Seperti biasa setiap hari minggu Wadi Hussien, Alattas University of Life akan menerima tetamu dari mana-mana saja. Minggu ini saya menyambut 20 orang ‘Sikh’
dari Kuala Lumpur dan tiga Al-Attas dari Hadramawt, Yaman, dan juga sepasang
suami isteri dari Melbourne yang dibawa oleh anak saudara saya. Semua yang
datang tidak perlu buat ‘appointment’. Pelik, zaman sekarang ini orang
nak jumpa kita kena buat temujanji dulu. Tahukah kita setiap tetamu yang datang
itu membawa ‘barakah’? Kenalkah kita siapa yang datang itu? “Tidak
bergerak sesuatu melainkan gerak dari Allah”.
1hb. Julai 2012, hari penting dalam sejarah kehidupan saya. Hari
ini kami adakan ‘Akikah’ untuk Ahmad Zahrin Ali Azizan, anak kedua Dr.
Azizan Osman, cucunya memanggil saya ‘atuk’. Selaku keluarga Al-attas
yang mewarisi “Tarikat Alawiyin”, setiap majlis selain diadakan makanan
istimewa untuk jasad yang disajikan oleh Restoran Palace Hadramawt, disajikan
juga dengan santapan rohani, bacaan ‘Ratib
Alattas’ dipimpin oleh Muhyiddin Al-Attas sementara saya menyampaikan ilmu
dunia dan akhirat, diikuti ceramah
ringkas oleh A. Samad Said.
Sasterawan Negara Dato A. Samad Said dan isterinya dibawa oleh anak
angkat saya Ana. Ketika dia sampai ke Taman Hana sudah ada puluhan tamu “UMAT”,
Abang Samad heran. Apakah mereka ini semua tetamu saya? Setiap tetamu yang
datang digerakkan hatinya oleh Allah.
Taman ini Allah yang punya, saya fakir, mereka berhak menikmati keindahan alam
flora dan fauna, dan terhibur dengan lagu-lagu instrumental sebagai halwa
telinga. Selain getiran air sungai dan kicauan burung untuk panca indera yang
dianugerah oleh Allah, aroma terapi, color terapi, hearing terapi perlu
dinikmati.
Ketika saya mahu tinggalkan bangku sekolah, ada guru bertanya, “bila
dewasa nanti kamu mahu jadi apa?”
Saya jawab, “saya mahu jadi orang yang baik”. ‘A goodmen’, ‘A gentlemen’,
bukan ‘Superman’, ‘Spiderman’, dan ‘Batman’. Guru heran, dia anggap saya pelik mungkin dia
tak tahu 3 watak ini sebagai pembela bukan sekadar menentang kemungkaran,
berbeza dengan orang mukmin yang
mengajar kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Kerjaya yang dipilih oleh pelajar lain adalah milik biasa-biasa
seperti guru, jadi doktor, askar, pilot, kenapa kamu mahu jadi ‘orang baik’?
tanya guru. Mana ada jenis pekerjaan “orang yang baik”? ‘It’s my
right to be uncommon’. Manusia adalah makhluk yang teristimewa ‘ahsanu taqwim” khalifah Allah.
Seandainya satu dalam seribu, seorang saja yang nak jadi ‘orang
baik’, akan kuranglah satu orang ‘munafik’. Profesor Naquib Al-Attas ada menyebut: “Yang dididik
menjadi warganegara yang baik, yang berkerjaya belum tentu menjadi manusia yang
baik, akan tetapi kalau yang dididik menjadi orang yang baik, sudah tentu
menjadi warganegara yang baik”.
Sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat bagi manusia yang lain. Nabi Muhammad SAW
adalah contoh manusia terbaik di seluruh dunia. ‘Al-amin’. Hari ini nak
cari 10% saja orang yang baik agak sukar.
Sejak saya kecil, saya mahu jadi ‘orang luar biasa’, tak
mahu jadi orang ‘biasa-biasa’. Kebetulan jiran saya Almarhum Tunku Abdul
Rahman, tinggal di No.1 Jalan Sekolah Arab. Dia orang yang ‘luar biasa’,
dia mahu jadi ‘The Happiest Prime Minister in The World’, dia meninggal
sebagai seorang Negarawan. Presiden UMNO yang pertama Almarhum Dato Onn
adalah mentor saya, dia adalah ayah kepada kawan sekolah saya Arwah Tahir
iaitu bapa saudara HIshamuddin Hussien Onn. Mari kita baca Al-Fatehah
untuk mereka.
Sejak kecil saya telah ditemukan dengan ramai manusia yang ‘luar
biasa’ yang namanya tercatit dalam sejarah tanah air. Mereka tinggal di
Kampung Wadi Hana diantaranya Dato Syed Jaffar Albar, Tan Sri Khir Johari,
Tun Razak kahwin dengan Toh Puan Raha anak Tan Sri Haji Noh di
Wadi Hana, kampung yang dibuka oleh datuk saya Almarhum Dato' Syed Hassan Al-Attas. Pemilik Wadi Hassan maka lahirnya
Wadi Hussien.
Hendak jadi orang yang hebat kena ada guru yang hebat-hebat, baru
boleh jadi hebat. Hari ini hari bertuah bagi saya, dua guru saya yang
hebat ada bersama saya. Ketika A. Samad Said menjadi Editor Berita Harian di
Kuala Lumpur, saya pergi jumpa dia untuk jadi penulis yang hebat, dia
beritahu saya “sebelum satu tulisan dikirim ke akhbar atau untuk buku
sendiri harus dibaca dan diperbetulkan 7 hingga 8 kali”. Bukan senang nak
senang, ‘berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit
dahulu, bersenang-senang kemudian’. Kasihan Pak Samad, ada yang
mengelarnya ‘hoche men’ bersih. Untuk menjawab tuduhan yang dia
menuntut 10 juta, dia kata dia cuma terima setiap tahun RM150,000 selama 3
tahun dari kerajaan Melaka dibawah pimpinan Dato Ali Rustam, Ketua Menteri
Melaka.
