Chat With Us LIVE!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, July 9, 2012

ALATTAS UNIVERSITY OF LIFE: Wake Up Call (1)


 BISMILLAH HIR RAHMAN NIR RAHIM

Seperti biasa setiap hari minggu Wadi Hussien, Alattas University of Life akan menerima tetamu dari mana-mana saja.  Minggu ini saya menyambut 20 orang Sikh dari Kuala Lumpur dan tiga Al-Attas dari Hadramawt, Yaman, dan juga sepasang suami isteri dari Melbourne yang dibawa oleh anak saudara saya. Semua yang datang tidak perlu buat ‘appointment’. Pelik, zaman sekarang ini orang nak jumpa kita kena buat temujanji dulu. Tahukah kita setiap tetamu yang datang itu membawa ‘barakah’? Kenalkah kita siapa yang datang itu? “Tidak bergerak sesuatu melainkan gerak dari Allah”. 




1hb. Julai 2012, hari penting dalam sejarah kehidupan saya. Hari ini kami adakan ‘Akikah’ untuk Ahmad Zahrin Ali Azizan, anak kedua Dr. Azizan Osman, cucunya memanggil saya ‘atuk’. Selaku keluarga Al-attas yang mewarisi “Tarikat Alawiyin”, setiap majlis selain diadakan makanan istimewa untuk jasad yang disajikan oleh Restoran Palace Hadramawt, disajikan juga dengan santapan rohani, bacaan  ‘Ratib Alattas’ dipimpin oleh Muhyiddin Al-Attas sementara saya menyampaikan ilmu dunia dan akhirat, diikuti  ceramah ringkas oleh A. Samad Said.


Sasterawan Negara Dato A. Samad Said dan isterinya dibawa oleh anak angkat saya Ana. Ketika dia sampai ke Taman Hana sudah ada puluhan tamu “UMAT”, Abang Samad heran. Apakah mereka ini semua tetamu saya? Setiap tetamu yang datang digerakkan hatinya oleh  Allah. Taman ini Allah yang punya, saya fakir, mereka berhak menikmati keindahan alam flora dan fauna, dan terhibur dengan lagu-lagu instrumental sebagai halwa telinga. Selain getiran air sungai dan kicauan burung untuk panca indera yang dianugerah oleh Allah, aroma terapi, color terapi, hearing terapi perlu dinikmati.



Ketika saya mahu tinggalkan bangku sekolah, ada guru bertanya, “bila dewasa nanti kamu mahu jadi apa?”  Saya jawab, “saya mahu jadi orang yang baik”.  A goodmen’, ‘A gentlemen’, bukan ‘Superman’, ‘Spiderman’, dan ‘Batman’.  Guru heran, dia anggap saya pelik mungkin dia tak tahu 3 watak ini sebagai pembela bukan sekadar menentang kemungkaran, berbeza dengan orang mukmin yang  mengajar kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Kerjaya yang dipilih oleh pelajar lain adalah milik biasa-biasa seperti guru, jadi doktor, askar, pilot, kenapa kamu mahu jadi ‘orang baik’? tanya guru. Mana ada jenis pekerjaan “orang yang baik”? ‘It’s my right to be uncommon’. Manusia adalah makhluk yang teristimewa ‘ahsanu taqwim” khalifah Allah.

Seandainya satu dalam seribu, seorang saja yang nak jadi ‘orang baik’, akan kuranglah satu orang ‘munafik’. Profesor Naquib  Al-Attas ada menyebut: “Yang dididik menjadi warganegara yang baik, yang berkerjaya belum tentu menjadi manusia yang baik, akan tetapi kalau yang dididik menjadi orang yang baik, sudah tentu menjadi warganegara yang baik”.

Sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat  bagi manusia yang lain. Nabi Muhammad SAW adalah contoh manusia terbaik di seluruh dunia. ‘Al-amin’. Hari ini nak cari 10% saja orang yang baik agak sukar.

Sejak saya kecil, saya mahu jadi ‘orang luar biasa’, tak mahu jadi orang ‘biasa-biasa’. Kebetulan jiran saya Almarhum Tunku Abdul Rahman, tinggal di No.1 Jalan Sekolah Arab. Dia orang yang ‘luar biasa’, dia mahu jadi ‘The Happiest Prime Minister in The World’, dia meninggal sebagai seorang Negarawan. Presiden UMNO yang pertama Almarhum Dato Onn adalah mentor saya, dia adalah ayah kepada kawan sekolah saya Arwah Tahir iaitu bapa saudara HIshamuddin Hussien Onn. Mari kita baca Al-Fatehah untuk mereka.

Sejak kecil saya telah ditemukan dengan ramai manusia yang ‘luar biasa’ yang namanya tercatit dalam sejarah tanah air. Mereka tinggal di Kampung Wadi Hana diantaranya Dato Syed Jaffar Albar, Tan Sri Khir Johari, Tun Razak kahwin dengan Toh Puan Raha anak Tan Sri Haji Noh di Wadi Hana, kampung yang dibuka oleh datuk saya Almarhum Dato' Syed Hassan Al-Attas. Pemilik Wadi Hassan maka lahirnya Wadi Hussien.

Hendak jadi orang yang hebat kena ada guru yang hebat-hebat, baru boleh jadi hebat. Hari ini hari bertuah bagi saya, dua guru saya yang hebat ada bersama saya. Ketika A. Samad Said menjadi Editor Berita Harian di Kuala Lumpur, saya pergi jumpa dia untuk jadi penulis yang hebat, dia beritahu saya “sebelum satu tulisan dikirim ke akhbar atau untuk buku sendiri harus dibaca dan diperbetulkan 7 hingga 8 kali”. Bukan senang nak senang, ‘berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’. Kasihan Pak Samad, ada yang mengelarnya ‘hoche menbersih. Untuk menjawab tuduhan yang dia menuntut 10 juta, dia kata dia cuma terima setiap tahun RM150,000 selama 3 tahun dari kerajaan Melaka dibawah pimpinan Dato Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka.

