Chat With Us LIVE!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, March 7, 2013

Hilang Takhta, Mati Dalam Buangan Kerana Anjing


Pukul 5:00PM, March 5, 2013 bersamaan 22 Rabiul Akhir 1434, saya bersama Fazrul Musa, anak angkat saya, tiba di Al-Attas Unilife untuk melihat persiapan terakhir untuk menyambut kedatangan 100 orang para blogger dan facebookers yang akan mengadakan pertemuan untuk kali ke-dua di Janda Baik.

Sementara menunggu Halim, pembantu khas yang sudah tinggal bersama saya hampir 20 tahun dengan taat dan setia membuat persiapan minum petang, saya masuk ke dalam rumah.

Baru-baru ini saya membaca semula buku berjudul KHOMEINI Life, Thought and Legacy sambil memerhatikan gambar Ruhullah Musawi Khomeini yang tergantung di dinding dewan tempat saya selalu mengadakan perkongsian ilmu dengan mereka yang datang dari jauh dan dekat untuk menyertai majlis ilmu di Taman Hana, Wadi Hussien; bagi orang yang ingin memiliki jiwa luar biasa, a league of extraordinary souls, mengingatkan saya bahawa keistimewaan manusia yang gambarnya tergantung pada dinding adalah pada akal, roh dan akhlaknya.


“Dalam diri manusia ada seketul daging ‘hati’, kalau baik daging itu baiklah manusia. Jika rosak maka rosaklah manusia itu. Itulah yang dinamakan hati atau roh.”
(Bukhari dan Muslim dari Nukman bin Basir)

Karamah dan kebijaksanaan yang ada pada Imam Khomeini, pemimpin revolusi Islam Iran  berjaya mengalahkan kesatuan kuasa barat dan sekutu Arabnya, adalah seorang insan yang sangat ‘luar biasa’ dari segi keilmuan irfan, kesufian, kerohanian dan keberanian. Mana ada pemimpin di dunia di hari kematiannya terdapat sembilan juta manusia berkumpul memberikan penghormatan terakhir dan sesudah beliau wafat, setiap hari ribuan manusia  datang menziarahi perkuburannya di Beheshtie Zahra di Tehran. Ada kah pemimpin yang lebih hebat dari Imam selaku ikon dan role model dalam sejarah kepimpinan moden? Kebanyakan pemimpin sebelum mati sudah jatuh dalam kehinaan yang masa berkuasa disanjung dan ditakuti kerana kekejaman dan kezaliman.
 
Siapa saja yang pernah masuk ke dalam rumah saya tentu pernah nampak selain dari gambar-gambar datuk saya Dato Habib Hassan Al-Attas, kelmarin satu muka surat penuh memaparkan gambarnya selaku seorang mujahid ulama pembangun ummah yang mendirikan masjid pertama di negeri Johor moden, di bawah pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakr. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Syukur pada Allah SWT kerana nasabku Al-Attas yang terdapat dari kedua ibubapaku Syed Alwee bin Abdullah Al-Attas dan Sharifah Zainah binti Hassan Al-Attas; sebab itu selain gambar datuk dan ayah, terdapat gambar saya bersama-sama dengan ibu dan nenek kepada ibu saya yang penuh dengan ingatan-ingatan manis ketika saya berumur 17 tahun. Mereka berasal dari Kampung Raja, Terengganu. Dan yang terpenting dalam satu bingkai besar terdapat gambar para habaib sadah ahlul bayt, keluarga Rasulullah SAW yang terkemuka di negeri Arab dan juga di Nusantara.

Selain gambar saya dengan Sultan Pahang, mantan yang diPertuan Agung dan gambar bersama Tun Mahathir, tergantung cermin-cermin besar dan kecil? Ada orang ingat ianya untuk Feng Shui tetapi sebenarnya, selaku seorang manusia yang ada mata kepala dan mata hati, cuba cermin muka sendiri, dan tanya “Siapa aku ini?” sebelum kita menuding jari ke arah orang lain. Apakah kita lupa ada tiga jari yang menunjuk ke arah kita?

Apakah kerana gambar pejuang hak asasi yang berani bersuara lantang ketika parlimen Iran meluluskan undang-undang siapa saja rakyat Iran yang membunuh anjing penjajah, dia akan dihukum bunuh, digantung dalam rumah dan dibubuh di kebanyakkan buku saya, maka saya menjadi ejen propaganda Iran untuk mempromosikan syiah ke Malaysia seperti yang dilakukan oleh mereka yang meng-indoctrinate Islam Arab badwi yang bertopengkan  ‘ahlul sunnah’? Imam Khomeini berani menentang Shah Pavlavi yang menjadi alat Dajjal yang sanggup menghina dan menzalimi rakyatnya, dan lebih sayang anjing penjajah dari saudara sesama Islam.

Cerita pelacur yang memberi seteguk air di masukkan ke syurga kerana mulianya hati seorang pelacur; tetapi kita tidak boleh sayang anjing berlebih-lebihan kerana orang barat kata, ‘dog is a man’s best friend,’ anjing sahabat mereka tapi jangan lupa:

“Siapa yang tidur dengan anjing akan bangun dengan kutu anjing.”
Benjamin Franklin

Pelik anjing lebih bernilai dari roh orang Islam; yang datangnya dari Allah SWT dan akan kembali kepada Allah SWT. Tan Sri Rahim Nor tidak terima kata-kata Almarhum Sultan Mahmud Iskandar semasa menjadi Tengku Mahkota apabila TMJ memanggil polis anjing, dan bapa polis bapa anjing. Baca buku terbaru saya Anwar Perdana Menteri Siapa Mati.

Apakah mereka yang menuduh saya syiah, tahu ‘syiah’ itu apa? Apakah kerana ada puak yang melabelkan syiah itu kafir maka saya pun kafir? Apa yang bangang sangat ini? Jangan jadi sengal, poyo yang berpegang kepada falsafah ‘beri nama yang buruk kepada anjing, kamu boleh bunuh anjing tersebut’ seperti Amerika yang melabel orang Islam sebagai terrorist, maka terrorist boleh dihukum sesuka hati, CIA ke dia ni?


