Chat With Us LIVE!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, March 20, 2013

Pak Habib Lebih Dulu Ramal Pasal Saiful Terbabit Konspirasi Politik Dalam Buku Terbarunya


APA motif bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim baru-baru ini mendakwa kes liwat 11 yang membabitkan anaknya adalah konspirasi politik untuk menghumban Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam penjara? Adakah pendedahan dibuat Azlan kerana krisis kewangan atau keluarga? Atau adakah dia dibayar untuk membuat pengakuan sedemikian?

Berdasarkan kepada sumber, hubungan Azlan dan anaknya Saiful jadi renggang bukan disebabkan oleh faktor dihasut oleh mana-mana pihak berkepentingan dalam parti pembangkang sebaliknya ada kaitan dengan kes ‘salah faham’ membabitkan hal-hal peribadi dan keluarga kedua beranak tersebut.

Kenapa Azlan berani membuat pengakuan seumpama itu terlalu peribadi mahu diceritakan di sini. Tapi sumber tidak menolak  kemungkinan ada kaitan dengan kerenggangan hubungan di samping isu-isu kekeluargaan terlalu sensitif melibatkan kedua beranak tersebut.

“Pendedahan Azlan tiada kaitan  dengan gesaan atau penglibatan tokoh parti pembangkang. Ianya berpunca dari kedua beranak itu sendiri atau hal-hal berkaitan peribadi atau menyentuh hal-hal kekeluargaan. Biasalah hubungan antara ayah dan anak. Selalunya seorang ayah akan hilang pertimbangan diri kerana mungkin rasa kecewa, tidak dipedulikan, rasa diperdaya, sudah tahu kedudukan perkara sebenar atau tidak puashati dengan tindak tanduk anaknya terlalu peribadi mahu diceritakan di sini,” kata sumber.

Pihaknya ada dimaklumkan Azlan ada meluahkan perasaan tidak puas dengan anaknya kepada beberapa ahli keluarga terdekat dan orang tertentu. Sumber menafikan perkara ini dirancang atau membabitkan mana-mana tokoh parti pembangkang termasuk Anwar Ibrahim. Cuma pembabitan pemimpin parti pembangkang mungkin berlaku di saat-saat akhir.

Semasa bercakap di sidang akhbar di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat sejurus selepas Azlan menyerahkan borang permohonan menjadi ahli kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, dia memohon maaf kepada anaknya, Saiful atas apa yang telah berlaku.

“Saya ingin meminta maaf kepada Saiful atas apa yang berlaku. Saya tidak berniat menganiayai atau mengkhianati anak kandung saya sendiri. Apabila saya menyertai PKR bukan bermakna saya akan menyisihkan Saiful dan anak yang lain. Saya membuat keputusan ini (menyertai PKR) tidak ada kena mengena dengan kes mahkamah melibatkan dakwaan liwat ke atas Saiful sebaliknya kerana sudah lama mengikuti perjuangan parti ini. Pada saya kita perlu profesional dalam hal ini. Apa yang saya lakukan sekarang ialah menyertai politik, tak ada kena mengena  dengan kes mahkamah melibatkan anak saya. Saya percaya kalau saya menyertai parti belah sana tentu masalah ini tak timbul. Kebetulan saya menyertai PKR yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Dalam sidang akhbar itu juga, Azlan mengulangi dakwaannya bahawa anaknya diperguna dan isu liwat 11 adalah konspirasi jahat yang dirancang rapi untuk menjatuhkan Anwar. Azlan turut menamakan pegawai khas Dato’ Seri Najib, Khairil Anas Jusoh sebagai antara individu yang merancang dan terbabit dalam konspirasi ini.

“Kes liwat 11 melibatkan anak saya adalah konspirasi politik jahat yang dirancang oleh seorang pegawai di Pejabat Perdana Menteri,” katanya.

-DI PETIK DARI BULETIN RAKYAT


Apabila S.H. Alattas atau lebih mesra Pak Habib menghulurkan buku terbarunya ‘Anwar Ibrahim Perdana Menteri Siapa Mati’ sudah tentulah hati kecil tertanda tanda siapa pula yang kena serang dalam bukunya kali ini?  Mengambil mood Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU 13), Pak Habib meletakkan cover buku dua wajah hero Malaya iaitu  Anwar Ibrahim dan Najib Tun Razak. 

Seperti biasa sebelum mengambil keputusan membaca keseluruhan isi kandungan buku ini saya akan menatap artikel berkenaan tajuk buku ini pada muka surat 481. Selepas itu baharulah saya menatap muka surat lainnya. Kalau sesiapa yang pernah  mengikuti mana-mana buku Pak Habib sebelum ini pasti akan terjumpa ayat berbisa tentang penulis;

“Saya sentiasa bersedia  menghadapi segala  macam ujian; expect the unexpected, selagi saya berpegang  dengan keyakinan –If God is your friend, who would dare be your enemy? Kalau tidak masakan saya sanggup  jadi pengkritik sosial  bermula dengan buku Musa Derhaka, Challenger, Memo Untuk Mahathir, Johor Corporation: Thieves Of The People, di mana ketiga-tiga  buku itu diharamkan. Saya tabik pada Musa Hitam yang berani untuk membukti dia kalah kepada arwah Ghafar Baba pada tahun 1987 kerana buku saya The Challenger.” (muka surat  69).

