Sambil
menghirup ‘sipping’ udara yang segar, nyaman dan bersih dinaungi oleh
langit biru yang cerah dan begitu indah, aku ‘bahagia, tenang, damai’
kerana dikelilingi oleh tumbuh-tumbuhan yang beraneka warna dengan daun dan
bunga-bunga ‘flora dan fauna’ di taman yang digambarkan di dalam
Al-Quran sebagai syurga Firdaus Naim Adni, ‘the garden of Eden’,
seperti dalam filem ‘The Lost Horizon’. Ayatullah Taqi Misbah Yazdi
tokoh filasuf dari Iran ketika minum pagi bersama saya di Gazebo tepi sungai
mengatakan bahawa taman ini boleh diibaratkan sebagai satu sudut syurga di dunia.
“Gambaran syurga adalah air sungai yang mengalir di bawahnya”. - Al-Quran.
Di dalam syurga tidak terdengar perkataan bohong dan sia-sia. Jiwa
penghuninya tenang dan damai.
Alhamdulillah.....
saya menarik nafas mengingati Allah SWT ikut hidung ‘Allah’ dan
menurunkan nafas perlahan-lahan ikut mulut ‘Hu’. Alangkah nikmatnya
hidup ini ketika kita masih boleh bernafas, kita lakukan solat ‘daim’
berhubung dengan Allah setiap saat ketika nafas masih turun naik sebelum orang
membacakan “inna lillahiwainna ilaihirajiun”. Dari Allah kita datang
kepada Allah kita kembali. “From dust to dust”.
Cuba
bayangkan apa ertinya semua yang saya bina ini jika saya tarik nafas,
hembuskan, tarik lagi nafas, nafas terhenti disitu tanpa mengucap ‘lailla
haillallah Muhammadar Rasulullah’. Alangkah ruginya saya jika tidak pernah
memainkan peranan saya sebagai ‘khalifah’ dan ‘hamba’ Allah dalam
satu waktu semasa bernyawa. Apa guna bila nama sudah tertinggal ke belakang Arwah
Pak Habib, jasad sudah bersatu dengan tanah baru nak beribadat, sudah
lambat. Lu fikirlah Bro.
Kita
hidup di dunia ini hanya sekali dan kita ada perjanjian dengan Tuhan kita
semasa dalam alam arwah, “tidak ku sembah selain Engkau Ya Allah”. “Alastu
birabbikum qalu bala shahid na”. Berapa ramai yang terfikir yang hidup ini
hanya tiga saat, tarik nafas, turun, tarik tarik tak turun turun lagi? Masa,
anak, isteri, harta itu dipinjamkan, ianya amanah bukan hak asasi kita. Kita
hidup dalam waktu yang dipinjamkan. Ego mengajar kita “my house, my car, my
son, my wife, I, me, my”. Tuhan letak kat mana? Lu siapa Bro? Saya terfikir
ilmu ‘hakikat’ ini sambil memerhatikan
ikan di dalam kolam, apakah apa yang ada dalam fikiran ini boleh saya
sampaikan pada para pelajar yang akan tiba sebentar lagi? Bila terfikir tentang
ikan, yang melihat hanya keadaan dalam air dan tidak diluarnya, teringat saya
akan manusia yang hanya mampu melihat dan merenung hidupnya dari lahir ke liang
lahat, tidak tahu akan hakikatnya sebelum lahir, dan arah tujunya sesudah mati.
“Wahai hamba-KU ! Bukan Aku ciptakan kamu daripada Adam a.s untuk memesatkan muka bumi ini dengan anak cucumu sahaja! Dan bukan bertujuan supaya kamu bermesra dengan-Ku; Dan bukan untuk memberi sebarang bantuan kepada kamu apabila kamu tidak berdaya mengerjakan suruhan-Ku. Dan sebenarnya Aku ciptakan kamu semua hanyalah supaya kamu mengingatkanKu dengan sebanyak-banyaknya, mengabdikan diri sepanjang hidupmu dan bertasbih kepada-Ku di waktu pagi dan petang.
