Chat With Us LIVE!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, July 20, 2012

PENYAIR YANG DILUPAKAN (dari buku Surat Khabar Lama, 1995)




PENENTANG ARUS. Itulah S.H. Alattas. Tidak ada perkataan lain yang lebih tepat untuk menggambarkan manusia unik ini.

Dalam arena politik Malaysia, nama S.H.ALATTAS,begitu popular, digemari, dihormati dan disegani. Dia telah menghasilkan sebanyak 30 buah buku, terkenal sebagai seorang penulis politik yang sangat kontroversial. Analisis politiknya selalu memeranjatkan dan biasanya menjadi ‘trend setter’.


Keberaniannya luar biasa. Sebelum UMNO membincangkan kedudukan raja-raja, S.H ALATTAS terlebih dahulu mengkritik dan menegur istana dengan segala macam isu yang super sensitive’, tanpa sedikit pun rasa takut dan gentar.

S.H. ALATTAS tidak pernah bekerja untuk sesiapa. Majikannya ialah KEBENARAN. Demi kebenaran, beliau sanggup melakukan apa sahaja, tanpa kompromi. Hidup ini bukan lama sangat, kita hidup pun hanya sekali, terlanjur hidup buatlah seberapa banyak kebaikan yang boleh kepada siapa sahaja tanpa mengira agama dan bangsa, hatta kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan sekali pun. Itulah peninggalan dan sumbangan kita kepada dunia sementara kita hidup.

Buku-bukunya hangat-hangat belaka. Dia mengkritik dan menegur raja-raja dan pemimpin-pemimpin bangsa Melayu dan Islam, secara terus terang, tanpa berselindung dengan rasa penuh tanggungjawab demi agama, bangsa dan negara.

Bukunya yang keenam belas, SIAPA LAWAN SIAPA (CHALLENGER), yang diterbitkan dalam tahun 1987, TELAH MEMBUAT Datuk Musa Hitam (sekarang Tan Sri) mengheretnya ke mahkamah. Semata-mata untuk membuktikan buku S.H.ALATTAS adalah penyebab kekalahan Datuk Musa di tangan Ghafar Baba dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden UMNO. S.H.ALATTAS kalah dalam perbicaraan itu.

Rata-rata orang berpendapat “riwayat” S.H.ALATTAS sebagai “penulis” sudah habis. Kerjayanya sebagai penulis politik sudah berakhir. Penannya telah tumpul, tidak berdaya lagi merakamkan keberaniannya. Mereka yang pernah dikritiknya bersorak riang. Mereka yang terasa ngilu menjangkakan bakal jadi sasaran kritikan S.H.ALATTAS selanjutnya, menghela nafas lega.

Kawan-kawannya mula menjauhkan diri. Ada di antara teman penulisnya yang mengambil kesempatan dari peristiwa itu memijak-mijaknya dengan tulisan yang mencerca dan mempersendanya di dalam sebuah mingguan tabloid.

Ramai yang turut tumpang sekaki, mengatakan “Padan muka”. Suka benar mereka merayakan ‘gerhana’ yang menyelubungi langit S.H.ALATTAS.

Begitulah keadaannya, ramai yang menjadi kura-kura memanjat pohon yang rebah. Bagi mereka nama S.H.ALATTAS serupa sebilah pedang yang patah. Tak berdaya lagi!

Langit dah gelap. Selamat bersara S.H.ALATTAS!

Mereka gembira dan bersama-sama mengkafan dan menyemadikan namanya. Malah ada yang sanggup mentalqinkannya.

Tapi mereka lupa, gerhana tidak pernah berterusan memanjang. Bulan dan matahari akan tetap bersinar kembali. Allah tetap bersama-sama hambanya yang sabar. Belum sempat nisan dipacak, S.H.ALATTAS hidup semula, mereka gempar dan panik.

Tak lama kemudian S.H.ALATTAS kembali semula menulis dengan lebih kontroversi. Semangatnya lebih membara. Penanya bertambah tajam. Bukunya TALQIN UNTUK UMNO mengekalkannya sebagai penulis “best seller” di Malaysia. Semangatnya lebih membara. Penanya bertambah tajam dan ramai yang kagum bila S.H.ALATTAS meramalkan Ustaz Ashaari bakal menjadi Perdana Menteri. Ramai ahli Arqam tertarik menjadi peminat dan pengikut S.H.ALATTAS.

