Chat With Us LIVE!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, October 2, 2014

APA KATA DR. AZIZAN


"Orang yang mencapai kejayaan yang luar biasa asalnya adalah
orang biasa - biasa yang berfikir dan bertindak secara luar biasa."

Apa yang dikongsikan oleh Abah (panggilan saya untuk “Abah”, S.H.Alattas sebagai orang yang saya anggap bapa dan guru) di dalam buku ini merupakan sesuatu yang sangat saya yakini selama ini. 

Ramai orang hari ini “buta mata hati” dan meletakkan keyakinan mereka mencari rezeki dalam dunia ini adalah sangat sangat bergantung kepada sekeping Diploma, Ijazah, Master atau Ph.D serta meletakkan satu “harga” (seperti harga daging atau ayam di pasar) untuk berapakah sepatutnya gaji seseorang apabila ia menjadi graduan dari mana-mana universiti. 

Inilah dakyah dan “limited belief system” yang paling “teratur” dalam sejarah manusia. “Limited belief” ini menyebabkan ramai yang “tertipu” dan “salah tafsir” tentang “kebolehan” ataupun “bakat” sebenar anugerah Tuhan yang telah di”installkan” di dalam setiap insan. 

Dr. Azizan, Pak Habib dan Billi Lim
Jangan salah faham. Maksud saya ialah tradisi menuntut ilmu di sekolah atau universiti hari ini bukanlah bermatlamatkan peningkatan kecerdasan iman, akal, emosi dan rasionaliti tindakan tetapi ia adalah lebih kepada untuk mendapatkan satu “kelayakan” yang diproses melalui satu sistem teori dan akademik tanpa perlu mereka ini “mengalami” atau “menyelami” maksud teori tersebut secara mendalam. 


Berapakah nilai Diploma atau Ijazah anda? Adakah ia membina anda menjadi seorang yang berjiwa besar, berminda luar biasa, berani bertindak membina sesuatu yang luar biasa atau ia hanya sekadar koleksi simpanan “feel good” yang aku ada sekeping sijil daripada universiti yang paling diiktiraf di dunia oleh sekelompok manusia yang mengiktirafnya. Dan kau? Tak ada apa-apa “kertas” macam aku? Walaupun aku hanya kerja gaji rendah dan gaji tetap serta ada fasiliti pinjaman bunga rendah, tetapi aku tetap lebih hebat (hebatlah sangaat) daripada “kau” yang tak ada “kertas” tapi menguasai aset lebih berbillion di atas puncak Genting seperti mendiang Tan Sri Lim Goh Tong. 

Aku ada “kertas” yang cop mohornya besar dari universiti paling tua bangka di satu lubuk yang berlumpur, sedangkan “kau”? Hanyalah seorang drop-out, “terbuang” dan “dibuang” dari universiti dan setakat jadi billionnaire antara yang terkaya di dunia tapi, kau tak ada “kertas” macam aku kan? Setakat buat duit melalui syarikat bernama Microsoft, budak-budak yang ada “kertas” macam aku, ramai boleh buat (Memang boleh sangaaat!).... Aku ada “kertas” sekeping yang diiktiraf oleh sekumpulan manusia lain yang mempunyai lagi banyak “kertas” mereka. Kau ada?

Setakat mempunyai perniagaan bernama “Boon Siew”, berniaga motor untuk Mat Rempit! Apa klas? Aku ada “kertas” yang diberikan selepas konvokesyen besar-besaran dengan memakai jubah yang aku kena sewa dan bergambar di atas pentas bila diserahkan tabung “scroll” yang kosong kerana aku kena ambil “kertas” sebenar di jabatan pentadbiran kemudian. Kannn.......?

University of Life bagi saya, ia tidak mementingkan “kertas”. Kalau ada, bagus. Kalau tak ada? Ada aku kisah? Apa yang diutamakan di sini adalah pengalaman, iaitu pengalaman “Otak” dan “Hati”. Apa yang diutamakan adalah mengalami atau mempelajari sesuatu daripada pengalaman kehidupan orang sebenar yang melaluinya. 

Jika anda nak buat kuih karipap yang sedap, cara paling pantas adalah “berguru” dan belajar secara “talaqqi” (berdepan lutut ke lutut) dengan mereka yang memang dah “terror” buat kuih karipap yang sedap, tapi sekadar belajar, anda belum tentu akan buat karipap yang bagus. Makanya anda perlu buat sendiri, berulang-ulang kali sampai anda boleh buat karipap yang sesedap atau lebih sedap dari guru anda. Tapi, untuk melariskan karipap tersebut, walau bagaimana sedap pun dia, jika anda tidak pandai memasarkannya, jawabnya makan sendirilah! Bab “Marketing Power” tu adalah kekuatan pengalaman saya. 

Saya selalu berkongsi di dalam seminar-seminar saya, betapa “bangangnya” saya lebih 15 tahun dahulu kerana saya berniaga tanpa guru, tanpa ilmu dan tanpa pengalaman sebab ego. 

