Chat With Us LIVE!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, March 25, 2013

DIMANAKAH UNIVERSITI OF LIFE?



"Pagi tadi aku sempat singgah ke Wadi Hussein Janda Baik menghadiri bengkel penulisan yang dianjurkan Pak Habib aka Syed Hussein Al-Attas dan ALXS University Of Life.Aku tiba agak lewat sedikit dari peserta lain yang memulakan sessi jam 9:00 pagi kerana beberapa perkara yang terpaksa aku selesaikan dahulu tapi sempat menjamah makan tengahari.



Banyak pengalaman dan ilmu penulisan yang dikongsikan Pak Habib dengan peserta termasuk dari seorang penulis wanita yang telah menghasilkan 40 buah buku(aku pastikan namanya kemudian) yang turut hadhir tanpa dirancang dan seorang Professor Fizik/Metafizik Melayu Pertama yang pernah bersama University Malaya(namanya juga akan nyatakan kemudian),Petronas dan pernah menjadi penasihat Kerajaan Malaysia dalam bidang strategik dan keselamatan.



Bengkel tamat menjelang waktu maghrib dan amat berguna untuk mereka mereka yang berminat untuk menceburi bidang penulisan buku." 


Gambar diambil dari Aku Peduli Apa@APA









Ada orang bertanya, Pak Habib kata nak buat Universiti of Life, mana dia universiti itu, tak nampak pun, dah lama tunggu tapi Universiti of Life tak nampak pun?

Bertolak dari soalan seperti itu yang adakalanya berbau cemuhan, telah mendesak diri saya untuk menulis, bukan bertujuan untuk menjawab tetapi mahu membuat penjelasan. Kita percaya sesuatu cemuhan, pertelagahan dan kecelaruan itu muncul sama ada secara depan depan atau secara berbisik di antara telinga adalah disebabkan seseorang itu berada dalam keadaan tidak jelas. Apabila tidak jelas maka tentu ramai yang tertanya dan mungkin membuat pelbagai persepsi.


Antara persepsi yang berlegar dalam pemikiran masyarakat masakini ialah sesebuah Universiti  itu adalah satu kawasan puluhan hektar dan bangunan berpuluh blok yang dikepalai Canselor, ditadbir oleh dekan, dan ilmu-ilmu pula dijana oleh para pensyarah dan professor, atau pun, jika universiti bertaraf swasta pula, paling tidak pun dua tiga blok bangunan serta sebarisan pensyarah. Jadi, di manakah letaknya bangunan universiti of life itu?

Persepsi ini memang betul, tetapi sebelum saya menjawab di manakah letaknya University of Life itu, saya rasa adalah lebih baik saya huraikan dulu, apakah definisi makna sebenarnya universiti itu?
Universiti ialah sekumpulan cendiakawan, bijak pandai, para ilmuan yang berhimpun. Dari himpunan itu maka terhasil ilmu. Atau secara mudahnya bermakna, “Sekumpulan ilmuan atau insan-insan ilmiah yang menyelenggarakan program pendidikan.” Inilah makna sebenarnya ‘universiti’.

Universiti pertama di dunia ialah Universiti Bologna di Itali. Universiti pertama itu wujud secara spontan pada tahun 1088 apabila para ilmuan barat berhimpun mengajar ilmu undang undang dan di situ undang-undang Roman digubal.

Tertubuhnya universiti pertama itu disebabkan keadaan dunia pada masa itu tidak ditadbir urus mengikut undang-undang. Maka wujud keperluan untuk mengundang-undangkan dunia, menyebabkan sekumpulan para ilmuan berhimpun untuk mengajar cara cara mentadbir dunia kepada masyarakat. Dari situ, undang-undang dunia pun mula tersebar dan negara negara di dunia mula teratur.