Ada orang tanya kenapa pilih Dr. Azizan Osman pakar motivasi, jutawan yang berjaya membuka
rahsia bagaimana membuat ribuan orang Melayu boleh hidup menjadi kaya raya jadi
guru saya? Tak kenal maka tak cinta. ‘Seek and you shall find, ask
and you shall be given’. Saya mohon pada Allah dan saya jumpa mutiara yang
terkeluar dari mulut Dr. Azizan hingga tercetusnya idea membuka AlattasUniversity of Life ini diperkenalkan melalui internet.
Sekadar nak buka sekolah ‘biasa-biasa’, itu kerja orang ‘biasa-biasa’.
Anak murid Dr. Azizan tak suka benda macam tu. 100 tahun dulu tok saya
sudah membuka Kolej Islam yang pertama di Malaysia Kuliyyatul Al-Attas
Al-Arabiah dan Madrasah Alattas di Pekan, Pahang. Saya bukan
seorang tokoh ulama macam Almarhum tetapi......
Konsep Universitiy Of Life merupakan pematangan dari bibit-bibit
makna yang disemai melalui pengalaman kehidupan, saya tidak lari dari
pendidikan di Madrasah Al-Attas dan Kuliyyatul Al-Attas di mana
saya pernah menjadi wakil Nazir untuk mewakili ayahanda saya Almarhum Habib
Alwee Alattas sebagai seorang ‘Bani Alawi’ sesuai dengan tugas datok
nenek kami. Peranan kedua institusi ini adalah bagi mendidik dan mempersediakan
Ilmuwan yang beradab, ini tidak lari dari tugas ‘Bani Alawiyin’ yang
lain seperti Wali Songo yang menyebarluaskan ‘Din’ Islam di tanah
Nusantara dan para ‘Sadah’ Habib-Habib yang terus berdakwah ke rantau
ini. Nabi Muhammad sebagai sebaik-baik guru, yang diberikan pendidikan langsung
dari Allah taala. ‘Addabani rabbi, faahsauu ta’dibi’ bermaksud Aku
dididik Tuhanku, dengan sebaik-baik pendidikan. Mari kita berselawat ke
atas junjungan Nabi Muhammad SAW.
Saya sudah membaca buku “Think and Grow Rich” dan “How
to Win Friends and Influence People” sebelum Dr. Azizan lahir lagi, itu
tidak bererti kecik jangan disangka anak, besar jangan disangka bapak.
Saya tidak boleh jadi macam Azizan untuk melakukan motivasi secara
besar-besaran. Setiap orang ada kelebihannya yang tersendiri tetapi saya kena
tahu adab berguru.
“Tidak
termasuk golonganku, sesiapa yang tidak menyayangi yang lebih muda dan tidak
menghormati yang lebih tua”.
“Tujuan
utama dalam pendidikan ialah mendekatkan diri kepada Allah, bukan hendak
mencari nama, pangkat, pengaruh atau hendak dipuji orang”.
Al-Ghazali
Saya mahu melahirkan pemikir Melayu bertaraf dunia ‘world
class’ dan ‘first class’ di akhirat. Saya tidak mahu anak
bangsa hidup seperti katak dibawah kaca pecah nampak dunia tetapi
seperti manusia yang berfikir dalam kotak . Sebab itu jika Tan Sri Lim
Kok Wing boleh buka universiti, Pak Hasni boleh berjaya dengan sistem
pendidikan ADNI, Panji Gumilang dengan Al-Zaytun untuk melahirkan Master of
the Universe, saya juga perlu perkenalkan Alattas University of Life sebagai
satu produk, memperkenalkan mereka adalah ‘Khalifah Allah’, mengenal
diri yang boleh dikongsi dengan siapa saja, “kalau saya tidak
kongsikan apa yang saya tahu saya berdosa”, kata Dr. Azizan. Apakah anda
tidak takut dosa? Bapa saya mengingatkan saya, kalau terasa diri bodoh,
belajar, bila sudah pandai berkongsi ilmu.
Saya tidak mahu jadi seperti ‘orang kita’ yang dirinya ada
‘PHD’. ‘perangai hasad dengki’, ‘macam ketam dalam bakul’, menarik
turun ketam yang naik keatas. Tengok ada warung nasi ayam maju, dia buka
di sebelah dan 5 lagi akan buka jual nasi ayam juga, bila tak untung, cari bomoh
supaya kedai sebelah tutup, tetapi tidak mahu cari ilmu macam mana orang
sebelah boleh berjaya. Macam mana orang jual susu kambing boleh jadi jutawan?
Saya selalu mengingatkan diri saya dan anda, sampai bila kita mahu
tidur? ‘Life is short, don’t make it shorter’. Nyawa ini pendek, kenapa
pendekkan lagi dengan buat bodoh aje? Tak ada tempat bagi manusia malas, yang
bodoh dan yang tak amanah (jahat). Hidup ini bukan untuk tidur, kita di
datangkan ke dunia sebagai khalifah, kenapa hidup jadi sampah? Masakan dalam
perjalanan menuju ke destinasi yang terakhir kita tidak mahu bangun-bangun?
Mahu jadi pemuda Al-Khafi bangun selepas 300 tahun tidur, baca surah Al-Khafi.
Kita semua dalam perjalanan mahu berjumpa dengan Tuhan. Hidup ini
3 saat saja, 1 saat tarik nafas, 1 saat turun nafas, 1 saat tarik, tak
turun-turun, selamat tinggal semua. Salammualaikum terakhir, sempat mengucap
dua kalimah syahadah atau tidak. Ashadu allah illah haillallah wa ashadur anna
Muhammad dur Rasulullah.