Apakah mereka yang mengaku ‘ahlul sunnah’, tahu ‘ahlul sunnah’ itu apa benda? Ada belajar ilmu tawhid ke tidak? Kenal ke dia pada Nabi Muhammad SAW, percaya ke dia pada hadith Rasulullah SAW? Mungkin dia ini seorang Quranist. Pencinta keluarga Rasulullah SAW mengikut sunnahnya dan Al-Quran baru jadi ‘ahlul sunnah’? Ramai orang mempertikaikan orang kristian hari ini bukan lagi sebagai Ahlil Kitab. Apakah orang yang Islamnya sekadar pada MyKadnya itu Islam? Kristian pergi ke gereja pada setiap hari Ahad, dia pula terpaksa pergi masjid pada setiap hari Jumaat, takut tiga hari tidak pergi jadi kafir. Kasihan. Sewaktu solat tidak rapatkan saf, kerana ada manusia ditepi yang ‘maha halia’ yang diagungkan.

Islam adalah cara hidup yang paling sempurna, bukan sekadar sembahyang, puasa, berzakat, naik haji tapi masih minum arak, main judi, berzina, mengumpat, menfitnah dan rasuah. Bagaimana dengan mereka yang tidak melakukan solat kerana di dalam Quran tidak tertulis cara melakukan solat, tidak berpuasa dan tidak menutup aurat kerana Tuhan tengok hati dan bukan pada pakaian, sapu bersih harta faraid, duit anak yatim, duit zakat fitrah di faraidkan sama sendiri kerana ada lesen besar; samakah orang Islam mukmin, fasik dan munafik? Cakap bohong, berjanji mungkir, diberi amanah kemudian mengkhianati amanah, apakah munafik, masih boleh di kira sebagai Ahlil Kitab, kitab apa yang mereka gunakan? Lu fikirlah bro.

Semua orang yang ada ‘akal’, yang beriman percaya adanya roh di dalam diri, adanya syurga dan neraka, mati itu benar. Ramai yang mahu berubah setelah melihat kemurkaan terhadap pemimpin dan negara yang tidak percaya kepada kekuasaan Allah SWT ada rasa takut bila dapat hidayah. Secara mantiq rasionalnya, hendak berubah macam mana, jika tidak mahu membaca, mengaji dan mengkaji, tidak mahu bergurukan guru yang murshid? Bila lagi mahu duduk dan berfikir dan bertafakkur dan mencari ilmu atau mahu menghantar anak cucu ke sekolah islamik yang mempunyai pendidikan holistik, bukan sekadar menjadi hafiz kerana nak masuk syurga guna subsidi. Pernah dengar nama Sekolah Islam ADNI?

Alam persekolahan adalah pengalaman yang pertama untuk kanak-kanak berjauhan dengan keluarganya dan disitu juga mereka akan diberi preview tentang kehidupan sebenar atau realiti hidup. Jadi memilih sekolah itu adalah sangat penting kerana apa yang mereka belajar secara tersirat dan tersurat akan bersama mereka hingga ke dewasa dan lebih penting lagi ia akan mengukir cara pemikiran mereka yang mampu menjadikan mereka manusia yang ‘luar biasa’ yang di perkenalkan oleh Tuan Haji Hasni.

Jadi itulah sebabnya saya menghantar kesemua anak-anak saya ke Integrated Islamic College atau dikenali sekarang dengan nama Sekolah Islam ADNI yang menawarkan sukatan pelajaran antarabangsa. Sistem pendidikan di sekolah ini mementingkan kaedah holistik di mana pembelajaran bukan saja dari segi akademik semata-mata, tetapi ilmu spiritual juga ditekankan di mana selama ini sistem pendidikan kita gagal melahirkan modal insan yang beradab dan mempunyai akhlak.

Pembelajaran holistik ini memberi pelajar-pelajarnya suatu kebolehan untuk mentafsir dunia luar dengan lensa yang lebih luas, mereka dapat memahami realiti dengan menggunakan panca indera berserta dengan emosi yang membolehkan mereka mewujudkan sifat empathy.

ADNI membina murid yang berdaya saing di arena akademik dan agama. Murid-murid diajar di dalam sistem yang holistik yang merangkumi pembangunan IQ, EQ dan SQ. Pembelajaran di Sekolah Islam ADNI tidak memisahkan agama dan akademik. Malahan menggabungkan agama ke dalam subjek-subjek lain. Pembelajaran Islam bukan sahaja dilakukan di dalam kelas tetapi secara keseluruhan. ADNI telah berjaya melahirkan pemuda yang bersedia dan lengkap untuk menghadapi dunia dan akhirat. Inilah University of Life yang pertama yang mesti dilobi oleh anak-anak Islam.

Baca yang tersirat dengan pemikiran yang terbuka apa yang kamu lihat ketika kamu hadapkan wajahmu ke mana saja, di situ ada Allah SWT, pencipta kamu yang ada di mana-mana dan Dia lebih dekat dari urat leher kamu sendiri. Kenapa, tidak percaya ke? Apakah kamu percaya dan yakin dengan kekuasaan Allah SWT? Bukankah kerja Allah SWT yang menaik dan menurunkan sesiapa yang Allah SWT perkenan? Siapa boleh terfikir Ayatullah Khomeini yang di buang negeri di Paris, di negeri orang kafir boleh kembali ke tanah airnya Iran sebagai pemimpin kerohanian terhebat di dunia tanpa terlibat menggunakan sistem politik sekuler?

