Chat With Us LIVE!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, March 28, 2013

S.H. AL-ATTAS DERHAKA



“Saya juga telah diajar bahawa konsep setia mesti menjadi amalan hidup orang Islam.”
MAHATHIR MASUK PERANGKAP ULAMAK
(Mingguan Kota 4 Dis 1988)

Saya selalu mendengar di kalangan orang orang tertentu mengatakan S.H. Alattas  itu seorang penderhaka kerana dia kerap menulis artikel dan buku buku yang mengkritik raja-raja Melayu.

Dalam kebanyakan buku-bukunya dia lantang mengkritik Sultan dan juga DYMM Yang DiPertuan Agong.  Paling muttakhir, tulisan beliau begitu berani menghentam raja-raja dalam bukunya “SYAITAN, SETAN, SULTAN”

Apakah benar S.H. Alattas seorang penderhaka?

Sepertimana yang kita tahu dalam sejarah penulisan bangsa Melayu, malah dalam sejarah Melayu moden, hanya terdapat dua tokoh sahaja yang berani  mengkritik pihak istana dengan kritikan yang sinis.

Era zaman dulu, sudah tentulah Abdullah Munsyi dan era sekarang ini, S.H. Alattas.
Abdullah Munsyi di dalam bukunya Kisah Pelayaran Abdullah sepertimana yang dipetik oleh S.H. Alattas dalam buku beliau REVOLUSI ISTANA DAN RAKYAT menggambarkan raja raja Melayu dengan kritikannya yang seperti berikut:


“....Ingat-ingat Tengku; lagi akan ditanya Allah     Taala pada hari kemudian akan segala hal rakyat itu kepada rajanya. Dan lagi, Tengku bermula mula yang masuk neraka itu segala raja-raja yang zalim ia atas rakyatnya. Maka  janganlah Tengku kira orang yang menjadi raja itu terlebih besar dan terlebih mulia daripada rakyatnya melainkan orang yang terkecil lagi hina adanya. Iaitu hamba segala hamba Allah.

Adapun  apabila seorang itu dijadikan Allah ia raja, bukannya sebab hendak memuaskan nafsunya dan berbini sepuluh dua puluh, atau mencari harta dan membunuh orang dengan aniaya-nya, melainkan sebab di suruh Allah memeliharakan manusia, supaya tiada dianiaya oleh seorang akan seorang; itulah  gunanya.

Ini sahaya lihat terlalu hairan: kecuali hal raja Melayu kebanyakan yang tiada tahu membaca surat, dan lagi tiada suka belajar, melainkan duduk dengan huru-hara dunia sahaja.

“Kalau boleh, Tengku, sahaya pohonkan kepada Allah, janganlah kiranya dihidupkannya sahaya dalam negeri Melayu. Dan lagi dijauhkan Allah berdekat dengan raja-raja; kerana orang yang hampir kepada raja itu seperti bersahabat dengan ular yang bisa; maka salah sedikit dipagutnya biji mata”

                 Kisah Pelayaran Abdullah Munsyi 


Petikan di atas menunjukkan betapa lantangnya Abdullah Munsyi menegur orang-orang istana.

Bagi S.H. Alattas pula beliau juga memberikan amaran yang hampir-hampir serupa dengan Abdullah Munsyi tapi versinya lebih bersesuaian dengan keadaan golongan istana masakini. Beginilah bunyi petikan mukadimmah buku REVOLUSI ISTANA DAN RAKYAT  yang  secara terbuka memberi amaran terhadap raja raja Melayu.