Ada orang tanya kenapa pilih Dr. Azizan Osman  pakar motivasi, jutawan yang berjaya membuka rahsia bagaimana membuat ribuan orang Melayu boleh hidup menjadi kaya raya jadi guru saya? Tak kenal maka tak cinta. ‘Seek and you shall find, ask and you shall be given’. Saya mohon pada Allah dan saya jumpa mutiara yang terkeluar dari mulut Dr. Azizan hingga tercetusnya idea membuka AlattasUniversity of Life ini diperkenalkan melalui internet.

Sekadar nak buka sekolah ‘biasa-biasa’, itu kerja orang ‘biasa-biasa’. Anak murid Dr. Azizan tak suka benda macam tu. 100 tahun dulu tok saya sudah membuka Kolej Islam yang pertama di Malaysia Kuliyyatul  Al-Attas  Al-Arabiah dan Madrasah Alattas di Pekan, Pahang. Saya bukan seorang tokoh ulama macam Almarhum tetapi......

Konsep Universitiy Of Life merupakan pematangan dari bibit-bibit makna yang disemai melalui pengalaman kehidupan, saya tidak lari dari pendidikan di Madrasah Al-Attas dan Kuliyyatul Al-Attas di mana saya pernah menjadi wakil Nazir untuk mewakili ayahanda saya Almarhum Habib Alwee Alattas sebagai seorang ‘Bani Alawi’ sesuai dengan tugas datok nenek kami. Peranan kedua institusi ini adalah bagi mendidik dan mempersediakan Ilmuwan yang beradab, ini tidak lari dari tugas ‘Bani Alawiyin’ yang lain seperti Wali Songo yang menyebarluaskan ‘Din’ Islam di tanah Nusantara dan para ‘Sadah’ Habib-Habib yang terus berdakwah ke rantau ini. Nabi Muhammad sebagai sebaik-baik guru, yang diberikan pendidikan langsung dari Allah taala. ‘Addabani rabbi, faahsauu ta’dibi’ bermaksud Aku dididik Tuhanku, dengan sebaik-baik pendidikan. Mari kita berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Saya sudah membaca buku “Think and Grow Rich” dan “How to Win Friends and Influence People” sebelum Dr. Azizan lahir lagi, itu tidak bererti kecik jangan disangka anak, besar jangan disangka bapak. Saya tidak boleh jadi macam Azizan untuk melakukan motivasi secara besar-besaran. Setiap orang ada kelebihannya yang tersendiri tetapi saya kena tahu adab berguru.

“Tidak termasuk golonganku, sesiapa yang tidak menyayangi yang lebih muda dan tidak menghormati yang lebih tua”.

Tujuan utama dalam pendidikan ialah mendekatkan diri kepada Allah, bukan hendak mencari nama, pangkat, pengaruh atau hendak dipuji orang”.

Al-Ghazali



Saya mahu melahirkan pemikir Melayu bertaraf dunia ‘world classdanfirst class’ di akhirat. Saya tidak mahu anak bangsa hidup seperti katak dibawah kaca pecah nampak dunia tetapi seperti manusia yang berfikir dalam kotak . Sebab itu jika Tan Sri Lim Kok Wing boleh buka universiti, Pak Hasni boleh berjaya dengan sistem pendidikan ADNI, Panji Gumilang dengan Al-Zaytun untuk melahirkan Master of the Universe, saya juga perlu perkenalkan Alattas University of Life sebagai satu produk, memperkenalkan mereka adalah ‘Khalifah Allah’, mengenal diri yang boleh dikongsi dengan siapa saja, “kalau saya tidak kongsikan apa yang saya tahu saya berdosa”, kata Dr. Azizan. Apakah anda tidak takut dosa? Bapa saya mengingatkan saya, kalau terasa diri bodoh, belajar, bila sudah pandai berkongsi ilmu.



Saya tidak mahu jadi seperti ‘orang kita’ yang dirinya ada ‘PHD’. ‘perangai hasad dengki’, ‘macam ketam dalam bakul’, menarik turun ketam yang naik keatas. Tengok ada warung nasi ayam maju, dia buka di sebelah dan 5 lagi akan buka jual nasi ayam juga, bila tak untung, cari bomoh supaya kedai sebelah tutup, tetapi tidak mahu cari ilmu macam mana orang sebelah boleh berjaya. Macam mana orang jual susu kambing boleh jadi jutawan?

Saya selalu mengingatkan diri saya dan anda, sampai bila kita mahu tidur? ‘Life is short, don’t make it shorter’. Nyawa ini pendek, kenapa pendekkan lagi dengan buat bodoh aje? Tak ada tempat bagi manusia malas, yang bodoh dan yang tak amanah (jahat). Hidup ini bukan untuk tidur, kita di datangkan ke dunia sebagai khalifah, kenapa hidup jadi sampah? Masakan dalam perjalanan menuju ke destinasi yang terakhir kita tidak mahu bangun-bangun? Mahu jadi pemuda Al-Khafi bangun selepas 300 tahun tidur, baca surah Al-Khafi.



Kita semua dalam perjalanan mahu berjumpa dengan Tuhan. Hidup ini 3 saat saja, 1 saat tarik nafas, 1 saat turun nafas, 1 saat tarik, tak turun-turun, selamat tinggal semua. Salammualaikum terakhir, sempat mengucap dua kalimah syahadah atau tidak. Ashadu allah illah haillallah wa ashadur anna Muhammad dur Rasulullah.