Apakah kita masih tidak mahu percaya dengan kata, “Jika kamu memusuhi wali Ku, akan Ku memerangi kamu.” Inilah karamah dan ilham yang ada pada seorang wali Allah seperti mukjizat pada para Rasul, Nabi dan pada manusia luar biasa. Pelik dan ajaib tapi benar, bagaimana Imam Khomeini boleh menumbangkan sebuah kerajaan negeri yang dibelakangnya Amerika Syarikat dan sekutunya. Lapan tahun Saddam Hussien menggunakan senjata bahaya di bantu oleh negara-negara Arab, akhirnya mereka tidak mampu menghancurkan Iran dan yang mati dalam kehinaan dan di gantung adalah Saddam Hussien; Kuwait yang diserang oleh Iraq.

Islam muncul ibarat bunga, berkuntum, berkembang kemudian layu, kini Islam berada dalam sebuah taman, satu ladang yang di buka oleh mereka yang percaya hanya agama Allah SWT sahaja yang boleh mendamaikan dunia yang penuh dengan sengketa oleh mereka yang ganjil tidak pernah jumpa Nabi Muhammad SAW tapi beriman dan bertaqwa inilah tanda-tanda bakal timbulnya Imam Mahdi dan Nabi Isa AS, dimana Islam dan Kristian akan bersatu sudah kelihatan. Kenapa kita masih takut berkata benar atau terpaksa mengorbankan wang ringgit dan masa hatta nyawa sekalipun mempertahankan Islam sebagai agama Allah yang benar - deen al-haq, untuk menyelamatkan dunia yang sedang di porak-perandakan oleh ajen-ajen Dajjal yang bertopengkan Islam, yang menggunakan wang ringgit, pengaruh dan kedudukan untuk merosakkan orang Islam yang Islamnya sekadar pada nama.

Selaku seorang penulis blog, saya bertanggung jawab untuk mendidik dan memimpin pemikiran rakyat ke arah kebenaran. Mudah-mudahan pertemuan dengan 100 para blogger dan facebooker bermula pada 9 dan 10 March di mana saya hanya tuan rumah, yang lain diurus oleh Uncle Seekers dan kawan-kawannya. Semoga pertemuan ini dapat membawa keluar mereka yang masih tidak faham bahawa blog dan Facebook itu sekadar media yang bersifat maya, alat penyampai seperti media massa yang lain tapi yang penting ilmu akal dan iman penyampai; supaya tidak dilabel goblok dan masyarakat hilang kepercayaan seperti yang berlaku pada media massa arus perdana.

Tugas dan tanggung jawab penulis sama ada menggunakan TV, radio, akhbar dan media baru selaku ummat Islam yang beriman selain memastikan bahawa generasi yang mendatang terdidik dengan akhlak Rasulullah SAW supaya mempunyai pandangan alam Islam, yang dihidupi dengan mesra oleh khalifah sebagai pengerusi bagi segala hal ehwal negara yang kita cintai. Jadilah seorang blogger dan facebooker yang berani berkata benar. Sama ada kita hidup di kalangan mereka yang beriman atau yang taghut, tugas kita sebagai penyampai berita seperti nabi Allah sama ada Nabi Ibrahim ‘alayhi salam atau Musa ‘alayhi salam terhadap Firaun dan Namrud, terserah, tanggung jawab kita yang selama ini dibutakan supaya celik biru mengingatkan rakyat pilih ketua yang beragama yang ada sifat kenabian. Islam adalah agama rasmi Malaysia maka kita perlukan seorang pemimpin yang beriman dan bertaqwa. Selaku pewaris Nabi mereka perlu ada sifat Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatanah. Perlu mempunyai adab, akhlaq dan keterampilan selaku bayangan Allah SWT di muka bumi dan menghantar anak cucu ke sekolah yang mementingkan pendidikan secara holistik bukan sekadar ‘hafiz’.

Mereka yang pernah sampai ke Wadi Hussien selain melihat ada puluhan tempayan yang besar-besar, dengan mata yang celik, pasti nampak ribuan pohon dari ratusan jenis tumbuh-tumbuhan dan terdapat beberapa cermin besar di luar, kerana pelawat tidak dibenarkan masuk di dalam rumah. Apakah mereka pernah terfikir kenapa saya buat kerja-kerja macam ini? Ada orang kata saya gila, buka taman pada orang ramai secara percuma dan buka University of Life yang pertama di Malaysia yang tidak mengeluarkan diploma ataupun scroll, “Macam mana mereka nak cari makan selepas mengikuti perkongsian ilmu di Unilife?” Apakah kita menuntut ilmu kehidupan semata-mata untuk cari makan atau menambah pengetahuan dan menjadi seorang ilmuwan, seniman, pahlawan tanpa pedang seperti samurai tanpa pedang di Jepun?


Dulu semasa saya mengambil 28 orang anak Ustaz Abu Talib yang berumur dari 2 bulan hingga 5 tahun dan 10 orang isterinya yang berwarga Singapura kerana tidak ada orang yang berani memelihara anaknya apabila Abu Talib dan 10 isterinya ketika di penjarakan, saya di tuduh syiah. Bukan mudah, buat baik pun salah juga.

Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak mahu membantu mereka, saya menerima mereka kerana ia adalah tanggung jawab fardu kifayah, yang mana ramai orang menyebut “fardu kifayah jadi tidak payah.” Ke mana hilangnya semangat persaudaraan Islam? Apa dah jadi dengan hati budi kita bila melihat jabatan dan mahkamah Islam di Johor yang hanya pandai menghukum? Ke mana perginya perasaan kemanusiaan dan rasa kepedulian; Raja selaku Ketua Agama buat apa? Manusia di cipta atas nama sifat Ar-Rahman Pencipta, ada ke Islam tanpa kemanusian? Inilah akibat hanya mengutamakan fardu ain, mengutamakan hukum syariat dan mengikut hukum fekah tanpa pemahaman hakikat, tarikat dan ma’rifat.