Semua yang akan kita bina kita mahu bertaraf ‘world class’.
Tahukah kita dunia ini tempat lalu saja? Semua yang kita rasa milik kita cuma
satu amanat. Apakah bekalan yang kita siapkan untuk akhirat bertaraf ‘makam’
ke peringkat ‘mutmaainnah? Tuhan mencipta kita dan alam maya yang
sementara, apakah kita sudah kenal siapa Tuhan kita? Siapa diri kita? Siapa
Nabi kita? Siapa saudara kita? Untuk apa kita dihidupkan? Inilah diantara Ilmu
yang saya pelajari dari buku “Tasauf Moden” karya Hamka. Saya tidak
pernah lupa pada guru-guru saya termasuk Prof Naquib Alattas kerana saya
berkesempatan membaca bukunya Some Aspects of Sufism as Understood and
Practised Among Malays yang terbit pada tahun 1963.
Saya percaya kepada ‘keberkatan’ memuliakan guru jika kita
tak lupa guru, kita tidak beradab dan tidak mengenang budi seperti kata pantun
Melayu;
Pulau pandan jauh ketengah,
gunung daik bercabang tiga,
hancur bandan dikandung tanah,
budi yang baik dikenang juga.
Sampai bila mahu jadi penonton, asyik membaca ‘history’,
cerita kejayaan mereka dan sejarah masa
lampau? Sampai bila nak ubah ‘history’ menjadi ‘my story’? Jangan
sekadar jadi ahli sejarah, ciptalah sejarah! Sampai bila mahu jadi penonton dalam
lakonan yang didramakan dalam pentas sandiwara? Bila lagi nak jadi pelakon
dengan watak ‘manusia luar biasa’? Imam Al-Ghazali berjaya dengan karya
terbesar Ihya Ulumuddin masakan anda tidak ada kisah hidup yang boleh
jadi ‘best seller’?
Apakah anda seronok hidup sebagai seorang ‘puppet’
membiarkan diri ‘dikhadimkan’, mengikut nafsu haywani? Sampai bila mahu
hidup sebagai boneka? Bila lagi mahu bebaskan diri untuk hidup di nafsu ‘natiqah’,
barulah layak bergelar khalifah.
“Penjaramu
ialah nafsumu. Apabila kamu keluar daripadanya, nescaya kamu dalam kerihatan
selamanya”. Nafsu adalah musuh utama manusia. Nafsu puncanya rasuah, penipuan,
dengki, khianat, fitnah menfitnah, kerosakan akhlak, perebuatan kuasa, sombong,
bongkak, angkuh, bunuh membunuh dan perosak rumahtangga. Nafsu boleh
menghancurkan satu negara. Kerana nafsu bangsa tergadai. Kerana nafsu Islam
dipersenda. Kerana nafsu orang jadi munafik. Hanya “Nafsu Mutmainnah” saja yang
Allah janjikan syurgaNya. Wallahu’alam.
Abu
Al-Qasim Al-Nasr Abazi
Kita adalah seindah-indah kejadian “Ahsanu taqwim”, kenapa
perangai macam beruk mak yeh? Itulah susahnya, Tuhan suruh baca “Iqrak”,
belajar. kita ikut amalan tok nenek bukan ikut Al-Quran dan Sunnah. Tuhan
anugerahkan kita dengan akal selain roh dan jasad. Pelik, hairan dan ajaib,
orang yang berakal, tak sedar “Tuhan paling dekat dengan diri, lebih dekat
dari urat leher” akibat memisahkan syariat dengan hakikat, mata jadi
macam mata ikan kering, telinga kuali, mulut tempayan maka
mudah diperkotak-katikkan oleh dalang (syaitan) akibat tidak ada ilmu, tidak
dapat membezakan syaitan dengan sultan.
Di dalam Al-Quran, perkataan ‘sultan’ boleh membawa
beberapa jenis makna. Sebagai contoh, Nabi Musa a.s diutus dengan ayat-ayat
yang nyata dan bukti (sultan al-mubin) yang nyata (yakni mu’jizat)
bukan raja atau sultan - Surah Hud: 96. Ia juga membawa maksud kesahihan atau perkataan autoriti dalam
bahasa Inggeris seperti yang terdapat dalam Surah Ali Imran ayat 151, dimana Allah
SWT mengisikan perasaan gerun dalam hati mereka yang menyembah sesuatu tanpa
‘kesultanan’ (ayat-ayat yang nyata). Anda sembah apa? Sembah siapa?
Siapa yang patut menerima sembah? Samakah ‘solat’ dan sembahyang?
Perkataan ‘sultan’ boleh membawa maksud pengaruh, seperti
dalam surah An-Nahl ayat 99 apabila Allah SWT berfirman bahawa ‘syaitan’
itu tidak akan mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang yang beriman dan yang
berserah bulat-bulat pada Tuhan mereka. Maka takut apa pada setan atau
setan manusia jika anda beriman dan takut pada Tuhan?
‘Iqrak’. Baca, bacalah dengan nama Tuhan. Hanya dengan
membaca, berfikir, bertafakur, untuk
mendapat ilmu tauhid. Sudah kenal Tuhan baru Islam. Islam bermula dengan
ilmu, iman, amal, ikhsan, ikhlas.
Antara hikmah kenapa ‘takdir insan’ tiada dalam ‘akalnya’
adalah supaya dia berusaha, berikhtiar untuk berubah, berubah pula menuju
kebaikan. Kita ada pilihan, mahu jadi hamba atau tuan? Pekerja atau bos? Ke
syurga atau ke neraka? Lu fikirlah Bro. Jangan di saat terakhir ketika malaikat
maut dah sampai baru tersentak. May God bless you.