Semua yang akan kita bina kita mahu bertaraf ‘world class’. Tahukah kita dunia ini tempat lalu saja? Semua yang kita rasa milik kita cuma satu amanat. Apakah bekalan yang kita siapkan untuk akhirat bertaraf ‘makam’ ke peringkat ‘mutmaainnah? Tuhan mencipta kita dan alam maya yang sementara, apakah kita sudah kenal siapa Tuhan kita? Siapa diri kita? Siapa Nabi kita? Siapa saudara kita? Untuk apa kita dihidupkan? Inilah diantara Ilmu yang saya pelajari dari buku “Tasauf Moden” karya Hamka. Saya tidak pernah lupa pada guru-guru saya termasuk Prof Naquib Alattas kerana saya berkesempatan membaca bukunya Some Aspects of Sufism as Understood and Practised Among Malays yang terbit pada tahun 1963.



Saya percaya kepada ‘keberkatan’ memuliakan guru jika kita tak lupa guru, kita tidak beradab dan tidak mengenang budi seperti kata pantun Melayu;

Pulau pandan jauh ketengah,
gunung daik bercabang tiga,
hancur bandan dikandung tanah,
budi yang baik dikenang juga.

Sampai bila mahu jadi penonton, asyik membaca ‘history’, cerita kejayaan mereka dan sejarah  masa lampau? Sampai bila nak ubah ‘history’ menjadi ‘my story’? Jangan sekadar jadi ahli sejarah, ciptalah sejarah! Sampai bila mahu jadi penonton dalam lakonan yang didramakan dalam pentas sandiwara? Bila lagi nak jadi pelakon dengan watak ‘manusia luar biasa’? Imam Al-Ghazali berjaya dengan karya terbesar Ihya Ulumuddin masakan anda tidak ada kisah hidup yang boleh jadi ‘best seller’?

Apakah anda seronok hidup sebagai seorang ‘puppet’ membiarkan diri ‘dikhadimkan’, mengikut nafsu haywani? Sampai bila mahu hidup sebagai boneka? Bila lagi mahu bebaskan diri untuk hidup di nafsu ‘natiqah’, barulah layak bergelar khalifah.

“Penjaramu ialah nafsumu. Apabila kamu keluar daripadanya, nescaya kamu dalam kerihatan selamanya”. Nafsu adalah musuh utama manusia. Nafsu puncanya rasuah, penipuan, dengki, khianat, fitnah menfitnah, kerosakan akhlak, perebuatan kuasa, sombong, bongkak, angkuh, bunuh membunuh dan perosak rumahtangga. Nafsu boleh menghancurkan satu negara. Kerana nafsu bangsa tergadai. Kerana nafsu Islam dipersenda. Kerana nafsu orang jadi munafik. Hanya “Nafsu Mutmainnah” saja yang Allah janjikan syurgaNya. Wallahu’alam.

Abu Al-Qasim Al-Nasr Abazi


Kita adalah seindah-indah kejadian “Ahsanu taqwim”, kenapa perangai macam beruk mak yeh? Itulah susahnya, Tuhan suruh baca “Iqrak”, belajar. kita ikut amalan tok nenek bukan ikut Al-Quran dan Sunnah. Tuhan anugerahkan kita dengan akal selain roh dan jasad. Pelik, hairan dan ajaib, orang yang berakal, tak sedar “Tuhan paling dekat dengan diri, lebih dekat dari urat leher” akibat memisahkan syariat dengan hakikat, mata jadi macam mata ikan kering, telinga kuali, mulut tempayan maka mudah diperkotak-katikkan oleh dalang (syaitan) akibat tidak ada ilmu, tidak dapat membezakan syaitan dengan sultan.

Di dalam Al-Quran, perkataan ‘sultan’ boleh membawa beberapa jenis makna. Sebagai contoh, Nabi Musa a.s diutus dengan ayat-ayat yang nyata dan bukti (sultan al-mubin) yang nyata (yakni mu’jizat) bukan raja atau sultan - Surah Hud: 96. Ia juga membawa maksud  kesahihan atau perkataan autoriti dalam bahasa Inggeris seperti yang terdapat dalam Surah Ali Imran ayat 151, dimana Allah SWT mengisikan perasaan gerun dalam hati mereka yang menyembah sesuatu tanpa ‘kesultanan’ (ayat-ayat yang nyata). Anda sembah apa? Sembah siapa? Siapa yang patut menerima sembah? Samakah ‘solat’ dan sembahyang?

Perkataan ‘sultan’ boleh membawa maksud pengaruh, seperti dalam surah An-Nahl ayat 99 apabila Allah SWT berfirman bahawa ‘syaitan’ itu tidak akan mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat pada Tuhan mereka. Maka takut apa pada setan atau setan manusia jika anda beriman dan takut pada Tuhan?

Iqrak’. Baca, bacalah dengan nama Tuhan. Hanya dengan membaca, berfikir, bertafakur, untuk  mendapat ilmu tauhid. Sudah kenal Tuhan baru Islam. Islam bermula dengan ilmu, iman, amal, ikhsan, ikhlas.

Antara hikmah kenapa ‘takdir insan’ tiada dalam ‘akalnya’ adalah supaya dia berusaha, berikhtiar untuk berubah, berubah pula menuju kebaikan. Kita ada pilihan, mahu jadi hamba atau tuan? Pekerja atau bos? Ke syurga atau ke neraka? Lu fikirlah Bro. Jangan di saat terakhir ketika malaikat maut dah sampai baru tersentak. May God bless you.