Rakan-rakan yang mengeji dan meninggalkan dia keseorangan mula menghampirinya. S.H.ALATTAS menerima mereka dengan hati terbuka. Dia bukan pendendam dan pemarah. Katanya kita tidak berhak memarah dan mendendami sesiapa pun. Semuanya hak Allah.

Teguran dan kritikan yang diberinya ikhlas kerana Allah. S.H.ALATTAS juga sanggup ditegur dan dikritik, katanya semua hamba Allah ada kelemahan tersendiri. Teguran dan kritikan membina tanda kasih sayang sahabat kepada seorang sahabatnya.

Sesudah kita menceritakan tentang siapa ibunya, di mana dia dibesarkan, kita perlu tahu siapa bapanya yang memberikan dia peluang menggunakan nama Alattas. Keluarga Alattas ini bukan saja terkenal di Malaysia tapi juga di Indonesia.

Datuknya Syed Abdullah seorang pedagang, ulama sufi yang disegani, bernikah dengan neneknya di Surabaya. Ayahnya lahir berhampiran dengan masjid, Surau Ampel di Surabaya, salah satu surau yang termasyhur dia Indonesia.

Keluarga Alattas berasal dari Hadramawt, Yaman di Arab dan mereka mempunyai pertalian yang rapat antara satu dengan yang lainnya kerana mereka datang dari keturunan Habib Omar Alattas Shafibul Ratib yang membawa Ratib Alattas yang menjadi amalan pengikut Ratib hampir di seluruh dunia Islam terutama di Asia.

Begitu ramai yang mengenali S.H.ALATTAS sebagai penulis dan penganalisis poltik yang karyanya sentiasa dinanti-nantikan, dikagumi dan diperkatakan. “ Buku apa yang S.H.ALATTAS tulis kali ini, siapa yang dilannyak dan kena lanyak”. Antara perbualan yang sering didengari apabila mereka membicarakan tentang S.H.ALATTAS.

Tapi tidak ramai di kalangan peminatnya yang tahu bahawa S.H.ALATTAS juga adalah seorang penyair, sehinggalah dia muncul dalam majlis deklamasi sajak di Pasar Budaya dengan persembahan sajak Surat Khabar Lama yang telah berjaya memukau penonton.

S.H.ALATTAS seorang penyair. Inilah yang hendak saya perkatakan kerana telah sekian lama S.H.ALATTAS, adalah penyair yang dilupakan. Tapi dalam memperkatakan S.H.ALATTAS sebagai penyair, saya akan lebih memberikan penekanan kepada dirinya sebagai seorang yang puitis – ‘kepenyairan’ yang subur dalam keperibadiannya – kehalusan rasa yang berenang di kolam nuraninya. Saya akan menceritakan tentang S.H.ALATTAS yang saya kenal. Bagi saya keseluruhan diri orang yang bernama S.H.ALATTAS adalah sebuah ‘poetry in motion’.

Sebagai penyair, S.H.ALATTAS semacam dilupakan bukan kerana sajak-sajaknya tidak bagus. Tapi sebab jarang-jarang sekali sajaknya dapat ditemui di ruang puisi media sastera. Setiap kali sajaknya siap ditulis, setiap itu pulalah sajaknya itu akan terperap. Yang dapat menikmatinya hanyalah mereka yang berada di kelilingnya atau mereka yang ada bersama di dalam majlis deklamasi sajak yang beliau turut berdeklamasi. Lepas itu, janganlah ditanya di mana naskah sajak itu tersimpan. Beliau sendiri pun tidak tahu. Lama kemudian, kadang-kadang bertahun, barulah naskah sajak itu ditemu kembali. Lepas itu, entah ke mana pula perginya.

Kenapa begitu? Entahlah. Agaknya, mungkin bagi S.H.ALATTAS, kepuasan terpuncak yang diperolehinya dari sajak adalah proses penciptaannya. Sebaik siap tertulis, beliau semacam merasakan, kemampuan sajak untuk berkomunikasi dengan khalayak agak terbatas jika dibandingkan dengan buku. Terlalu banyak yang mahu diperkatakannya kepada masyarakat pembaca, maka aktiviti pengkaryaannya lebih banyak tertumpu kepada genre penulisan yang lebih mampu menebarkan jaringan pendapat dan falsafahnya melalui buku-bukunya.

