Tidak boleh dinafikan apabila dua pihak yang sedang atau yang
mahu bertelagah, maka akan datanglah syaitan untuk menjadi penasihat kepada
salah seorang atau kedua-dua sekali. Andainya pertelingkahan itu merupakan
pertelingkahan politik, maka syaitan akan mengambil peranannya sebagai
penasihat politik.
Cucuk mencucuk, api mengapi ini memanglah kegemaran syaitan.
Seperti juga melatah dan mengamuk pula adalah salah satu dari tabiat orang
Melayu. Jadi kiranya ada penasihat-penasihat yang berlagak macam ini dalam
suasana politik kita kini, eloklah apabila kita bertemu mereka kita bacakan doa
“Ya Allah, lindungilah aku dari syaitan
yang kena rejam”.
Syaitan memang suka menghasut dan menggoda manusia supaya melakukuan kemungkaran seperti berzina, minum arak, main judi, dan menjadi penderhaka dan petualang. Syaitan akan terus menerus menggoda muslimin dan muslimat, menghasut kaum mukminin dan mukminat supaya meninggalkan fardu ain, melupakan ibadat fardu kifayah dan digalakkannya pula manusia bergelumang dengan noda dan dosa.
Apa bezanya dengan orang-orang politik yang suka menghasut
supaya ahli-ahli UMNO meninggalkan pemimpin mereka dan ikut menentang pucuk
pimpinan. Apakah ahli-ahli UMNO yang telah meninggalkan parti itu digoda oleh
syaitan yang sebenarnya atau manusia yang berhati perut macam syaitan yang
memakai topeng manusia. Apakah mereka terpengaruh dengan janji-janji masa depan
yang cemerlang atau memang sengaja mereka sendiri yang sudah merasa hampa,
kecewa dan putus asa kerana selama ini mereka berjuang untuk mendapatkan
sesuatu tetapi masih lagi belum memperolehinya. Kepada orang-orang desperado
yang mahu mengikut nasihat mereka, mereka jadikan boneka.
Kebimbangan kita kini ialah bila syaitan nampaknya mula
mencampuri hal-hal politik ummah, kerana memang permainan syaitan ini amat
besar. Contohnya, kekecohan dalam negara kita yang dimulakan oleh satu atau dua
manusia sudah melibatkan ribuan manusia.
Syaitan inipun jenis makhluk yang ilmiah. Syaitan tahu orang
politik senang dicocok-cocok dan orang politik sendiri pun suka main cocok-cocok.
Cocok sana, cocok sini, macam lagu iklan Mat Sentul ‘celup-celup’ Sekejap dia celup sana, sekejap dia celup sini. Hari
ini dia celup dalam UMNO, esok dia keluar, dia celupkan diri dia dalam
serpihan, kemudian keluar lagi dan celup balik dalam UMNO. Cocok sikit mereka
dah melatah. Apalagi syaitan pun menyediakan sekawah minyak panas untuk mereka
main celup-celup. Bila dah tercelup barulah mereka menggelupur dan menggelepar
kepanasan. Maka syaitan pun tepuk tangan melihatkan mereka malu tanpa
segan-segan. Jadi siapa yang mainkan siapa? Siapa yang cocok siapa?
Bila keadaan sudah jadi macam itu, mereka mula mencari
guru-guru silat politik. Maka mereka pun dimandikan dengan air penimbul.
Selepas mandi air penimbul, mereka merasakan mereka sudah kebal. Hilang takut,
timbul berani. Mereka mulalah tunjuk terror
sana sini, macam ustaz Ibrahim Azmi.
Mereka yang ada rasa benci, rasa hasad, rasa cemburu, rasa
tamak dan menyimpan perasaan dendam terhadap musuh politiknya tentulah lebih
mudah tergoda oleh syaitan. Apalagi kalau mereka pun ada sikit-sikit perangai
macam syaitan.