Manusia adalah subjek, bukan objek maka kenapa harus jadi alat dan diperalatkan oleh tuan-tuan anda? Lu fikirlah Bro! Tuan kau siapa?

Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri

 - Al-Quran.

Kita tak boleh salahkan qadaq dan qadar, kenapa kita jadi miskin? Kenapa orang lain jadi kaya? Hendak jadi kaya dan berjaya, hendak jadi orang yang ‘luar biasa’, cari Dr. Azizan Osman yang mencabar saya, jika ada produk yang baik mesti di iklankan kalau tidak diperkenalkan ‘dosa’, tapi kalau produknya buruk, layanannya busuk, kita perkenalkan pun berdosa juga. Betul tak? Lu fikirlah Bro!

Berapa ramai yang sudah jadi jutawan setelah mengikut kursus Dr.  Azizan Osman? Tetapi berapa ramai yang ingat, adab berguru, hormat guru? Kalau mahu ‘berkat’, jangan soalkan integriti guru, jangan depan guru kau tunjuk ego. jangan jadi biawak yang terjelir lidah ‘PHD’ tengok kehebatan guru, guna kuasa agama untuk tutup perguruan.

Maka benarlah kata bijak pandai. Hidup ini tiada lain kecuali pementasan yang diulang-ulang. Kata Santayana, siapa yang tidak belajar dari sejarah akan dikutuk dengan mengulangi kesalahan kaum-kaum yang dahulu. Sementara Quran menyatakan bahawa andai sahaja kita berjalan, mendengar, dan melihat dengan ‘mata hati’ akan diketahui bahawa sememangnya sejarah itu adalah medan i'tibar. Mereka yang ‘hatinya buta’ masakan mampu belajar dari ‘i'tibar’, akibat ego, dia saja yang serba tahu, hebat, orang lain semua bodoh, lupa daratan, bodoh sombong macam beruk baru dapat naik basikal tidak sedar diri, macam lalat diatas tahi kerbau. Dia rasakan dia Kapten kapal Titanic, kata-kata orang sufi. 

Kasihan beruk panjat kelapa. Bila bos sudah dapat habuan, ‘lu sapa’? Beruk dirantai semula dengan rantai pendek berlegar pada tiang. Rantai panjang hanya untuk panjat kelapa saja supaya beruk tidak lari. Sampai bila hendak jadi hamba orang macam beruk? Sudah pencen baru tersedar. Sampai bila nak sembunyi dalam kepompong, bila lagi hendak jadi rama-rama?





Seorang karyawan yang hebat seperti Shakespeare, yang digelar kaum Arab sebagai Shaykh Al-Mutanabbi itu masih dibaca, dikaji bukan hanya kerana kebolehan beliau mengunakan bahasa yang indah berbunga, tetapi kepintaran menterjemahkan apakah sifat ‘tabiah insan’, memperkenalkan watak dan tabiat manusia didalam nobel-nobelnya. Sebagai contoh Mac Beth. Berapa ramai orang kita yang masih mengambil iktibar dari karya A. Samad Said mengenai watak Salina dan Abdul Fakar dalam nobel SALINA sebagai ‘The Ugly Malays’?

Sampai bila nak jadi manusia yang diberi akal, diberi Al-Quran, diperkenalkan pada Muhammad SAW guru terhebat di dunia, namun kita tidak mahu memuliakan insanul kamil dan kaum keluarganya ‘Ahlul Bait’ yang memperkenalkan Islam ke Nusantara? Adakah kita tergolong dalam insan yang beradab?

Berapa orang manusia yang bernama Melayu hari ini yang tahu makna ‘berkat’, tanpa ‘berkat’ jangan kata ‘ilmu’ apa pun tak melekat. Dapat wang berjuta, hidup dalam istana, tidur tak nyenyak, makan tak terasa nikmatnya, hidup stress setiap masa. Manusia yang tak pandai berterima kasih, tidak tahu bersyukur dengan yang sedikit akan menerima laknat dari Allah SWT. Bayangkan bolehkah kita pergi kedai mamak, minta satu teh tarik, tapi tak mahu teh tarik dibawa dengan gelas atau cawan. Beruk pun tak minta pisang tanpa kulit. Lu fikirlah Bro. Kalau sakit, cepat-cepat cari ubat, terasa diri berdosa bila lagi hendak bertaubat?

Apakah nilai seseorang insan jikalau dia tidak mampu berfikir sendiri? ‘Anak cina makan pengat, sendiri punya diri, sendiri mahu ingat’ . Bila lagi anda mahu menghidupkan ‘kemahuan’, niat penting, niat berserta amal untuk mengubah nasib sendiri? Tahukah anda Metaphor, ‘Beruk rantai pendek’ mengenal egonya manusia yang berpangkat, berkuasa, tak sedar diri yang dia diperhambakan oleh hawa nafsu. Tuhan murka pada hambanya yang menyombong diri bila merasa diri berkuasa, tidak boleh ditegur, tidak boleh dilarang biarpun melakukan dosa-dosa besar. Itulah diantara sajak yang saya baca pada hari meraikan cucu saya Ahmad Zahrin Ali Azizan di petik dari buku ‘Surat Khabar Lama (1995)’ selain ‘Ayah dan Orang Tua’ yang boleh dimenungkan oleh kita bersama.