Lantaran itu, sajak-sajaknya terabai di dalam selitan kertas dan fail yang bertimbun di pejabat dan di rumahnya.

Jadilah S.H.ALATTAS seorang penyair yang dilupakan kerana dia sendiri terlupa bahawa sajak-sajak yang ditulis memerlukan penyiaran untuk melengkap proses kehadirannya sebagai puisi, yang kemudiannya pula membolehkan penciptanya dikenali sebagai penyair.

Ini tidaklah bererti yang sajak S.H.ALATTAS tidak pernah tersiar. Ada tersiar, diselitkannya di sana sini dalam buku-bukunya sebagai bahan yang boleh membantu memperkuat hujah-hujah kritikan politiknya.

Maka sajak-sajak tersebut tidaklah berdiri sebagai sajak yang tegak atas entitinya yang tersendiri seperti sajak-sajak yang tersiar di ruang khusus untuk sajak atau diterbitkan dalam bentuk antologi.

Di dalam bukunya SIAPA SELEPAS MUSA, terdapat sebuah sajak S.H.ALATTAS berjudul, Untukmu Kawan MM, yang merakamkan harapannya terhadap gabungan Mahathir-Musa.

“Jika kau mati
Segala jalur kehilangan warnanya
Dan bangsa kehilangan namanya…”

Penyair mengharapkan apa yang sedang berlaku kepada negara di bawah kepimpinan dua M akan membawa keharuman kepada negara di mata dunia.

Begitu tinggi harapan yang diletakkan kepada dua pemimpin yang dianggapnya sebagai nasionalis tulen yang akan memperjuangkan nasib rakyat.

Kerana aku tahu
M dan M
Adalah arus kemenangan
Gema dalam darah
Syahdu suara agama

Sejarah telah membuktikan bila Musa pecah dengan Mahathir, bila dua M sudah tidak sehaluan, maka akhirnya UMNO pun mati. Begitu jauh sekali pandangan S.H.ALATTAS melalui sajaknya ini, tapi masa itu tak siapa yang dapat memikirkan kemungkinan itu boleh terjadi.

Dalam buku SIAPA SELEPAS MUSA juga S.H.ALATTAS telah menyindir seorang pemimpin tua.

BAPA KASI

Untuk apa kau berkokok lagi
ayam tua
tajimu telah patah di gelanggang

Untuk apa kau berkokok lagi
bapak kasi
kaulah jaguh yang lesi
racun yang menitis dari pialamu sendiri
rasalah kini panasnya
dan berhentilah kau
di bawah rimbunan pohon puaka

Buku SIAPA SELEPAS MUSA juga dimuatkan dengan sajak S.H.ALATTAS berjudul WANG.

WANG
Dia sudah tidak bisa melihat lagi
mata dan hatinya sudah tertutup rapi
dia sudah tidak bisa mendengar lagi
telinga dan jiwanya telah dibikin tuli

dia sudah tidak bisa bersuara lagi
tekak dan lidahnya telah dibikin sepi

wang
merahnya cuma pada warna
dan bila ribut melanda
angin malam menerjang
dan embun kering di subuh Jun
bekunya hingga siang

Dalam bukunya TUAH NASIB PEMIMPIN MALAYSIA kita temui sajaknya yang berjudul AYAH DENGAN ORANG TUA, yang ditulisnya pada April 27, 1982, di Wadi Hassan, Johor Bharu, menggambarkan betapa orang Islam mengabaikan ajaran al-Quran dan betapa para alim-ulama tidak lagi menjalankan kewajiban mereka menyampaikan suruhan Allah kepada orang yang harus mereka pimpin.

Kitab suci entah apa jadi
Alim-ulamak lari makan gaji
untuk tembolok sendiri
Kadhi mufti hidup penuh misteri…

Dalam madrasah ada guru
bersongkok berkain pelekat
menyebut nama tuhan pelat-pelat
saudari sekitab dikatakan sesat
berdakwah, bermuafakat… menjerat
niaga arak selamat
berjudi tikam ekor kuda berkat

Melalui sajak-sajaknya S.H.ALATTAS meluahkan kegelisahannya dengan kata-kata yang tajam menikam. Jelas sekali kemarahannya melalui sindiran yang sangat sinis yang kadang-kadang kiasannya terasa macam gurauan.