Cuba kita menyingkap kembali detik-detik sejarah tamadun
manusia. Kita lihat penglibatan syaitan secara langsung dalam politik anak-anak
Adam a.s
Mula-mula kita pergi ke Greek Purba, tempat lahirnya
Socrates, Aristotle, Plato dan Democritus. Cetusan pemikiran demi pemikiran
ahli-ahli falsafah ini telah melahirkan idea demokrasi yang amat tahan dan
teruji oleh masa ribuan tahun. Dewan (senate)
Parlimen yang pertama sekali di dunia lahir di Greek. Tapi, system pemerintahan
yang difikirkan sempurna itu akhirnya tercemar juga apabila Augustus Caeser
mati dibunuh akibat fahaman politik yang bertentangan.
Dari sejarah Greek Purba kita menyusul pula sejarah Mesir
tua, satu era yang ditandai oleh kegemilangan pemerintahan Firaun. Di zaman itu
soal demokrasi tidak timbul. Firaun memerintah rakyatnya secara ‘authoritarian’ yang tulen.
Bercakap tentang Mesir Tua, saya nak cakap sikit fasal Mesir
hari ini. Ini kerana Ustaz Ibrahim Azmi jaguh pemidato ulama celup adalah hasil
keluaran dari sebuah university di Kaherah, Mesir. Dan kebanyakan ulama yang
duduk buat benda-benda karut dulu dan hari ini di bidang politik, samada mereka
di dalam atau di luar PAS, adalah mereka yang keluar dari universiti-universiti
di Mesir.
Berbalik semula fasal cerita Firaun, Firaun yang menganggap
dirinya sebagai Tuhan, menyembelih bayi lelaki hidup-hidup kerana takut
kalau-kalau suatu hari nanti salah seorang dari mereka bangkit dan
menentangnya.
Kekejaman Firaun ini dinamakan ‘barbarisme’. Inilah barbarisme di dalam sejarah kehidupan
segolongan bangsa yang sudah bertamadun. Firaun lebih kejam dan lebih ditaktor
dari semua diktator yang pernah kita temui dalam sejarah. Namun, macam mana
kejam, macam mana diktator sekalipun Firaun, dia terpaksa tunduk dan mengalah
kepada seorang manusia yang bernama Musa a.s. Inilah kekuasaan Tuhan, boleh
memberi dan mengambil semua kuasa yang dipinjamkan bila manusia mula bersifat
kejam dan zalim dan merasakan dirinya Tuhan.
Para syaitan dan iblis yang memesong serta membinatangkan
hati Firaun tidak terdaya melawan kebenaran yang ditunjukkan oleh Allah swt. Di
situlah timbul firman yang berbunyi “bila
datang kebenaran maka yang batil akan gugur dengan sendirinya”. (Qur’an,
17:81)
Ahli-ahli UMNO yang tidak mengetahui tentang kebesaran Tuhan
tentu merasa hairan dengan adanya politik pancong memancong dalam UMNO hari
ini. Tapi bagi mereka yang membaca dan beriman pada yang ghaib tidak hairan
pada yang mahu menjadi diktator-diktator kecil di bahagian-bahagian dan
cawangan-cawangan UMNO yang baru dihidupkan semula. Mereka tahu apa yang telah
terjadi pada Firaun bersama pengikutnya yang akhirnya musnah ditenggelami laut.
Apakah mereka tidak tahu sejarah Firaun?
Maka tertawalah para syaitan. Seperti juga syaitan yang telah
ketawa berdekah-dekah terhadap ahli-ahli UMNO yang telah membunuh satu
pertubuhan yang pernah mereka agung-agung dan dewa-dewakan dulu.
Sesungguhnya syaitan dan iblis berjaya dalam perjuangan
menipu manusia. Begitupun syaitan dan iblis masih lagi belum puas. Lalu
digodanya serpihan-serpihan Bani Israel yang patuh kepada Musa a.s. Akibat
politik Syaitan, golongan serpihan itu terus menyembah seekor anak lembu
(Qur'an, 20:85-90) tatkala Musa a.s naik ke Bukit Tursina untuk mendapatkan kitab
Taurat.