Apakah manusia berjaya kerana  ibubapa, mentor, nasib baik atau menipu, memperdaya untuk mengumpul harta dan kekal berkuasa? Apa yang akan terjadi pada seseorang apabila segala kemahuan dan akal fikirannya sudah dikuasai oleh ‘penjajahan minda’,  ‘Rezeki secupak tak akan jadi segantang’. Apakah mereka tidak akan menyembah syaitan, manusia serupa ini? Kenapa biarkan hidup ini ditentukan oleh sistem yang diciptakan oleh orang yang mindanya ‘jumud’, harapkan ‘Scroll’  bergulung, ibarat ‘Toilet Paper’ , tetapi terlupa yang Islam itu ‘Addin’ adalah ‘the complete way of life’. Cara hidup yang paling sempurna. Ini diantara intipati 3 sajak yang saya deklamasikan atas permintaan Fauziah Nawi yang turut bersajak dan menyanyi.

Penjajah hanya memberikan kemerdekaan kepada negara, bukan kemerdekaan minda rakyatnya. Manusia yang ‘merdeka’ yang mempunyai minda ‘kreatif’ tidak mahu jadi hamba tuan. Cukuplah diri sebagai hamba Allah, itupun jika Tuhan hendak terima kita sebagai hambanya.

Bila manusia berkerja dengan orang untuk sara hidup, dia tidak ada kebebasan berfikir. Sampai bila pun dia tidak mampu memberi pekerjaan kepada orang. Apakah kita tidak malu jika ada orang kata ‘sampai tualah lu Brok’.  Beruk tidak pandai ‘berdikari’ kerana dia tidak ada ilmu psychic, apa lagi ilmu metaphysics, sebab itu tidak tahu menggunakan minda kreatif.

Kata saintis, antara kita dan beruk persamaan DNA nya sehingga 98%, beza cuma 2% sahaja. Tapi walapun beza hanya 2%, ini ibarat langit dan bumi. Beruk pandai makan pisang tetapi tidak pandai tanam pisang, tidak pandai buat goreng pisang, tidak pandai jual pisang, kasehan berok.

Manusia dalam 2% ini ada akal natiqi, yang bila diberi ilmu bisa terbang, menyayap kepada alam yang lebih tinggi. Lebih tinggi dari burung sebab itu burung menjadi logo Alattas Universiti of Life.



Sistem pelajaran kita yang diambil dari England hanya baik untuk memperkenalkan huruf dan nombor tetapi gagal untuk mendidik manusia dengan nilai-nilai baik sejagat yang dibekalkan dengan Al-Quran di dalam diri dan Nabi Muhammad SAW sebagai insan kamil, contoh  Al-Quran yang hidup dalam Sunnah Nabi (Sunatul Allah) sebab itu bila jadi doktor, jadi peguam, jadi ahli politik, arkitek, enginer tetapi tak dididik dengan adab, tak kenal diri dan Tuhan, tidak mendapat keberkatan, yang dapat mungkin kekayaan untuk dunia semata-mata tanpa akhirat.

Seorang penulis yang hebat karyanya akan mengenali sifat asasi insan, dan sifat ini tidak akan berubah, seperti mana Allah SWT menetapkan ‘tabiah’ matahari untuk terbit dan terbenam pada tempatnya, begitulah juga diri insan yang  dipenuhi kegilaan terhadap kuasa, dipenuhi sifat tamak, hasad dengki dan bakhil akan merasakan ‘syaqawah’, yakni keperitan jiwa yang jauh lebih perit dari penyakit yang menyerang mana-mana organ manusia akibat tidak mendapat rahmat dari Allah SWT. ‘Mereka yang tidak ada rahmat dihatinya tidak akan mendapat rahmat’.

Jasmani insan itu pula ada had kemampuannya menampung kesakitan, kita tahu bahawa seorang yang sel-sel dalam tubuhnya sudah mati tiada merasakan lagi kesakitan, akan tetapi bila yang dibincangkan itu adalah tentang diri rohani insan, maka penyakit itu tidak dapat dinyahkan begitu saja kecuali dengan ilmu yang ‘benar’, serta rahmat dari Allah SWT. Sebab itu manusia yang 3 dalam 1, jasad, roh dan akal perlu disatukan dengan ‘rabb’nya melalui ilmu ma’rifah. Awal-awal agama mengenal Tuhan, namun sebelum Tuhan, kita perlu kenal diri. ‘Kenal diri kamu rata-rata sebelum kenal Tuhan yang nyata’. Alangkah ruginya manusia yang tidak kenal siapa dirinya dan siapa Tuhannya kerana soalan yang pertama dalam kubur ialah siapa Tuhan kamu?

Allah SWT, ‘rabb’ Raja sekelian alam, yang Maha Berkuasa jugalah yang Berkuasa untuk meletakkan dan mencabut seseorang dari kedudukannya. Tidak ada yang kekal sejak Firaun dengan Nabi Musa dan sejarah kebangkitan rakyat di negeri di mana terdapat Firaun moden yang bersultan di mata beraja di hati.

Tidak ada manusia yang berkuasa. Allah yang Maha Kuasa boleh mengambil semula kuasa dalam sekelip mata, akhirnya hidup terseksa sepanjang masa di atas dunia, bila mati ke neraka kerana derhaka pada Tuhannya.

Allah memberikan segala kekayaan dan kekuasaan kepada siapa yang Tuhan suka maka kenapa kita tidak minta dengan Tuhan kita yang Maha Kaya dan Maha Kuasa? Sampai bila nak jadi ‘Beruk rantai pendek’, sujud menyembah kaki manusia? Atau jadi lalat atas tahi kerbau seperti manusia yang cinta dunia takut mati. 


Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Saya teringat kata-kata pujangga Cina Confucius bahawa gunung-gunang dan sungai tidak menjadi halangan kepada burung yang ada sayap. Itu sebabnya saya mendirikan Alattas Universiti Of Life seperti Almarhum Dato saya yang mendirikan Kolej Islam yang pertama di Malaysia ‘Kuliah Alattas’, Tan Sri Othman Saat manten MB Johor adalah murid Madrasah Alattas dan ramai mufti, Kadi, Ustaz termasuk ahli politik dan sebelum Universiti OfLife ini diperkenalkan oleh anakanda saya Habib Omar, bermula di Hobart, Australia.