Kini, setelah 925 tahun berlalu,  semenjak universiti pertama itu sehingga sekarang, sudah ada puluhan ribu universiti yang mengajar ilmu-ilmu dunia. Hasil dari tertubuhnya universiti juga, tamadun manusia berkembang maju ekoran tersebarnya ilmu-ilmu dunia.

Sungguh pun ribuan universiti telah tersergam dan akan ditubuhkan lagi pada masa mendatang, Pak Habib rasa ilmu ilmu duniawi ini hanya membuatkan manusia tersiap diri dalam merentasi dunia sahaja. Sedangkan matlamat manusia ini hidup ini bukan sekadar di dunia sahaja. Dan semakin dunia bertambah usianya, ilmu-ilmu dunia tidak mampu menyelesai masalah kerohanian manusia.

Maka sebab itu lah Pak Habib terpanggil untuk menukarkan tamannya yang sudah dikenali sebagai taman tercantik ini untuk dijadikan ‘pengkalan ilmu kehidupan’. Guna untuk menyeimbangi kehidupan manusia yang kelihatan semakin senget dan rebah. Sebab Pak Habib percaya kehidupan ada lah untuk menemukan dan menyampaikan kebenaran tentang hidup rohani dan jasmani.

Taman Pak Habib yang juga dikenali sebagai Wadi Hussein ini, jika didagangkan sebagai tempat singgahan hujung minggu sahaja sudah boleh menjana pendapatan. Tetapi Pak Habib sanggup menjadikan tempat ini sebagai garis mula bagi Universiti of Life walaupun masih samar samar margin keuntungan  Inilah perngorbanan jariah Pak Habib untuk kita.

Taman Hana Wadi Hussein ini bukan terbina secara mendadak atau sekelip mata, ia bermula dengan pinggiran hutan tebal di kaki bukit banjaran Titiwangsa. Melihat keadaan asal hutan itu dan melihatkan lanskapnya yang ada sekarang ini, tentu seseorang itu berasa tidak percaya ia diusaha sendiri oleh Pak Habib secara seorang diri, hari demi hari, minggu demi minggu, tahun demi tahun tanpa ada sebarang bantuan dari sesiapa, sehingga kini tidak kurang tiga puluh tahun lebih jangkauan masa itu. Malah kaum keluarga Pak Habib sendiri, seperti anak anaknya juga tidak membantu untuk menerokainya.

Pak Habib membina Taman Hana Wadi Hussein ini secara seorang diri dari segi wang ringgit, duit koceknya sendiri yang mendana segala pembelian pokok bunga, benih, baja, pembinaan rumah, chalet dan segala prasarana yang ada. Proses pembinaan ini sudah tentulah berperingkat peringkat dan mengambil masa. Susun atur taman, pemilihan flora dan fauna serta lanskap, senibina rumah, semuanya dikendali oleh Pak Habib. Dalam istilah Inggeris, ia dibuat secara ‘single handedly’.

Almarhum Prof Syed Hussein Al-Attas
Prof DiRaja Ungku Aziz
Kini, kita datang menikmati rahmatnya.

Saya tahu peristiwa itu kerana saya menyaksikannya di hadapan mata saya melalui rentasan masa rentasan masa dan. Bukan dikutip dari mulut mulut insan lain atau dari rakaman penulisan orang.

University of life adalah sebuah tempat berhimpunnya para ilmuan yang membicarakan tentang permasalahan hidup masa kini.

Barat mendakwa Bologna University merupakan universiti pertama di dunia, wujud kerana menyebar undang undang dunia. Tetapi undang undang di Rom tidak boleh digunapakai di tempat lain, jangan kan kita yang jauh ribuan batu jaraknya dari Itali, malah negara jiran tetangganya pun menggubal undang undang sendiri.

Sebenarnya dari segi faktual, Nabi Muhammad SAW adalah pengasas universiti pertama, kerana Nabi Muhammad SAW yang menyebarkan ilmu dunia dan akhirat kepada manusia sejagat untuk digunapakai oleh semua bangsa di dunia. Ajaran Nabi SAW bermula dari Mekkah itu telah berjaya menghasilkan himpunan para ilmuan Islam semenjak 1434 tahun dahulu. Bukankah himpunan para ilmuan itu adalah universiti?