Semua orang tak pandai macam saya kerana saya kan ada “kertas” yang menunjukkan saya skor dalam subjek Pemasaran dan Keusahawanan dalam peperiksaan. Siapalah yang boleh “challenge” saya dalam “teori” berniaga. Makanya, melingkuplah saya dengan semua bisnes yang saya cuba lakukan.... Walaupun nama syarikat saya bukan “Lingkup- lingkup Sdn Bhd”. Tapi, itulah yang berlaku untuk beberapa tahun lamanya, sehinggalah saya berjumpa dengan seorang jutawan Cina yang tidak pandai menulis dan membaca, tidak pernah bersekolah serta hanya pandai berbahasa Cina dan lain-lain dialek bahasa yang pasti bukan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Nasib baik mak bapak saya pandai dan hantar saya ke sekolah Cina. Maka dapatlah saya belajar daripada beliau rahsia berniaga yang sebenar. Hidup saya mula berubah, bukan kerana koleksi “kertas-kertas” yang saya ada. Malah, kertas tersebut tidak ada nilainya jika kita sendiri yang tidak mempunyai “nilai” di dalam hidup ini. 

Hari ini, saya mempunyai pelbagai perniagaan di dalam pelbagai industri di Malaysia, Singapura, Indonesia, Australia, London dan Los Angeles. Dari syarikat agensi pengiklanan & perunding pemasaran, syarikat pembangunan hartanah, syarikat pelaburan, syarikat perkhidmatan korporat, syarikat kecantikan dan kesihatan serta banyak lagi. 

Dan setelah berhempas pulas membinanya selama lebih sedekad ini, pada satu masa, saya tergerak untuk berkongsi dengan orang; kerana ketika satu ketika dulu bila saya hilang panduan bagaimana untuk memulakan perniagaan saya gagal berulang-kali, saya tidak ada “Mentor” yang menunjukkan jalan. 

Semua jutawan Melayu ketika itu terlalu sibuk untuk berkongsi rahsia kejayaan mereka dan sehingga ke hari ini, tidak ramai orang yang berjaya yang ada masa nak “layan” orang luar sana yang “biasa-biasa” terhegeh-hegeh mencari arah. Sebab itulah saya mulakan seminar pendidikan serta pembangunan usahawan secara percuma. 

Konsep perkongsiaan saya adalah merujuk kepada konsep Al-Attas University of Life, di mana, saya berkongsi kepakaran dan pengalaman “hands-on” saya selama lebih 10 tahun ini membina perniagaan saya, apa yang saya kongsikan di dalam aspek strategi pemasaran dan bagaimana membina perniagaan ini telah berjaya membantu lebih 200,000 orang ramai yang hadir ke seminar-seminar saya selama hampir 5 tahun ini dan sehingga beribu daripada mereka yang telah bergelar jutawan. 

Ternyata kejayaan seseorang bukan bergantung kepada “kertas” yang dia ada kerana apa yang mereka ambil daripada saya adalah ilmu, pengalaman serta strategi pemasaran mengikut pengalaman saya bukan mengikut buku atau kelayakan “kertas” saya. Malah, “kertas” yang saya ada tidak ada kena mengena dengan keusahawanan dan pemasaran, bukankah ramai yang ada “kertas” lain tapi kerjanya lain? 

Apa yang penting sebenarnya adalah berapa cepat dia belajar serta kuasa tindakan yang dipelajari daripada kesilapan hidupnya dan daripada jatuh bangun orang lain serta terus bertindak mengikut sistem atau formula kejayaan orang lain. 

“Kertas” ada bagus, tapi kalau tak ada tidak mengapa. Saya percaya, apa yang Abah bawakan di dalam prinsip perkongsian ilmu dan pengalaman Al-Attas University of Life bagi saya adalah untuk membawakan setiap seorang yang telah terbukti berjaya di dalam bidang mereka, kepakaran mereka, industri mereka serta bagaimana mereka mengatasi cabaran hidup mereka untuk berkongsi dan saling menambah nilai, ia mengikut konsep “tarbiah” dan konsep mentor mentee. Cuma bezanya, anda tidak dinilai pada “kertas” anda tetapi pada pengalaman anda. 

Saya bersekolah agama di bandar Pontian dan arwah ayah saya selalu baca buku mengenai tauhid dan tasauf serta bawa saya setiap hari ke surau dan masjid untuk solat dan kuliah ilmu. 

Arwah atuk saya pengamal Tarikat Naqsyabandiah. Arwah ayah saya pula berguru dalam aspek tasawuf serta pengamal wirid Tariqat Ahmadiah. Tapi saya sendiri tidak dibenarkan untuk belajar dari dia serta tidak berpeluang berguru dengan guru beliau Sheikh Faiz (Negeri Sembilan). Saya sendiri mencari dan berguru dengan beberapa guru serta mursyid untuk memperbaiki hati dan peningkatan tahapan nafsu melalui solat, amalan zikrullah secara khusus, solat daim (zikir yang berterusan 24 jam secara senyap) dan pendidikan hati melalui alami atau kehidupan. 

Pada masa yang sama, saya dibesarkan dengan sistem pendidikan sekolah Cina yang mementingkan pembangunan jiwa dan prinsip falsafah yang amat rapat sekali dengan tasauf. 

