Chat With Us LIVE!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, June 15, 2012

Politik Serpihan (1989): Gagak Meniru Ayam Hutan Berjalan


Sewaktu saya sedang minum coffee dalam kedai “CafĂ© De Paris” kepunyaan kawan saya di Kompleks Tun Razak, Johor Bahru, seorang pemuda dari Sabah menegur saya, katanya dia peminat saya, dia sudah membaca hampir semua buku saya termasuk Talqin Untuk UMNO. Sesudah memperkenalkan diri dan kawan di sebelahnya, dia mulakan pertanyaan.

“Apa pendapat saudara mengenai Parit Raja?”

Saya senyum tengok dia, dia meneruskan.

“Bagaimana, ada peluang Barisan Nasional boleh menang?”

“Apalah awak hendak fikirkan sangat tentang Parit Raja. Kalau mahkota atau Istana Raja yang dipertandingkan risau juga kita. Ini cuma Parit Raja saja yang nak disebutkan. Relaxlah.”

Dia tersenyum, dia tahu apa yang saya maksudkan.

“Saudara fikir bebas boleh menang lagi?”

“Zaman ikan kecil makan ikan besar, susah kita nak buat ramalan terutama kerana fikiran orang ramai kini tidak menentu.”

Dia tersenyum.

“Kenapa saudara bercakap macam itu?”

Kerana ‘politik piranha’ sudah bermula. Ikan pirana makan seekor lembu di dalam sungai dalam masa kurang dari satu jam yang tinggal rangka saja.

“Kalau begitu nampaknya kita sekarang berada di tahap yang bahaya.”

“Benar, itulah sebabnya banyak negara mengharamkan rakyatnya memelihara ikan pirana. Walaupun hanya seekor di dalam akuarium di rumah. Apa lagi di parit atau di sungai.”

“Saudara ini cakap pasal ikan ke cakap politik? Atau cakap politik dalam politik?”

“Terserah ikut pengamatan saudara, piranha biarpun tubuhnya kecil tetapi giginya besar keras dan tajam, lebih merbahaya dari jerung. Jika semangat piranha ini termasuk dalam tubuh orang politik tak lama lagi kita akan jadi macam Filipina, Iran atau Burma. Rakyat saja seronok nak jatuhkan kerajaan.”


“Sepatutnya di Parit Raja ini anak tempatan boleh menang kerana tempat ini pengundinya 90 peratus Melayu.” Dia mengalihkan perbualan. Tak suka cakap politik tinggi.

“Undi Melayu minority, saudara tersilap agaknya?”

“Maksud saudara majority undi Cina?”

“Bukan. Undi Jawa, bukan Melayu, bukan Cina.”

“Melayu dan Jawa itukan sama saja.”

“Itu di negeri lain, bukan Johor. Johor lain sikit sentiment kesukuannya kuat. Saudara tak percaya?

Dia nampaknya tak percaya.

“Saudara tahu Datuk Mohamad Rahmat itu dari suku Jawa sebab itu golongan Musa dan Shahrir tidak senang dengan dia, saya kenal Tok Mat semasa dia jadi Ketua Pengawas saya, sewaktu kami di ‘English College’ dulu.  Dia murid yang pintar. Seorang ahli olahraga, disebabkan dia anak Jawa, dia tak dapat biasiswa negeri Johor.”

Tahun lima puluhan dulu, anak-anak Jawa susah nak dapat biasiswa. Biasiswa Johor untuk golongan elit Melayu saja, sebab itu Tok Mat terpaksa pergi belajar di Indonesia.

“Macam itu sekali ke sentiment perkauman di Johor?”




“Awak cuba beritahu saya mana ada negeri lain yang ada kubur dagang? Orang dagang, dikebumikan berasingan dengan penduduk tempatan? Di Johor Bahru ada dua perkuburan, satu di Mahmudiah untuk orang Johor saja. Itupun ada tempat khas untuk Raja-Raja dan kerabat mereka, Datuk-Datuk dan Pembesar serta kerabat mereka saja. Rakyat ditanam berasingan.”

“Dulu orang Melayu bukan saja rapat dengan istana, mereka rapat juga dengan Inggeris kerana hubungan raja-raja Johor rapat dengan Great Britain sebab itulah pengaruh barat kuat di Johor. Hingga sekarang ini pun ada anak Johor yang sentiasa bangga dengan ego The Great Johor. Padahal zaman keagungan dan kebesaran pemimpin Johor kini cuma satu nostalgia.