Bila sebut nama Pak Habib yang terkenal dengan ramalan-ramalan beraninya, sudah tentu fikiran kita akan terbayangkan tulisan beliau yang pedas, panas, menyengat dan kritikan-kritikan tajam yang jelas ditujukan kepada mereka yang menyandang kuasa dan melaksanakan kuasa tersebut. Memang tidak dinafikan terdapat kebanyakan anggota UMNO yang malas membaca buku walaupun dapat buku free. Tidak kurang sesetengahnya melihat negatif karya Pak Habib yang terkandung banyak seruan dan gesaan ke arah kebaikan.

Pak Habib tidak hipokrit dalam menulis bukunya. Sudah menjadi kebiasaan mana-mana penulis politik yang menyeru kepada kebaikan ini menjadi diri sendiri apabila memegang pena. Penulis politik yang berilmu  menulis buku berdasarkan apa yang dirasa, dilalui, dilihatnya dan sentiasa memikirkan kepentingan Allah itu mengatasi kepentingan lainnya  tidak sepertimana tulisan berbentuk mengampu boleh diolah seperti novel. Ini dinyatakan jelas oleh Pak Habib di muka surat 72.

“Bangsa kita akan menerima bala dan mala petaka seperti umat Islam di dunia yang lain yang takut menyampaikan ayat-ayat Allah yang mengandungi mukjizat yang bukan saja boleh membuka minda dan menghidupkan roh Islam malah boleh mengubah sikap manusia yang dulu dalam kegelapan menjadi terang benderang dengan cahaya Nur Muhammad! Mari kita bersalawat; Allah humma sali ala Muhammad wa ala ali Muhammad.”

Dalam buku ini sepertimana tercatat dalam muka surat 142-143 Pak Habib menyatakan dengan berani;

“Selaku seorang ‘public figure’, sama ada Raja, kerabat Raja, Perdana Menteri dan ‘first lady’,  mereka harus akur dan menerima kritikan…”

Itu mungkin sedikit pandangan dan cetusan rasa yang mahu pemimpin di atas sana tanpa membezakan status dan kasta menerima kritikan membina dengan perasaan yang redha. Tapi bolehkah pemimpin kita menerima kritikan sebagai satu acara yang membina atau demi kebaikan agama, bangsa dan negara? Kalau kita sempat mendengar ucapan-ucapan menteri-menteri dan pembesar negara memang cair dibuatnya kalau mereka  menyentuh soal agama, bangsa dan negara. Tapi pemimpin politik yang baca skrip dalam program mereka tidak ubahlah macam badut sarkis yang membaca skrip di majlis-majlis funfair. Cakap pasal agama, bangsa dan negara bolehlah berapi-api tapi semua ungkapan itu tidak mempunyai roh. Macam mana nak ada roh kalau baca skrip orang!

Dalam satu pertemuan saya dengan Pak Habib pernah berkata kepada beliau bahawa penulis rencana atau buku politik umpama watak jahat dalam filem-filem Cathay Keris antaranya Mahmud June, Salleh Kamil, Siti Tanjung Perak, Umi Khalthom dan Siput Sarawak. Watak lakonan mereka memang hebat sehingga dibenci oleh penonton. Cuba bayangkan kalau drama dan filem Melayu tidak mempunyai watak antagonis siapa yang mahu menonton? Filem Melayu akan hilang serinya bila watak-watak jahat ini tidak diadakan. 

Watak jahat memang baik untuk melariskan filem tapi pelakonnya tidak akan popular di mata penonton. Begitu juga penulis rencana dan buku politik  yang mengkritik amat dibenci oleh mana-mana pemimpin negara ini. Walaupun niat penulis mahu membawa kebaikan kepada rakyatnya  tetap dianggap satu tulisan yang buruk. Sebaliknya kalau tulisan yang bercorak mengampu walaupun intipati berupa fakta yang tidak tepat dianggap sebagai karya yang agung.

“Perihal adanya raja-raja, anak-anak raja, menantu raja, besan raja, biras dan sebagainya yang minum arak, kaki betina, kaki judi, kaki disko, yang perangai macam kaki busuk dan bermacam-macam kaki tidak pernah  mendapat ruang di dalam akhbar-akhbar. Macam mana Raja nak tahu salah dan silap dan kerabat mereka.” (muka surat  232).