“Ingat-ingatlah Tuanku, lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang. Hang Tuah sudah lenyap dan Sultan Melaka sudah hilang takhta mereka. Tentu Tuanku tahu jawapannya. Raja Melayu yang bertakhta kini tidak lagi mempunya bidang kuasa yang sama seperti Sultan Melaka dulu. Kini rakyat yang berdaulat. Biarpun orang Melayu masih lagi tidak berani menegur raja-raja mereka secara terbuka di depan raja, namun kebencian sudah meniti dari mulut ke mulut”

Bagaimana agaknya sekiranya S.H. Alattas hidup sezaman dengan Abdullah Munsyi? Apakah label yang patut diberikan oleh masyarakat kepada mereka berdua ini? Bagi sesetengah orang, mereka mengatakan bahawa Abdullah Munsyi adalah talibarut Inggeris. Ini kerana di dalam buku –bukunya, beliau banyak sekali menyebut tentang kemunduran bangsa Melayu dan mengagung agungkan cara Inggeris mentadbirkan Tanah Melayu. Tapi apakah sebenarnya S.H. Alattas juga mengagungkan Inggeris sepertimana Abdullah Munsyi? Apakah dia juga boleh dilabelkan sebagai  ejen CIA atau KGB?

Cuba kita lihat tulisannya dalam buku Challenger –SIAPA LAWAN SIAPA bab UMNO, Islam dan Nasionalisme.

“Etika itu asalnya bahasa Inggeris – ethic. Dalam bahasa dulu kita ada akhlak. Sekarang ini kata akhlak pun orang Melayu banyak yang tak faham. Kata moral baru dia faham. Dia tak tahu yang moral Inggeris dan akhlak Melayu maknanya tidak serupa. Pakai kasut dalam rumah mengikut moral Inggeris tidak ada apa-apa. Tapi kalau akhlak Melayu kita panggil  kurang ajar. Moral bila berpisah  waktu malam  ada “good night kiss”. Orang perempuan kalau berjumpa lelaki hulur pipi suruh cium. Dalam bukunya yang WANITA, TAKHTA DAN KUASA, S.H. Alattas, dalam bab Tunku, Raffles dan Istana Buckingham, menjelaskan pandanganya yang kritis tentang penjajah. Pak Habib menulis:


“Sebenarnya Britishlah yang bertanggung jawab menarik balik kuasa Sultan dan mewujudkan double standard yang tidak disedari oleh raja-raja kerana adanya wakil-wakil istana yang berkuasa dalam tampuk pemerintahan.

Tidak syak lagi pihak British bukan saja mengamalkan dasar pecah dan perintah (divide and rule) sesama orang Melayu, malah sistem ini turut diamalkan terhadap pihak Istana dan Rakyat.  British merencanakan sistem ini agar rakyat tidak mendekati istana. Inilah pemikiran berhala putih yang mahu kita  semua berpecah, bergaduh sesama sendiri dan sujud kepadanya saja.
                                           (muka surat 157)

Dari kedua dua petikan di atas, jelas kepada kita bahawa S.H. Alattas tak mengagung-agungkan Inggeris. Malah beliau menganggap orang-orang Inggeris sebagai satu bangsa yang bermoral tidak mulia dan tidak mempunyai niat yang ikhlas. Ini tentulah berlawanan dengan pandangan Abdulah Munsyi yang kalau boleh, mahu tinggal di United Kingdom:

“... janganlah kiranya dihidupkannya sahaya dalam negeri Melayu”.

Dari segi pemerhatian, nampaknya memang mereka berdua sekata iaitu yang tidak takut dengan raja, cuma takut dengan Tuhan sahaja.

 Bezanya Cuma Abdullah tidak dimurkai raja kerana Melaka sudahpun kehilangan raja. Tapi bagi S.H. Alattas beliau terpaksa memikirkan reaksi sembilan orang raja-raja Melayu. Itu belum diambil kira DYMM Yang Di Pertuan Agong dan para undang dan luak yang ada di Negeri Sembilan, termasuk Yang DiPertuan Besarnya.