Hadis Qudsi
Saya
usahakan taman ini sejak saya beli 25 tahun yang lalu untuk mendirikan pusat
pertemuan para intelek, para budayawan seperti di Taman Ismail Marzuki di
Jakarta (TIM), seperti Pusat Budaya Almarhum Rendra di mana kita adakan
pembacaan puisi, tarian dan pementasan drama. Kita ini dari satu rumpun bangsa,
bangsa Nusantara. Dari kayu-kayu terpakai (recycle), begitu juga dengan bahan
binaan yang lainnya, seni bina, landskap, arkitek dilakukan saya seorang diri
sebagai makhluk berdaya cipta. Bukankah itu yang dikehendaki oleh Pencipta
supaya kita berbakti terhadap insan yang lain? Selain berkarya sebagai seniman
kita perlu melakukan kerja-kerja seni bina. Sampai bila kita mahu tumpang
romance masa lalu kehebatan seni bina Islam di Cordoba Granada di Spain?
Saya
yakin dengan kekuasaan Allah biarpun tanpa bantuan moral atau kebendaan dari
sesiapa melainkan Dia. Bila datang pertolongan dari-Nya berbondong-bondong
manusia akan mengikuti kita. Saya ingin jayakan Alattas University Of Life
seperti Goenawan Muhamad Editor in Chief Tempo dan kawan-kawannya di Hutan
Kayu, Jakarta kemudian mereka berpindah ke Salihara. Siapa tahu ada
teman-teman yang nanti akan membantu untuk menjadikan tempat ini pusat
pertemuan para pemikir dan ahli falsafah dunia. Insya Allah.
Tujuan
Club Comrade dari UIA ke mari untuk melahirkan ‘pendakwah’, mereka mahu
berdakwah kepada orang Asli, itu kata Zulfikar, Presiden Kelab. Ianya satu niat
yang murni, memang setiap umat Islam mesti menyampaikan hatta sepotong ayat.
Tetapi orang yang mahu berdakwah mesti merdeka, tak boleh bergantung hidup pada
orang, disebaliknya orang ramai perlu bergantung hidup padanya sebab itu
dipermulaan Islam hamba abdi dibebaskan. Ini pun tujuan saya hidupkan Alattas University Of Life, saya belajar dari Socrates ahli falsafah Yunani sekitar
470 sebelum masihi masih tetap dipelajari kini. Socrates merdeka tak terhutang
hidup pada sesiapa, dia berani mengatakan jangan menyembah berhala.
Perjuangannya disambung oleh Plato, semuanya dapat kita baca dalam karya Plato
‘Republic’. Selain itu biografinya turut ditulis oleh Xenophon
dan falsafahnya mencapai kematangan pada gergasi dunia falsafah Aristotle. Dia
tak takut dihukum mati kerana kepercayaannya. Pada jam-jam sebelum sempat
berfalsafah, merumuskan bahawa jiwa manusia itu tidak turut mati dengan jasad.
Ini kerana kalau roh itu terdiri dari besi akan kalah pada karat, kalau kayu
kalah pula dimakan anai-anai, akan tetapi kalau rohani juga sifatnya, mestilah
ia berterusan hidupnya. Dengan kepercayaan inilah Socrates meminum racun
hemlock dengan berani meskipun lembaran sejarah tidak menyatakan dia seorang
Muslim dan fikirannya tidak berlandaskan tanzil atau wahyu, keberanian beliau
menghadapi kematian seharusnya menyedarkan kita, kerana bagi kita hari akhirat
sebahagian aqidah yang dipegang berasaskan ilmu.
Berdakwah
hari ini sangat mudah, kita hidup dalam dunia tanpa sempadan pada mereka
yang pandai menulis guna blog, facebook, twitter, tak payah buat kacau
di jalanan, bikin susah sesama manusia. Musuh paling berbahaya ada dalam
diri setiap manusia, yang kaya guna harta menawan hati fakir miskin seperti
yang dilakukan oleh Garib Nawaz di Azmeer Sharif atau ikut Sultan Ibrahim Adham
atau Buddha. Dua raja tokoh sufi yang berjaya mendidik jiwa manusia dengan membuang
cinta kebendaan kepada alam kerohanian. Dunia memerlukan pendakwah untuk
kembalikan manusia ke fitrah asal mereka sebagai khalifah yang berminda luas,
berilmu dan memiliki keupayaan berfikir.