Kesinambungan dari situ, menyedarkan Pak Habib berasa perlu dan terpanggil menubuhkan University of Life.

Makna universiti kehidupan itu bertaburan di muka bumi ini, bertabur makna di sekitar kita. Tetapi adakah kita mampu mengambilnya?

Universiti of Life secara kerohaniannya ia sangat penting dan sangat diambilkira keperluannya. Maka tanpa menunggu lagi, Pak Habib mulakan juga University of Life sebagai projek rintisan (pilot project).

Sebenarnya universiti kehidupan ini ada di mana-mana, dan kebahagiaan hidup juga ada di mana-mana, kerana kebaikan dan rahmat Tuhan itu juga ada di mana-mana. Tetapi di University of Life ini kita mula menyedarkan manusia tentang keberadaan rahmat Allah itu semua, sekaligus mencari pintu untuk sampai kepadanya.

Kita sedarkan manusia bahawa dunia ini, Tuhan sebagai Chanselornya, Nabi dan Rasul adalah pensyarahnya. Al Quran adalah silibusnya. Mekkah adalah pusat universiti kehidupan manusia.

Pak Habib adalah satu tenaga yang mendukung.  Kelas University of Life ialah kelas tentang sharing, caring, giving, loving, forgiving.

(saling berkongsi,saling ambil tahu,saling beri memberi, saling sayang menyayangi, saling maaf memaafi)

Mengapa saya ikut Pak Habib?

Sebelum terlibat sama dalam Al-Attas University of Life, sebagaimana orang-orang lain, saya juga memasuki universiti yang formal. Saya mempelajari subjek ekonomi, pensyarah saya mengajar ilmu ekonomi dengan begitu hebat sekali dan dia berjaya menghasil ahli ekonomi  handal. Begitu juga dengan pensyarah subjek pengurusan perniagaan, dia juga telah mendidik dan menghasilkan ramai ahli perniagaan yang berjaya. Pensyarah pensyarah subjek subjek lain pun begitu juga.

Namun, tahun demi tahun, para pensyarah saya, juga pensyarah di universiti lain, masih bersyarah dengan subjek khususnya. Sedangkan anak didiknya sudah berjaya, sudah kaya. Pensyarah masih berlegar di dunia syarahannya. Mereka tidak keluar dari kepompong pendidikan kerana mereka adalah pendidik secara teori sahaja. Jika disuruh buka perniagaan, mereka mungkin tidak berjaya. Mereka hanya memberitahu teori dan pelajar-pelajar yang dididik itu mengamalnya dan pelajar pula yang benar benar berjaya. Itu pengamatan saya di universiti formal.

Berlainan sekali, apabila Pak Habib mengatakan dia mahu menubuhkan Universiti of Life dan saya bertanyakan apakah yang akan diajar di universiti itu. Saya berasa amat terpanggil dan yakin untuk turut serta kerana Pak Habib bukan bercakap secara teori tentang sharing, caring, giving, loving, forgiving. Sebaliknya dia sendiri sudah melaluinya dan yang paling saya yakini sekali apabila saya dapati Pak Habib juga mengamalkan apa yang dia ajari.

Secara mudah dan ringkas, dia mengajar, memberitahu, berpesan dan mengingatkan kita akan amalan dan perkara perkara yang dia sendiri amalkan. Dia bukan pensyarah teori.

Bagaimana saya tahu Pak Habib mengamalkan apa yang dia ajar?

