oleh Hasnifalina
dipetik dari majalah Hawa, Jun 1991
Saya sebenarnya
datang dari kaki lima. Saya pernah jual ubat, segala jenis ubat! Kadang-kadang
untung, kadang-kadang tidak. Saya juga pernah jadi tukang kebun kepada seorang
Mat Salleh yang saban hari memanggil nama saya sekadar kebun sahaja.
Saya juga pernah
mengambil upah kopek kelapa, jadi salesman, bomoh dan kebanyakan kerja yang
orang lain tak pernah buat saya dah buat.
Jadi jangan hairan
jika saya kembali semula ke kaki lima. Jatuh bangun saya seperti adanya
sekarang semuanya di tangan Tuhan. Saya tidak rugi apa-apa. Lagipun kaki lima
kan panjang dan sudah tentu ada ruang untuk saya.
“Keluarga saya
sebenarnya adalah dari golongan berada. Saya boleh hidup senang jika saya mahu.
Saya tidak perlu mengeluarkan setitik peluh untuk mencari kemewahan hidup.”
“Saya mahukan
reality dalam hidup sebagai seorang lelaki dan hamba Tuhan. Keperitan hidup
adalah satu cabaran buat saya. Tidak ada kejayaan tanpa kegagalan dan tidak ada
kesenangan jika tiada kesengsaraan,” kata Syed Hussien tegas.
“Cabaranlah yang
meletakkan saya seperti adanya sekarang. Kalau dulu saya sering dipanggil ‘Pak
Nujum Moden’ tetapi sekarang ‘Pak Habib Penulis Kontroversi’. Dua gelaran itu
memang sedap didengar. Ada class, ada glamour. Tetapi yang menanggungnya adalah
saya sendiri!”
Mengapa saudara
berkata begitu? Tanya saya. Syed Hussien mencapai sebuah buku sambil berkata:
“Buku inilah yang menaikkan seseorang selaku orang penting dalam kerajaan dan menjatuhkan seseorang pula. Tetapi apa
yang saya dapat?
Cuba anda jawab
sayakah atau ada orang lain yang menjelaskan ganti rugi $100,000 semata-mata
kerana buku itu? Tanyanya kepada saya.
“Kalau anda nak
tahu, jawapannya ada dalam kandungan (content) buku terbaru saya Perang Parit Raja yang akan terbit
hujung bulan ini,” jelas beliau yang tidak pernah menyesal akan apa yang telah
berlaku.
“Saya adalah
manusia yang tidak pernah menyesal. Itu mungkin sudah takdir,” katanya lagi.
Namun begitu,
buku Syed Hussien berbentuk ramalan adalah yang paling popular dan sentiasa
ditunggu-tunggu oleh ramai pembaca, khususnya mereka yang terlibat di dalam
dunia politik Melayu.
Antaranya, Siapa Selepas Musa?, Perdana Menteri
Kelima, Tuan Nasib Pemimpin Malaysia, Musa Derhaka?, Siapa Lawan Siapa dan
beberapa buku lagi.
Syed Hussien
tidak lari dari menghasilkan buku-buku berbentuk sindiran sinis kepada
tokoh-tokoh politik tertentu yang antaranya, Hantu Bukit Cina, Talqin Untuk UMNO, Revolusi Istana Dan Rakyat, Perang
Di Kuala Linggi 1978, Sarawak Kepada Siapa Hendak Diserahkan dan lain-lain
lagi.
Macam mana
saudara menilai seseorang pemimpin politik dan kemudian menghasilkannya hingga
menjadi sebuah buku yang sensasi? Tanya saya mencelah.
“Sebelum saya menilai seseorang pemimpin, saya perlu mengenalinya terlebih
dahulu. Inilah yang dikenali sebagai firasat.”
Biarpun dengan
hanya sebatang pen berharga seringgit saya boleh menjatuhkan seorang pemimpin.
Bukan saya sahaja, malah penulis-penulis buku politik lain berkemampuan berbuat
demikian.
Saya telah
buktikan dan saya tidak pernah melakukannya sesuka hati. Itu bukan kerja saya.
Saya adalah penulis yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa.
Jadi jangan
hairan jika saya pernah menghasilkan empat buah buku politik dalam masa empat
tahun berturut-turut. Masa dan peristiwa adalah penting buat saya.
Saya rasa saya
adalah penulis paling cepat menghasilkan sesebuah buku. Buku Siapa Selepas Musa saya siapkan tidak
sampai seminggu.
Kebiasaannya saya
akan menulis sekiranya ada pertandingan tertentu seperti siapa yang bakal merebut
jawatan tertinggi di dalam UMNO atau dalam sebarang pilihanraya.
Saya selalunya
sudah dapat meramalkan siapa yang menang dan siapa kecundang. Anda boleh
merujuk kepada buku Challenger dalam pemilihan Presiden dan Timbalan
Presiden UMNO 1987.”