Berdakwah
memerlukan ilmu pengetahuan tentang hakikat alam, hakikat diri insan. Tanah
Melayu pernah menghasilkan karya-karya tasawuf yang memiliki nilai aestetik,
mantiq dan metafizik yang tinggi. Rujuk sahaja perbincangan Hamzah Fansuri dan Nuruddin Ar-Raniri mengenai ilmu kewujudan Tuhan ‘wahadatul ujud’ yang
kajiannya telah pun dibukukan oleh Prof. Naquib Alattas. Ilmu pengetahuan dapat
dipelajari dari alam yang sarat dengan makna-makna rohani. Biar bagaimana pun
terlebih dahulu kita perlu tahu isi kandungan Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad
SAW. Pandangan alam Islam yang jernih akan menyiapkan aqal kita bagi menghadapi
falsafah-falsafah dan ISME, Isme yang mencabar jati diri umpamanya cabaran
sekularisasi, kapitalisme dan liberalisme.
Selaku
khalifah yang diturunkan oleh Allah SWT ke muka bumi, macam mana hendak
berdepan dengan wakil pemikir dari Barat jika mindanya tertutup? Diri manusia
sanggup menerima Al-Quran sedangkan gunung tak sanggup Al-Quran diturunkan ke
atasnya. Sampai bila kita akan kekal dalam sebuah negara yang infrustrukturnya
di peringkat pertama tetapi minda rakyatnya berada di tahap paling rendah? “Demi
masa kita hidup dalam kerugian”. Kenapa salahkan pemerintah? Ke mana
perginya para intelektual dan apa peranan media masa arus perdana? Ke mana
perginya ulama yang tidak mesra alam menterjemahkan Al-Quran yang hidup dalam
taman ini?
“Sekiranya
esok hari kiamat kamu tanam pohon” - hadith Nabi. Itulah sebabnya saya
telah tanam ribuan pohon dari beberapa negara. Siapa kalau bukan Nabi Nuh yang
menyelamatkan tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Dan siapa kalau bukan Nabi Khidir
yang digelar ‘The green prophet’? Baca karya Dr. Adi Setia, murid Syed
Naquib yang membincangkan falsafah sains Islam. Belajar dari pohon tentang
perkahwinan berlainan agama. Kita boleh kahwinkan lima jenis durian pada satu
pohon, begitu juga bunga raya, bunga kemboja, yang penting dari spesis yang
sama. Kita tak boleh kahwinkan pokok durian dengan rambutan, ditakdirkan
berbuah namanya apa? Buah ‘rambut duri’ atau ‘rambut duritan’? Lu
fikirlah Bro.
Setiap
mereka yang berfikir dan belajar dari alam, dia boleh terangkan pada umat Islam
yang mengatakan lelaki Islam boleh kahwin dengan perempuan Kristian, Buddha,
Hindu, Yahudi. Mana mungkin satu faham yang mengimani bahawasanya Tuhan
itu satu tidak beranak dan tidak diberanakkan digabung pula kisahnya
dengan Tuhan konsepsi lain, yang satu akan menanti dan membatilkan yang
selainnya. Anak tidak boleh dididik dengan mempercayai bahawa keduanya betul,
seperti kata pendukung Pluralis agama, akhirnya anak dibesarkan dalam keadaan
kebingungan.
Tanah
seluas 6 ekar ini milik saya, saya beli namun saya tidak boleh tanam pokok ‘ganja’
yang boleh menguntungkan saya dengan cepat kerana negeri ini ada undang-undang.
Saya tak boleh kata saya mengamalkan ‘liberalisme’ hak asasi manusia,
suka hati sayalah. Saya bebas, apakah kita boleh bawa ganja ke USA kerana saya
suka berdengung, isap ganja? Lu fikirlah bro. Apatah lagi kalau saya diberi
ilmu bahawa pada hakikatnya alam ini, negeri, dunia ini milik Raja yang Maha
Agung, yang Maha Adil, Maha Mengasihani yang menetapkan hukum-hakam untuk
makhluknya.
Saya
banyak belajar dari sungai yang mengalir turun dari gunung yang taat perintah
Allah, sungai tak tuntut hak asasi sungai, tak tanya Tuhan kenapa kena ikut
saja perintah Allah menuju ke laut. Apa salah sesekali nak jadi ikan lawan arus
naik hala ke gunung. Apakah kita semua tidak seperti sungai, sama ada
berlumpur, datar, laju, deras menuju laut? Bila sampai ke laut dia akan
dijernihkan kemudian akan diangkat semula ke langit sebagai ‘vapour’
sebelum diturunkan sebagai hujan rahmat kepada alam.
