“Saya juga telah diajar bahawa konsep setia mesti menjadi amalan hidup orang Islam.”
MAHATHIR MASUK PERANGKAP ULAMAK(Mingguan Kota 4 Dis 1988)
Saya selalu mendengar di kalangan orang orang tertentu
mengatakan S.H. Alattas itu seorang
penderhaka kerana dia kerap menulis artikel dan buku buku yang mengkritik
raja-raja Melayu.
Dalam kebanyakan buku-bukunya dia lantang mengkritik
Sultan dan juga DYMM Yang DiPertuan Agong.
Paling muttakhir, tulisan beliau begitu berani menghentam raja-raja
dalam bukunya “SYAITAN, SETAN, SULTAN”
Apakah benar S.H. Alattas seorang penderhaka?
Sepertimana yang kita tahu dalam sejarah penulisan
bangsa Melayu, malah dalam sejarah Melayu moden, hanya terdapat dua tokoh
sahaja yang berani mengkritik pihak
istana dengan kritikan yang sinis.
Era zaman dulu, sudah tentulah Abdullah Munsyi dan era
sekarang ini, S.H. Alattas.
Abdullah Munsyi di dalam bukunya Kisah Pelayaran Abdullah
sepertimana yang dipetik oleh S.H. Alattas dalam buku beliau REVOLUSI ISTANA
DAN RAKYAT menggambarkan raja raja Melayu dengan kritikannya yang seperti
berikut:
“....Ingat-ingat
Tengku; lagi akan ditanya Allah Taala
pada hari kemudian akan segala hal rakyat itu kepada rajanya. Dan lagi, Tengku bermula mula yang masuk neraka itu segala raja-raja yang zalim ia atas
rakyatnya. Maka janganlah Tengku kira
orang yang menjadi raja itu terlebih besar dan terlebih mulia daripada
rakyatnya melainkan orang yang terkecil lagi hina adanya. Iaitu hamba segala
hamba Allah.
Adapun apabila seorang itu dijadikan Allah ia raja,
bukannya sebab hendak memuaskan nafsunya dan berbini sepuluh dua puluh, atau
mencari harta dan membunuh orang dengan aniaya-nya, melainkan sebab di suruh
Allah memeliharakan manusia, supaya tiada dianiaya oleh seorang akan seorang;
itulah gunanya.
Ini
sahaya lihat terlalu hairan: kecuali hal raja Melayu kebanyakan yang tiada tahu
membaca surat, dan lagi tiada suka belajar, melainkan duduk dengan huru-hara
dunia sahaja.
“Kalau
boleh, Tengku, sahaya pohonkan kepada Allah, janganlah kiranya dihidupkannya
sahaya dalam negeri Melayu. Dan lagi dijauhkan Allah berdekat dengan raja-raja;
kerana orang yang hampir kepada raja itu seperti bersahabat dengan ular yang
bisa; maka salah sedikit dipagutnya biji mata”
Petikan di atas menunjukkan betapa lantangnya Abdullah
Munsyi menegur orang-orang istana.
Bagi S.H. Alattas pula beliau juga memberikan amaran
yang hampir-hampir serupa dengan Abdullah Munsyi tapi versinya lebih
bersesuaian dengan keadaan golongan istana masakini. Beginilah bunyi petikan
mukadimmah buku REVOLUSI ISTANA DAN RAKYAT
yang secara terbuka memberi
amaran terhadap raja raja Melayu.
“Ingat-ingatlah
Tuanku, lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang. Hang Tuah sudah lenyap
dan Sultan Melaka sudah hilang takhta mereka. Tentu Tuanku tahu jawapannya.
Raja Melayu yang bertakhta kini tidak lagi mempunya bidang kuasa yang sama
seperti Sultan Melaka dulu. Kini rakyat yang berdaulat. Biarpun orang Melayu
masih lagi tidak berani menegur raja-raja mereka secara terbuka di depan raja,
namun kebencian sudah meniti dari mulut ke mulut”
Bagaimana agaknya sekiranya S.H. Alattas hidup sezaman
dengan Abdullah Munsyi? Apakah label yang patut diberikan oleh masyarakat
kepada mereka berdua ini? Bagi sesetengah orang, mereka mengatakan bahawa
Abdullah Munsyi adalah talibarut Inggeris. Ini kerana di dalam buku –bukunya,
beliau banyak sekali menyebut tentang kemunduran bangsa Melayu dan mengagung
agungkan cara Inggeris mentadbirkan Tanah Melayu. Tapi apakah sebenarnya S.H.
Alattas juga mengagungkan Inggeris sepertimana Abdullah Munsyi? Apakah dia juga
boleh dilabelkan sebagai ejen CIA atau KGB?