Mungkin agaknya
banyak pengalaman pahit manis yang pernah saudara tempuh apabila mula-mula menceburkan
diri dalam penulisan buku politik, tanya saya.
“Saya bukannya
orang baru ketika mula-mula menulis. Saya pernah menjadi penulis tamu untuk
Majalah hiburan dan majalah Berita Filem ketika di Singapura. Jadi bab menulis
itu tidaklah kekok.
Ketika saya
berhijrah ke Kuala Lumpur dan suasana di Chow Kit (yang dianggap sebagai
Universiti) sudah tidak hangat lagi, saya terbang ke Sabah dengan penampilan
sebagai seorang penulis buku sepenuh masa,” cerita Syed Hussien.
Di sana saya
telah berjaya menghasilkan buku politik yang pertama iaitu Teman Ku Pemimpin Sabah 1972. Kemudian ke Sarawak pula kerana suasana
politik di situ menarik hati saya.
Dalam suasana
politik yang agak panas, saya telah menghasilkan buku kedua iaitu Kenapa Rosli
Dhobi dan 3 Hero Sarawak Dihukum Bunuh?
“Nasib saya tak
baik lagi buat kali kedua. Macam nasib buku kedua
saya. Kali ini saya ditahan di dalam lokap kerana buku saya Pada Siapa Sarawak Nak Diserahkan.
Ketika itu Rahman Yakob menjadi Ketua Menteri,” katanya.
Sehingga sekarang
menurut Syed Hussien, beliau sama sekali tidak dibenarkan memasuki Sarawak.
Beliaupun tidak tahu sebab musababnya. “Satu hari nanti kalau saya
berkesempatan menemui Taib Mahmud di Kuala Lumpur, saya nak tanya dia kenapa.”
Bagaimanapun Syed
Hussien merakamkan penghargaannya kepada kesemua kakitangan polis di Limbang
kerana selama merengkok di dalam lokap, beliau menerima layanan yang amat
memuaskan.
Dilahirkan di
Johor Bahru, Syed Hussien tidak lulus tingkatan tiga (school drop-out).
Kerana itulah beliau tidak pernah hidup dengan bekerja makan gaji.
“Saya terpaksa
berkerja sendiri. Siapa hendak beri kerja yang baik-baik? Berniaga pun saya
tidak pernah pinjam bank. Bank pun takut nak beri pinjaman. Jadi nak tak nak,
saya kenalah berusaha,” ujar beliau ketawa.
Sememangnya Tuhan
telah menguirniakan Syed Hussien ilmu yang jarang dimiliki oleh manusia lain.
Ilmu firasat atau ilmu yang meramalkan masa hadapan orang lain.
“Setiap kali
orang nak tengok nasib, burung itulah yang mencabut kad. Apa yang tertulis di
dalamnya itulah nasib orang itu. Ada ke nasib manusia ditentukan oleh seekor
burung sarkis yang telah diajar oleh tuannya?” tanya beliau.
“Kita manusia
yang telah dikurniakan akal dan fikiran oleh Allah SWT. Jadi mengapa sanggup
diperbodoh-bodohkan? Oleh itu saya merasakan tidak salah jika kembangkan
pengetahuan ilmu firasat sebagai khidmat kepada orang lain. Lagipun itu adalah
pemberian Tuhan kepada saya.
“Tidak
keterlaluan jika saya katakana saya adalah anak Melayu yang professional dalam
bidang itu dan para pelanggan saya pula terdiri daripada anak-anak raja, raja
dan pembesar negara,” ujarnya terus terang.
Mungkin kerana
nama saya tersebar luas, penerbit majalah Berita Filem menjemput saya sebagai
penulis tamu dan menramalkan nasib bintang-bintang filem Melayu ketika itu, di
Studio Jalan Ampas.
Sesiapa pun tidak
mengetahui filem Box-Office Nujum Pak
Belalang arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee adalah idea daripada
pekerjaan Syed Hussien.
“Saya selalu
berada di lokasi penggambaran bersama teman-teman sendir seperti Aimi Jarr,
Rahim, Raja Redzuan, Hamid Jins Melaka dan Salim Kassin.
“Sekarang ni pun
saya baru selesai shooting drama swasta 6 episod bertajuk Amir Haidar yang
mengisahkan tentang diri saya sendiri. Penerbit dan penulis skripnya adalah
wartawan. Tetapi jangan marah, saya jadi hero,” katanya tertawa.
Syed Hussien
telah berjaya menghasilkan tiga buah buku firasat sekitar tahun 1969 terdiri
daripada Firasat (Rahsia Mengenal Diri),
Melangkah Dan Berjaya dan Rahsia
Mimpi Anda. Ketiga-tiga buku tersebut dihasilkan dalam masa setahun.
Tidaklah saudara
takut atau bimbang menjadi seorang penulis buku yang kontroversi, tanya saya
lagi.