Impian saya ialah, di dalam era ketaksuban manusia kepada dunia serta kelayakan di atas “kertas” dan semakin jauhnya kita daripada Allah swt dan Rasulullah saw, saya ingin “menyampaikan” mesej-mesej mengenal diri serta mendidik diri dan orang lain agar kita wajib berhubung rapat dengan Allah swt serta hidupkan sunnah Rasul saw di dalam kehidupan kita sedikit demi sedikit jika belum mampu lakukan semua. Saya mahu mengajak seberapa ramai orang yang “gilakan dunia” ini untuk belajar bagaimana mendapatkan dunia dengan mudah bila akhirat & Allah swt matlamat kita. 

Saya tak mampu buat banyak, tapi mudah-mudahan ianya istiqomah. Saya percaya bahawa hidup adalah satu proses didikan hati yang Dia berikan tapi hanya akan dilihat oleh mereka yang menggunakan mata hati yang sebenar bukan dengan nafsu terendah atau akal yang menipu,  insyaAllah. Saya tidak belajar di Al-Azhar, begitu juga Rasulullah saw, pun tidak. Beliau menyampaikan apa yang beliau tahu dan yakini serta amalkan. Saya share apa yang saya amalkan. Itu prinsip dalam “University of Life”.

Belajar bukan dari mereka yang “tahu” atau “tahu atas kertas” sahaja, tapi dari mereka yang hidup serta menghidupkan bukti ilmu dan amal tersebut. Dunia tidak menipu, kita yang tertipu bila kita tidak punyai ilmu, iman dan amal. 

Ramai dari kita semakin tidak yakin dengan kuasaNya. Hidup tanpa “Faith” atau “Yakin” kepadaNya. Tahapan keyakinan manusia adalah berbeza, Ilmul Yakin, Ainul Yakin, Haqqul Yakin dan Kamalul Yakin. 



Yang paling best adalah Kamalul Yakin. Tapi untuk mencapainya, anda perlukan M.E.S.T.I 

M- Mentor/Mursyid yang telah melaluinya berulang-ulang kali samada di atas dirinya atau membawa orang lain.

E- Elmu, memahami ilmu serta mengenal Emosi/ Nafsu diri.

S- Sistem atau formula untuk meningkatkan perjalanan kerohanian kita ke peringkat seterusnya sebab ramai orang makan untuk fizikal tapi tak ramai yang “suap” makanan roh dan akal kepada diri sendiri.

T- Tawajjuh, tunduk melihat ke dalam diri dan menyelami hati supaya kita dapat memperbaiki jiwa serta memberikan tindakan luar biasa untuk menyucikannya walalupun ia adalah proses yang tidak habis sehingga mati dan akhir sekali adalah 

I- Ingat, Ingat perjanjian kita di alam roh apabila ditanya, siapakah Tuhan kita, dan semua roh kita menjawab, Qolubala Shahidna. Maksudnya, sesungguhnya Kaulah Tuhan kami. Tetapi bila kita dilahirkan dengan jasad, nafsu dan akal, maka kita pun alpa serta lupa. Kita juga perlu ingat asal-usul diri dari mana kita datang, apa matlamat kita di sini dan ke mana halatuju kita. 

Tun Abdullah Ahmad Badawi mengucapkan tahniah kepada Syed Hussein Alattas
pengasas Universiti of Life di Wadi Hussein, Janda Baik, Bentong, Pahang.


Inilah yang saya percaya matlamat University of Life ini iaitu membawa manusia mengenal diri dan mengenal Tuhan agar kita hidup berlandaskan hukumNya serta membawa kita hidup luar biasa sehingga bertemu denganNya kembali. Mudah-mudahan sharing ini memberikan kita barokahNya. 

Masanya telah tiba untuk kita bina anak bangsa yang bukan sahaja mempunyai “kertas” tapi mempunyai “hotak” dan kecerdikan “mata hati”. Jika nilai dan matlamat hidup seseorang itu mengikut kehendak TuhanNya, maka apa yang dilihat, dipegang, dorongan tindakannya akan mendapat pimpinan Ilahi. 

Kembalilah kepadaNya dan berpeganglah kepada tali-taliNya. Insya-Allah kita akan hidup dengan erti kata hidup yang sebenar. Jika tidak, kita hanya akan menilai sesuatu dari pandangan nafsu yang melulu.

  


Buku ini adalah “hadiah” paling berharga yang diberikan oleh Abah (Pak Habib) kepada kita semua. Baca sehingga habis, cabar minda anda untuk berfikir serta cari jalan untuk belajar dari Abah. Bagi saya, Abah adalah antara manusia yang berfikiran luar biasa yang masih tinggal selepas karya Prof. HAMKA. 

Jika mahukan dunia, mestilah dengan ilmu. Jika mahukan akhirat, juga mestilah dengan ilmu dan jika mahu kedua-duanya juga, mestilah dengan ilmu. 
Wallahu A’lam 
Azizan Osman
Hamba Allah

Dipetik daripada buku
The University of Life, 2014



No comments:

Get your Tickets now!