Cuba kita lihat tulisannya dalam buku Challenger
–SIAPA LAWAN SIAPA bab UMNO, Islam dan Nasionalisme.
“Etika itu asalnya bahasa Inggeris – ethic. Dalam
bahasa dulu kita ada akhlak. Sekarang ini kata akhlak pun orang Melayu banyak
yang tak faham. Kata moral baru dia faham. Dia tak tahu yang moral Inggeris dan
akhlak Melayu maknanya tidak serupa. Pakai kasut dalam rumah mengikut moral
Inggeris tidak ada apa-apa. Tapi kalau akhlak Melayu kita panggil kurang ajar. Moral bila berpisah waktu malam
ada “good night kiss”. Orang perempuan kalau berjumpa lelaki hulur pipi
suruh cium. Dalam bukunya yang WANITA, TAKHTA DAN KUASA, S.H. Alattas,
dalam bab Tunku, Raffles dan Istana Buckingham, menjelaskan pandanganya yang
kritis tentang penjajah. Pak Habib menulis:
“Sebenarnya
Britishlah yang bertanggung jawab menarik balik kuasa Sultan dan mewujudkan
double standard yang tidak disedari oleh raja-raja kerana adanya wakil-wakil
istana yang berkuasa dalam tampuk pemerintahan.
Tidak
syak lagi pihak British bukan saja mengamalkan dasar pecah dan perintah (divide
and rule) sesama orang Melayu, malah sistem ini turut diamalkan terhadap pihak
Istana dan Rakyat. British merencanakan
sistem ini agar rakyat tidak mendekati istana. Inilah pemikiran berhala putih
yang mahu kita semua berpecah, bergaduh
sesama sendiri dan sujud kepadanya saja.
(muka
surat 157)
Dari kedua dua petikan di atas, jelas kepada kita
bahawa S.H. Alattas tak mengagung-agungkan Inggeris. Malah beliau menganggap
orang-orang Inggeris sebagai satu bangsa yang bermoral tidak mulia dan tidak
mempunyai niat yang ikhlas. Ini tentulah berlawanan dengan pandangan Abdulah
Munsyi yang kalau boleh, mahu tinggal di United Kingdom:
“...
janganlah kiranya dihidupkannya sahaya dalam negeri Melayu”.
Dari segi pemerhatian, nampaknya memang mereka berdua
sekata iaitu yang tidak takut dengan raja, cuma takut dengan Tuhan sahaja.
Bezanya Cuma
Abdullah tidak dimurkai raja kerana Melaka sudahpun kehilangan raja. Tapi bagi
S.H. Alattas beliau terpaksa memikirkan reaksi sembilan orang raja-raja Melayu.
Itu belum diambil kira DYMM Yang Di Pertuan Agong dan para undang dan luak yang
ada di Negeri Sembilan, termasuk Yang DiPertuan Besarnya.
Keberanian S.H. Alattas dari segi ini harus dipuji.
Jika Abdullah Munsyi mendapat sokongan dan perlindungan dari Inggeris. S.H.
Alattas terpaksa menghadapi sebarang kemungkinan secara bersendirian.
Sepertimana yang dinyatakan di dalam banyak buku bukunya, beliau hanya berserah
kepada Allah S.W.T. kerana Al Quran kata “Allah raja segala alam” bukan
kebanyakan ketua dan pemimpin yang hanya ‘Putar Alam’.
Mungkin di dalam jiwa-jiwa, sesetengah orang Melayu,
terutamanya mereka yang membaca tapi tidak berfikir dan berfikir tetapi tidak
membaca, meminjam kata-katanya sendiri, menganggap S.H. Alattas sebagai
penderhaka? Mereka ini ada semacam memiliki satu nostalgia. Sekiranya S.H.
Alattas hidup di zaman dahulu kala mungkin mereka akan mendesak pihak istana
supaya memenjarakan pengarang seumur hidup atau memenggal sahaja kepala beliau.
Uncleseekers dapat tawaran duduk Hotel PDRM secara percuma. |
Tapi soalnya apakah S.H. Alattas boleh dianggap
sebagai seorang penderhaka? Saya rasa tidak, cuba baca falsafahnya yang saya
baca dalam bukunya Memo Kepada Perdana Menteri yang berbunyi:
Memuji tidak semestinya menyokong:
Menegur tidak bermakna membenci dan
berbeza pendapat adalah kawan berfikir
yang baik.
(mukasurat
25)
Tulisan-tulisan beliau adalah semata-mata dilakukan
untuk menyedarkan raja-raja selaku Ketua Agama dan pemimpin sebagai Ulil Amri.