Untuk membangunkan satu kehidupan agar selamat di dunia dan selamat di Akhirat, agar masyarakat makmur dapat pula keampunan Tuhan, kemajuan dan tamadun tercapai, akhlak yang mulia juga wujud dan jadi budaya di dalam kehidupan, ia bak bunga yang kembang di taman  indah dan sangat menarik pandangan dan tempat jatuhnya hati manusia yang sedar bahawa Tuhan itu Maha Indah dan Allah suka kepada keindahan. Segala puji bagi Allah SWT dan selawat kepada Rasulullah SAW.

Kekayaan dan makan minum yang mewah, mahligai dan puluhan kereta mewah tanpa budi bahasa yang indah akan terserlah. Siapa kita sebenarnya jika permata jatuh di pelimbah masih terserlah, kaduk naik junjung tidak banyak beza dengan cicak mengkarung yang berlagak macam naga.

Budi yang dimaksudkan dalam pantun Pulau Pandan jauh ketengah, ialah akalkerana sebesar-besar budi manusia adalah ciptaan kreatif manusia yang menguntungkan manusia sejagat seperti Bill Gates, Steve Jobs, peneroka inovasi sezaman mereka. Thomas Edison, Alaxander Graham Bell, Mark Zuckhenberg dari Facebook dan Larry Paige & Sergey Brin dari Google.

Budi yang dimaksudkan ialah asas kemudahan hidup yang memerlukan disiplin, tatasusila dan sifat kemanusiaan bukan kebinatangan dan kebuasan. Manusia yang  tamadunnya tinggi perlu merendah diri, ibarat ‘Ular yang menyusur akar tak akan hilang bisanya, sebab itu rohhati dan  jiwa manusia hendaklah dibangunkan mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW yang berakhlak tinggi dan mulia. Jangan ikut Firaun dan Karun atau Kabil yang sanggup membunuh Habil saudaranya sendiri.

Tiba-tiba saya teringat Tony Fernandes, anak cikgu sekolah biasa saja, ibunya hanya seorang penjual ‘tupperware’. Bagaimana dia boleh menjadi manusia terkenal diseluruh dunia jika dia tidak menggunakan akalnya? Adakah kerana pendidikan awal disekolah yang terkemuka di UK yang dilalui oleh Tony, pergaulan (circle of  friends), atau nasibnya? Bukan mudah dia boleh mengambil alih Air Asia jika tanpa (connection) dengan  membeli syarikat dengan harga $1.00. Dengan keberanian yang luar biasa dia sanggup menanggung hutang berjuta. Akhirnya dia berjaya dengan logo semua orang boleh terbang”, inilah budi anak didik Sir Richard Branson yang mempunyai syarikat penerbangan yang membuat Tony berjaya mengeluarkan dirinya dari kepompong berfikir dalam kotak. Setelah dia  bercampur dengan tokoh korporat terbesar yang memberikan dia semangat yang besar, dan dia berfikir besar, berkemahuan dan berniat untuk menjadi manusia ‘luar  biasa’. Anda bagaimana? Apakah anda tidak ingin terbang ke Sidratul Muntaha mencontohi Abu Yazid Bustami tokoh Sufi dipetik dari buku kisah para Wali oleh Farid Al-Din Attar.



Saya mengingatkan diri saya dan mereka yang berada di Pusat Pengajian Tinggi supaya melakukan perubahan minda kearah holistik paradigma. Hanya dengan ilmu tauhid mengenal diri dan mengenal Allah kerana adanya hubungan Roh dengan Rabb, kita bakal jadi insan istimewa bukan sekadar jadi orang Islam pada Mykad atau Islam keturunan tetapi manusia  bertanggungjawab untuk mencari ilmu akhirat yang kekal. Belajar mengenal para wali Allah yang memiliki ilmu syariat, hakikat, tarikat dan makrifat.




Marilah kita lakukan semua kerja yang dibuat dengan niat semata-mata kerana Allah Subhana Wataala sama ada “hablum minnallah dan “hablum minannas”. Tidak melupakan tanggung-jawab terhadap sesama manusia, tidak mengira warna kulit dan bangsa. Inilah yang anda akan dapati tanpa perlu dengar ceramah saya tetapi cukup dengan bertafakur semasa berjalan-jalan di Wadi Hussien. Belajar dari tumbuh-tumbuhan dan alam semula jadi sebagai guru.

Tugas anak muda hari ini untuk sama-sama mendesak dan menggerakkan masa ke arah kemajuan dan kejayaan dunia dan akhirat dengan mengaji dan mengkaji isi  Al-Quran. Terlebih dahulu  apa pun nak buat mulakan dengan Bismillah hir Rahman nir rahim. Isikan dada dengan keimanan bermula dengan ilmu tauhid. Cuba buka minda, seperti ‘Tempayan yang mulutnya terbuka bila hujan turun dengan sendirinya tempayan akan berisi’. Sebab itu anda dapat melihat ratusan tempayan di Taman Hana, Wadi Hussien.



Antara sebab saya setuju bila Omar minta Alattas University ofLife ini disiarkan di internet adalah kerana ada sedikit perasaan khuatir dalam diri saya apabila melihat gelagat anak muda zaman sekarang yang kehilangan arah tuju. Siapa penyebabnya? Ada kalanya kita sendiri tidak pasti sama ada ‘standard pengajian yang diletakkan itu terlalu tinggi atau sememangnya belia hari ini tidak begitu mengambil peduli tentang apa yang berlaku di sekitar mereka akibat minda tertutup dilekakan dengan segala bentuk hiburan yang merugikan dan tidak dipedulikan oleh keluarga dan jiran tetangga.