Bolehkah
saya buat apa yang saya suka atas tanah milik saya seperti saya berada di atas
perahu di tengah laut, saya nak buat lubang dibawah tempat duduk saya kerana
bila perahu ini tenggelam penumpang yang lain turut jadi mangsa kerana kita
terpengaruh dengan falsafah Nietzsche yang mengatakan Tuhan sudah mati. Atau
puak-puak yang mencabar kesahihan ayat dan hukum Tuhan yang berpendapat dirinya
lebih bijak dari yang mencipta, memberi rupa, memberi nama? Apakah kita sudah
baca pendapat Sir Iqbal yang keluar sesudah Nietzsche yang mengatakan
seandainya saya jumpa Nietzsche saya akan berikan ‘sirr’ rahsia Tuhan
kepadanya?
Soalnya
apakah mereka sudah mempunyai cukup ilmu untuk menjadi seorang ‘daie’
sedangkan mereka tak suka membaca biarpun sudah berada di Universiti? Model
yang baik boleh dipelajari dari ‘Mas Gun’ Goenawan Muhamad dengan
mengadakan kursus diskusi. Di Wadi Hussien juga mereka diajar ‘method
diskusi’ dari alam maya ‘nature’, jika Tuhan yang kita cari kerana Tuhan
ada di mana-mana. Terlebih dahulu apakah kita sedar Tuhan lebih dekat dari
urat leher kita? “Hadapkan wajahmu ke mana saja disitu ada aku”.
Siapa
tahu anda akan jumpa Tuhan di Janda Baik. Tuhan yang sebenarnya belum mati,
begitu juga Jesus anak tuhan dipercayai mati disalib oleh orang Kristian, yang
mati manusia yang menyerupai Isa a.s. sebab itu Nietzsche fikir kalau anak
tuhan boleh dibunuh masakan dia tak boleh bunuh bapa tuhan. Itulah susahnya
bila manusia tidak tahu yang mereka itu rahsia Allah dan Allah rahsia
manusia.
Teknik
yang dilakukan oleh Socrates sesi soal jawab tentang ketuhanan perlu diadakan
supaya kita tak menyembah manusia, yang disembah berjuta manusia apakah kita
ikut agama yang dibawa oleh tok nenek kita atau oleh Nabi Muhammad SAW? Kenapa
umat Muhammad masih mendewa-dewa dan menyembah manusia? Kita bebas mengamalkan hak
asasi manusia, asalkan kita faham bahawa kebebasan dalam fahaman kita
adalah kebebasan dari nafsu ‘haywaniyyah’ yang menjerumuskan kita pada
lembah kehinaan yang memeritkan jiwa insan.
Kita
selaku ‘Al-hayawan nun natiq’ (binatang yang boleh berbicara) menurut Prof Naquib
Alattas perlu menerangkan pada ‘orang kita’ tentang potensi serta daya
aqaliah (judicius power) manusia yang tinggi. Berapa orang pelajar di
UIA yang kenal siapa Prof. Naquib Alattas, apa lagi mahu membaca bukunya? Sebab
itu sebelum mereka belajar dari Prof Naquib mengenai ‘adab’ apa
lagi ilmu metafizik, mereka perlu disekolahkan dulu dari alam ciptaan Tuhan.
Nak tengok Tuhan tak nampak, belajar dari ciptaannya, bagaimana belajar sabar
dari pohon rambutan, belajar sifat memberi dari tumbuh-tumbuhan yang memberi
kita oksigen, daun-daunnya yang kita boleh makan, kita boleh tumpang berteduh
dan menyelamatkan kita dari ‘global warming’ (pemanasan global) dan
lebih penting lagi Din, ilmu agama menurut Prof Al-Attas diibaratkan
sebagai hujan bagi bumi yang tandus. Krisis ekologi dunia hari ini berasal dari
krisis ruhani insan. Bila dirinya di dalam neraka, ia diterjemahkan menjadi
neraka di sekelilingnya.
Apa yang
berlaku dinamakan ‘global warming’ akibat umat Islam tidak ikut perintah
Rasulullah SAW sedangkan tanggungjawab itu telah Tuhan berikan pada kita?
Seperti firmannya di dalam Al-Quran:
“Kamu adalah umat yang terbaik
yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh yang ma’aruf dan menegah yang mungkar,
dan beriman kepada Allah”
Al-Imran: 110
Di
Unilife sebelum berdakwah, kita perlu tahu hidup itu apa? Kehidupan itu apa?