Kali pertama saya mengenali S.H.ALATTAS ialah melalui gambarnya memakai serban orang sikh yang tersiar di dalam ruang PAK BELALANG MODEN yang dikendalikannya dalam Majalah Filem. Masa itu saya baru menjadi penuntun Maktab Perguruan Kuantan, awal enam puluhan.

“Pelik dia ni!” Itulah reaksi pertama saya terhadap S.H.ALATTAS, lebih tiga puluh tahun dahulu.

Masa itu tak banyak majalah yang ada. Jadi kehadiran PAK BELALANG MODEN bersama bintang-bintang filem yang top dalam setiap keluaran majalah itu, telah menjadikan Syed Hussein Alattas yang bergelar PAK BELALANG MODEN ‘a celebrity by his own right’. Masa itu bintang filem benar-benar hebat. Disanjung dan dipuja. Bukan macam sekarang. Berdiri dari pagi sampai malam di Chow Kit, belum tentu ada orang peduli.

Pelakon yang benar-benar berbakat dan berdisiplin sahaja yang boleh menjadi bintang di layar putih Shaws Brothers dan Cathay Kris ketika itu. Kalau nak tahu betapa sukarnya untuk mendapat peluang menjadi pelakon ketika itu, tanyalan Dato’ Jins Shamsuddin dan Dato’ Ahmad Daud.

Sekarang ni mudah sangat. Jangankan kata nak jadi pelakon, nak jadi pengarah pun cukup senang. Malah kalau nak jadi produser sekalipun, sikit tak susah. Tukang jual ubat boleh jadi produser.

Hari ini jual burger, beli ekor atau toto. Bila dah kena, berhenti jual burger, jadi produser. Sewa kamera video, pergi Chow Kit beli skrip. Pacak kamera, sendiri jadi hero. Bukan susah sangat nak berlakon. Boleh hafal dialog sudah. Lepas tu minta mingguan tabloid buat publisiti. Dah jadi, bukannya susah sangat.

“Di Johor masa tu, ada tiga orang yang paling terkenal. Pertama Othman Saat, Menteri Besar, kedua A.Rahman Onn penyanyi lagi Si Cincin Emas dan ketiga Syed Hussein Pak Belalang. Othman Saat dengan A.Rahman Onn orang dah lupa dah. Yang kekal ialah Pak Habib kita. Sampai sekarang orang kenal dia. Makin hari dia jadi makin hebat.” Begitu kata seorang Pak Cik yang semasa saya dan unit penggambaran filem saya sedang berehat semasa kami shooting di Pantai Lido, tak berapa lama dahulu.


Yang menjadikan S.H.ALATTAS makin hari makin hebat, seperti apa yang dikatakan oleh Pak Cik di Pantai Lido itu adalah keperibadiannya sebagai pejuang yang menggunakan penulisan sebagai wadahnya.

Analisanya tajam dan tersendiri. Dalam zama perkembangan masyarakat bergerak dengan pantas sehingga segala sesuatu yang berlaku terlalu sukar jadinya untuk diramalkna, S.H.ALATTAS sering berkemampuan merenunginya dengan tepat.

Tidak ada yang ‘unpredictable’ baginya.

 
 Hal yang demikian bukanlah satu yang aneh baginya. Lingkungan pergaulannya sangat luas. Kenalannya terdiri dari rakyat biasa, pelajar, mahasiswa, budayawan, sasterawan, pensyarah, peguam, diplomat, alim-ulamak, cendekiawan dan sebagainya. Pengalaman yang digarapnya melalui pergaulan ini kemudian diadun oleh S.H.ALATTAS dengan kepekaan firasat – satu kemampuan yang telah dianugerahkan Allah kepadanya.

Saya telah diperkenalkan dengan S.H.ALATTAS oleh abang saya, ATONDRA dalam tahun 1969, di Johor Bharu.

Masa itu ATONDRA mengepalai rombongan Pengakap Kelana Kanan dari Kuala Lumpur ke jambori pengakap se Asia di Singapura. Sebelum pulang ke Kuala Lumpur kami telah bermalam di Johor Bharu.

ATONDRA telah mengajak saya berkunjung ke rumah S.H.ALATTAS, sebuah rumah semi-detached di Kolam Air. Bersama kami turut sama dua orang teman serombongan, Dahlia dan Sharifah.