Keberanian S.H. Alattas dari segi ini harus dipuji. Jika Abdullah Munsyi mendapat sokongan dan perlindungan dari Inggeris. S.H. Alattas terpaksa menghadapi sebarang kemungkinan secara bersendirian. Sepertimana yang dinyatakan di dalam banyak buku bukunya, beliau hanya berserah kepada Allah S.W.T. kerana Al Quran kata “Allah raja segala alam” bukan kebanyakan ketua dan pemimpin yang hanya ‘Putar Alam’.

Mungkin di dalam jiwa-jiwa, sesetengah orang Melayu, terutamanya mereka yang membaca tapi tidak berfikir dan berfikir tetapi tidak membaca, meminjam kata-katanya sendiri, menganggap S.H. Alattas sebagai penderhaka? Mereka ini ada semacam memiliki satu nostalgia. Sekiranya S.H. Alattas hidup di zaman dahulu kala mungkin mereka akan mendesak pihak istana supaya memenjarakan pengarang seumur hidup atau memenggal sahaja kepala beliau.

Uncleseekers dapat tawaran duduk Hotel PDRM secara percuma.
Ini telah pun terjadi kepada anakandanya Syed Abdullah @ Uncleseekers, dikurung dalam tahanan selama 10 hari  di Johor Bahru, di heret ke mahkamah konon untuk pengadilan, tetapi hingga hari ini senyap sepi. Malah Pak Habib sendiri pernah ditahan selama enam jam ketika berada di PWTC semasa Perhimpunan Agong UMNO 2012 sewaktu  menjual buku politik SYAITAN, SETAN SULTAN. Seramai 10 orang anggota dan pegawai polis datang menahan dan merampas bukunya. Saya sendiri berada di sisinya ketika kejadian berlaku. Apa yang menjadi tanda tanya, ketika penahanan dan rampasan dibuat, ada seorang lagi penulis buku politik sahabat saya Hatta al Mukmin yang turut menjual buku politik bertajuk CHINA DOLL , buku yang mengutuk Anwar Ibrahim dengan selucahnya, dia tidak pula ditahan atau dirampas bukunya. Ini lah amalam ‘double standard’ Ibu Pejabat UMNO.

Tapi soalnya apakah S.H. Alattas boleh dianggap sebagai seorang penderhaka? Saya rasa tidak, cuba baca falsafahnya yang saya baca dalam bukunya Memo Kepada Perdana Menteri yang berbunyi:


Mengkritik tidak bererti menentang:
Memuji tidak semestinya menyokong:
Menegur tidak bermakna membenci dan
berbeza pendapat adalah kawan berfikir
yang baik.
                                                (mukasurat 25)

Tulisan-tulisan beliau adalah semata-mata dilakukan untuk menyedarkan raja-raja selaku Ketua Agama dan pemimpin sebagai Ulil Amri.

Beliau nampak akan bahaya sekiranya raja-raja tidak ditegur apabila mereka melakukan kesilapan, mereka bakal hilang takhta dan istana mereka akan dijadikan muzium kerana Pak Habib ini seorang peramal, apatah lagi dalam hal hal politik, sehingga ada yang menggelar beliau Notradamus Malaysia.

Bagi Syed Hussein Alattas, peranan yang sepatutnya dimainkan ulamak ini telah gagal dilaksanakan oleh mereka yang memegang tanggung jawab tersebut, tugas fardu kifayah perlu dilakukan olehnya kerana takut bala akan menimpa umat.

Seandainya raja-raja Melayu hidup semula dan melihat gelagat raja-raja Melayu sekarang, raja-raja dahulu pun akan “merah mata” dan sakit hati. Betapa tidaknya, kerana raja-raja zaman dahulu hidup tidak semewah raja-raja sekarang, ada istana ratusan million.

Raja zaman dahulu dipikul oleh empat orang hulubalang menggunakan tandu untuk melawat rakyat di kampung-kampung, sementara raja-raja sekarang, ada yang memiliki kereta beratus buah, ada helikopter, ada kapalterbang. private jet dan kapal mewah.