Nyawa itu apa? Tujuan hidup untuk apa? Kita harus fahami terlebih dahulu bahawa
waktu itu dipinjamkan. Semua yang ada di atas muka bumi ini milik Allah. Kita
sekadar ‘trustee’, bila kita kenal siapa diri kita, siapa Tuhan kita,
baru kita boleh fokus kepada jiwa raga manusia melalui alam di keliling kita.
Namun sebelum kita lakukan kegiatan tabligh, ceramah, pidato dan
kegiatan-kegiatan sejenis, kita perlu ‘muhasabah’ diri ini dulu. Lu
siapa, asal dari setitik air mani yang hina mahu ego, mahu menuntut kebebasan
liberalisme. Bolehkah seorang hamba yang belum bebas dari ikatan dengan tuannya
berbuat sesuka hati? Adakah kita yang menjadikan diri kita, memberi rupa dan
citra, rohani dan jasmani bagi diri? Bebaskan diri dari ego, dari tipu daya
syaitan dan nafsu haiwaniah. Bila bebas kita dari cengkaman nafsu, dari minda
tertawan, barulah kita layak bergelar khalifah kerana kita menepati tujuan
penciptaan kita.
Mereka
akan berada di sini selama beberapa hari. Kata-kata yang baik, yang mengandungi
makna-makna yang benar boleh mengubah manusia, bila yang dihubungi itu adalah
aqalnya dan qalbunya, makna-makna ini akan menjadi benih yang melahirkan
haruman dan pohonan, hingga yang mendengar menjadi taman yang berjalan. Oleh
sebab itulah di Wadi Hussien saya lebih gemar bersembang dari berceramah kerana
suasana yang santai memudahkan perpindahan makna-makna tadi. Saya tidak gemar
ceramah yang penuh hasad dengki dan kebencian, kata-kata begini ibarat menuang
sampah basah dalam diri pendengar. Selain disiapkan tempat tinggal, ada dewan,
ada pentas, ada surau, diadakan juga dapur untuk mereka memasak sendiri kerana
masakan para pelajar mampu menempah makanan dari luar ‘catering’
melainkan ada manusia yang bermurah hati. Takut jadi musuh Tuhan dengan sifat
bakhil, hak manusia yang diwajibkan Allah sebagai sedekah jadi milik peribadi.
Seandainya saya punya team seperti ‘Mas Gun’ di Malaysia juga kita mampu
melakukan apa yang dilakukan oleh Salihara di Jakarta.
Hak
anak-anak yang menuntut ilmu ini adalah tanggungjawab mereka. Mereka ini adalah
‘anak bangsa saya’ yang bakal mewarisi dan menjaga kelangsungan agama
bangsa dan negara. Siapa kalau bukan kita yang mesti membantu mengikut
kemampuan kita selaku khalifah? Itulah dakwah kepada orang yang terlupa
kekayaan itu amanah, lebih mudah jadi orang miskin yang taqwa, beriman, redha,
dari orang kaya yang lupa daratan.
Kita
selaku ‘hamba’ dalam masa yang sama kita juga khalifah. Kita adalah
manifestasi Tuhan ke atas muka bumi, tugas kita selaku ‘trustee’ selain
memikir masa depan anak cucu cicit kita, bagaimana tanggungjawab ‘hablum
minannas’, memikirkan ‘anak bangsa kita’ serta hamba Allah yang
lainnya? Ruginya manusia yang tidak kenal diri, tidak kenal manusia di keliling
mereka. Sebagai seorang khalifah Allah kita mempunyai tanggungjawab yang besar,
jangan hanya pandai sebut ‘Allah hu akhbar’, shahadat ‘la’
bererti kita tak ada, yang ada, yang menguasai segala-galanya di atas muka bumi
ini ‘illahi’ zat Allah yang maha nyata. Jiwa kita perlu besar, jangan
ego saja besar cakap besar retorik. Tidak perlulah retorik bercakap mengenai ‘bangsa
kita’, ‘my people’ sebagai amanah Tuhan pada kita. Belajar dari John
F. Kenneddy ‘ask what you can give to
your country, not what your country can give you’.
Mahu jadi
pendakwah yang kritis harus sanggup berjihad segala-galanya untuk Allah.
Sanggup beri kesedaran dan keinsafan kepada pemimpin tentang tanggungjawab
mereka. Jangan takut bercakap benar, jangan sembunyikan kemungkaran. Jangan
biarkan masyarakat tenggelam dalam urusan cinta dunia, bebas melakukan kehendak
syataniah atas nama liberalisasi. Jangan sesekali takut mati untuk
mempertahankan agama, bangsa dan negara. Dalam masa yang sama jangan buat kerja
bodoh ikat bom di badan bunuh diri dan bunuh orang yang tak berdosa. Kebebasan
Nafsun Natiqah untuk menundukkan nafsu haywaniyyah manusia itu siapa?