Salah satu dari kesukaan Rasulullah SAW adalah wanita tetapi Nabi Muhammad SAW tidak menjadikan perempuan selaku hamba seksnya. Sebaliknya, cintanya terhadap wanita bermaksud menaikkan taraf mereka dan menjadi suara mereka sambil menjadi their first line of defense. Sebenarnya Abu Talib adalah seorang yang gila seks, sex maniac yang menggunakan sistem ‘nikah muta’ah’ untuk kepuasan nafsunya. Sekarang dia menjalani hukuman penjara seumur hidup, anaknya sendiri pun dia rogol, apa punya Islam? Astaghfirullah hal Adzim itulah balasan bertopengkan syiah semata-mata untuk nikah muta’ah, takut melakukan free sex dan LGBT; ada juga yang bertopengkan sunni tidak boleh terima kerana ada 3T: teringin tapi takut. Dia boleh muta’ah dengan anak orang lain, tapi orang lain tidak boleh muta’ah dengan anaknya.

Saya tidak pernah takut pada ‘label’. Macam-macam label, gelaran dan brand yang dilemparkan kepada saya, “Suka hati lu lah brader,” kata orang Sabah. Semasa saya bersama Al-Arqam dulupun, kerana Wadi Hussien menjadi Arqam Transit, saya di label ‘orang Arqam’; nama tersenarai dalam list yang akan ditahan dibawah ISA. Malah sekarang Wadi Hussien didiami oleh Ku Shah, abang ipar Sultan Ibrahim Johor dan sepupu Sultan Ahmad Shah Pahang. Apakah kerana anakanda Sultan Perak duduk menumpang bersama Uncle Seekers yang juga menumpang maka saya kerabat diRaja? Ini sangat baik, mungkin saya mahu menukar nama kepada Yang Mulia Tengku Syed Hussien, boleh ke?

Dalam politik pada mulanya saya di label orang Musa, orang Mahathir, orang Anwar, dan orang UMNO sedangkan saya tidak pernah jadi ahli mana parti politik; nonpartisan. Betullah kata peri bahasa Melayu, besar mana mulut tempayan kita masih boleh tutup, bukan mulut pengumpat dan pemfitnah. Mentang-mentanglah mamat ini ada media baru dia terlupa ‘bila timbul kebenaran yang batil akan pupus dengan sendirinya.’ Tidak elok ganggu harimau tidur. Jika terasa nak jadi hero harus sanggup mati dalam arena.

Saya penulis dan pemikir yang tidak mudah untuk dilentur dan ditakut-takutkan dengan ugutan, label dan gelaran - hidup saya untuk mati. Kerja saya mendokumentasikan apa yang berlaku pada saya, dan di sekeliling saya. Mengingatkan manusia supaya jangan mudah terpengaruh dengan puak dan masyarakat, yang tanpa kita sedari cuba membentuk cara hidup kita. Melainkan kita seperti ikan yang hidup di laut, garam tidak boleh meresap ke tubuh.

Kerana hobi saya suka membaca, tidak kira apa buku pun saya baca, dan melalui pengalaman dengan manusia-manusia yang saya temui dan buku-buku hasil karya Imam Khomeini, Ash-Shahid, Dr Ali Shariati, Ash-Shahid Murtada Mutahhari dan Tijani dengan bukunya Akhirnya Ku Temukan Kebenaran dan Ihya Ulum Ad-Deen, karya hujatul Islam Imam Al-Ghazali, saya dapat melihat sesuatu dari perspektif universal.

Selama 50 tahun hidup selaku penulis yang telah mengembara hampir ke empat penjuru alam ianya telah memberikan saya inspirasi untuk menulis buku The University of Life dan berkongsi ilmu mengenai kehidupan dan mengajak mereka, kaum ilmuwan dan pemikir, bagaimana kita boleh membawa kedamaian hasil pergaduhan yang di ada-adakan antara syiah dan ahlul sunnah dan perpecahan ummat Melayu dari mazhab yang sama yang merugikan bangsa sendiri.

Lahirnya University Al-Hayat, universiti kehidupan ini supaya mereka yang berfikiran dalam kotak dapat di keluarkan dari kepompong yang menutupi penglihatan mereka mengenai peri pentingnya ‘kebenaran’ supaya kita semua boleh menjadi manusia merdeka jiwa raganya. Terutama keluarga Rasulullah SAW yang seperti pemuda-pemuda Al Kahfi yang tertidur selama 300 tahun. Kita tidak lagi hidup di zaman Muawiyyah berkuasa. Yang mana dia boleh menyeksa dan membunuh selain keluarga Rasulullah SAW juga ulama yang mencintai ahlul bayt.


Mereka yang mengenali saya dan pernah hadir ketika saya adakan perkongsian ilmu secara santai, tahu memang dari segi amalan hidup saya, saya amatlah rugged suka bertopi cowboy. Apakah itu bererti saya alat Amerika? Saya dulu pernah ke Hollywood ingin jadi film star, tapi tidak jadi. Apa bezanya mereka yang bersongkok, berkopiah dan berserban; yang memegang jawatan penting apakah tidak mungkin mereka dalam payrole musuh-musuh Islam? Anak cina makan pengat, sendiri punya diri sendiri mahu ingat. Kita boleh simpan Red Book komunis,  mengikut cakap Tan Sri Dr C. C. Too, Pengarah Perang Saraf Malaysia tahun lapan puluhan, di rumah tetapi itu tidak bermakna kita sendiri komunis. Orang syiah tidak memakai tie; tanya kawan-kawan lama saya di Johor Baru, saya bergelar Hussien Tie, kerana minat saya memakai dan mengumpul ratusan tie. Anak saya nama Omar, mana ada orang syiah yang namakan anaknya Omar dan adik saya juga bernama Omar. Datuk saya sohibul ratib qutubul anfas Habib Omar bin Abdul Rahman bin Aqil Al-Attas, pembawa ratib Al-Attas yang mengamalkan tarikat Alwieen keturunan dari Imam Hussien anaknya Imam Ali dan Fatimah Al-Zahrah binti Muhammad, Rasulullah SAW. Satu keturunan dengan Imam Khomeini. Apakah kerana kita mencintai tok nenek kita, kita syiah? Bukankah Imam Ali karamallahu wajhah menantu Rasulullah SAW adalah sahabat dan khalifah? Bagaimana mereka yang membenci keluarga Rasulullah SAW, apakah mereka wahabi atau yahudi?