Saya mengenali Pak Habib semenjak tahun 80an, ketika saya mula habis pendidikan diploma lagi saya sudah bersahabat dengan beliau. Melalui seorang kawan saya  bernama Haroun Perancis. Dia lah orang yang memperkenalkan Pak Habib kepada saya. Sejak itu saya bersahabat dengan Pak Habib. Pergaulan saya juga mengalami turun naik, ada masa saya terlalu rapat dengan Pak Habib, mengekorinya ke mana saja dia berurusan selama berbulan bulan dan kemudian saya berenggang dengan beliau untuk beberapa tahun namun perhubungan silaturrahim tetap akrab.

Selama puluhan tahun saya berkawan dengan Pak Habib, saya sendiri menyaksikan bagaimana sikap dan amalan hidup beliau. Memang apa yang dia cakap, dia buat. Itu asas personaliti Pak Habib. Maknanya jika dia mengajar kita tentang loving, caring, sharing, giving, dan forgiving. Memang itulah amalannya. CAKAP SERUPA BIKIN.

Berapa ramai kawan kawan yang telah menipunya, termasuk saya. Berapa ramai kawan yang telah mencemuhnya, yang telah mengambil kesempatan ke atas dirinya. Pak Habib tetap begitu juga, dia tidak mahu membalas dendam, malah dengan senyumandia tetap menerima semula kawan kawan yang menipunya dan itulah yang saya alami secara peribadi dengan beliau. Pak Habib tetap menerima sesiapa sahaja yang ingin menerimanya. Tiada dendam, tiada sakit hati, tiada marah, malah dia terus memberi dan berkongsi kepada sesiapa, walaupun orang itu pernah menjadi musuhnya pada satu waktu.

Sebagai sahabat yang mengenali dan bercampr gaul dengan Pak Habib selama 30 tahun lebih, saya kenal orang orang yang pernah memusuhinya, saya kenal dengan orang orang yang pernah mengambil kesempatan ke atasnya, saya kenal dengan orang orang yang Pak Habib pernah tolong.

Antara sikap yang saya tidak senangi pada awal persahabatan saya dengan beliau ialah tentang WAKTU ATAU MASA. Sekiranya kita berjanji dengan beliau dan kita terlambat untuk datang sebagaimana masa yang dijanjikan, Pak Habib akan melenting marah. Bukan sikit-sikit marahnya.

Saya yang membesar dengan budaya janji Melayu, iaitu semasa berjanji akan mengambil sikap sambil lewa, sering melambat lambat dan mengambil mudah dengan waktu, pada mulanya  berasa terkejut juga dengan sikap Pak Habib yang terlalu marah jika terlambat. Sikap menepati masa inilah yang adakalanya saya berasa agak rimas, tetapi saya tahu sikap menepati masa sepertimana yang dijanjikan itu adalah amat penting dalam hidup. Lama kelamaan saya mula memahami kepentingan tersebut. Sekiranya saya tidak dapat datang pada masa yang dijanjikan kerana sebab sebab tertentu saya akan cepat cepat memberitahu beliau tentang kelewatan tersebut. Sebab Pak Habib tidak akan berkompromi dengan waktu yang dijanjikan. Menepati masa yang dijanjikan ini bukan saja berurusan dengan saya, malah dengan sesiapa saja, beliau tetap memegang prinsip yang sama. Baik dengan kawan kawan mahu pun dengan anak anak beliau. Banyak peristiwa di hadapan mata saya sendiri, Pak Habib meninggalkan sesuatu tempat pertemuan, kerana pihak yang berjanji itu datang lambat.

Sikap Pak Habib yang terlalu berkira dengan masa itu memang sesuai dijadikan teladan, setiap manusia dan ummat Islam khasnya wajib menguruskan dan menggunakan masa dengan cara yang paling optimum lagi berkesan. Banyak ayat-ayat dalam Al-Quran yang menggesa umat Islam mengguna masa dengan betul.

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran.”
(Al-Asr:1-3)

Masa adalah harta manusia yang cukup berharga. Orang yang membuang masa dengan percuma sebenarnya menganiaya dirinya sendiri.