Dari mana? Kalau dari beruk, kata Darwin, maka haywaniyyahlah yang ingin
bebas merajalelai diri. ‘Monkey see monkey do’. Akan tetapi kalau
datangnya kita dari alam yang lebih tinggi yang diturunkan pada Asfala-Safilin,
serendah-rendahnya, seharusnya kita ingin kembali pada keadaan Asali yang rapat
dengan Rabb Al-Alamin.
Syed Moinuddin Hasan Chishty yang juga dikenali sebagai Garib Nawaz menterjemahkan
mesej ‘hablum minannas’, ‘kasih sayang’ sesama manusia.
Melalui dirinya yang pemurah dan penyayang, pembela fakir miskin dan rakyat
marhain. Itulah sebabnya beliau digelar Garib Nawaz. Saheb menghuraikan makna ‘kasihnya
Allah’ kepada makhluk-Nya. Mengikut falsafah Al-Quran tentang kesatuan
antara manusia dan Allah mengikut agama Islam kita perlu berusaha mencungkil
potensi kemanusiaan untuk seluruh manusia yang Tuhan ciptakan untuk menjadi
khalifah Allah di atas muka bumi ini. Khwaja ‘Saheb’ Garib Nawaz
menolak semua harta dunia dan memberikan segala harta miliknya kepada fakir
miskin. Ini sifat memberi yang ada pada ‘wali Allah’ mengikut sunnah
Rasulullah SAW yang tidak takut kepada kemiskinan bila mereka yakin Tuhan kita
Maha Kaya. Lebih banyak kamu beri, lebih banyak kamu dapat dari Allah SWT.
Tangan yang memberi lebih mulia dari tangan yang menadah di bawah. Tidak ada
manusia yang papa kerana bersifat pemurah.
Tuhan
suka kepada keindahan, Tuhan Yang Maha Indah, maka persembahkanlah yang
terindah dan yang kamu paling sayangi untuk Allah dengan seikhlas hati. Inilah
‘legacy’ yang akan saya tinggalkan, sampai bila kita bergantung kepada
kehebatan jurubina di Spain Taman Air ketika kegemilangan Islam? Kenapa tidak
kita bangunkan arkitek landskap Islam di bumi bertuah ini supaya mereka nampak
dan rasakan Islam sebagai ‘peace and tranquility’ dalam taman yang
menterjemahkan sifat jiwa kita yang indah dan ingin menghasilkan keindahan.
Hanya tamadun yang bersifat haywani semata yang mempergunakan daya-cipta dan
daya fikir insan untuk menghasilkan penipuan dalam bidang periklanan, yang
sanggup mengotorkan ‘qalam’, pen yang mulia sebagai wartawan yang
menuliskan kisah yang bohong, yang mengajak pada pembaziran dan kemaksiatan,
yang melacurkan Qalam yang agung. Bagi pembida tertinggi sifat kalam, yakni
sifat berkata-kata milik Dzat yang maha suci yang dipinjamkan ahli politik yang
menggunakannya menyebarkan kebencian dan penipuan.
Tanggungjawab
kita sebagai seorang khalifah bukan mudah, selain berbakti kepada manusia, tak
lupa pada binatang dan tumbuh-tumbuhan, dalam masa yang sama kita perlu
berdakwah menjadikan diri kita ‘muaddib’ pendidik. Itulah antara tujuan
saya membuka taman ini kepada orang ramai dan menghidupkan The University Of Life.
Dari
pengalaman yang saya pelajari dari taman yang telah saya lawati hampir di empat
penjuru alam syahadah termasuk taman tergantung Babylon. Selain menghidu
bau-bauan yang harum ‘aroma teraphy’, mendengar nyanyian burung-burung,
percikan air sungai ‘hearing teraphy’, bunga-bunga yang berwarna-warni, menikmati warna warni ‘colour teraphy’
menghidupan sel-sel yang hampir mati tanpa kita sedari kerana kehebatan ‘Chi’
oleh mereka yang tahu ‘feng sui’ yang mengerti apa itu ‘Yin’ dan
‘Yang’.