S.H.ALATTAS dan isterinya telah menyambut kedatangan kami dengan amat mesra sekali. Kemesraan tuan rumah kedua suami isteri itu melayan kami, membuatkan saya terasa bagaikan kami sudah lama berkawan dengan mereka.

Cara S.H.ALATTAS menerima dan melayan tetamu, adalah salah satu dari sifatnya yang sangat saya hargai dari mula kami berkenalan, hinggalah sekarang. Tetamu akan terasa begitu selesa dengannya. Dia cepat mesra. Lagipun dia pandai buat kelakar.

Barang siapa yang pernah bertandang ke rumah S.H.ALATTAS, pastinya bersetuju dengan saya dalam hal ini.

Bermula dari perkenalan itu kami berkawan rapat. Persahabatan kami berkekalan sampai ke hari ini. Banyak pengalaman suka dan duka yang telah kami lalui bersama.

Masa saya jadi Cikgu di Kuantan, setiap kali S.H.ALATTAS datang atas urusan tugasnya sebagai travelling salesman, dia akan mencari saya.

Masa itu dia pakai kereta mewah Ford Falcon – besar bukan main. Kami selalu pergi Telok Chempedak, duduk atas batu, pandang laut jauh-jauh, cari ilham. Kadang-kadang kami baca sajak.



Malamnya kami pergi minum the tarik di kedai kopi yang dikenali dengan panggilan kedai Mamak Kelabu, bersebelahan dengan hotel Shamrock, di Jalan Teluk Sisek. Pasal apa orang gelar kedai Mamak Kelabu, tak tahulah saya. Tapi orang suka sangat minum di situ, teh tariknya sedap. S.H.ALATTAS memang suka benar minum teh tarik.

Di kedai Mamak Kelabu itulah, satu malam, S.H.ALATTAS dapat ilham menulis sebuah sajak yang saya tolong berikannya tajuk ‘Mother’s image’. Sajak itu saya rasa adalah sajak yang paling banyak memberi kesan kepad jiwa dan kehidupan S.H.ALATTAS. ‘Mother’s image’, sebuah sajak cinta S.H.ALATTAS yang sangat romantic yang ditujukan khas oleh S.H.ALATTAS kepada seorang novelis wanita yang masa itu bekerja di Utusan Melayu.

Percintaan telah membawa mereka ke gerbang perkahwinan dan Allah telah mengurniakan mereka seorang cahaya mata. Anak kecil yang comel itu tak lama usianya, Allah telah memanggilnya pulang ke rahmatullah. Tak lama sesudah itu mereka berpisah. Sukar sekali pastinya untuk S.H.ALATTAS melupakan sajaknya ‘Mother’s Image’ yang menggambarkan watak dan perawakan gadis yang dikasihinya itu. Entah ada entah tidak lagi sajak itu dalam simpanannya, wallahualam. Biar bagaimanapun, yang pasti, saya tahu S.H.ALATTAS seorang perindu dan romantis!

Seperkara lagi yang jadi kebiasaan kami ialah menyanyikan lagi ‘We Shall Overcome’. Kali pertama kami dengar lagu itu ialah dalam satu pertemuan penulis bertempat di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka sekarang. Masa itu mesyuarat agung PENA, malamnya penulis berkumpul baca sajak, buat sketsa, dengar lagu-lagu rakyat termasuk lagu-lagu ‘civil rights’.

Kak Azah Aziz, isteri Professor Engku Aziz yang baru balik dari kunjungannya ke Amerika telah membawa rekod  LP Joan Baez, penyanyi lagi ‘civil right’ yang sangat popular di Amerika ketika itu. Di kalangan para remaja Amerika yang dikenali sebagai ‘the flower children’, yang menentang penglibatan tentera Amerika dalam perang di Vietnam ketika itu Joan Baez merupakan idola mereka.

Malam itu kami mendengar dan menyanyikan lagu-lagu Joan Baez. Lagu “We Shall Overcome’ menjadi kegemaran ramai. Antara penulis yang hadir malam itu ialah abang Usman Awang, Kala Dewata, Kalam Hamidy, Antondra, Kak Azah Aziz, Umi Kalthom, Maarof Saad (sekadar menyebut beberapa nama).