Akibat dari menurut godaan syaitan akhirnya golongan Bani
Israel menjadi manusia serpihan. Manusia yang tercela dan hina di muka bumi
biarpun mereka kaum yang terdiri daripada para ilmuan dan cendekiawan dan
jutawan yang menguasai ekonomi dunia, tetapi mereka tetap menjadi satu bangsa
yang kejam, angkuh, zalim dan disumpah serta dihina dan dilaknat oleh Allah
swt.
Mereka hidup dalam buangan dan kancah kehinaan hampir 2000
tahun lamanya sebelum menduduki bumi Palestin. Itupun di atas bantuan Jemaah
syaitan-syaitan yang telah menghasilkan Pengisytiharan
Balfour dan Resolusi Liga
Negara-Negara. Namun mereka tidak mendapat rahmat dari Allah swt.
Daripada peristiwa Firaun dan Nabi Musa a.s, saya bawa pula
ke satu era politik Islam selepas wafatnya Nabi Muhamad saw. Ianya terjadi
kira-kira di abad ketujuh Masehi. Setelah wafatnya Rasulullah, kita dapat
menyaksikan adanya umat Islam yang rapat dengan baginda berjaya digoda oleh
syaitan kerana mahukan kuasa dan adanya perasaan ego dalam diri; iaitu puak
Muawiyah. Marilah kita namakan mereka ini Team
B. Mereka mahu menentang ahlul bait yang kita namakan Team A. Di situlah mulanya berpecah Islam menjadi dua puak yang
bertentangan.
Puak Muawiyah yang telah melakukan segala macam kemungkaran
yang ditegah oleh Islam, minum arak, berzina dan mengamalkan system ditaktor.
Muawiyah menggunakan pedang untuk melantik anaknya sebagai khalifah yang akan
menggantikannya sesudah dia mati. Inilah zaman yang memulakan kesultanan dan
kesyaitanan dalam sejarah Islam. Dan disitu jugalah lahirnya segala ulama-ulama
jahat yang menurutkan kehendak Muawiyah tanpa takut kepada Allah dan Rasul.
Mereka seolah-olah telah berbalik ke zaman jahiliah. Mereka
tidak lagi taat dan mengikut perintah Allah swt. Mereka tidak lagi taat dan
menghormati Saidina Hassan dan Saidina Hussein. Walaupun telah diberi ingatan
dan amaran namun mereka tetap tidak mahu menghormati para ahlul bait
sebagaimana yang diwasiatkan oleh baginda Rasulullah s.a.w
Seperti Qabil membunuh Habil, Zaid bin Muawiyah telah
memancong kepala-kepala Saidina Hussein bin Ali bin Abi Thalib, anakanda kepada
Fatimah Az-Zahrah, anakanda Rasulullah s.a.w dan semua putera puteri Saidina
Hussein r.a. Hanya Saidina Ali Al Zainal Abidin saja yang terselamat atas
permintaan Saidah Zainab. Saidina Hassan pula diracun. Ini kerana mereka fikir
selagi ada ahlul bait, mereka tidak boleh mengikut kehendak syaitan yang mahu
menyesatkan umat Islam kerana ahlul bait sanggup mati syahid demi
mempertahankan agama yang dibawa oleh datuk nenek mereka.
Tragedi Saidina Hussein dan keluarganya itu berlaku di
Karbala, Iraq. Sebelum itu, ayahandanya Saidina Ali r.a. telah dibunuh selepas
bersembahyang di dalam masjid di Najaf, Iraq, oleh komplot-komplot Muawiyah.
Bagaimanapun Ali Al-Zainal Abidin telah diselamatkan oleh Saidah Zainab.