Saya
ceritakan pada mereka kenapa saya cipta taman yang disusun begitu rapi agar ia
dapat memenuhi kelima-lima panca indera. Mata kita tak berguna tanpa
penglihatan, begitu juga telinga tanpa pendengaran, hidung tanpa menghidu
bau-bauan, lidah merasa nikmat makanan, kulit terasa sentuhan dan jiwa dengan
kedamaian. Cerapan pancaindera sampai pada ruh yang sakit.
Allah
S.W.T menciptakan manusia adalah untuk mengabdikan diri secara ‘mutlak’
kepada-Nya.
“Dan Aku tidak menciptakan jin
dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu”.
Adz- Dzariyat: 56
Konsep kebebasan
liberalisme yang dicanangkan tanpa konsep keadilan akan menghasilkan kecelaruan
kerana keadilan adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya manakala kata lawannya
adalah Zalim. Ia merupakan kezaliman
meletak ikan di rumput, mencampakkan kucing ke laut. Memang benar kebebasan dan
toleransi akan menghasilkan daya kreativiti. Sebaliknya jika terdapat kekangan
yang ketat, maka akan merencatkan daya kreativiti namun kita harus bertanya
kreativiti untuk apa? Sebab itu kita perlu tahu siapa kita selaku manusia di atas
muka bumi? Apakah kita yang mencipta bumi, tanah yang kita beli ini atau kita
dicipta? Siapa pencipta? Untuk apa kita dicipta?
Sekiranya
liberalisasi dibiarkan, misalnya taman yang saya bina ibarat syurga ini saya
jadikan tempat persinggahan bagi sekumpulan manusia yang mahu hidup
bertelanjang seperti di zaman Nabi Adam dan Hawa semasa di syurga. Adam dan
Hawa juga Islam. Apakah orang kampung dan Majlis Agama Islam akan bertoleransi
bila saya kata ini hak asasi manusia?
Jika
liberalisasi dibiarkan berlaku secara berlarutan maka akan terbantutlah potensi
umat Islam untuk memajukan diri mereka berdasarkan acuan Al-Quran dan Sunnah,
kesempurnaan jiwa yang mengikut Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW yang ada dan
ia tidak memungkinkan anak-anak bangsa untuk berlari dan bersaing di persada
yang lebih besar kerana tak ada beza antara kita dengan mereka yang tidak
percaya pada Allah yang menurunkan hukum, Islam cara hidup yang paling
sempurna.
Bagaimana
mahu mengembalikan masyarakat yang pemikiran dan jiwa mereka yang telah
dirosakkan oleh budaya liberalisasi dan hak asasi manusia pulih menjadi baik?
Cukupkah menerusi ceramah di depan pelajar dari menara gading jika kita sendiri
pun sekadar pandai bercakap, ‘cakap tidak serupa bikin’? Mereka
mahu ‘role model’. Bagaimana mahu tegakkan sebuah Negara Islam
sebagaimana yang diharap-harapkan oleh golongan Muslim menerusi politik tanpa
mengIslamkan jiwa dan diri kita?
Ingatlah
bahawasanya dunia ini hanya sementara, kenapa hendak tamak haloba, lubang kubur
sempit, lebar 4 kaki, dalam 6 kaki. Paling banyak barang yang boleh tersembunyi
dalam kain kapan, kad kredit, buku cek, dan telefon bimbit. Semua itu tak boleh
digunakan kerana perhubungan kita dengan dunia sudah terputus.
Yang dapat mengendalikan Islam
itu pada hakikatnya ialah syariat ketuhanannya yang suci, yang tidak membezakan
antara bangsa dengan bangsa, yang dapat mempersatukan pandangan dan fikiran
umat. Tidak ada tinggi dan rendah ukuran iman dan agamanya, kecuali tidak
sungguh atau sungguh-sungguh hendak mempertahankan kemurniaan dan kesucian
syariat Tuhan.
Syed Jamaluldin Al-Afgani
Jika
lebih lima dekad lalu, anak-anak bangsa negara ini mula membina tapak untuk
mentadbir urus sendiri negara bangsanya dan untuk memulakan pembangunan fizikal
dan material untuk anak bangsanya, namun, perjuangan sebenarnya tidak pernah
berhenti untuk terus dilakukan kerana pengaruh dan penjajahan tidak pernah
berehat untuk menyerang dengan pelbagai bentuk dan pendekatan terutama
menggunakan hak asasi manusia dan liberalisasi berlandaskan pandangan hidup
masyarakat Barat yang dahagakan kebahagiaan yang tak kunjung tiba. Akan tetapi
virus ini mudah sahaja diterapkan, dijangkitkan pada masyarakat Melayu Islam
yang hilang makna diri dan pendidikan.