Kamu tidak akan nampak Tuhan dengan mata kasar kamu, tidak juga dengan mata kepala kamu namun pernahkah kamu melihat ke siling rumah dan memerhatikan cicak? Cicak tak ada sayap tetapi rezekinya adalah binatang-binatang yang berterbangan, begitu juga kucing tak pandai berenang namun rezekinya adalah ikan dalam air.  Allah yang memberi rezeki kepada semua makhluknya tetapi Allah memberi ‘hidayah’ kepada manusia yang dipilihnya saja, maka sesudah anda mendapat ‘hidayah’, apakah anda mahu melepaskan peluang keemasan yang hanya datang sekali dalam hidup anda?

Ramai yang bertanya saya di mana saya belajar bertawakal pada Allah, mereka macam tidak percaya, gila Pak Habib ini belajar tawakal melalui binatang yang kita perhati. Harimau berjalan tidak bawa bekal, tidak macam beruk. Harimau berjalan ke mana tidak bawa bekal namun tetap makan daging, tidak makan ubi kayu, keledek, apa lagi makan cacing, itu makanan babi hutan.

Selagi Tuhan mahu kamu hidup, kamu tak akan mati kelaparan. Inilah ilmu tawakal yang pertama kepada manusia yang tidak yakin pada diri sendiri dan tidak percaya kepada tawakal tu Allah. Gantung ayat seribu dinnar namun tahukah makna waman ya tikillah?

Kejayaan dan kekayaan kepunyaan orang yang berani, tekun, rajin, sabar dan tak kenal putus asa. Yakin pada Tuhan. “Tuhan berjanji mohon padaKu, permintaanmu akan Ku perkenankan” - Al-Quran.

Jangan sesekali membuang masa “sentiasalah lidah kamu dibasahi dengan zikrullah” (Riwayat Imam Al-Tirmizi Ibn Hibban dan Al-Hakim. Mereka mengatakan sanad hadis ini sahih). “Kerana itu ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) Ku

Surah Al-Baqarah : 152.

Kesimpulannya: Berzikirlah (ingatlah) kepada Allah pada waktu malam, siang, dilautan, daratan, ketika bermusafir, bermukim, ketika kaya, miskin, sihat, sakit, dalam keadaan sembunyi, terang dan dalam semua keadaan.

Bukan saya seorang saja yang akan menjadi  Pensyarah di University Of Life. Rancangan saya adalah untuk menghimpunkan lagenda-lagenda. Kebetulan saja saya sudah lama hidup, yang sudah jauh berjalan, sudah luas pandangan, sudah baca ratusan buku, sudah bertemu dengan ribuan manusia dari empat penjuru alam, sudah jatuh bangun dalam menempuh kehidupan, lama hidup banyak pengalaman. Contohnya bila A. Samad Said sanggup menyumbangkan pengalamannya, maka gabungan dua umur kami mencecah 150 tahun. Jiwa yang diisi dengan sejarah, dengan pengalaman dapat menggandakan umurnya melalui ilmunya yang akan kita kongsikan dengan anda.

Apakah mudah mencari mereka yang berpengalaman, sanggup kongsikan pengalaman bersama anda. Bermula dengan saya yang telah menghasilkan ratusan tulisan di beberapa buah akhbar dan puluhan buku yang pernah menjadi ‘best seller’ di Malaysia. 

Apa yang terdapat di Alattas University of Life pernah dilakukan oleh Tok Kenali di Kelantan dan Socrates yang mengajar tanpa bilik darjah, hanya dengan cara perbualan, dialog. Semua yang hadir ada kehebatan yang tersembunyi yang mereka akan sedar melalui cara ini, ilmu dapat ditanamkan dalam dada-dada mereka yang sudi menadah. Sistem zaman dulu, isi ilmu di dada bukan pada ijazah.



Kita tak utamakan ijazah kerana Alattas University Of Life tak ada bilik darjah, tak mengeluarkan ijazah. Sebagai contoh pengalaman hidup saya yang mempunyai 10 anak, 10 cucu, 3 cicit, saya hidup bebas tidak bertuankan manusia, tidak terhutang hidup dengan “tuan kau”. Saya sudah mengembara ke empat penjuru alam memungut ilmu di dunia yang pernah saya sampai antaranya Eropah, USA, Australia, New Zealand, New Guini, India, China, Jepun dan Afrika.

Apakah kita tidak mahu membiarkan akal fikiran anak bangsa kita yang selama ini dikuasai oleh mereka yang kita dewa-dewakan sebagai pemimpin dan para ulama sedangkan mereka telah menggunakan agama menjadikan umat Islam seperti ‘robot’? Apakah anda sanggup jadi ‘beruk rantai pendek’, periuk nasi ditangan ‘boss’ atau ke mana saja bawa periuk nasi karen macam beruk simpan makanan dalam mulut? Apakah tidak malu dan rasa berdosa terpaksa menjual ayat-ayat Al-Quran dengan harga yang murah untuk ‘tuankau’, membisu melihat kemungkaran menjadikan lidah jadi lidah syaitan?

Bagaimanakah orang yang bakal mahu menjadi para pemimpin negara hendak menyumbang tenaganya dalam ‘Nation Building’ jika dia hanya seorang ‘puppet’ tanpa ilmu asas (tauhid) syariat, hakikat, tarikat dan makrifat mengenai Islam yang menjadi agamanya sedangkan Islam adalah agama universal?