Manusia adalah subjek, bukan objek
maka kenapa harus jadi alat dan diperalatkan oleh
tuan-tuan anda? Lu fikirlah Bro! Tuan kau siapa?
“Allah
tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri”
- Al-Quran.
Kita tak boleh salahkan qadaq dan qadar, kenapa kita jadi miskin?
Kenapa orang lain jadi kaya? Hendak jadi kaya dan berjaya, hendak jadi orang
yang ‘luar biasa’, cari Dr. Azizan Osman yang mencabar saya, jika ada
produk yang baik mesti di iklankan kalau tidak diperkenalkan ‘dosa’,
tapi kalau produknya buruk, layanannya busuk, kita perkenalkan pun berdosa
juga. Betul tak? Lu fikirlah Bro!
Berapa ramai yang sudah jadi jutawan setelah mengikut kursus
Dr. Azizan Osman? Tetapi berapa ramai
yang ingat, adab berguru, hormat guru? Kalau mahu ‘berkat’, jangan
soalkan integriti guru, jangan depan guru kau tunjuk ego. jangan jadi biawak
yang terjelir lidah ‘PHD’ tengok kehebatan guru, guna kuasa agama untuk
tutup perguruan.
Maka benarlah kata bijak pandai. Hidup ini tiada lain kecuali
pementasan yang diulang-ulang. Kata Santayana, siapa yang tidak belajar dari
sejarah akan dikutuk dengan mengulangi kesalahan kaum-kaum yang dahulu.
Sementara Quran menyatakan bahawa andai sahaja kita berjalan, mendengar, dan
melihat dengan ‘mata
hati’
akan diketahui bahawa sememangnya sejarah itu adalah medan i'tibar.
Mereka yang ‘hatinya buta’ masakan mampu belajar dari ‘i'tibar’,
akibat ego, dia saja yang serba tahu, hebat, orang lain semua bodoh, lupa
daratan, bodoh sombong macam beruk baru dapat naik basikal tidak sedar
diri, macam lalat diatas tahi kerbau. Dia rasakan dia Kapten kapal
Titanic, kata-kata orang sufi.
Kasihan
beruk panjat kelapa. Bila bos sudah dapat habuan, ‘lu sapa’? Beruk
dirantai semula dengan rantai pendek berlegar pada tiang. Rantai panjang hanya
untuk panjat kelapa saja supaya beruk tidak lari. Sampai bila hendak jadi hamba
orang macam beruk? Sudah pencen baru tersedar. Sampai bila nak sembunyi dalam
kepompong, bila lagi hendak jadi rama-rama?
Seorang
karyawan yang hebat seperti Shakespeare, yang digelar kaum Arab sebagai Shaykh
Al-Mutanabbi itu masih dibaca, dikaji bukan hanya kerana kebolehan beliau
mengunakan bahasa yang indah berbunga, tetapi kepintaran menterjemahkan apakah
sifat ‘tabiah insan’, memperkenalkan watak dan tabiat manusia didalam
nobel-nobelnya. Sebagai contoh Mac Beth. Berapa ramai orang kita yang masih
mengambil iktibar dari karya A. Samad Said mengenai watak Salina dan Abdul
Fakar dalam nobel SALINA sebagai ‘The Ugly Malays’?
Sampai bila nak jadi manusia yang diberi akal, diberi Al-Quran,
diperkenalkan pada Muhammad SAW guru terhebat di dunia, namun kita tidak mahu
memuliakan insanul kamil dan kaum keluarganya ‘Ahlul Bait’ yang
memperkenalkan Islam ke Nusantara? Adakah kita tergolong dalam insan yang
beradab?
Berapa orang manusia yang bernama Melayu hari ini yang tahu makna
‘berkat’, tanpa ‘berkat’ jangan kata ‘ilmu’ apa pun tak
melekat. Dapat wang berjuta, hidup dalam istana, tidur tak nyenyak, makan tak
terasa nikmatnya, hidup stress setiap masa. Manusia yang tak pandai berterima
kasih, tidak tahu bersyukur dengan yang sedikit akan menerima laknat dari Allah
SWT. Bayangkan bolehkah kita pergi kedai mamak, minta satu teh tarik, tapi tak
mahu teh tarik dibawa dengan gelas atau cawan. Beruk pun tak minta pisang tanpa
kulit. Lu fikirlah Bro. Kalau sakit, cepat-cepat cari ubat, terasa diri berdosa
bila lagi hendak bertaubat?
Apakah nilai seseorang insan jikalau dia tidak mampu berfikir
sendiri? ‘Anak cina makan pengat, sendiri punya diri, sendiri mahu ingat’ .
Bila lagi anda mahu menghidupkan ‘kemahuan’, niat penting, niat berserta
amal untuk mengubah nasib sendiri? Tahukah anda Metaphor, ‘Beruk rantai pendek’ mengenal egonya manusia yang berpangkat, berkuasa, tak sedar
diri yang dia diperhambakan oleh hawa nafsu. Tuhan murka pada hambanya yang
menyombong diri bila merasa diri berkuasa, tidak boleh ditegur, tidak boleh
dilarang biarpun melakukan dosa-dosa besar. Itulah diantara sajak yang saya
baca pada hari meraikan cucu saya Ahmad Zahrin Ali Azizan di petik dari buku ‘Surat
Khabar Lama (1995)’ selain ‘Ayah dan Orang Tua’ yang boleh
dimenungkan oleh kita bersama.
Apakah manusia berjaya kerana
ibubapa, mentor, nasib baik atau menipu, memperdaya untuk mengumpul
harta dan kekal berkuasa? Apa yang akan terjadi pada seseorang apabila segala
kemahuan dan akal fikirannya sudah dikuasai oleh ‘penjajahan minda’, ‘Rezeki secupak tak akan jadi segantang’.