Bermula dari itu sampailah sekarang, dalam keadaan-keadaan tertentu kami akan menyanyikan lagu itu. Kadang-kadang kerana nostalgia. Ada pula waktu-waktunya untuk memperkuatkan semangat bila terbentur ke dinding kebuntuan dalam perjuangan menegakkan keyakinan.

We shall overcome,
We shall overcome,
We shall overcome, someday.

Oh deep in my heart,
I do believe
that we shall overcome, someday.

Seperkara lagi yang menarik tentang S.H.ALATTAS yang saya perhatikan ialah bila kami dalam perjalanan, setiap kali ternampak tanah perkuburan dia akan membaca Al-Fatihah sebagai sedekah kepada roh-roh mereka yang bersemadi di perkuburan itu. Amalan itu menjadi ikutan saya sampai sekarang.

Saya masih ingat dengan jelas penerangannya kepada saya tentang itu. “Kalau setakat nak bersedekah Al-Fatihah yang tak kena keluar duit pun, kita dah kedekut, macam mana pula nak bersedekah yang lain.”

S.H.ALATTAS memang pemurah orangnya. Kesukaannya yang paling utama ialah menolong orang yang sedang kesusahan. Ramai kawan-kawannya, kalau terkejut, tergempar, sesak duit akan pergi jumpa S.H.ALATTAS dan dia tidak pernah menghampakan harapan orang. Tak banyak sikit, pasti dia akan menghulurkan bantuan. Kalau dia sendiri tengah tak berduit, dia akan usahakan sampai dapat. Kadang-kadang sampai bergadai.

“Duit yang ada pada kita ni Yassin, bukannya hak kita. Kita cumalah sekadar pemegang amanah. Bila orang datang mengadu hal minta bantuan, kita kenalah bagi kat dia. Itu hak dia. Berjuta orang dalam dunia ni, pasal apa dia terdorng datang minta bantuan pada kita, bukankah itu kehendak Allah? Kalau kita nafikan hak dia, nanti Allah akan hokum kita.” Begitu S.H.ALATTAS menerangkan kepada saya masa kami mula berkawan dulu.

“Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: “TIdak beriman orang itu bagi aku, jika dia boleh tidur nyenyak sedangkan ia tahu bahawa jirannya sedang kebuluran.” Katanya lagi.

Sifatnya suka menolong orang bukan setakat dengan duit ringgit sahaja. Tenaga dan masanya juga sedia disumbangkannya tanpa mengharapkan apa-apa balasan.


Dalam pergaulan S.H.ALATTAS mempunyai falsafah tersendiri. Katanya semua penulis adalah saudaranya. Sebagai Presiden dia bertanggungjawab membela nasib penulis. Penulis tidak boleh “pijak” sesama penulis. Penulis  mesti tolong menolong.

Dalam tahun 1975, saya telah dilantik menjadi Editor majalah hiburan RITA oleh Encik Yusof Al-Bakri, tuan punya AL-BAKRI ENTERPRISE, berpejabat di Bangunan Jaya, Jalan Haji Hussein, Kuala Lumpur.

Masa itu, saya mana tahu sangat hal dunia hiburan. Ketika itu, saya tengah rancak bersajak dan bergiat dalam drama pentas di Panggung Drama, Jalan Bandar.

Kebetulan S.H.ALATTAS datanf ke Restoran Sempurna, kepunyaan Allahyarham Yusof Surya, di Bangunan Jaya. Saya ceritakan masalah saya. Dia terus sanggup untuk mambantu saya.

“Tapi taka da duit Habib. Setakat makan minum tu kita kongsilah duit gaji ana.” Kata saya.

“Apa ente cakap ni Sin? Mana ana ada Tanya pasal duit. Ente nak ana tolong ente, ana tolonglah. Sejak bila pula ana ambil upah untuk tolong kawan!” jawabnya.

Dari mula saya berkawan dengan S.H.ALATTAS hinggalah ke hari ini, kami berana-ente. Saya panggil dia Habib, dia panggil saya Sin.

Dengan pengalamannya dan hubungannya yang luas dengan orang-orang hiburan sejak dia bergaul dengan mereka semasa di Jalan Ampas Singapura lagi membuat kerja saya jadi senag. Macam-macam idea kami dapat.

Seronok kami bekerja, kadang-kadang sampai bermalam kami di pejabat. TImbalan Editor saya saudari Othman Bongsu dan jurugambar kami saudari Yusof sentiasa bersama. Sampai Mat Sentol yang pejabatnya bersebelahan dengan pejabat kami menggelar kami ‘the four musketeers’.