Soalnya, siapakah gerangan yang telah memperhambakan ‘beruk-beruk rantai pendek’  dari segi jiwanya, moralnya, budi pekertinya, tutur bahasanya, mentalnya dan warna-warna hidupnya? Britishkah atau pun segolongan feudal Melayu yang tutur katanya Melayu tetapi hati perutnya masih mahu menjadi penjajah bentuk baru yang mahu kekalkan anak bangsa sebagai hamba sesudah mereka berkuasa? Lu fikirlah Bro!


Berapa ramai yang tahu ‘ulama jahat’ dengan idea yang mereka import dari Barat untuk menyesatkan Melayu kerana mereka tahu Melayu tak suka membaca? Ramai yang suka ikut agama yang menjadi amalan tok nenek mereka yang asalnya Hindu? Mereka menuduh orang lain sesat semata-mata kerana mahu bergelar sebagai ulama ‘world class’ yang di import dari Arab. Ke mana perginya jati diri dan identiti sendiri? Ulama fekah fukaha tak ubah seperti ‘polis  trafik’ yang tugasnya menangkap kesilapan pemandu kereta dan motosikal di jalan raya, tahunya menghukum saja akhirnya orang Islam lari dari Islam kerana undang-undang tanpa ikhsan dan tidak ikut rasmi Rasul, dan para ‘ulama’  yang dahulu, yang lebih mengutamakan mendidik daripada menghukum.

Islam adalah agama yang berkomunikasi dengan ‘diri rohani’ dan akali insan. ‘Din’ islam mendidik dengan hikmah, memberi kita makna diri. Sebagai sebuah agama yang universal, ‘Din” kita ini ada pandangan alamnya yang tersendiri, ‘world view’ nya yang sendiri. Inilah yang diajar oleh Profesor Naquib Al-Attas untuk pulihkan dan jernihkan dahulu pandangan alam kita sebelum kita faham tempat letak sesuatu termasuklah fiqah dan syariah.

Alam ini bukan milik kita, ia adalah ayat Allah. Jangan kita kotori, jangan kita perjelekkan.Allah itu sifatnya ‘Jamal’,  jadi alam ditafsirkan pada kita dalam keadaan indah, buah-buahannya, ternakannya sihat, halal dan tayyibah.

Tapi disebabkan angkara manusia yang tidak bertanggungjawab, ibarat tetamu yang ‘kurang ajar’ dengan sesuka hati menterbalikkan segala peralatan milik si tuan. Dibiarnya jijik, dibiarnya kotor, dicuri pula apa yang bukan haknya. dipotong dan dimusnahkan segala ciptaan Allah semata-mata kerana mereka berkuasa dan dia tidak nampak Tuhan. Tuhan dia jadi Hantu. Dia tidak terfikir akan keadaan alam sesudah ia ditinggalkan bagi generasi yang akan datang.

Marilah kita mengingatkan mereka kerana agama Islam itu nasihat-menasihati bahawa Allah Al-Hasib, Yang Maha Menghitung, Yang Khabir, Yang Maha Adil. Setiap perlakuanmu ditulis rapi oleh Malaikat. Yang dia diibaratkan seorang ‘cashier’  yang memberikan khidmat dengan penuh senyuman, namun bila diperiksa bil nanti, takut-takut tak mampu kau tanggungi.

Jika sekali baca tidak faham, apa salahnya anda ulangi beberapa kali. Baca dengan nama Allah, Mulakan dengan Bismillah hir Rahman nir Rahim akhiri dengan Alhamdulillah.


7 comments:

T H E . M A L A Y . P R E S S said...

Almarhom Dato Onn...prinsip mengatasi segalanya. Biar pun dia sorang menjalankan terbitan Kritik (adakalanya dibantu oleh Ahmad Boestamam) sewaktu hujung hayatnya tetapi takde sapa berani lawan segala fakta yang dikemukakan.

lawan dengan fakta bukan dengan fitnah!

Mohd Zubir Amry said...

Alhamdulillahirabbilalamin..
mohon halal segala ilmu pak guru :)

T H E . M A L A Y . P R E S S said...

"Ashadu allah illah haillallah wa ashadur anna Muhammad dur Rasulullah."

Boleh Pak Habib ceritakan sedikit mengenai kalimah syahadah diatas bab 'Ashadu allah'

jika tidak keberatan minta tolong emailkan pada saya jawapannya di themalaypress@yahoo.com (tidak perlu siarkan pada ruangan ini).

Ini bab akidah yang perlu saya dapat penjelasan dari Pak Habib.

Terima kasih.

Zone 14 said...

Salam, terima kasih 'bro'. banyak ilmu yg tercurahkan. Harap menjadi sesuatu yg bermunafaat buat diri semua 'insan' yang melangkahkan kaki mencari Tuhannya..

Unknown said...

Alhamdulillah... Saya bersyukur kerana dapat membaca artikel ini. Terima kasih Pak Habib diatas penulisan yang penuh bermakna ini. Teringin sekali saya hendak berjumpa Pak Habib.

Unknown said...

Alhamdulillah... Syukur ke hadratNya kerana digerakkan hatiku untuk membaca penulisan Pak Habib ini.

Terima kasih atas ilmu dan maklumat yang dikongsi bersama. Ia sangat bermakna. Teringin sekali saya hendak belajar daripada Pak Habib.

Kotak Kata said...

Pulau pandan jauh ke tengah
Gunung daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang dikenang jua.

Pisang emas di bawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati.

"Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya, Sedang dia tidak menanggung budi sesiapapun, yang patut di balas, Hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya Yang Maha Tinggi; Dan demi sesungguhnya, dia tetap akan berpuas hati (pada hari akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkannya)."

Terjemahan ayat dari surah.. :)

Get your Tickets now!