Apakah mereka tidak akan menyembah syaitan, manusia serupa ini? Kenapa
biarkan hidup ini ditentukan oleh sistem yang diciptakan oleh orang yang
mindanya ‘jumud’, harapkan ‘Scroll’ bergulung, ibarat ‘Toilet Paper’ , tetapi
terlupa yang Islam itu ‘Addin’ adalah ‘the complete way of
life’. Cara hidup yang paling sempurna. Ini diantara intipati 3 sajak yang
saya deklamasikan atas permintaan Fauziah Nawi yang turut bersajak dan
menyanyi.
Penjajah hanya memberikan kemerdekaan kepada negara, bukan
kemerdekaan minda rakyatnya. Manusia yang ‘merdeka’ yang mempunyai minda
‘kreatif’ tidak mahu jadi hamba tuan. Cukuplah diri sebagai hamba Allah,
itupun jika Tuhan hendak terima kita sebagai hambanya.
Bila manusia berkerja dengan orang untuk sara hidup, dia tidak ada
kebebasan berfikir. Sampai bila pun dia tidak mampu memberi pekerjaan kepada
orang. Apakah kita tidak malu jika ada orang kata ‘sampai tualah lu Brok’. Beruk tidak pandai ‘berdikari’ kerana
dia tidak ada ilmu psychic, apa lagi ilmu metaphysics, sebab itu tidak tahu
menggunakan minda kreatif.
Kata saintis, antara kita dan beruk persamaan DNA nya sehingga
98%, beza cuma 2% sahaja. Tapi walapun beza hanya 2%, ini ibarat langit dan
bumi. Beruk pandai makan pisang tetapi tidak pandai tanam pisang, tidak
pandai buat goreng pisang, tidak pandai jual pisang, kasehan berok.
Manusia dalam 2% ini ada akal natiqi, yang bila diberi ilmu bisa
terbang, menyayap kepada alam yang lebih tinggi. Lebih tinggi dari burung sebab
itu burung menjadi logo Alattas Universiti of Life.
Sistem pelajaran kita yang diambil dari England hanya baik untuk
memperkenalkan huruf dan nombor tetapi gagal untuk mendidik manusia dengan
nilai-nilai baik sejagat yang dibekalkan dengan Al-Quran di dalam diri dan Nabi
Muhammad SAW sebagai insan kamil, contoh
Al-Quran yang hidup dalam Sunnah Nabi (Sunatul Allah) sebab itu bila
jadi doktor, jadi peguam, jadi ahli politik, arkitek, enginer tetapi tak
dididik dengan adab, tak kenal diri dan Tuhan, tidak mendapat keberkatan, yang
dapat mungkin kekayaan untuk dunia semata-mata tanpa akhirat.
Seorang penulis yang hebat karyanya akan mengenali sifat asasi
insan, dan sifat ini tidak akan berubah, seperti mana Allah SWT menetapkan ‘tabiah’ matahari untuk
terbit dan terbenam pada tempatnya, begitulah juga diri insan yang dipenuhi kegilaan terhadap kuasa, dipenuhi
sifat tamak, hasad dengki dan bakhil akan merasakan ‘syaqawah’, yakni keperitan
jiwa yang jauh lebih perit dari penyakit yang menyerang mana-mana organ manusia
akibat tidak mendapat rahmat dari Allah SWT. ‘Mereka yang tidak ada rahmat
dihatinya tidak akan mendapat rahmat’.
Jasmani
insan itu pula ada had kemampuannya menampung kesakitan, kita tahu bahawa
seorang yang sel-sel dalam tubuhnya sudah mati tiada merasakan lagi kesakitan,
akan tetapi bila yang dibincangkan itu adalah tentang diri rohani insan, maka
penyakit itu tidak dapat dinyahkan begitu saja kecuali dengan ilmu yang ‘benar’,
serta rahmat dari Allah SWT. Sebab itu manusia yang 3 dalam 1, jasad,
roh dan akal perlu disatukan dengan ‘rabb’nya
melalui ilmu ma’rifah. Awal-awal agama mengenal Tuhan, namun sebelum Tuhan,
kita perlu kenal diri. ‘Kenal diri kamu rata-rata sebelum kenal Tuhan
yang nyata’. Alangkah ruginya manusia yang tidak kenal siapa dirinya
dan siapa Tuhannya kerana soalan yang pertama dalam kubur ialah siapa Tuhan
kamu?
Allah
SWT, ‘rabb’ Raja sekelian alam, yang Maha Berkuasa jugalah yang
Berkuasa untuk meletakkan dan mencabut seseorang dari kedudukannya. Tidak ada
yang kekal sejak Firaun dengan Nabi Musa dan sejarah kebangkitan rakyat di
negeri di mana terdapat Firaun moden yang bersultan di mata beraja di hati.
Tidak
ada manusia yang berkuasa. Allah yang Maha Kuasa boleh mengambil semula kuasa
dalam sekelip mata, akhirnya hidup terseksa sepanjang masa di atas dunia, bila
mati ke neraka kerana derhaka pada Tuhannya.
Allah
memberikan segala kekayaan dan kekuasaan kepada siapa yang Tuhan suka maka
kenapa kita tidak minta dengan Tuhan kita yang Maha Kaya dan Maha Kuasa? Sampai
bila nak jadi ‘Beruk rantai pendek’, sujud menyembah kaki
manusia? Atau jadi lalat atas tahi kerbau seperti
manusia yang cinta dunia takut mati.
Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Saya
teringat kata-kata pujangga Cina Confucius bahawa gunung-gunang dan
sungai tidak menjadi halangan kepada burung yang ada sayap. Itu sebabnya
saya mendirikan Alattas Universiti Of Life seperti Almarhum Dato saya
yang mendirikan Kolej Islam yang pertama di Malaysia ‘Kuliah Alattas’,
Tan Sri Othman Saat manten MB Johor adalah murid Madrasah Alattas dan
ramai mufti, Kadi, Ustaz termasuk ahli politik dan sebelum Universiti OfLife ini diperkenalkan oleh anakanda saya Habib Omar, bermula di Hobart,
Australia.
Untuk membangunkan satu kehidupan agar selamat di dunia dan
selamat di Akhirat, agar masyarakat makmur dapat pula keampunan Tuhan, kemajuan
dan tamadun tercapai, akhlak yang mulia juga wujud dan jadi budaya di dalam
kehidupan, ia bak bunga yang kembang di taman
indah dan sangat menarik pandangan dan tempat jatuhnya hati manusia yang
sedar bahawa Tuhan itu Maha Indah dan Allah suka kepada keindahan. Segala puji
bagi Allah SWT dan selawat kepada Rasulullah SAW.
Kekayaan dan makan minum yang mewah, mahligai dan puluhan kereta
mewah tanpa budi bahasa yang indah akan terserlah. Siapa kita sebenarnya jika
permata jatuh di pelimbah masih terserlah, kaduk naik junjung tidak
banyak beza dengan cicak mengkarung yang berlagak macam naga.
Budi yang dimaksudkan dalam pantun Pulau Pandan jauh ketengah,
ialah akal “kerana sebesar-besar budi manusia adalah ciptaan kreatif
manusia yang menguntungkan manusia sejagat seperti Bill Gates, Steve Jobs,
peneroka inovasi sezaman mereka. Thomas Edison, Alaxander Graham Bell, Mark
Zuckhenberg dari Facebook dan Larry Paige & Sergey Brin dari Google.
Budi yang dimaksudkan ialah asas kemudahan hidup yang memerlukan
disiplin, tatasusila dan sifat kemanusiaan bukan kebinatangan dan kebuasan.
Manusia yang tamadunnya tinggi perlu
merendah diri, ibarat ‘Ular yang menyusur akar tak akan hilang bisanya,
sebab itu roh, hati dan jiwa manusia hendaklah dibangunkan
mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW yang berakhlak tinggi dan mulia. Jangan
ikut Firaun dan Karun atau Kabil yang sanggup membunuh Habil saudaranya
sendiri.
Tiba-tiba saya teringat Tony Fernandes, anak cikgu sekolah biasa
saja, ibunya hanya seorang penjual ‘tupperware’. Bagaimana dia boleh
menjadi manusia terkenal diseluruh dunia jika dia tidak menggunakan akalnya?
Adakah kerana pendidikan awal disekolah yang terkemuka di UK yang dilalui oleh
Tony, pergaulan (circle of friends),
atau nasibnya? Bukan mudah dia boleh mengambil alih Air Asia jika tanpa (connection)
dengan membeli syarikat dengan harga
$1.00. Dengan keberanian yang luar biasa dia sanggup menanggung hutang berjuta.
Akhirnya dia berjaya dengan logo “semua orang boleh terbang”,
inilah budi anak didik Sir Richard Branson yang mempunyai syarikat penerbangan
yang membuat Tony berjaya mengeluarkan dirinya dari kepompong berfikir dalam
kotak. Setelah dia bercampur dengan
tokoh korporat terbesar yang memberikan dia semangat yang besar, dan dia
berfikir besar, berkemahuan dan berniat untuk menjadi manusia ‘luar biasa’. Anda bagaimana? Apakah anda tidak
ingin terbang ke Sidratul Muntaha mencontohi Abu Yazid Bustami tokoh Sufi
dipetik dari buku kisah para Wali oleh Farid Al-Din Attar.
Saya mengingatkan diri saya dan mereka yang berada di Pusat
Pengajian Tinggi supaya melakukan perubahan minda kearah holistik paradigma.
Hanya dengan ilmu tauhid mengenal diri dan mengenal Allah kerana adanya
hubungan Roh dengan Rabb, kita bakal jadi insan istimewa bukan
sekadar jadi orang Islam pada Mykad atau Islam keturunan tetapi manusia bertanggungjawab untuk mencari ilmu akhirat
yang kekal. Belajar mengenal para wali Allah yang memiliki ilmu syariat,
hakikat, tarikat dan makrifat.
Marilah kita lakukan semua kerja yang dibuat dengan niat
semata-mata kerana Allah Subhana Wataala sama ada “hablum minnallah”
dan “hablum minannas”. Tidak melupakan tanggung-jawab
terhadap sesama manusia, tidak mengira warna kulit dan bangsa. Inilah yang anda
akan dapati tanpa perlu dengar ceramah saya tetapi cukup dengan bertafakur
semasa berjalan-jalan di Wadi Hussien. Belajar dari tumbuh-tumbuhan dan alam
semula jadi sebagai guru.
Tugas anak muda hari ini untuk sama-sama mendesak dan menggerakkan
masa ke arah kemajuan dan kejayaan dunia dan akhirat dengan mengaji dan
mengkaji isi Al-Quran. Terlebih
dahulu apa pun nak buat mulakan dengan Bismillah
hir Rahman nir rahim. Isikan dada dengan keimanan bermula dengan ilmu
tauhid. Cuba buka minda, seperti ‘Tempayan yang mulutnya terbuka bila hujan
turun dengan sendirinya tempayan akan berisi’. Sebab itu anda dapat melihat
ratusan tempayan di Taman Hana, Wadi Hussien.