Seminggu sebelum dateline keuaran sulung majalah RITA diedarkan di pasaran, isteri saya telah melahirkan anak kami yangsulung, di hospital Bentong, Pahang. Habib Hussein telah melakukan upacara ‘belah mulut’ ke atas anak saya iaitu menyentuhkan sebuku garam jantan dan sehiris asa keeping ke bibirnya. Saya namakan anak saya YASLEH RITA AYU, mengambil sempena majalah RITA. Habib Hussein telah meminta persetujuan saya untuk menjadikan anak saya itu sebagai anak angkatnya.

Hingga sekarang anak saya YASLEH RITA AYU memanggil Habib Hussein dengan panggilan ‘abah’.

Tiga hari selepas melahirkan, isteri saya jatuh sakit. Saya terpaksa pulang ke Pahang untuk menjaganya. Tinggallah Habib Hussein di Kuala Lumpur untuk mengendalikan penerbitan majalah RITA yang sudah masuk ke peringkat percetakan.

“Ente jangan bimbang, ente baliklah. Pasal majalah serah pada ana. InsyaAllah, ana akan bereskan. Don’t worry, we shall overcome.”

Begitulah kata Habib Hussein, bila dia lihat saya berada dalam keadaan yang amat serba salah.

“Tak apa Sin. Baliklah, Syed Hussein boleh selesaikan.” Kata Encik Yusof Al-Bakri pula.

Untuk mempastikan majalah RITA tidak tergendala pencetakannya, Habib Hussein hadir sendiri di kilang cetak. Tiga hari tiga malam dia berada di kilang, bersahur dan berbuka puasa bersama-sama pekerja-pekerja kilang. Akhirnya majalah RITA keluaran sulung dengan gambar Allahyarhamah Norma Yuzie menghias kulit depannya sempurna siap pada datelinenya, dua hari sebelum hari raya puasa.

Begitulah S.H.ALATTAS, bila dia menolong orang dia akan berikan selurh jiwa raganya. Terima kasih Habib Hussein.

Walaupun S.H.ALATTAS adalah, seperti apa yang dia sendiri selalu menyebutkan, seorang LCE dropout, dia seorang yang berilmu. Menginsafi kekurangannya dari segi akademik, S.H.ALATTAS tidak jemu-jemu berusaha mempertingkat minda dan menyuburkan khazanah ilmu pengetahun dalam pemikirannya.

Dia tidak pernah segan silu untuk belajar dan bertanya, walaupun dari siapa, demi pengetahuan.

Dia sangat rajin membaca. Apa juga bentuk majalah dan buku akan dibelinya.

Kalau kita bandingkan penulisan dari buku-bukunya yang ditulis di peringkat awal kerjayanya sebagai penulis dengan buku-bukunya yang mutakhir, kita akan dapat melihat dengan jelas betapa kemampuannya mempertingkat mutu pengawalan bahasa dan nahu yang mulanya dulu lintang pukang dan caca marba ke peringkat bentuk dan tahap penulisan yang jelas sudah jauh lebih sempurna sekarang – perbezaannya sudah macam bumi dengan langit.

Hakikat ini adalah bukti yang amat kuat menampakkan kesungguhan S.H.ALATTAS untuk mempertingkatkan tahap intelek.

Sikap dedikasinya menyebabkan ramai teman-teman seangkatannya yang menjadi penulis politik menghormati S.H.ALATTAS. Rata-rata mereka menenrima dan menganggap S.H.ALATTAS sebagai ‘Big brother’.

Mereka telah mengangkat S.H.ALATTAS menjadi Presiden Kelab Penulis-Penulis Politik Malaysia. Ada di antara anggota kelab itu yang punya ijazah sarjana.

Untuk boleh mereka yang rata-rata amat krits mindanya itu mengangkat seorang LCE dropout sebagai Presiden kelab mereka, merupakan satu pengiktirafan bahawa S.H.ALATTAS sudah menjangkau satu tahap yang tinggi dalam dunia penulisan tanahair.

