sasaran Musa Hitam dan kuncu-kuncunya di Johor. Sudahlah Musa Hitam seorang yang durhaka pada raja, pada parti kini mahu bawa bangsa Melayu ke kancah penderhakaan. Shahrir (kunci) telah menjadi macam murid saling tak tumpah seperti gurunya. Sekarang mereka berdua meluaskan pengaruh mereka agar rakyat Johor menderhaka sama pada pemerintah dengan menanamkan indoktrin yang bertentangan dengan agama dan adat. Siapakah yang nanti akan menjadi the real “Ghost Busters” untuk menangkap ahli-ahli sihir Malayan Union yang sedang bermaharajalela itu?

Sewaktu saya berada di Medan dalam bulan November 1988, saya diberitahu seorang teman bahawa di kota Medan ada orang-orang yang memuja-muja semangat orang yang telah meninggal dunia. Perbuatan ini dikenal sebagai jailangkung, dengan menambatkan sebatang pensil di bawah sebuah raga kecil. Setelah diberikan segala puji-pujian, raga itu akan bergerak dan pensil itu akan menuliskan segala apa yang dikehendaki daripada orang mati berkenaan.

Kerana hampir semua pertanyaan dapat dijawab oleh jailangkung tersebut, bagi orang-orang yang khusyuk mengerjakannya ada menjadi gila.



Nota: Tulisan di atas merupakan rencana saya yang tersiar dalam akhbar Mingguan Kota keluaran 11 Disember 1988, di bawah tajuk “Ghost Busters vs Hantu-Hantu Malayan Union”. Terima kasih kepada ‘Mingguan Kota’

(Artikel ini dipetik daripada buku “Politik Serpihan”,1988)
Istimewa untuk Putraku
Habib Omar bin Hussein bin
Alwee bin Abdullah bin
Abu Bakar bin Abdullah bin Talib bin
Hussein bin Omar bin Abdul Rahman Alattas



No comments:

Get your Tickets now!