(dari buku Perang Di Parit Raja)
Tidak pernah saya merasa begini berat hati hendak menulis
sebuah rencana untuk Mingguan Kota, sebabnya kerana saya terfikir bagaimana
orang yang waras akal dan rasional pemikirannya tidak dapat hendak membayangkan
bagaimanakah sebuah negara di dunia moden hari ini boleh diperintahkan dan
ditadbirkan dengan hanya menggunakan satu slogan iaitu semangat yang kosong,
tak tahulah saya melainkan dengan pemerintahan diktator?
Datuk Harun mewakili kumpulan Serpihan, yang kita tak tahu
hujung pangkal perjuangan pertubuhannya yang belum berdaftar tiba-tiba mahu
ambil alih pemerintah negara. Macam orang belum bernikah tiba-tiba saja mahu
melahirkan anak.
Rakyat mesti tahu amalan hidup pemimpin sentiasa berkait rapat dengan corak pemerintahan. Bila kita hubungkaitkan semua faktor-faktor ini, maka kita akan dapati bahawa ideology adalah satu persoalan yang penting. Mereka yang mahu memerintah wajib memberitahu kepada rakyat yang akan memberikan kuasa kepada mereka, ideology apakah yang akan dibawa dan diperkembangkan sekiranya golongan Tunku dan kumpulan serpihannya mahu menghidupkan UMNO lama itu memerintah negeri ini nanti atau salah seorang dari mereka dijadikan Perdana Menteri.
Kerja rebut-rebut kerusi macam bidan terjun ini bukan kerja
orang politik yang berpandangan jauh, bukan kerja seorang nasionalis.
Banyak persoalan yang dapat dikemukakan dan kalau kita rajin
bertanya maka kita tanyakanlah. Apabila kita tanyakan dengan secara
sungguh-sungguh maka akhirnya ada di antara mereka yang akan bertanya seperti
sebuah cerita yang telah diceritakan oleh seorang kawan saya kepada saya. Ada
pun ceritanya adalah seperti berikut;
Pada suatu masa dulu ada dua orang pemuda tinggal di dalam
suatu kampung. Ada pun kampung itu letaknya di Jajahan Gasang dalam sebuah
negeri bernama Kilatan. Yang tua bernama Ibrahim, timang-timangannya Brehim.
Yang muda bernama Abdul Rahman, timang-timangannya Deraman.
Pada suatu hari berlakulah satu perselisihan pendapat. Brehim
memberitahu Deraman ada seekor burung sedang hinggap di atas belakang seekor
lembu. Burung itu sangat besar dengan sayapnya yang berkilau-kilau. Apabila
Brehim memberitahu kepada Deraman, maka Deraman pun keluarlah untuk melihatnya.
Apabila Deraman melihatnya maka berkatalah Deraman;
“Bukan burung Brehim!” kata Deraman.
“Kalau bukan burung, binatang apa?” Tanya Brehim.
“Kambing Deraman!”
“Burung! Tengok kaki dia tu dua. Burung! Berahim”
“Kaki dua pun dah kambing, kambinglah!”
Tiba-tiba burung itu pun terbanglah ke angkasa. Maka berkata
Deraman.
“Tengok, dia terbang. Burung Berahim.” Deraman tetap berdegil
biarpun yang dilihatnya terbang itu burung, dia tetap berkata, “Terbang pun dah
kambing, kambinglah!”
Saya tahu Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua Semangat 46 tidak
akan senang bila ditanyakan sesuatu mengenai ideologinya. Apakah Tunku, Hussein
Onn, Ku Li dari golongan kapitalis atau pun feudal? Bagaimana pula dengan Harun
dan Rais Yatim? Apakah mereka ini sosialis macam Shahrir dan Musa atau
kapitalis macam Tunku dan Ku Li?
Sistem pragmatis yang menjadi amalan demokrasi kita boleh
berubah ikut mana ‘iman’ di depan
kita. Kalau imam di depan kita itu,
kita tak tahu sama ada dianya Islam, Qadiani, atau Bahai, kita main masuk dalam
saf di belakangnya, maka rosaklah sembahyang kita. Kalau dia Islam boleh juga
kita faraqahkan.
Mengikut Allahyarham Tun Razak, UMNO yang dipimpinnya adalah
sebuah pertubuhan politik yang pragmatis.