Satu keadaan yang tidak pernah terduga olehnya ketika dalam usia remajanya dulu dia membuat pilihan meninggalkan perniagaan keluarga untuk menjadi travelling salesman, bagi menurutkan minat semulajadi yang ada dalam dirinya untuk mengembara, yang mungkin merupakan pengaruh genetic keturunan yang diwarisinya dari Allahyarham datuknya yang telah mengembara hampir seluruh dunia dari Yaman untuk sampai dan akhirnya bermastautin di Johor.

Pengembaraan hidup S.H.ALATTAS yang bermmula sebagai ‘traveling salesman’ itu memberikan dia berbagai pengalaman yang tidak terbatas dan pengalaman itu semua telah menjadikan dia seorang yang berilmu, cekal, tawakal dan berani dengan keyakinan yang sangat kebal – hakkul yakin.

Setakat untuk hidup dia tidak perlu buat apa-apa pekerjaan pun. Allahyarham datuknya dan Allahyarham ayahnya Syed Alwee Alattas adalah hartawan yang terkemuka di Johor. Harta peninggalan mereka kekal hingga ke hari ini dan S.H.ALATTAS boleh hidup mewah dengan hasil dari harta peninggalan itu tanpa perlu membuat sebarang kerja.

Tapi S.H.ALATTAS tidak memilih jalan yang diambil oleh kebanyakan anak para hartawan. Dia percaya bahawa untuk menjadi seorang insan yang bertanggungjawabm seorang suami yang baik, seorang ayah yang penyayang, seorang karyawan yang berjaya dan seorang muslimin yang bertaqwa, seseorang itu haruslah belajar dari kehidupan dan menjalani takdirnya sendiri dengan menguji kemampuan diri membentuk keperibadian dan keimanan.
S.H.ALATTAS pernah menerangkan dalam tulisannya bahawa manusia itu mempunyai tiga mata. ‘Mata kasar’ bagi manusia biasa yang tidak berfikir. ‘Mata kepala’ bagi mereka yang membaca dan menggunakan ilmu dan akal fikiran dan  ‘mata hati’ bagi mereka yang melihat dengan kekuasan Tuhan.

Dalam setiap tulisannya S.H.ALATTAS mengajak pembaca untuk melihat kehidupan melalui ‘mata hati’.

Disamping menulis buku-buku politik, S.H.ALATTAS juga banyak menulis kritikan filem dan juga kritikan sosial di dalam akhbar-akhbar harian dan mingguan. Tapi usahanya ini tidak pernah konsisten. Sekejap ada sekejap taka da. Sebagaimana juga penglibatannya sebagai pelakon filem, tak pernah berterusan. Dia rasa nak buat, dia buatlah sekejap, lepas itu dia balik semula menumpukan pemikiran dan falsafahnya ke dalam gelora dan badai penulisan buku-buku politiknya.

“Kerja yang lain tu semua orang boleh buat Sin. Kalau ana tak buat, ada orang lain yang akan buat. Tapi menulis buku politik yang berterus teranf macam yang ana buat, tak ramai orang sanggup. Tak ramai yang berani sorong leher untuk menegur pemimpin yang mungkar. Jadi mahu tak mahu ana kena buatlah. Itu tugas yang dituntut oleh Allah ke atas ana.” Jelas S.H.ALATTAS bila saya bertanya mengapa dia lebih banyak menumpukan tenaganya menulis buku-buku politik berbandingkan penglibatannya di bidang lain.

Seperkara lagi yang perlu dinyatakan semasa kita membicarakan perihal S.H.ALATTAS, dia juga pernah berlakon dalam beberapa buah filem dan drama. Pembabitan dia dalam dunia filem pada awal tahun 60-an, filem pertama Anak Manja dan terakhir Perempuan. Mungkin satu hari nanti S.H.ALATTAS akan muncul sebagai pelakon antarabangsa. Tuah ayam ditaji, tuah manusia siapa tahu?

Di atas desakan beberapa orang yang rapat dengannya maka akhirnya S.H.ALATTAS berminat untuk menerbitkan kumpulan sajaknnya, memuatkan setakat mana sajak-sajaknya yang dapat dikesan setakat ini; untuk memberi peluang kepada peminat-peminat sajak tanah air melihat kehidupan dengan ‘mata hati’ S.H.ALATTAS melalui kumpulan sajak SURAT KHABAR LAMA. Selamat membaca.

Yassin Salleh
Sri Gombak, Selangor
April, 1995
(dari Bab 48, buku SURAT KHABAR LAMA, 1995)



No comments:

Get your Tickets now!