Cinta kepada Rasulullah SAW dan ahlul bayt  sudah menjadi darah daging saya. Sejak saya kecil lagi kerana saya biasa ke rumah Syed Alwee Al-Hadad, Syed Muhammad bin Salim Al-Attas di Singapura dan berjumpa dengan ulama besar dari Hadramawt yang datang ke rumah, sebab itulah saya selalu mengeluarkan kata-kata Al-Shafie yang mengatakan “jika mencintai ahlul bayt Nabi itu shiah rafidah yang sesat, maka bersaksilah bahawa aku shiah rafidah yang sesat.” Apakah mereka pengikut Imam Shafie dalam mazhab ahlul sunnah itu ‘sesat’?

Di zaman Ceasar berkuasa, rakyat takut dengan perkataan ‘ambitous’. Siapa yang ditangkap dengan tuduhan bercita-cita tinggi boleh dihukum bunuh. Serupa dengan perkataan ‘derhaka’ di zaman Raja-Raja Melayu berkuasa. Sekarang pun ramai yang takut dengan label ‘derhaka’, takut ‘derhaka’ dengan Sultan tapi tidak takut derhaka dengan Allah SWT, Tuhan Sekian Alam. Dulu orang tidak berdosa sekalipun bila Raja termakan fitnah, orang tersebut menjadi ‘Public Enemy’. Seperti Hang Nadim yang cuba menyelamatkan Singapura dari di langgar todak kerana kecerdikannya untuk menyelamatkan bumi Singapura, dia di bunuh. Ini zaman Nadim dan Jebat mula menjadi hero masyarakat, maka muncul pemimpin yang berani macam Anwar Ibrahim yang muncul sebagai hero yang  mengubah landskap politik Malaysia. Keberaniannya menjadikan dia seorang catalyst bagi kebangkitan rakyat yang sudah lama sangat tertidur.

Tiada bezanya otak kita dengan otak haiwan lain, mungkin otak lembu dan kambing ada bezanya dari segi besar kecil untuk dibuat lauk. Tapi otak orang yang berakal akan memanfaatkan telinganya, matanya dan lidahnya dalam kata-kata dan setiap perbuatannya tergolong dalam kategori manusia luar biasa. Dia tidak cakap suka hati mak bapak dia macam Yem, Sultan Johor ketika murka Nizar, MB Perak, ada ke dia kata Nizar pemimpin bertokak dan berkudis. Itulah yang terjadi bila jual murah sangat, ‘bergadai, bergolok kita beli juga.“Jangan marah, nanti kena jual,” pinjam dialog P. Ramlee.


Orang yang berakal tahu membezakan antara dosa dan pahala, tidak mudah membiarkan diri di kuasai nafsu amarah dan emosi; tidak bodoh sombong, tidak ego berlebih-lebihan, tidak rasa diri pandai dan hebat. Wajib ada rasa malu, ada rasa bersalah bila dia cermin muka dia, dia tong kosong, ‘an empty vessel makes the most noise’. Jangan pandai guna ayat Al-Quran, mentafsir Quran tapi tidak tahu bahasa Arab tetapi Islam hanya pada MyKad, Islam fasik. Cakap tidak serupa bikin punya. Bila terbongkar rahsia siapa anda sebenarnya baru padan muka. One cent no use bro. ‘Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.’

“Tidak beragama orang yang tidak berakal.”
(Hadith)

Mungkin sebab itu mereka yang tidak beriman tidak berani; tengok muka sendiri pada cermin, muka macam hantu, perangai malam macam burung hantu. Orang yang berani tidak baling batu, sembunyi tangan. Setiap tuduhan yang hendak dibuat perlu ada bukti. Jangan cakap ikut emosi atau ada agenda yang tersembunyi.

Apakah kerana label syiah maka saya akan dibenci oleh masyarakat? Kalau macam itu, kenapa mereka boleh membiarkan orang syiah dari Iran turut serta dalam pertandingan Al-Quran. Allah SWT, Tuhan bagi orang syiah dan sunni, Nabinya Muhammad SAW, kiblatnya di Mekkah, Umrah dan Haji ke Mekkah juga, bukan kiblatnya di White House. Bagaimana dengan agama yang dibawa oleh orang yang menuduh saya syiah, yang di bawa oleh badwi dari Arab jahiliyyah? Apakah dia bukan seorang wahabi atau yahudi? Lu fikirlah bro.

Baru-baru ini sekali lagi saya dilemparkan dengan tuduhan ‘syiah’. Kononnya orang yang mengkritik Raja ingin ‘memakzulkan’ Raja, dan siapa yang membuang Raja maka dia seorang ‘syiah’. Adakah dia sudah membaca sejarah Arab Saudi? Yang membuang Raja zuriat Rasulullah SAW dan menukar nama negeri kepada nama keluarganya sendiri itu wahabi atau syiah? Hilangnya Raja-raja di India, Cina, Rusia dan ratusan Raja di Indonesia salahnya siapa dan siapa yang mematikan sistem khilafah dan menggantikan dengan sistem monarki kalau bukan Muawiyyah; yang menggunakan 100 masjid selama 70 tahun supaya ummat Islam membenci keluarga Rasulullah SAW.