Bab yang saya suka baca dalam buku ini ‘Tepuk Dada Tanya Selera Siapa Derhaka’ di muka surat 395 -406. Di sini terdapat satu pendedahan dari Pak Habib;

“Anwar ini macam Hidra dalam cerita dongeng Sinbad, yang ada tujuh kepala. Lepas dipotong kepalanya akan tumbuh lagi, potong kepalanya akan tumbuh lagi, potong balik tumbuh lagi. Itu sebab saya berhenti  tulis yang tidak elok mengenainya bila saya terjumpa bukti bahawa cerita mengenai sodomi dengan Saiful Bukhari dari bapa Saiful adalah satu konspirasi.

“Atau kalau saya boleh membuat hipotesis, berkemungkinan pemimpin atasan UMNO tidak mahu mencampuri  isu Deepak ini oleh kerana mereka juga memiliki  Deepak masing-masing. Saya percaya ada ramai Deepak dalam UMNO sebab itu pemimpin UMNO membisu seribu bahasa. Seperti Najib dan lain-lain pemimpin membisu dalam isu Ketua Wanita UMNO dalam isu lembu.

“Jika dalam parti keadilan, seringkali diperkatakan jika dipenjara atau dimusnahkan satu Anwar, akan lahir beribu Anwar yang lain. Apakah bila Najib jatuh berdentum, yang lain turut rebah sama? Lu fikirlah bro. Dalam UMNO pula, jika disekat seorang Deepak membuat pendedahan, ada beribu Deepak sedang menunggu untuk membuat pendedahan.’’ (muka surat  400).

Nama pun analisis buku tapi kalau pembaca mahu mengetahui lebih lanjut pasal buku ‘Anwar Ibrahim Perdana Menteri Siapa Mati’ kena membeli dan menatap helai demi helai isi kandungan buku ini. Sampai bila nak dapat maklumat dan informasi free? Pak Habib sudah hasilkan satu produk buku yang tajuknya agak grand takkan setakat mahu baca ulasan atau analisis? Baca analisis atau ulasan pasal buku samalah seperti mendengar pengumuman televisyen pasal pernainan bola sepak. Bila mahu diumumkan pasukan mana yang menang tiba-tiba black out mana tak haru? Tauke judi pun haru dibuatnya. 

Begitu juga baca buku Pak Habib setiap buku yang dihasilkan mempunyai kaitan dengan buku-buku beliau sebelum ini. Dalam buku terbaru ini turut diselitkan pengalaman ditempuh ketika menerbitkan buku ke 63 ‘Setan, Syaitan, Sultan’. Tapi artikel muka surat  486  dalam buku ini sudah tentu penggemar buku politik kena membeli dan membaca buku ini antara lain;


“Mahathir memang gerun jika mendengar frasa, ‘ANWAR PERDANA MENTERI’ dan tajuk buku saya mungkin menyebabkan Mahathir tidak nyenyak tidur lagi, Mahathir pun tahu, sudah banyak ramalan politik saya menepati tulisan yang saya bukukan sebelum ini. Jika dia masih Perdana Menteri mungkin dia akan haramkan buku saya. Kini dia terpaksa menelan pil penahan sakit dengan  lebih banyak lagi.”

Pastinya pembeli buku ini tidak akan rugi kerana terdapat pendedahan berani bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim (sebelum dia membuat pendedahan pada 8 Mac lalu) bahawa isu liwat 11 yang melibatkan anaknya adalah konspirasi politik.

“…bila saya terjumpa bukti bahawa cerita mengenai sodomi dengan Saiful Bukhari dari bapa Saiful adalah satu konspirasi.” (muka surat 400). 

Selain itu pada muka surat 419, Pak Habib menulis, “...tapi bila cerita sebenar diketahui umum, rakyat yakin memang ada konspirasi, apa lagi cerita demi cerita dari ayahnya yang diperdaya oleh anaknya sendiri. Kalau tak ada konspirasi kenapa hingga hari ini majoriti rakyat masih minta akan kisah Anwar, siapa dalang di belakang Saiful Bukhari untuk memasukkan semula Anwar ke Sungai Buloh.”

Tidak akan lengkap buku ini kalau tiada isu Deepak Jaikishan dan Balasubramaniam. Siapa terkena kali ini atau siapa kena makan ubat penahan sakit kena baca buku ini. Apapun Pak Habib yang disifatkan penulis politik terkenal Subky Latif antara penulis mempunyai ilmu agama yang tinggi berjaya menghilangkan kedahagaan pembaca yang mahukan sebuah buku yang menjawab segala persoalan isu liwat 11 dan Pilihan Raya Umum Ke 13.

-OLEH NORZAH KEPOL, BULETIN RAKYAT







-GAMBAR-GAMBAR DAN CAPTION DARI BUKU MAHATHIR KONSPIRASI ANWAR REFORMASI

No comments:

Get your Tickets now!