Jadi jelaslah di sini bahawa di antara sebab-sebab utama mengapa
Dr.Mahathir ditentang oleh golongan serpihan, terutama Tunku dan Ku Li kerana
mereka tidak setuju dengan ideology yang dibawa oleh Perdana Menteri kini.
Mahathir yang telah melahirkan buku ‘Dilema Melayu’ cuba membawa perubahan ideology mengikut cara dan gaya hidup dan
visinya yang tidak disenangi oleh golongan istana.
British dan barat merasakan kiranya Mahathir berjaya
menewaskan rancangan global barat terhadap bekas tanah jajahannya, ia akan
mendatangkan kesan yang buruk pada kuasa-kuasa besar. Kemerdekaan yang dibawa
oleh Mahathir tanpa pekikan merdeka adalah satu-satunya hakikat yang amat
digeruni oleh bekas penjajah kerana ia benar-benar akan menjadikan negara ini
Negara yang merdeka berlainan dari cara Merdeka Tunku.
Apakah orang Melayu sedar bahawa Barat sedang memerhati dan
merenung dengan mata tajam akan visi Mahathir terhadap negaranya. Kepercayaan
yang menjadi amalan Dr.Mahathir sudah mula secara perlahan-lahan difahami oleh
rakyat. Dalam masa yang sedikit lagi tidak mustahil akan menjadi ikutan. Dan
setengah-setengah pihak sudah nampak peluang yang Mahathir berikan pada para pelapis
yang tahu apa erti kemerdekaan yang sebenarnya. Visi Mahathir sudah mula tampak
jelas oleh rakyat yang berjiwa nasionalis melainkan mereka yang pura-pura
mengaku diri nasionalis tapi terus menjadi ejen-ejen pemikiran imperialis
barat. Ini semua amat ditakuti oleh Barat. Sebab bagi Barat, Malaysia adalah
sumber bahannya yang utama.
Dari itu mereka akan gunakan anak negeri yang sanggup
bersubahat dengan mereka untuk tentang Mahathir mati-matian.
Ejen-ejen imperialis barat mahukan setiap penganutnya mesti
terdiri dari mereka yang tidak ada asas agama, tidak taat pada Tuhan, tidak
taat pada rasul, tidak taat pada pemerintah di Negara di atas bumi yang mereka
pijak. Penjajah mahukan ejen-ejen mereka dari kalangan orang-orang yang tidak
berdisiplin dan tidak bermoral supaya bila mereka ini dijadikan pemimpin kelak,
mudahlah mereka akan jadi boneka.
Kuasa-kuasa luar, mahu kita semua terus hidup terjajah. Jiwa
raga dan agama kita juga mereka mahu jajah dan siapa lagi kalau bukan
boneka-boneka suruhan mereka yang dapat lakukan ini semua.
Maka sebab itu untuk mengetahui semua ini kita patut
mengetahui politik pertama yang bermula sebelum datuk kita Adam, diturunkan di
dunia. Dari itu, ikutilah cerita kejadian Adam dan bermulanya politik di dunia.
Nabi Adam a.s adalah manusia pertama yang dijadikan oleh
Allah s.w.t. Dia menjadi Nabi dan Rasul. Adam juga adalah manusia pertama di
muka bumi ini. Begitulah yang diajarkan oleh al-Quran.
Walaupun demikian yang diajarkan oleh al-Quran tetapi bukan
tidak ada pula orang yang percaya kepada teori Charles Darwin yang mengatakan
manusia ini berasal daripada sepsis beruk yang telah mengalami evolusi.
Al-Quran membawa berita benar bahawa tatkala Allah s.w.t
hendak menjadikan Adam a.s, Allah telah berfirman kepada para malaikat:
“Sesungguhnya Aku
hendak jadikan seorang khalifah di muka bumi ini.
(Al-Baqarah: ayat 30)
Maka berkatalah para malaikat sekalian:
“Mengapa Engkau hendak
jadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan kepadanya dan
menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan
mensucikan Engkau.”
(Al-Baqarah: ayat 30)
Allah s.w.t menjawab dengan berfirman:
“Sesungguhnya Aku
mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”
(Al-Baqarah: ayat 30)
Allah s.w.t menciptakan Adam a.s itu dari segumpal tanah.