Saya sekadar mengingatkan saudara sesama Islam yang di amanah sebagai pemegang kuasa rakyat, selain memastikan bahawa generasi yang mendatang supaya terdidik dengan pandangan alam Islam secara holistik yang dihidupi dengan mesra ketika adanya Daulah Islamiyyah. Kini kita berada di zaman khilafah, para pemimpin yang ada akan diganti dengan khalifah. Telah terlalu banyak kemungkaran yang dilakukan. Semua mesti faham ‘khalifah’ itu tidak boleh dipersempitkan kepada yang ingin merubah bentuk politik kepada ‘khilafah’, sedangkan yang lebih utama adalah dengan mempertanggung jawabkan pemimpin terhadap segala kelakuannya mengikut akhlaq Rasulullah SAW.

Apa yang akan berlaku pada anak cucu dan bangsa kita bila kita memilih orang yang tak berilmu, tak beradab, tak berhati perut menjadi ketua agama? Allah suruh mengingatkan manusia membuat kebaikan, mencegah kemungkaran, berkata benar sekalipun pahit tapi kita tidak peduli semua itu hingga cacing sudah naik ke mata. Mereka yang sepatutnya menjadi wali nikah bagi anak dara yang tiada wali, menceraikan wanita yang suaminya berpergian terlalu lama, menegakkan keadilan bila ada yang dizalimi. Syukur pada Allah SWT sudah muncul Sultan Muhammad, Sultan Kelantan yang baru sebagai khalifah.

Saya bukan ulama atau orang alim, saya terpaksa buat kerja yang sepatutnya dibuat oleh para ulama yang mengaku selaku pewaris Nabi Muhammad SAW sebab mereka sudah sibuk masuk sarkas politik.

Saya hanya seorang pemerhati, penganalisa politik kontemporari, pengkritik sosial dan kebetulan lahir dari nasab keluarga Al-Attas dari keturunan Imam Hussien radiAllahu anhu, cucu Rasulullah SAW, maka saya tidak dapat dilarikan dari perjuangan untuk mempertahankan agama Allah SWT, saya kena berani berkata benar dihadapan para pemimpin yang zalim; seperti datuk nenek saya yang terpaksa jadi korban Yazid Muawwiyah di Karbala. Pelik, ramai mengaku anak cucu Rasulullah SAW sekadar mahu membanggakan keturunan tapi tidak pernah mahu tahu kenapa mereka dari keturunan Sayyidina Fakih Muqaddam yang di namakan Alweeien.

Tariqat al-Alawiyyah menghormati tariqat-tariqat tasawuf yang lain kerana tujuan mereka adalah sama ada salasilah hampir semua tariqat berasal daripada Sayidina Ali bin Abi Talib karamallahu wajhah kecuali Tariqat Naqshabandiyyah yang sanad salasilahnya sampai kepada Sayidina Abu Bakr al-Siddiq.

Sekiranya terdapat ajaran tariqat yang salah, ulama-ulama Alawiyyin tidak akan berdiam diri tetapi akan terus menentang mereka. Ini adalah untuk menyelamatkan orang-orang awam yang tidak mengerti dan akan terjerumus ke dalam amalan yang sesat dan salah.

Hal ini dapat kita lihat pada diri Habib Alawi bin Tahir al-Hadad, Mufti Johor yang berpegang teguh dengan Tariqat al-Alawiyyah. Beliau menentang banyak tariqat kerana kebanyakkan sheikh-sheikh tariqat suka menokok-tambah wirid dan zikir sehingga terkeluar dari ajaran asal. Beliau sama sekali tidak menentang tariqat-tariqat yang betul.

Walaupun pengikut Tariqat al-Alawiyyah tidak mengamalkan zikir-zikir tariqat lain, mereka membaca selawat tariqat lain seperti selawat al-Idrisiyyah daripada Sayyid Ahmad bin Idris (Tariqat Idrisiyyah), selawat al-Tijaniyyah daripada Sayyid Ahmad al-Tijani (Tariqat al-Tijaniyyah) yang makamnya di Fez, Moroko, selawat al-Badawiyyah daripada Sayyid Ahmad al-Badawi (Tariqat al-Badawiyyah) yang makamnya di Tantah, Mesir.

Dari buku 'Umar bin Abd al-Rahman, Kisah dan Sejarah al-Qutub al-Anfas al-Habib Umar bin Abd al-Rahman Pengasas Ratib al-Attas, oleh Syed Hassan Muhammad Al-Attas, Masjid Baalawi Singapura.

Imam Shafie seorang ulama ‘ahlul sunnah’ tidak pernah diragukan kata-katanya yang membawa maksud; “Beliau rela digelar syiah kerana kecintaanya terhadap ahlul bayt yang membela haq dan kecintaan terhadap mereka yang berada dijalan haq kerana ianya sebahagian dari kebenaran.”

Imam Ja’far Sadiq radiAllahu anhu, cicitnya Amirul Mukminin Sayyidina Ali bin Abi Talib karamallahu wajhah yang mana ilmunya di ambil oleh imam-imam ahlul sunnah juga adalah ahlul sunnah dari aqidahnya, meskipun berpihak kepada Sayyidina Ali karamallahu wajhah dari segi politik.

“Aku (Rasulullah SAW) adalah (gedung) ilmu dan Ali (karamallahu wajhah) adalah pintunya.”
(Hadith)

Orang mukmin itu adalah yang cinta pada haq kebenaran.

Imam Ali Uraidi dan Musa Al-Kazhim adalah anak kepada Imam Ja’far As-Saddiq habib yang lahir di Hadramawt bergelar Alweeien dari keturunan Muhammad ibn Ali Uraidi, para mubaligh yang berdakwah dan mengembangkan Islam ke Nusantara adalah nasab yang sama seperti Imam Khomeini; bezanya dari mazhab ahlul sunnah tetapi tidak memusuhi syiah. Maka sesuatu yang jelas zalim mesti dikatakan zalim, begitu juga sesiapa yang tidak adil kita perlu kata dia tidak adil. Peduli apa dia Perdana Menteri, President, Raja, Mullah atau ulama Sunni ataupun Shie’.

Cinta kepada Rasulullah SAW mengatasi cinta pada ibu bapa, harta benda, kuasa dan juga wanita.

Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.
(Al-Ahzab:56)

Penulisan saya bukanlah fatwa, ia merupakan tulisan ‘politik semasa’ yang boleh saja tidak dipersetujui dan mungkin ada kalanya tidak salah untuk agree to disagree, sebab itu bila perlu dikritik saya sedia menerima kritikan. Tulisan saya mengajak pembaca untuk berfikir; think, FIKIR, tafakkur, di mana buku-buku ditulis dalam bahasa signature saya yang berbentuk brutal dan infotainment, supaya memecahkan kejumudan akal para pembaca yang sukar memahami buku yang di tulis oleh para ilmuan dari menara gading.

Apakah kerana saya mengkritik Sultan Ibrahim (Yem) dan kerabat diRaja ia mengakibatkan Yem dan keturunannya akan hilang takhta? Saya tidak pernah mengajak rakyat Johor supaya berarak ke Istana Johor mengadakan reformasi dan membuang Sultan Ibrahim. Malah tulisan saya berupa nasihat jika mereka membaca yang tersirat dan bukan yang tersurat semata-mata, supaya kita dapat mengatur dengan cermat bagaimana nasib orang Melayu Islam terutama di Johor terbela bila adanya pegawai polis, Menteri Besar dan para pegawai kerajaan, ulama dikeliling Raja sudah menjadi Yes Men. Saya melemparkan soalan bahawa apakah tidak wujud insan yang lebih layak menggantikan beliau? Saya persoalkan mestikah kesultanan itu menjadi harta warisan keluarga bilamana Putera Mahkota itu bukanlah yang paling layak mewarisi kepimpinan seperti kerusi Perdana Menteri yang diwarisi oleh anak Perdana Menteri? Sejarah telah membuktikan kerana kekejaman Sultan Mahmud mati di julang kerana tidak ada keturunan digantikan oleh anak Tun Habib yang bergelar Sultan Abdul Jalil tapi di bunuh. Sultan Abdul Jalil kemudian diganti oleh Temenggung Ibrahim, datuk ke-lima Sultan Ibrahim yang ada sekarang?

Kebangkitan rakyat Iran pada tahun 1979 menurunkan Muhammad Reza Shah Pahlavi Raja segala Raja tapi beliau tidak mahu menjadi Presiden atau Raja yang berkuasa di Iran atau tinggal dalam Istana Raja segala Raja. Malah beliau hanya tinggal di rumah rakyat, PPR di Jamran, Tehran. Yang gila kuasa dan melantik diri sendiri sebagai Raja ialah Muawiyyah dan memaksa rakyat memilih anaknya Yazid sebagai Tengku Mahkota dan membunuh keturunan Rasulullah SAW dengan kejam sesudah Nabi SAW wafat 50 tahun. Apakah orang yang membunuh anak cucu kita dimuliakan sebagai sahabat?

Kenapa kita tidak boleh ambil Iktibar dari hikmah sejarah ini? Adakah tidak mustahil rakyat sendiri mampu melantik khalifahnya yang adil, menggantikan Raja yang kejam, zalim dan tidak adil, kerana rakyat 1Malaysia hari ini tahu haknya sebagai tax payer dalam negeri demokrasi berparlimen di mana Raja hanya sebagai simbol. Malaysia mampu mengemukakan pemimpin yang charismatic, berkaliber dan ciri-ciri berwibawa dan berilmu. Tapi kerana rakyat sedang diharu dengan penyakit kerosakan akhlaq, penyakit sosial, wabak penyakit pemikiran dari barat dimana ada yang sudah menolak Nabi Muhammad SAW sebagai ikon dan role model; terlalu leka dengan hiburan dan berpolitik yang tidak menguntungkan rakyat terutama orang Melayu maka kita harus adakan kursus pembaik pulih adab dan pembersihan akal dan rohnya yang sakit melalui pandangan alam Islam seperti disyorkan Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan usahanya di ISTAC?

Iman dan ketaqwaan tidak terdapat pada jubah dan serban. Orang yang berakal tidak buat kerja-kerja bodoh seperti ulama yang punya scroll cap ayam yang di muliakan kerana kerusi yang di duduk, jawatan atau kerana pernah memegang jawatan penting. Mufti atau pensyarah terkemuka dari mana universiti tapi masih buat kerja yang boleh menyesatkan orang lain kerana mempunyai agenda peribadi. Allah SWT suruh taat pada orang berakal, jangan tanya siapa yang berkata, apakah yang dikata boleh diterima oleh akal atau tidak.

Akal itu adalah filter yang memerlukan Al-Quran sebagai manual oleh mereka yang beriman dan bertaqwa. Dengan ini barulah Al-Quran itu dapat dijadikan sebagai satu rahmat dalam kehidupan seharian untuk sekelian alam dan tidak memisahkan ilmu syariat, hakikat dan ma’rifat dengan mengikut tafsir Al-Quran yang mereka faham untuk kepentingan sendiri dan menolak hadith yang sahih.

Sebenarnya ada dua hujah yang disampaikan oleh Allah kepada manusia. Iaitu hujah ‘internal’, dalaman, rohaniah, yang berupa akal; dan hujah ‘external’ yang berupa Al-Quran, para Rasul, para Nabi dan lain-lain.

Atas dasar itu pulalah lahir konsep taglid/marja’iyah, iaitu kewajiban orang sebarangan biarpun bergelar ulama untuk mentaati orang yang kononnya berilmu tapi sekadar ilmu fikih tanpa tasauf. Untuk memberikan fatwa tentang sesuatu hal yang ia tidak mempunyai ilmu yang berkaitan dengan ilmu hakikat, tarikat dan makrifat. Itualah sebenarnya makna firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya...”
(Al-Isra’:36)

Seandainya anda terkesempatan membaca, bacakan matan Aqaid An-Nasafi, manuskrip tertua ditanah melayu yang dikaji dan sudah diterbitkan oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas anda akan dapati, ‘Imam’ pemimpin itu tidak boleh dimakzulkan, yakni dibuang  tanpa ganti seperti kata pantun Melayu, “Jika tuan menebang jati, biar serpih jaga tumbang, jika tuan mencari ganti, biar lebih jangan kurang,” meskipun dia fasik dan zalim seperti firaun di negara Arab aau diktator di negeri Islam atau Raja dan Malik. Kita perlu adakan peganti yang terbaik di kalangan terbilang dan bukan yang terbaik di kalangan terbuang.