Antara sebab saya setuju bila Omar minta Alattas University ofLife ini disiarkan di internet adalah kerana ada sedikit perasaan khuatir dalam
diri saya apabila melihat gelagat anak muda zaman sekarang yang kehilangan arah
tuju. Siapa penyebabnya? Ada kalanya kita sendiri tidak pasti sama ada ‘standard’
pengajian yang diletakkan itu terlalu tinggi atau sememangnya belia hari
ini tidak begitu mengambil peduli tentang apa yang berlaku di sekitar mereka
akibat minda tertutup dilekakan dengan segala bentuk hiburan yang merugikan dan
tidak dipedulikan oleh keluarga dan jiran tetangga.
Kamu tidak akan nampak Tuhan dengan mata kasar kamu, tidak juga dengan
mata kepala kamu namun pernahkah kamu melihat ke siling rumah dan memerhatikan cicak?
Cicak tak ada sayap tetapi rezekinya adalah binatang-binatang yang
berterbangan, begitu juga kucing tak pandai berenang namun rezekinya adalah
ikan dalam air. Allah yang memberi
rezeki kepada semua makhluknya tetapi Allah memberi ‘hidayah’ kepada
manusia yang dipilihnya saja, maka sesudah anda mendapat ‘hidayah’,
apakah anda mahu melepaskan peluang keemasan yang hanya datang sekali dalam
hidup anda?
Ramai yang bertanya saya di mana saya belajar bertawakal
pada Allah, mereka macam tidak percaya, gila Pak Habib ini belajar tawakal
melalui binatang yang kita perhati. Harimau berjalan tidak bawa bekal, tidak
macam beruk. Harimau berjalan ke mana tidak bawa bekal namun
tetap makan daging, tidak makan ubi kayu, keledek, apa lagi makan cacing, itu
makanan babi hutan.
Selagi Tuhan mahu kamu hidup, kamu tak akan mati kelaparan. Inilah
ilmu tawakal yang pertama kepada manusia yang tidak yakin pada diri
sendiri dan tidak percaya kepada tawakal tu Allah. Gantung ayat seribu
dinnar namun tahukah makna waman ya tikillah?
Kejayaan dan kekayaan kepunyaan orang yang berani, tekun, rajin,
sabar dan tak kenal putus asa. Yakin pada Tuhan. “Tuhan berjanji mohon
padaKu, permintaanmu akan Ku perkenankan” - Al-Quran.
Jangan sesekali membuang masa “sentiasalah lidah kamu
dibasahi dengan zikrullah” (Riwayat Imam Al-Tirmizi Ibn Hibban dan
Al-Hakim. Mereka mengatakan sanad hadis ini sahih). “Kerana itu ingatlah
kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepadaKu,
dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) Ku”
Surah Al-Baqarah : 152.
Kesimpulannya: Berzikirlah (ingatlah) kepada Allah pada waktu
malam, siang, dilautan, daratan, ketika bermusafir, bermukim, ketika kaya,
miskin, sihat, sakit, dalam keadaan sembunyi, terang dan dalam semua keadaan.
Bukan saya seorang saja yang akan menjadi Pensyarah di University Of Life.
Rancangan saya adalah untuk menghimpunkan lagenda-lagenda. Kebetulan saja saya
sudah lama hidup, yang sudah jauh berjalan, sudah luas pandangan, sudah
baca ratusan buku, sudah bertemu dengan ribuan manusia dari empat penjuru alam,
sudah jatuh bangun dalam menempuh kehidupan, lama hidup banyak pengalaman.
Contohnya bila A. Samad Said sanggup menyumbangkan pengalamannya, maka gabungan
dua umur kami mencecah 150 tahun. Jiwa yang diisi dengan sejarah, dengan
pengalaman dapat menggandakan umurnya melalui ilmunya yang akan kita kongsikan
dengan anda.
Apakah mudah mencari mereka yang berpengalaman, sanggup kongsikan
pengalaman bersama anda. Bermula dengan saya yang telah menghasilkan ratusan
tulisan di beberapa buah akhbar dan puluhan buku yang pernah menjadi ‘best
seller’ di Malaysia.
Apa yang terdapat di Alattas University of Life pernah dilakukan
oleh Tok Kenali di Kelantan dan Socrates yang mengajar tanpa bilik darjah,
hanya dengan cara perbualan, dialog. Semua yang hadir ada kehebatan yang
tersembunyi yang mereka akan sedar melalui cara ini, ilmu dapat ditanamkan dalam
dada-dada mereka yang sudi menadah. Sistem zaman dulu, isi ilmu di dada bukan
pada ijazah.
Kita tak utamakan ijazah kerana Alattas University Of Life
tak ada bilik darjah, tak mengeluarkan ijazah. Sebagai contoh pengalaman hidup
saya yang mempunyai 10 anak, 10 cucu, 3 cicit, saya hidup bebas tidak
bertuankan manusia, tidak terhutang hidup dengan “tuan kau”. Saya sudah
mengembara ke empat penjuru alam memungut ilmu di dunia yang pernah saya sampai
antaranya Eropah, USA, Australia, New Zealand, New Guini, India, China, Jepun
dan Afrika.
Apakah kita tidak mahu membiarkan akal fikiran anak bangsa kita
yang selama ini dikuasai oleh mereka yang kita dewa-dewakan sebagai pemimpin
dan para ulama sedangkan mereka telah menggunakan agama menjadikan umat Islam
seperti ‘robot’? Apakah anda sanggup jadi ‘beruk rantai pendek’, periuk
nasi ditangan ‘boss’ atau ke mana saja bawa periuk nasi karen macam
beruk simpan makanan dalam mulut? Apakah tidak malu dan rasa berdosa terpaksa
menjual ayat-ayat Al-Quran dengan harga yang murah untuk ‘tuankau’,
membisu melihat kemungkaran menjadikan lidah jadi lidah syaitan?