Beliau nampak akan bahaya sekiranya raja-raja tidak
ditegur apabila mereka melakukan kesilapan, mereka bakal hilang takhta dan
istana mereka akan dijadikan muzium kerana Pak Habib ini seorang peramal,
apatah lagi dalam hal hal politik, sehingga ada yang menggelar beliau Notradamus
Malaysia.
Bagi Syed Hussein Alattas, peranan yang sepatutnya
dimainkan ulamak ini telah gagal dilaksanakan oleh mereka yang memegang
tanggung jawab tersebut, tugas fardu kifayah perlu dilakukan olehnya kerana
takut bala akan menimpa umat.
Seandainya raja-raja Melayu hidup semula dan melihat
gelagat raja-raja Melayu sekarang, raja-raja dahulu pun akan “merah mata” dan
sakit hati. Betapa tidaknya, kerana raja-raja zaman dahulu hidup tidak semewah
raja-raja sekarang, ada istana ratusan million.
Raja zaman dahulu dipikul oleh empat orang hulubalang
menggunakan tandu untuk melawat rakyat di kampung-kampung, sementara raja-raja
sekarang, ada yang memiliki kereta beratus buah, ada helikopter, ada
kapalterbang. private jet dan kapal mewah.
Pak Habib juga
merupakan trendsetter. Sebelum ini orang-orang Melayu hanya berani cakap cakap
belakang sahaja, apabila di hadapan raja, sentiasa “ampun tuanku”, padahal
dalam hati rakyat sedang “berbuku” terhadap Yang Maha Halia, pinjam kata kata
Uncleseekers.
Setelah buku-buku S.H. Alattas berani mengkritik
sesiapa saja, lawan mahu pun kawan, barulah muncul penulis-penulis politik
lain, terutama di media baru arus perdana, biarpun ramai ditangkap, ramai lagi
yang tak peduli.
Itu pun setakat menghentam dan mengkritik orang-orang
politik dan menteri saja dengan menggunakan nama samaran, baling batu sembunyi
tangan.
Yang paling muttakhir di dalam Facebook Pak Habib,
terpapar kisah seorang anak raja yang memandu kereta mewah dalam keadaan mabuk
di Singapura telah ditahan oleh polis Singapura. Jelas menunjukkan perbezaan
cara memikul tugas di antara polis Singapura dan polis Malaysia, disebabkan
tekanan dari raja Melayu dan kaum keluarganya, termasuk ahli-ahli politik.
Buku-buku yang dihasilkan oleh S.H. Alattas adalah
kebanyakannya ‘bestsellers’ dan dibaca oleh audience pembaca yang luas. Dalam
bukunya BAHTERA LAMA NAKHODA BARU, pengarang seolah-olah mencadangkan
kepada orang Melayu supaya lebih banyak membaca buku-buku yang dihasilkan oleh
Abdullah Munsyi supaya sikap penakut bertukar menjadi berani supaya Melayu
berani mengkritik diri.
Berapa kerat saja dari bangsa Melayu yang telah pun
membaca hasil karya Munsyi melainkan dimestikan sebagai suatu mata pelajaran,
mengikut tulisan Harun Aminul Rashid sastera diajar di sebelah tengah hari dan
kebanyakan kawan yang sama sedarjah dengannya mengantuk bila sampai waktu
membaca. Cuma beliau seorang seorang yang merasa seronok dan ingin melihat
sendiri apa yang sudah dibaca, 40 tahun kemudian. Dalam tahun 1965 beliau
menyiapkan buku “Mengesan Jejak Pelayaran Abdullah Munsyi”. Saya fikir
tidak ramai orang yang telah membaca buku tersebut.
Abdullah melihat Tanah Melayu bukan saja dari dalam,
bukan setakat duduk di Melaka, seperti Jules Verne yang menulis buku “Mengeliingi
Dunia dalam masa 80 hari” padahal dia hanya berada di dalam bilik sahaja
ketika menulis buku tersebut. Abdullah Munsyi melihat Tanah Melayu dari
tengah laut, dari bibir air, beliau melihat orang Melayu saudara ikhwan orang
Islam mesti diajar dan dibela, dia penulis yang tidak ada kelulusan akademik,
sekolah di rumah dan bapanya sendiri yang menjadi guru.
Beliau adalah seorang
mubaligh. Beliau berdakwah dengan cuba mengubah mindset Melayu, sikap
Melayu yang merugikan bangsa sendiri.
Tidak siapa yang mahu menerima Abdullah yang bercampur
dengan Paderi ini sebagai seorang
ulamak, kerana mereka suka dengar dari
siapa yang berkata bukan apa yang dikata. Biar pun benar, kebenaran itu pahit.