Allah s.w.t kemudiannya telah meniupkan roh ke dalam Adam dan lalu
memerintahkan kepada iblis supaya sujud kepada Adam a.s.
“Sujudlah kamu kepada
Adam”
(Al-Baqarah: ayat 34)
Maka sujudlah sekalian malaikat, tidak ada satu pun yang
tertinggal dan ingkar kecuali Iblis. Iblis telah ingkar kepada perintah Tuhan
itu keran berasakan dirinya yang lebih mulia daripada Adam a.s
Demikianlah berita yang dibawakan oleh al-Quran tentang
makhluk Tuhan yang ingkar kepadaNya. Dengan terjadinya peristiwa itu, maka
bermulalah catatan dan sejarah keingkaran yang disebabkan oleh ego kerana
kejadiannya daripada api.
Iblis berasa dialah yang lebih mulia kerana asal kejadiannya
dari cahaya. Itulah egonya. Itulah iblis yang sangat angkuh, sombong, dan
bongkak adalah perbuatan yang tidak disukai oleh Tuhan.
Dengan keingkaran Iblis terhadap Tuhan itu maka bermulalah
sejarah penderhakaan dalam dunia Tuhan ini. Maka Iblis pun jadi makhluk yang
bebas, bebas menentang Tuhan yang menciptakannya, bebas membuat kemungkaran dan
segala kejahatan yang Iblis suka. Iblis telah membebaskan diri dari Allah.
Umat Islam yang berpegang kepada al-Quran dan al-Hadis
menerima perintah agar taat kepada Allah dan taat pada Rasulnya. Adapun Rasul
itu adalah pemimpin ummah pada zaman-zamannya yang tertentu. Adapun Nabi
Muhammad s.a.w itu adalah nabi akhir zaman. Beliau adalah pemimpin ummah. Dan
taat kepada pemimpin adalah ajaran yang dibawa oleh al-Quran.
Namun demikian bukanlah tidak ada orang yang mengikut contoh
dan sunnah Allah tetapi dalam waktu yang sama menurut juga contoh dan teladan
iblis kerana mereka ini berasa dialah yang pandai, dialah yang pintar, dialah
yang hebat, dialah yang bijak, dialah yang cerdik, dialah yang segala-galanya.
Mereka ini sedang menunggu masa kehancurannya. Akan tiba waktunya, cepat atau
lambat. Apabila tiba waktu itu maka mereka itu akan terhumban ke lembah
kehinaan serta kedurjanaan.
Begitulah pengajaran dan contoh teladan yang dapat diambil
daripada berita benar yang dibawa oleh al-Quran. Akibat dari perbuatan
ingkarnya itu maka terkeluarlah iblis dari syurga. Maka bebaslah iblis yang
lebih senang jadi bebas dari tunduk kepada khalifah pilihan Allah.
Sebelum ia dihantar keluar dari syurga, iblis telah meminta
kepada Tuhan agar memperkenankan permintaannya untuk membujuk dan membawa
sebanyak mungkin anak cucu Adam bersama-samanya. Allah telah perkenankan
permintaan tersebut.
Di sinilah bermulanya sejarah demokrasi ciptaan Tuhan. Allah
berikan iblis memancing undi membuat propaganda untuk menarik Adam hidup bebas
sepertinya.
Maka mereka yang tidak beriman dan tidak taat pada perintah
Allah dan Rasulnya akan terbujuk, terpengaruh, tertipu melaksanakan
kehendak-kehendak iblis di dunia. Di dunia dia bebas membuat apa yang disukai
oleh iblis dan di akhirat nanti tidak ada lainlah temannya kecuali iblis dan
syaitan. Dan neraka jahanamlah tempat tinggalnya manusia yang ego dan tidak
taat pada perintah Allah yang telah ditetapkan di dalam al-Quran.
Sesungguhnya banyak pengajaran dan pelajaran daripada
al-Quran yang boleh diambil oleh orang-orang yang tidak angkuh dan tidak
sombong. Orang yang sanggup mengalah, kalau dia dah kata kambing tapi yang
dilihatnya itu burung yang mempunyai dua kaki, dia tak akan kata terbang pun,
kambing juga.
No comments:
Post a Comment