Satu lagi prinsip yang saya rasa perlu saya beritahu di sini, Pak Habib seorang yang perfectionist. Jika dia melakukan sesuatu, khususnya dalam bidang penulisan, dia mahu hasil yang terbaik. Bukan kerja yang melepaskan batuk di tangga sahaja. Jika sesuatu kerja itu dibuat, beliau mahu satu penghasilan yang paling terbaik, setelah diolah berulang ulang kali. Kadang kala sikap terlalu mengharap yang terbaik ini menimbulkan rasa bosan, namun Pak Habib tetap dengan cara kerja nya itu. Apa juga kerja yang dia mahu kita lakukan, dia mahu ‘result’ dan bukan alasan. Budaya kerja sebegini harus ada kepada kita semua jika mahukan kejayaan dalam apa jua bidang kita buat. Tetapi ramai orang yang mungkin berasa kekok dan tidak selesa dengan budaya kerja seperti itu.


Ketika menyiapkan sesuatu penulisan, walaupun penulisan itu sudah dianggap bagus dan memuaskan, Pak Habib masih berasa tidak puas, dia akan membaca berulang kali, lagi dan lagi. Setelah dia benar benar berpuas hati, barulah dia berhenti.

Budaya menghormati masa dan fokus dalam melakukan sesuatu pekerjaan itu satu budaya yang patut kita ambil bukan saja sebagai iktibar tetapi kita harus terapkan dalam perbuatan kita sehari harian.

Dari Pak Habib lah saya belajar bagaimana menyukai pekerjaan yang saya lakukan.  Semua orang akan berasa terbeban dengan tugas yang diberikan sehingga hasil kerja tidak maksima. Sebaliknya, bila seseorang mengerjakan sesuatu yang disenangi dan disukai tentu kerja itu akan terasa menyenangkan, waktu terasa singkat, dan kita mempunyai semangat untuk mengerjakannya.
Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas

Sebab itu apabila dia mengatakan dia mahu menubuhkan universiti of life berpandukan lima asas tersebut , saya percaya dia berjaya. Kerana Pak Habib itu adalah sebuah University of Life yang bergerak. Konsep sharing, caring, giving, loving, forgiving itu dibawa ke mana-mana sahaja dia pergi. Di mana ada Pak Habib disitulah Universiti of Life miliknya.

Teringat saya pada satu kisah, ketika Professor Di Raja Engku Aziz mahu melamar isterinya, Puan Azah Aziz, pada mulanya lamaran itu cuba dielak. Lalu Azah Aziz memberi alasan, dia belum bersedia untuk berumahtangga kerana ingin melanjutkan pelajaran ke universiti. Professor Engku Aziz menjawab, “awak tidak perlu masuk universiti, awak berkahwin dengan saya, sama seperti awak berkahwin dengan sebuah universiti.”

Kini, Pak Habib di usia 70an, saya menjadi akrab semula dengan beliau kerana saya mahu mengutip semula pengajaran-pengajaran hidup yang masih banyak lagi belum saya pelajari. Dengan menjadi akrab dengan Pak Habib, saya sebenarnya sentiasa berada di samping sebuah Universiti Kehidupan.

Membaca pengamatan saya terhadap Pak Habib yang saya tulis ini, mungkin ia bergaya keterlaluan menyanjungnya. Saya menulis dengan ikhlas tanpa sebarang motif. Inilah sifat dan sikap Syed Hussein Al Attas dari sudut mata saya yang terkumpul puluhan tahun itu.

Personaliti personaliti seperti Professor Engku Aziz, Pak Habib, Professor Syed Naquib, Almarhum Professor Dr Syed Hussein al Attas ini semua adalah universiti yang bergerak. Mereka memiliki banyak pengalaman dan ilmu yang boleh dimanafaatkan untuk kita semua mengikut bidang masing masing. Ilmu yang sentiasa mengekori mereka ke mana saja mereka pergi.

oleh AZIZAN AHMAD PhD


No comments:

Get your Tickets now!