Melayu lain terdiri dari keturunan Arab yang berkahwin dengan keluarga diraja. Arab keturunan Hadramawt yang terdiri dari Syed-Syed ini sama ada mereka berniaga atau mereka hartawan terkemuka. Ada di antara mereka yang dilantik jadi kadi, mufti dan imam oleh baginda Sultan sendiri. Disamping itu, ada juga Arab Yemen dan Arab Sengkek, bangsa badwi meniaga kecil-kecilan yang berniaga sambil menaja ‘celak kain celak kain’ dari rumah ke rumah. Itu aje kerja mereka ‘celah kain celah kain’ biarpun pada mulanya menjadi bahan tertawa suku Melayu. Akhirnya Arab-Arab sengkek ini ramai yang kahwin dengan perempuan Melayu, anak mereka dipanggil ‘Arab celup’. Satu sindiran yang mempersendakan suku Arab.

Jawa pula ada dua jenis. Yang biasa disebut Jawa totok dan Jawa kontrak. Kerja wak-wak Jawa kontrak ini jadi kuli di lading, jadi tukang kebun, yang satu lagi jual satay, soto, tempe, jual ubi, tapai ubi atau bekerja buruh mandor di P.W.D di T.C.J.B (dulu disebut Tombot yang bermaksud Townboard atau Majlis Bandaran). Orang India pun ada kelasnya juga, ada yang dari Ceylon, ada Kerala, dari Melbar sama ada Islam atau Kristian atau Hindu yang bertaraf paria, di mata suku Melayu mereka orang asing. Suku kaka dan mamak adalah yang kurang disenangi kerana mereka menguasai kedai-kedai runcit, kedai-kedai makan dapat duit bawa balik India, apa lagi kalau namanya yang sepatutnya bin tapi kerana keindiaannya, mereka kekal dengan panggilan ‘anak lelaki’ atau ‘son of’, orang Johor tak dapat terima mereka sebagai pemimpin hingga ke hari ini, ada pemimpin Johor yang berani mengetahui mereka secara terbuka kerana mereka rasakan mereka orang Melayu Johor jauh lebih mulia.

Orang Jawa dari lain bangsa yang datang ke Johor ini asalnya susah-susah belaka, maklumlah orang dagang merantau ke negeri orang. Cakap Melayu bukan betul sangat, sama ada suku Jawa, Arab, Mamak, India atau Cinanya sentiasa jadi ejekan dan hiburan segolongan anak Melayu untuk menghina mereka. Ada anak-anak Melayu dari golongan elit ini setengahnya saja diajar supaya pandang rendah pada orang keturunan Arab, diusiknya anak-anak Arab “Arab dogol minyak sapi, tumpah sikit banyak rugi. Arab dogol pisang kelat, satu panjang dua bulat”

Kalau Jawa pula digelar Wak Sontolayo, Wak Kang lah, Wak Ke Deng Kek lah dan macam-macam lagi gelaran yang menghina. Dapatkah perasan ego dan prejudis ini dipisahkan dari mereka yang memang tidak senang dengan orang yang mereka saja tak suka kerana mereka merasakan mereka lebih bijaksana dan mulia dan merekalah yang mesti jadi pemimpin negara.

Suku Melayu hidupnya mewah, mereka bekerja dengan kerajaan ada kedudukan dan siapa tak tahu ego dan suka berlagak dan bermewah segolongan orang Johor. Biar papa asal bergaya, sebab itu cukup bulan ramai pegawai kerajaan yang sembunyi takut dengan ceti. Bila pencen, Tuhan saja yang tahu hidup mereka dan anak-anak yang sudah biasa dimewahkan dan lupa daratan.

Orang Melayu kebanyakan tinggal di rumah-rumah kerajaan dan rumah sendiri. Mereka hidup penuh bergaya terikut-ikut dengan kemajuan Singapura dan keluarga elit yang berkiblat ke England dan Eropah. Gaya hidup pun seperti orang barat. Inilah penyakit ‘kebaratan’ atau ‘Euromania’ penyakit yang merasakan diri mereka lebih muia dari orang lain.

Keturunan mereka yang sudah biasa pandang rendah dan prejudis pada kaum mendatang seperti suku Jawa, India, Arab dan mamak tiba-tiba hairan. Kenapa tiba-tiba anak orang mendatang ini sudah mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dari mereka selepas merdeka? Sedarkah siapa mereka ini dulunya? Tidak hairanlah kini timbul perasaan kurang senang dan iri hati Musa dan gengnya bila seorang lagi anak Jawa akan menguasai politik negara, di Parit Jawa akan timbul Yasin Kemari, Setiausaha Politik Dr.Mahathir yang bertugas di Kementerian Kehakiman akan menjadi sasaran selepas Haji Masood di Johor Bahru.