Menurut Tarikh Ar-Rusul wal Muluk
susunan At-Tabari (5/457), Ziyad pernah berkata kepada Saidah Zainab, setelah
memenangi perang Karbala;
“Alhamdulillah segala
puji bagi Allah, yang telah membongkar rahsia kamu sekalian, dan yang telah
berkenan menumpaskan keluargamu, dan telah membuktikan cerita bohong kamu
sekalian!”
Dengan berani dan tegas, Zainab menjawab; “Dengan agama Allah, agama ayahku, agama
saudaraku dan agama datukku Muhammad s.a.w, ayahmu dan datukmu telah mendapat
hidayah.”
Ziyad terus terdiam tidak dapat berkata apa-apa kerana dia
sedar dia dan keluarganya yang angkuh telah derhaka dan tidak taat pada
Rasulullah.
Dipendekkan cerita, kesemua puak Muawiyah yang terlibat dalam
pembunuhan ahlul bait dalam tragedy Karbala itu akhirnya mati satu persatu
dalam keadaan yang mengerikan dan dalam kehinaan. Ini adalah satu sejarah hitam
yang patut direnungkan oleh umat Islam yang cintakan agamanya dan kasihkan
rasulNya Nabi Muhamad s.a.w, rasul dan pesuruh Allah.
Matlamat perjuangan syaitan tidak sahaja habis di situ. Syaitan
akan membawa sebanyak mana cucu Adam tanpa mengira agama, bangsa dan warna
kulit untuk menemaninya hingga ke dalam neraka jahanam. Semakin tebal iman
seseorang itu, semakin rancaklah godaan syaitan terhadapnya. Bagi orang-orang
yang sudah menjadi ‘member syaitan’,
syaitan tidak akan menggodanya lagi, kerana dia akan terus melakukan
kemungkaran demi kemungkaran. Semoga Tuhan membukakan pintu taubat untuk
mereka.
Pada mulanya kita dijajah, kemudian melalui pakatan
orang-orang Melayu yang sekaligus orang Islam menyaksikan kita memperolehi
kemerdekaan. Ketika itu persatuan umat Islam amat hebat sekali sehinggakan
tidak ada ruang untuk para iblis dan syaitan masuk menggoda. Tapi iblis nyata
lebih bijak. Iblis berjaya menggoda Presidennya yang pertama.
Dato’ Onn menjadi serpihan kepada parti yang diasaskannya
sendiri kerana ego. Sebab itu umat Melayu meninggalkan beliau keseorangan
kerana belum ramai pemimpin UMNO yang ego, UMNO pun selamat.
Begitupun UMNO asal terus kekal sungguhpun sudah ada
tanda-tanda yang menunjukkan adanya perpecahan dalaman di dalam parti.
Perpecahan dalaman ini sampai di kemuncaknya menjelang perhimpunan Agong 1987
yang melahirkan dua kem dalam UMNO salin bertelingkah. Tapi Tuhan mahukan kem
yang dipimpin oleh Dr.Mahathir menang.
Ini telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati
kepada para pengikut kem yang dipimpin oleh gandingan Musa – Ku Li. Seperti
yang saya sebutkan tadi bila ada sahaja golongan-golongan manusia yang
bertelingkah, iblis sudah tentu tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini.
Akhirnya dalam tahun 1988, UMNO yang sudah terlalu tenat
diisytiharkan mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Untuk menyelamatkan
jenazahnya dari terus dikacau syaitan, makan saya pun membacakan “TALQIN UNTUK UMNO”. Itulah akhirnya riwayat
hidup satu pertubuhan politik yang terbesar dan tertua dalam dunia demokrasi
moden.
Begitupun pawang-pawang yang menggunakan iblis terlalu ramai.