Pak Habib  juga merupakan trendsetter. Sebelum ini orang-orang Melayu hanya berani cakap cakap belakang sahaja, apabila di hadapan raja, sentiasa “ampun tuanku”, padahal dalam hati rakyat sedang “berbuku” terhadap Yang Maha Halia, pinjam kata kata Uncleseekers.

Setelah buku-buku S.H. Alattas berani mengkritik sesiapa saja, lawan mahu pun kawan, barulah muncul penulis-penulis politik lain, terutama di media baru arus perdana, biarpun ramai ditangkap, ramai lagi yang tak peduli.

Itu pun setakat menghentam dan mengkritik orang-orang politik dan menteri saja dengan menggunakan nama samaran, baling batu sembunyi tangan.

Yang paling muttakhir di dalam Facebook Pak Habib, terpapar kisah seorang anak raja yang memandu kereta mewah dalam keadaan mabuk di Singapura telah ditahan oleh polis Singapura. Jelas menunjukkan perbezaan cara memikul tugas di antara polis Singapura dan polis Malaysia, disebabkan tekanan dari raja Melayu dan kaum keluarganya, termasuk ahli-ahli  politik.

Buku-buku yang dihasilkan oleh S.H. Alattas adalah kebanyakannya ‘bestsellers’ dan dibaca oleh audience pembaca yang luas. Dalam bukunya BAHTERA LAMA NAKHODA BARU, pengarang seolah-olah mencadangkan kepada orang Melayu supaya lebih banyak membaca buku-buku yang dihasilkan oleh Abdullah Munsyi supaya sikap penakut bertukar menjadi berani supaya Melayu berani mengkritik diri.

Berapa kerat saja dari bangsa Melayu yang telah pun membaca hasil karya Munsyi melainkan dimestikan sebagai suatu mata pelajaran, mengikut tulisan Harun Aminul Rashid sastera diajar di sebelah tengah hari dan kebanyakan kawan yang sama sedarjah dengannya mengantuk bila sampai waktu membaca. Cuma beliau seorang seorang yang merasa seronok dan ingin melihat sendiri apa yang sudah dibaca, 40 tahun kemudian. Dalam tahun 1965 beliau menyiapkan buku “Mengesan Jejak Pelayaran Abdullah Munsyi”. Saya fikir tidak ramai orang yang telah membaca buku tersebut.

Abdullah melihat Tanah Melayu bukan saja dari dalam, bukan setakat duduk di Melaka, seperti Jules Verne yang menulis buku “Mengeliingi Dunia dalam masa 80 hari” padahal dia hanya berada di dalam bilik sahaja ketika menulis buku tersebut. Abdullah Munsyi melihat Tanah Melayu dari tengah laut, dari bibir air, beliau melihat orang Melayu saudara ikhwan orang Islam mesti diajar dan dibela, dia penulis yang tidak ada kelulusan akademik, sekolah di rumah dan bapanya sendiri yang menjadi guru.

Beliau adalah seorang  mubaligh. Beliau berdakwah dengan cuba mengubah mindset Melayu, sikap Melayu yang merugikan bangsa sendiri.

Tidak siapa yang mahu menerima Abdullah yang bercampur dengan Paderi ini sebagai  seorang ulamak,  kerana mereka suka dengar dari siapa yang berkata bukan apa yang dikata. Biar pun benar, kebenaran itu pahit.

Sebagai pendakwah dia cuba mengingatkan amar makruf nahi mungkar, tetapi oleh kerana beliau bercampur gaul dengan orang orang Inggeris dan menjadi penterjemah, maka beliau dianggap dan diberi  gelaran “Abdullah Paderi”.

Muda itu sebahagian dari gila, kerana kegilaan orang muda seperti Abdullah dan Syed Hussein Alattas seorang reformis inilah dunia persuratan Melayu berubah dan berkembang maju. Kenapa kita tidak cuba menyelami dan mengkaji minda S.H. Alattas.