UMNO dilahirkan di Johor oleh golongan elit Melayu. Setiausaha Agung yang baru, anak Jawa yang berapa kali ditekan timbul juga, dicantas dan dicuba bunuh oleh Datuk Musa Hitam. Tok Mat terus hidup juga dan jadi tambah popular. Berkat perangai Jawa yang sentiasa taat setia pada pemimpin dan negara yang menjadi darah daging suku Jawa. Anak Pak Rahmat ini terus dipercayai dan disayangi oleh DYMM Yang DiPertuan Agung dan Perdana Menteri. Musa makin hari makin tersisih dan golongan desperado. 

 

Musa Hitam lupa bahawa orang Jawalah yang beri dia peluang dalam politik, Siapa lagi kalau bukan Allahyarham Tun Sardon Jubir yang bawa dia naik hingga jadi menteri. Hari ini semua orang buat-buat lupa pada Allahyarham Tun Sardon, nama beliau tercicir dari senarai 46, anak Jawa yang dimatikan kariernya kerana dia suku Jawa.

Mereka lupa bahawa di Indonesia kalau bukan suku Jawa, jangan mimpi boleh jadi Presiden Indonesia.

Presiden, Timbalan Presiden dan jawatan penting dalam UMNO baru bukan lagi dari golongan elit Melayu, bukan lagi golongan Istana seperti dulu. Mana nak rasa seronok. Inilah sentiment dan masalah personal yang kecoh dan keruhkan politik Johor dan Semangat 46 yang sebenarnya.

Kita pun tidak boleh marah pengundi di Parit Raja, kalau mereka tak terima Tok Mat dan Mustapha Muhamad, biarpun kedua menteri ini sama-sama J.P macam kebanyakan pengundi di sana. Kalau tidak dahan yang digunakan untuk menebang pohon apa lagi? Bukankah burung juga yang digunakan untuk menangkap burung? Ada puak akan gunakan keikhlasan, kejujuran dan kesetiaan suku Jawa untuk jatuhkan anak-anak Jawa yang akan memimpin Malaysia satu hari nanti.

Allahyarham Tun Sardon Jubir, anak Jawa Johor yang pernah menjadi Naib Presiden UMNO. Beliau mengakhiri hidupnya sebagai TYT Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang dan merupakan orang yang membuka pintu politik kepada Musa Hitam. Tun Sardon mati dalam UMNO.

Maklum saja kadang-kadang anak orang susah ini bila sudah jadi pegawai tinggi atau wakil rakyat malu nak mengaku asal usul apa lagi kalau sudah pandai makan steak, potato chips, pizza. Lupa masa kecil dulu, pergil sekolah bawak bekal ubi rebus, keledek rebus, nasi sejuk dalam upeh, dalam daun pisang, jalan kaki atau tumpang di belakang basikal yang dinaiki dua tiga orang. Inilah silap satu dua orang anak Jawa yang tak sedarkan diri sanggup digunakan untuk rosakkan suku sendiri.

Sekarang sudah ada bisnes besar, ada Volvo, BMW atau Mercedes, tak tahu berapa lama boleh berlagak namun sana sini cakap tentang politik Jawa mainkan sentiment Jawa di Parit Raja. Dulu siapa yang sisihkan Jawaa dari politik Johor?

Mari kita cari kesalahan Dr.Mahathir untuk buka mata J.P.J.P di Parit Raja. Kita bandingkan dengan mereka yang nak merebut kerusi Perdana Menteri kita. Mahathir dah beri peluang pada Melayu macam Musa, macam Shahrir tengoklah apa jadi. Sekarang blia beri peluang pada anak Jawa marah, menderhaka jadi bebas.

Mahathir tak minum arak, tak berjudi, tak pergi kelab-kelab malam, tak bawa perempuan sana-sini, tak rosakkan anak isteri orang, tak tukar-tukar girlfriend Cina Melayu. Sana sini Mahathir usung Kak Asmah tulah. Mahathir tak main golf, hidupnya bekerja. Cari pelaburan tukarkan Malaysia jadi negara perindustrian, tinggikan imej Malaysia di dunia, dalam sibuk Semangat 46 buat kacau untuk huru hara dan rosakkan negara dan racun fikiran rakyat.

Pegawai kerajaan tak seronok bukan kerana Dr.Mahathir tak bagus tetapi mereka pukul lapan kena masuk kerja, kena punch card, tak boleh hisap rokok, mesti kerja lapan jam atau lebih, ini merosakkan rhythm mereka. Mereka biasa kerja dua tiga jam sehari yang lain ponteng, relax atau buat kerja-kerja sendiri tidak endahkan rakyat.