Mereka duduk memuja-muja semangat UMNO yang sudah mati itu. Bila UMNO baru
diwujudkan, maka lahirlah juga golongan serpihan yang memuja semangat. Mereka
namakan diri mereka Semangat 46. Ini
lebih kurang samalah dengan occulist dan
pengamal ilmu hitam, macam dalam filem Indonesia ‘Penangkal Ilmu Teluh’.
Perbuatan memuja semangat memanglah merupakan satu perbuatan
gila. Kalau dia tak gila pun, orang ramai mesti kata mereka gila sebab memuja
benda-benda yang sudah tidak lagi menjadi milik mereka.
Bila cakap pasal gila ada orang gila talak, ada orang gila
kuasa, ada orang gila duit, kemudian ada orang gila benda yang saya tak boleh
tulis di sini (benda boleh menghabiskan duit) ada pula yang gila babi. Gila
babi ini ada macam-macam punya gila babi. Ada yang terkena penyakit anjing
gila.
Yang kita takut dan yang kita bimbang ialah gila yang
berbentuk psiko. Bukan yang benar-benar psiko tapi gila yang sering terjadi
pada manusia siuman.
Kita tahu setiap tahun ribuan malah jutaan manusia merana
akibat penyakit tekanan jiwa. Sebab musabab berlakunya benda-benda yang macam
ini memanglah banyak. Kalau orang gila talak menghadapi tekanan yang maha hebat
sebab dia nak balik ke pangkuan jandanya, begitu jugalah dengan orang-orang
politik. Dulu dia nikah dengan kuasa, tapi bila kuasa itu bercerai darinya dan
menjadi seperti janda yang ada benda, dia pun terus jadi gila, macam orang gila
talak. Dan dalam golongan serpihan hari ini memang ada pun yang gila talak. Tak
kiralah lelakikah atau perempuankah. Jadi untuk melepaskan gian, mereka pun
terlalak-lalak sana sini. Nak maki lakikah, nak maki binikah tak dapat. Jadi,
terpaksa maki kerajaan. Maki Mahathir untuk menunjukkan bahawa mereka ini
adalah orang-orang perjuangan. Padahal mereka ini tergolong dari orang-orang
sakit. Para pembaca tekalah penyakit apakah yang sedang menghinggapi mereka ini
sebenarnya.
Perbuatan itu samalah seperti manusia yang sudah sasau.
Setiap hari ada sahaja pekerjaan yang karut marut yang dibuatnya yang boleh
menimbulkan kemarahan orang ramai dan kecelakaan ke atas dirinya sendiri.
Contoh-contohnya tak payah disebut. Watak-watak mereka tentulah kita dapat
melihat sendiri.
Begitupun para pesakit yang semacam
ini tidaklah semestinya tercampak di rumah sakit Bahagia dan Sentosa (yang dulunya dikenali debagai Hospital Mental Tampoi dan Tanjong Rambutan). Pesakit-pesakit ini
ada di mana-mana sahaja, kompleks membeli belah, di restoran-restoran, di tepi
pantai, malah di dalam bangunan Parlimen sendiri.
Namun begitu tahap kegilaan mereka
ini belumlah layak untuk dipanggil ‘orang gila’ dalam erti kata yang
sebenarnya.
Inilah yang disebut oleh
Dr. Thomas Szasz, seorang pakar penyakit-penyakit jiwa Amerika yang terkemuka.
Beliau menyatakan: “Some people argue
that there is no such thing as mental illness. Mental illness is not something
a person has but it is something he does.”
Sebenarnya orang-orang
gila bukanlah manusia-manusia yang hina. Begitu jugalah dengan manusia-manusia
serpihan .Mereka menjadi gila dan menjadi manusia serpihan adalah sesuatu yang
lumrah dalam hidup manusia yang ego yang akhirnya menyendiri bercakap seorang
diri.
Sekiranya
kita tidak dapat selamatkan mereka, marilah kita selamatkan maruah bangsa dan negara
kita sebelum tercemar dan jadi rosak binasa akibat kegilaan mereka.
No comments:
Post a Comment