Sebagai pendakwah dia cuba mengingatkan amar makruf
nahi mungkar, tetapi oleh kerana beliau bercampur gaul dengan orang orang
Inggeris dan menjadi penterjemah, maka beliau dianggap dan diberi gelaran “Abdullah Paderi”.
Muda itu sebahagian dari gila, kerana kegilaan orang
muda seperti Abdullah dan Syed Hussein Alattas seorang reformis inilah dunia
persuratan Melayu berubah dan berkembang maju. Kenapa kita tidak cuba menyelami
dan mengkaji minda S.H. Alattas.
Saya mula menyedari hal ini setelah beberapa kali
mengikuti majlis ilmu yang diadakan di Universiti of Life.
Sungguh pun S.H. Alattas menikmati jumlah pembaca yang
ramai namun beliau sedar tidak ramai orang Melayu yang gemar membaca mungkin
kerana itu dia mencari platform alternatif iaitu dengan mengadakan perkongsian
ilmu di Alattas Unilife. Sebab orang Melayu masakini lebih suka mendengar
ceramah terutama yang ada hiburan.
Kalau ada pun Melayu yang suka membaca , bilangannya
terlalu kecil. Dan dari bilangan yang kecil itu kalau
dihitung panjang pun belum sampai 10 peratus dari orang Melayu yang membaca
sebagai satu hobi. Dalam lain perkataan, S.H. Alattas menganggap, walaupun ada
galakan yang berbentuk “hangat hangat tahi ayam” dari kerajaan. Kerana galakan
yang bermusim setahun sekali ketika ‘Bulan Kempen Membaca’. Orang Melayu secara amnya tak pernah berusaha
untuk mewujudkan’budaya membaca’ di kalangan masyarakat. Tuhan tak ubah nasib
sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri mengubahnya. Bayangkan, Allah suruh
Baca!, dia tidak dengar, macam mana nak jadi orang berilmuan.
Berapa ramai orang Melayu yang mempunyai perpustakaan
di rumah? Kalau ada pun berapa peratus dari mereka yang telah membaca buku yang
tersimpan di dalam perpustakaan mereka? Tetapi koleksi VCD cerita dan lagu
lagu, koleksi handbag, tudung, kasut memang lebih dari perpustakaan. Tidak
boleh hendak disalahkan orang Melayu juga kerana mentornya ada, iaitu Wanita
Pertama Malaysia.
Menurut pengarang lagi:
‘Ramai
bilangan orang-orang Melayu yang berada yang menyimpan buku-buku rujukan
seperti Ensaiklopedia Britanica, Americana Ensaiklopedia dan lain-lain rujukan
yang berat-berat dan buku-buku tebal dan besar-besar serta berharga sebagai
perhiasan. Itupun kerana kepintaran dan kebijaksanaan jurujual dari syarikat
buku antarabangsa yang benar benar terlatih dan berpengaruh.
(Kalau
ada yang benar benar suka membaca pun, seorang blogger Zaharin Mohd Yassin yang
dulunya dikenali sebagai Sang Kelembai)
Ada
golongan intelek Melayu yang suka membaca, tidak keterlaluan kalau kita
mengatakan mereka Cuma membaca buku-buku Inggeris saja, mengikut subject yang
menurut selera mereka. Sama ada buku ‘fiction’ atau ‘non-fiction’ mereka jarang
ada masa untuk membaca buku –buku Melayu sama ada novel, kumpulan cerpen,
buku-buku politik dan majalah-majalah yang lain melainkan majalah antarabangsa
yang mereka banggakan untuk melayakkan diri mereka dipanggil intelek oleh
golongan mereka sendiri.
Begitu
pula halnya dengan golongan mereka yang suka membaca buku buku atau majalah
berbentuk hiburan. Buku yang ringan. Jarang yang mahu membaca buku yang
berat-berat apa lagi buku politik dan
buku-buku dalam bahasa Inggeris atau majalah-majalah politik bertaraf
antarabangsa’.
Dari tulisan-tulisannya jelas bahawa Pak Habib
sentiasa memikirkan bagaimana hendak mengubah cara berfikir orang Melayu.
Apakah dengan menyuruh rakyat membaca dan berfikir, dan berfikir dan membaca;
satu perbuatan derhaka? Lu fikirlah Bro,
Think, fikir, tafakkur, itu memang pesanan yang tak pernah lekang dari Pak
Habib, pengasas Alattas Universiti of Life.
OLEH DR AZIZAN AHMAD
OLEH DR AZIZAN AHMAD