Saya mula menyedari hal ini setelah beberapa kali mengikuti majlis ilmu yang diadakan di Universiti of Life.

Sungguh pun S.H. Alattas menikmati jumlah pembaca yang ramai namun beliau sedar tidak ramai orang Melayu yang gemar membaca mungkin kerana itu dia mencari platform alternatif iaitu dengan mengadakan perkongsian ilmu di Alattas Unilife. Sebab orang Melayu masakini lebih suka mendengar ceramah terutama yang ada hiburan.

Kalau ada pun Melayu yang suka membaca , bilangannya terlalu kecil. Dan dari bilangan yang kecil itu kalau dihitung panjang pun belum sampai 10 peratus dari orang Melayu yang membaca sebagai satu hobi. Dalam lain perkataan, S.H. Alattas menganggap, walaupun ada galakan yang berbentuk “hangat hangat tahi ayam” dari kerajaan. Kerana galakan yang bermusim setahun sekali ketika ‘Bulan Kempen Membaca’.  Orang Melayu secara amnya tak pernah berusaha untuk mewujudkan’budaya membaca’ di kalangan masyarakat. Tuhan tak ubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri mengubahnya. Bayangkan, Allah suruh Baca!, dia tidak dengar, macam mana nak jadi orang berilmuan.

Berapa ramai orang Melayu yang mempunyai perpustakaan di rumah? Kalau ada pun berapa peratus dari mereka yang telah membaca buku yang tersimpan di dalam perpustakaan mereka? Tetapi koleksi VCD cerita dan lagu lagu, koleksi handbag, tudung, kasut memang lebih dari perpustakaan. Tidak boleh hendak disalahkan orang Melayu juga kerana mentornya ada, iaitu Wanita Pertama Malaysia.

Menurut pengarang lagi:
‘Ramai bilangan orang-orang Melayu yang berada yang menyimpan buku-buku rujukan seperti Ensaiklopedia Britanica, Americana Ensaiklopedia dan lain-lain rujukan yang berat-berat dan buku-buku tebal dan besar-besar serta berharga sebagai perhiasan. Itupun kerana kepintaran dan kebijaksanaan jurujual dari syarikat buku antarabangsa yang benar benar terlatih dan berpengaruh.

(Kalau ada yang benar benar suka membaca pun, seorang blogger Zaharin Mohd Yassin yang dulunya dikenali sebagai Sang Kelembai)


Ada golongan intelek Melayu yang suka membaca, tidak keterlaluan kalau kita mengatakan mereka Cuma membaca buku-buku Inggeris saja, mengikut subject yang menurut selera mereka. Sama ada buku ‘fiction’ atau ‘non-fiction’ mereka jarang ada masa untuk membaca buku –buku Melayu sama ada novel, kumpulan cerpen, buku-buku politik dan majalah-majalah yang lain melainkan majalah antarabangsa yang mereka banggakan untuk melayakkan diri mereka dipanggil intelek oleh golongan mereka sendiri.

Begitu pula halnya dengan golongan mereka yang suka membaca buku buku atau majalah berbentuk hiburan. Buku yang ringan. Jarang yang mahu membaca buku yang berat-berat apa lagi buku  politik dan buku-buku dalam bahasa Inggeris atau majalah-majalah politik bertaraf antarabangsa’.

Dari tulisan-tulisannya jelas bahawa Pak Habib sentiasa memikirkan bagaimana hendak mengubah cara berfikir orang Melayu. Apakah dengan menyuruh rakyat membaca dan berfikir, dan berfikir dan membaca; satu perbuatan derhaka?  Lu fikirlah Bro, Think, fikir, tafakkur, itu memang pesanan yang tak pernah lekang dari Pak Habib, pengasas Alattas Universiti of Life.

OLEH DR AZIZAN AHMAD

No comments:

Get your Tickets now!