Bagaimanakah orang yang bakal mahu menjadi para pemimpin negara
hendak menyumbang tenaganya dalam ‘Nation Building’ jika dia hanya
seorang ‘puppet’ tanpa ilmu asas (tauhid) syariat, hakikat,
tarikat dan makrifat mengenai Islam yang menjadi agamanya
sedangkan Islam adalah agama universal?
Soalnya, siapakah gerangan yang telah memperhambakan ‘beruk-beruk rantai pendek’ dari segi jiwanya,
moralnya, budi pekertinya, tutur bahasanya, mentalnya dan warna-warna
hidupnya? Britishkah atau pun segolongan feudal Melayu yang tutur katanya
Melayu tetapi hati perutnya masih mahu menjadi penjajah bentuk baru yang mahu kekalkan anak bangsa sebagai hamba
sesudah mereka berkuasa? Lu fikirlah Bro!
Berapa ramai yang tahu ‘ulama jahat’ dengan idea yang
mereka import dari Barat untuk menyesatkan Melayu kerana mereka tahu Melayu tak
suka membaca? Ramai yang suka ikut agama yang menjadi amalan tok nenek mereka
yang asalnya Hindu? Mereka menuduh orang lain sesat semata-mata kerana mahu
bergelar sebagai ulama ‘world class’ yang di import dari Arab. Ke mana
perginya jati diri dan identiti sendiri? Ulama fekah fukaha tak ubah
seperti ‘polis trafik’ yang
tugasnya menangkap kesilapan pemandu kereta dan motosikal di jalan raya,
tahunya menghukum saja akhirnya orang Islam lari dari Islam kerana
undang-undang tanpa ikhsan dan tidak ikut rasmi Rasul, dan para ‘ulama’ yang dahulu, yang lebih mengutamakan mendidik
daripada menghukum.
Islam adalah agama yang berkomunikasi dengan ‘diri rohani’
dan akali insan. ‘Din’ islam mendidik dengan hikmah, memberi kita makna
diri. Sebagai sebuah agama yang universal, ‘Din” kita ini ada pandangan alamnya
yang tersendiri, ‘world view’ nya yang sendiri. Inilah yang diajar oleh
Profesor Naquib Al-Attas untuk pulihkan dan jernihkan dahulu pandangan alam
kita sebelum kita faham tempat letak sesuatu termasuklah fiqah dan syariah.
Alam ini bukan milik kita, ia adalah ayat Allah. Jangan kita
kotori, jangan kita perjelekkan.Allah itu sifatnya ‘Jamal’, jadi alam ditafsirkan pada kita dalam keadaan
indah, buah-buahannya, ternakannya sihat, halal dan tayyibah.
Tapi disebabkan angkara manusia yang tidak bertanggungjawab,
ibarat tetamu yang ‘kurang ajar’ dengan sesuka hati menterbalikkan
segala peralatan milik si tuan. Dibiarnya jijik, dibiarnya kotor, dicuri pula
apa yang bukan haknya. dipotong dan dimusnahkan segala ciptaan Allah
semata-mata kerana mereka berkuasa dan dia tidak nampak Tuhan. Tuhan dia jadi
Hantu. Dia tidak terfikir akan keadaan alam sesudah ia ditinggalkan bagi
generasi yang akan datang.
Marilah kita mengingatkan mereka kerana agama Islam itu
nasihat-menasihati bahawa Allah Al-Hasib, Yang Maha Menghitung, Yang Khabir,
Yang Maha Adil. Setiap perlakuanmu ditulis rapi oleh Malaikat. Yang dia
diibaratkan seorang ‘cashier’ yang memberikan khidmat dengan penuh senyuman,
namun bila diperiksa bil nanti, takut-takut tak mampu kau tanggungi.
7 comments:
Almarhom Dato Onn...prinsip mengatasi segalanya. Biar pun dia sorang menjalankan terbitan Kritik (adakalanya dibantu oleh Ahmad Boestamam) sewaktu hujung hayatnya tetapi takde sapa berani lawan segala fakta yang dikemukakan.
lawan dengan fakta bukan dengan fitnah!
Alhamdulillahirabbilalamin..
mohon halal segala ilmu pak guru :)
"Ashadu allah illah haillallah wa ashadur anna Muhammad dur Rasulullah."
Boleh Pak Habib ceritakan sedikit mengenai kalimah syahadah diatas bab 'Ashadu allah'
jika tidak keberatan minta tolong emailkan pada saya jawapannya di themalaypress@yahoo.com (tidak perlu siarkan pada ruangan ini).
Ini bab akidah yang perlu saya dapat penjelasan dari Pak Habib.
Terima kasih.
Salam, terima kasih 'bro'. banyak ilmu yg tercurahkan. Harap menjadi sesuatu yg bermunafaat buat diri semua 'insan' yang melangkahkan kaki mencari Tuhannya..
Alhamdulillah... Saya bersyukur kerana dapat membaca artikel ini. Terima kasih Pak Habib diatas penulisan yang penuh bermakna ini. Teringin sekali saya hendak berjumpa Pak Habib.
Alhamdulillah... Syukur ke hadratNya kerana digerakkan hatiku untuk membaca penulisan Pak Habib ini.
Terima kasih atas ilmu dan maklumat yang dikongsi bersama. Ia sangat bermakna. Teringin sekali saya hendak belajar daripada Pak Habib.
Pulau pandan jauh ke tengah
Gunung daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang dikenang jua.
Pisang emas di bawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati.
"Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya, Sedang dia tidak menanggung budi sesiapapun, yang patut di balas, Hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya Yang Maha Tinggi; Dan demi sesungguhnya, dia tetap akan berpuas hati (pada hari akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkannya)."
Terjemahan ayat dari surah.. :)
Post a Comment