Apa juga suku kaum kita, kita adalah makhluk Allah yang bernama manusia dan Islam adalah agama kita.

Orang Islam tak patut jadi robot ikut bencikan pemimpin dan kerajaan kerana hasutan. Berfikir, pakailah akal fikiran yang waras. Allah bezakan kita dengan haiwan kerana kita beriman dan boleh berfikir. Kalau tidak orang putih tak kata “Dog is men’s best friend.” Kafir lebih menghormati anjing dari manusia sebab itu saya gunakan peribahasa Inggeris. Kejar anjing jangan keterlaluan, bila anjing tak boleh lari lagi, anda jadi mangsa terjahan yang tak sengaja.

Manusia boleh jadi lebih mulia dari malaikat sekiranya dapat mengawal nafsu.

Tidak ada bangsa yang lebih mulia dari bangsa yang lain. Kalau setiap kaum mahu nabinya sendiri berapa banyak nabi di dunia ini nanti jadilah kita macam kaum Qadiani, mengaku diri Islam tapi akidah dan nabinya tidak sama. Inilah akibat anti-establishment.




Orang Cina terima Gautama Bauddha kerana ilmu yang dibawa untuk kebaikan manusia, padahal Gautama anak raja India hampir seluruh umat di serata benua terima Nabi Isa a.s sebagai nabi mereka sedangkan Nabi Isa seorang bani Israil.

Satu pertiga penduduk dunia menerima Muhamad s.a.w sebagai nabi dan rasul, tak siapa pun mempersoalkan asal keturunannya macam golongan yang menentang Mohd Rahmat dan Mahathir. Kenapalah pemimpin UMNO Haram ini fikiran mereka tambah hari tambah sempit.

Kalau orang Kelantan mahu Presiden UMNO dari Kelantan, orang Johor dari Johor, sampai bila pun masalah orang Melayu tak akan selesai. Akhirnya kita tenggelam dalam ‘politik piranha’ di mana ikan besar menjadi makanan ikan kecil.

Menentang Mahathir kerana mahukan kerusi Perdana Menteri hanya akan memuaskan nafsu rakus dua tiga orang pemimpin desperado yang gila kuasa dan telah menjadi kuda tunggangan ahli perniagaan politik yang mahu jadikan rakyat negeri ini budak suruhan mereka yang terlupa diri seperti yang diceritakan oleh Jalal Al-e Ahmad penulis dari Iran yang karyanya dibaca para intelektual dari orang-orang kiri yang berpendidikan barat hingga ke kaum talabeh tua dari Oam.

Al-e Ahmad membandingkan bangsa Iran dengan burung gagak dalam kisah Sufi, karya Jalaluddin Rumi di mana burung gagak melihat seekor ayam hutan berjalan-jalan. Gagak tersebut kagum keindahan ayam hutan itu berjalan, dia pun meniru. Kerana terlalu lama meniru gaya ayam hutan berjalan, gagak lupa bagaimana gagak berjalan dengan sebenarnya. Namun, tidak pula berjalan dengan betul seperti ayam hutan.


Entah berapa lama lagi orang Johor yang sudah mencuba untuk menjadi ayam hutan akan tersedar perbezaan yang mana ayam hutan, yang mana gagak.

 Maka ingatan yang sebaik-baiknya kepada mereka yang egonya keterlaluan ini, kenallah diri kamu rata-rata sebelum kenal Tuhan yang nyata. Kamu tidak lebih dari seorang hamba.

Nota: Tulisan di atas adalah rencana saya yang tersiar dalam akhbar Mingguan Kota keluaran 9 Oktober 1988, di bawah tajuk “Faktor Jawa dalam Politik Johor, Ikan Kecil Makan Ikan Besar.”

Hamba yang sedar akan dirinya,
Ia akan malu selalu dengan Allah
Dirasakan budi Allah cukup banyak padanya
Pemberian Allah diterima dengan
hati yang puas dan redha,
Sekalipun pemberian itu berupa
ujian yang pahit. Sebab dia yakin
setiap pemberian adalah dengan
maksud baik dari Allah.

(Oleh Habsyah Yeop: dipetik dari majalah An Nasihah keluaran Januari 1989/Jamadil Akhir 1409)
  

1 comment:

T H E . M A L A Y . P R E S S said...

pickup line:

"Maka ingatan yang sebaik-baiknya kepada mereka yang egonya keterlaluan ini, kenallah diri kamu rata-rata sebelum kenal Tuhan yang nyata. Kamu tidak lebih dari seorang hamba."

Get your Tickets now!