Kezaliman yang dilakukan dalam sebuah kerajaan itu lebih ringan berbanding kezaliman yang akan terjadi dalam keadaan kacau bilau bila sudah tidak ada lagi khalifah, Imam atau Raja yang di tumbangkan semata-mata kerana dipengaruhi emosi dan marah tanpa menyediakan peganti yang lebih baik. Dan ini terbukti di negeri-negeri arab yang mana para diktatornya yang zalim itu terbuang dan digantikan dengan yang lebih banyak buruk dari baiknya akibat kita tidak membuat persiapan seperti yang dilakukan selama 13 tahun Rasulullah SAW berjuang sebelum munculnya negara Islam pertama.

Di dalam hadith, Nabi Muhammad SAW yang mulia menyebutkan, “Ada tiga hal yang bisa merosak agama: Pertama, imam yang zalim; kedua, penguasa yang zalim (sultan jair); ketiga orang-orang bodoh berijtihad.” Di dalam Al-Quran pun disebutkan bahawa kita harus berpaling dari orang-orang yang bodoh. Atau kalau orang-orang yang jahil itu juga mengajak bicara dengan kamu, jangan dilayani, tapi ucapkan saja salam. Assalamualaikum bro.

Penampilan saja tidak boleh menunjukkan seseorang itu ulama atau bukan. Kita tidak mungkin ‘dengan cara apa pun’ boleh mengenali seseorang itu betul ulama yang baik atau jahat, sunnah Rasulullah SAW tidak terletak pada pakaian luaran atau bukan semata-mata kerana pada zahirnya dia seorang yang berilmu, apa lagi ada ‘scroll’ cap ayam dari universiti dari negara arab, hatta Universiti Madinah yang apa saja dibuat oleh ahlul sunnah badawi itu akan kata bida’ah, shirk. Begitu juga dari Universiti Al-Azhar atau PhD dari universiti di UK atau dari Harvard Amerika Syarikat, Islam yang sanadnya dari mentor yahudi mungkin pada syariatnya  terutama dibidang fikih dia hebat melalui penampilan lahiriyyah kerana dia sudah dilabel sebagai seorang yang bergelar the so called ulama mufti misalnya.

Kalau semua kekuatan yang dimiliki oleh manusia itu tunduk kepada akalnya, maka ia akan menghasilkan sesuatu yang baik, begitu juga sebaliknya. Misalnya, kalau kekuatan emosi (ghadhab) ditundukkan kepada akalnya, maka akan lahirlah sifat pemaaf, pengasih, pemurah, bertoleransi dan sanggup berkongsi apa saja harta seperti penduduk Madinah; ansar kepada muhajirun dari Mekkah, tanda hidupnya silatur rahim dalam persaudaraan Islam. Tapi kalau kekuatan syahwat manusia tidak dapat dikendalikan oleh akal dan imannya, tanpa akal hilanglah sifat wara’ dan zuhud, maka timbullah ego yang berlebihan, tamak, bakhil, zalim dan tidak adil.

Akal lah yang harus menguasai seseorang, bukan ilmu semata-mata. Dengan demikian, orang yang dapat disebut sebagai orang ‘agil adalah orang yang mampu mempergunakan akalnya sebagai pengendali dirinya. Dan orang yang jahil adalah orang yang akalnya tunduk kepada kekuatan nafsu kehaiwanannya dan mempunyai ego yang berlebihan sebagai jaguhan, seperti samseng Kampung Dusun dalam filem Bujang Lapok arahan P. Ramlee.

Amat berbahaya bila kita bersahabat dengan orang yang bebal, bangang, sengal dan poyo, bodoh sombong, merasakan diri hebat semata-mata kerana nama dan gelaran. Apa lagi bila mudah terpengaruh dengan mereka yang diiktiraf oleh masyarakat kerana jawatan, kedudukan dan gelaran. Dia mungkin bermaksud untuk berbuat baik dari pandangannya tapi ia tidak akan memberikan manfaat kepada anda,  justeru dia ada agenda yang tersembunyi. Suaranya bukan seperti “Suhufi Ibrahim wa Musa” (Al-Quran). Penyampaian kalimah Allah dari Ibrahim kepada Musa, suara yang disampaikan adalah suara Tuannya yang disembah. Ia boleh mendatangkan bencana kepada anda. Berbeza dengan seorang ulama yang ‘berakal’, yang di sampaikan adalah yang haq, kata-kata Allah. Dia tahu apakah tindakannya itu akan membahayakan anda atau tidak. Namun hendak hidup punya pasal, ulama suk yang tidak berakal tidak peduli apa. Yang penting egonya tidak tersentuh dan dia boleh mendapat habuan dari boss. Orang yang arif, orang yang bijak dan orang yang menggunakan akalnya. Bukan ‘aqil, cukup umur menjadi orang dewasa, dalam pengertian fikih yakni sudah cukup umur, terkeluar dari kepompong kanak-kanak dan dianggap orang dewasa; kalau kahwin boleh melahirkan anak. Kalau macam itu anjing yang sudah kahwin, boleh beranak, boleh dianggap sebagai akil baligh. Tapi hati-hati dengan cinta anak anjing, puppy love, seperti cinta monyet atau cinta anak Abu, anak bawah umur yang sudah boleh mengandung tapi masih belum dewasa dalam berfikiran.

Think, FIKIR, Tafakkur.
Assalamualaikum.

No comments:

Get your Tickets now!