Tesis
penamatan sejarah dan manusia terakhir (End of History and The Last Man) oleh
Francis Fukuyama harus dibedah, dikaji semula. Tidak mungkin masyarakat
liberal-kapitalis adalah yang terbaik yang mampu dicapai tamadun manusia.
Masakan tidak, tesis ini sudah dihidupi oleh negara-negara maju seperti Amerika
yang menemui kebuntuan, yang melalui krisis akhlak dan krisis kewangan yang
bertitik tolak dari sifat tamak, runtuhnya institusi kekeluargaan akibat
pengaruh liberalisasi. Seharusnya para intelek, ahli akademik dan think-tank
renung dulu adakah sistem ini yang terbaik untuk insan mencapai kebahagian?
Setiap
manusia mahukan kebebasan, yang penting ialah keadilan dan kesamarataan seperti
yang diperjuangkan oleh Nabi Muhammad SAW, tak ada beza antara yang kaya dan
miskin, yang kulitnya putih, sawo matang, kuning atau hitam, tak ada kasta
sesama manusia. Pembangunan dan peradaban kemanusiaan masih boleh berlaku
sekiranya keadilan dan kesamarataan dituntut seperti mereka menuntut
liberalisasi dan hak asasi manusia. Kalau tidak proses tersebut akan berlaku
dengan pincang. Seterusnya, ia tidak akan dapat dicapai secara sempurna dan
tuntas selagi pemimpinnya bukan seorang ‘wali Allah’.
Mungkin
secara fizikalnya, kita dilihat berada bersama-sama dalam arus pembangunan dan
kemodenan, tetapi rohani dan pemikiran anak bangsa terus menjadi sasaran dan
mangsa atas nama kebebasan dan hak asasi manusia.
Jasad
manusia dibentuk sedemikian rupa supaya dapat memikul tanggungjawab penting
dalam kehidupan ini iaitu menjadi penguasa alam sebagai khalifah Allah S.W.T di
atas muka bumi ini. Ia bertanggungjawab memakmurkan kehidupan di bumi.
Tanggungjawab ini memerlukan jasad yang sentiasa sihat dan seimbang. Oleh
kerana itu manusia selain wajib menjaga kesihatannya terutama sekali melalui
cara pemakanan. Makanlah makanan yang ‘halal’, ‘halalan tayiban’
bukan dari hasil rasuah, menyamun dan melanun harta rakyat, makan harta anak
yatim dan menipu secara berniaga.
Sampai
bila pun ‘mind set’ tidak berubah. Lebih ironis, muslim hari ini
Islamnya sekadar pada Mykadnya saja kerana Muslim begini tiada ilmu, tiada jati
diri. Kalau ulama sekadar fiqah, masih belum mampu membedakan gejala dan fakta
secara sophisticated (mu’aqqad) atau metod analisis (sighat al-tahlil) dalam melihat fenomena di sekitar kita secara objektik dan
jujur. Masih saja ada umat yang belum mampu membezakan mana ajaran Islam yang
asli dan benar, dan mana budaya-budaya yang sesungguhnya tidak ada sangkut
pautnya dengan Islam perlu diterapkan jiwanya dengan ilmu tauhid, hakikat,
tarikat dan makrifat.
Kerana
keberanian Sheikh Abdul Qadir Jailani keluar dari rumah, sanggup meninggalkan
ibu untuk menuntut ilmu, untuk menghidupkan Islam yang mati di zamannya. Di
Iraq Abdul Qadir digelar Muhyiddin yang menghidupkan agama. Pelik tapi benar,
kerana tak berani berbohong, taat pada perintah ibu jangan cakap bohong, Abdul
Qadir menceritakan kepada perompak yang menahan kabilah di tengah padang pasir
yang ada wang yang tersembunyi yang dibekalkan oleh ibunya kepada perompak
akhirnya penyamun menjadi muridnya yang pertama. Rule nombor satu, ‘berani
berkata benar’, ikut pesanan ibu jangan berbohong, bayang jika kita ikut
pesan guru, pesan Al-Quran, “bila timbul kebenaran yang batil akan pupus
dengan sendirinya”.
No comments:
Post a Comment