"Jika Takut Dilambong Ombak, Jangan Berumah Di Tepi Pantai" |
Syed Hussien
menuding jarinya kea rah sebuah poster yang tertera tulisan ‘Kalau Takut Dilambong Ombak, Jangan Berumah
Di Tepi Pantai’.
“Seorang penulis
mesti sanggup menanggung risiko dan bertanggung jawab ke atas setiap bahan yang
ditulis. Apa yang saya lakukan adalah kerana Allah. Jika saya tersilap, mungkin
kerana mengikut gerak hati, saya akan segera merujuk kepada Al-Quran. Saya
tidak akan merasa takut sekiranya apa yang saya lakukan tidak bertentangan
dengannya,” kata beliau tegas.
Begitu juga
dengan wartawan masa kini. Wartawan wajar berpegang kepada etika kewartawanan
itu sendiri. Wartawan juga perlu jujur dan boleh menyimpan rahsia.
Jika berita yang
diperolehi disarankan supaya ‘off record’ janganlah ‘on record’ pula.
Seperti saya,
mengapa saya mempunyai ramai rakan di kalangan pak menteri, timbalan dan
wakil-wakil rakyat. Tidak lain, saya adalah seorang yang teguh kepada janji dan
amanah untuk tidak membocorkan sebarang rahsia.
Sebahagian besar
daripada pak menteri mahu dirinya dihormati ketika berada di hadapan public.
Mereka sebenarnya cuma mahu menjaga title sahaja.
Tetapi jika
bertemu di luar pejabat, pak-pak menteri ini adalah mereka yang boleh diajak
bergurau. Sebagai contoh, Datuk Mohamad Rahmat saya panggil Mat Bulat sahaja
dan sebaliknya dia memanggil saya Arab.”
Syed Hussien
berkata beliau tidak mengaggap pak
menteri itu sebagai terlalu besar sehingga takut untuk ditemui. “Sebenarnya
merekapun bergantung kepada nasib semata-mata.”
Ini katanya
berlaku kepada bekas Menteri Kebajikan Masyarakat, Datuk Mustaffa Mohamad.
Kalau dulu dia seorang menteri, kini tidak seorang wartawan pun yang mahu
menulis mengenai dirinya.
“Sikap wartawan
seumpama itu kalau ada perlulah dielakkan. Jangan masa menteri itu naik sahaja
setiap patah perkataan boleh dijadikan bahan berita.
“Tetapi
kadang-kadang kata wartawan ada betul juga. Ketika menteri itu naik, dia lupa
wartawan yang menaikkannya. Jadi tidak hairan bila menteri itu jatuh, wartawan
pun buat tak tahu. Jadi saya anggap, kedua-duanya sama tak betul,” tegas
beliau.
Saya ajukan
semula soalan saya tadi mengenai risiko menjadi penulis kontroversi serta
mungkin ancaman yang diterima sama ada dirinya mahupun keluarga.
Syed Hussien
mengakui beliau dan keluarga pernah diugut sama ada melalui jampi bomoh Siam,
surat layang, telefon dan bermacam lagi.
“Saya tidak takut
kena ugut. Hidup dan mati saya adalah di tangan Tuhan. Kalau nak mati, tahun
1941 dulu saya dah mati. Masa itu perang Jepun.
“Emak saya kata
saya boleh tersenyum apabila sebutir bom meletup kira-kira tiga ela daripada
tempat persembunyian kami.
Saya tetap akan
mati juga kalau tidak mati dibunuh. Tapi daripada seribu tahun hidup seperti
kambing, adalah lebih baik mati seperti harimau ditembak. Esok sudah tentu jadi
headline akhbar,” kata Syed Hussien sambil ketawa dengan nada agak besar.
Syed Hussien juga
memberitahu, ketika Perang Telik belum meletus, selang dua hari beliau masih
berada di sana kerana ingin menemui Presiden Saddam Hussien.
Menjawab soalan
mengenai sejauh mana ujudnya penulis-penulis upahan, Syed Hussien berkata jika
tidak ada pemimpin yang mengarut, maka tidak aka nada penulis-penulis upahan.
“Bagi saya yang
membezakan seseorang manusia adalah harga diri. Jika seorang pemimpin buat
kerja yang tidak elok, di mana harga dirinya?
Sebab itu saya
tidak memandang rendah kepada pelacur kerana mungkin ada sebab dia jadi begitu.
Orang yang saban hari duduk di masjid pun belum tentu akan ke syurga.
Walaupun memiliki
nama yang gah di arena penulisan, namun tidak seorang pun daripada 8 orang
anak-anaknya mengikut jejak sebagai penulis lagi. “Saya hanya mendidik. Masa
depan mereka biarlah Allah yang menentukan.” Syed Hussien berkata dia tidak
akan berhenti menulis. “Mana ada penulis yang mahu berhenti menulis?
1 comment:
Terbaik lah abah..!!!!
Post a Comment