Chat With Us LIVE!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, December 20, 2009

SHALATTAS - 19 - Revolusi Istana Dan Rakyat - 1989

SHALATTAS - 19 - Revolusi Istana Dan Rakyat - 1989























Gambar di atas dihadiahkan oleh Baginda Sultan Iskandar Almutawakkil kepada saya di Istana baginda di Johor Bahru pada tahun 1969 semasa saya bercerita tentang keinginan saya untuk menulis mengenai baginda















Sultan Ahmad Shah : Syed, apa you kacau raja dan kerabat mereka?
Alattas : Saya bukan kacau Tuanku, saya cuma jalankan tugas saya.
Sultan Ahmad Shah : Kalau macam tu tak pa. Saya izinkan you. You tulislah apa yang you fikir patut.
Alattas : Terima kasih Tuanku, saya sudah pun lakukannya













Dr. Mahathir : "Kemana pula Pak Habib kita ni nak pergi. Siapa pula yang jadi sasarannya. Saya tahu saya tak akan haramkan buku dia. Kalau saya haramkan dia pula yang nak ambil tempat saya jadi Perdana Menteri. Pak Habib ini lain dengan Pak Ya. Yahya Ismail tengok dia jalan ikut belakang sembunyi dari saya."

S.H.Alattas : Biar Mahathir Menteri Dalam Negeri, saya tetap berani berkata benar di hadapannya."












Inilah akibatnya bergaduh sesama sendiri. Ada bangunan pun hampir nak kena lelong. Bila lagi orang Melayu nak serik? Mula-mula bangunan kena lelong, tak lama lagi entah apa-apa pula...
















Sultan Kelantan hari ini terlibat dengan politik golongan serpihan dan PAS yang menentang kerajaan. Berbeza dengan Al-Mutawakil Sultan Johor dan Sultan Ahmad Shah Sultan Pahang yang memberi sokongan penuh pada UMNO, Dr. Mahathir dan Kerajaan.

Buku ini mendedahkan revolusi yang sedang berlaku di kalangan istana dan yang ada perkaitannya dengan peranan serta kedudukan Duli-duli baginda Raja-raja Melayu dan kalangan-kalangan istana yang telah menampakkan terdapatnya perselisihan pendapat antara raja sama raja.

Buku ini lebih hebat dan lebih berani daripada “Challenger” Siapa Lawan Siapa?, Talqin Untuk UMNO dan Politik Serpihan.


KANDUNGAN

MUKADDIMAH
1. ISTANA VS PERDANA MENTERI.
2. AYAHANDA GHAFAR BABA.
3. BILA SULTAN SAMA SULTAN BERGADUH.
4. TIADA SEBAB BAGI MENTERI
BESAR LETAK JAWATAN.
5. MENANGANI PERGOLAKAN
POLITIK DI KELANTAN.
6. PENGISYTIHARAAN 11 MEI
7. SULTAN YANG MENDERHAKA.
8. AGONG BARU KERETA BARU.
9. SENDIWARA RAJA DENGAN MUFTI.
10.DEMOKASI DEMOMATI.
11.THE GRAND DESIGN.
12.SHAHIDAN'S DESIGN.
13.MENTERI BESAR SIAPA PUNYA.
14.ABDULLAH MUNSYI VS RAJA-RAJA.
15.ANTARA BALAI RONG DENGAN BALAI RAKYAT.
16.RAJA DAN LAMBANG.
17.RAJA NEGARA KITA.
18.PENGIRAN AMIR HAMZAH.
19.SEMANGAT 46.
20.ANTARA ULAMAK DAN RAJA.
21.ANTARA SULTAN ISKANDAR
ALMUTAWAKIL DANGAN SRI SULTAN
HAMENGKUBUWONO YANG KE IX
22.RAJA SEGALA RAJA.
23.PENUTUP.

Robohnya Sebuah Kerajaan

Sesudah selesai Perang Badar, peperangan yang besar dan dahsyat menentang musuh-musuh Islam sehingga mengorbankan ramai para syuhada, salah seorang sahabat telah bertanya kepada Rasulullah, "Apakah ada lagi perang yang besar selepas peperangan Badar ini, Ya Rasulullah" Maka Baginda Rasulullah pun menjawab: "Ada, iaitu peperangan melawan hawa nafsu".

Sehingga awal bulan Mac 1946 di Sumatra Timur terdapat lapan kerajaan negeri yang diperintah oleh sultan-sultan.

Pihak kolonial Belanda padawaktu itu memberikan kekuasaan kepada sultan-sultan tersebut mentadbir negeri masing-masing terutama di bidang agama dan mahkamah negeri.
Belanda memang sengaja berusaha untuk melebarkan jurang di antara raja dan rakyat demi kepentingannya untuk lebih lama menjajah Indonesia.

Kepada rakyat jelata dibebankan dengan cukai pendapatan, walaupun mereka tahu kebanyakan rakyat itu tidak mempunyai pendapatan tetap. Dan di pihak raja, penjajah membiarkan raja dan kerabat mereka bersultan di mata dan beraja di hati.

Kerajaan negeri menyumbatkan mereka yang tidak mampu membayar cukai ke dalam lokap dan dipaksa bekerja membersihkan jalan, longkang dan sebagainya. Kezaliman dan kekejaman yang berleluasa terhadap rakyat ini telah tidak mendapat pembelaan. Tak ada siapa pun yang berani menolong rakyat yang tertindas. Mereka inilah yang tergolong dalam ertikata rakyat-rakyat yang muktahzafin.

Seperti yang kita semua maklum senjata penjajah yang terkenal adalah ‘Divide Et Impera’ atau dalam bahasa Inggerisnya ‘divide and rule. Ia merapakan satu rencana politik yang bertujuan memecah belahkan raja dengan rakyat, memecah belahkan rakyat dengan rakyat dan Islam dengan Islam. Inilah kerja-kerja syaitan yang menjadi amalan penjajah dan kuasa-kuasa besar tanpa disedari oleh umat manusia terutama umat Islam akibat mereka tidak mahu membaca dan memahami Al- Quran yang Tuhan turunkan untuk keselamatan dan kebahagian manusia di dunia dan akhirat. Al-Quran bukan untuk umat Islam saja.

Inilah amalan syaitan yang diamalkan oleh penjajah. Rakyat tidak boleh bermesra dengan raja dan begitu juga raja tidak boleh kasi muka kepada rakyat. Di antara mereka ditanamkan semangat kebencian dan perasaan curiga mencurigai. Pada hal mereka itu bersaudara, menyembah Tuhan yang sama, Allah dan bernabikan Muhammad.

Itulah sebabnya maka malaikat tidak mahu Tuhan ciptakan makhluk yang bernama manusia. Malaikat tahu bahawa manusia akan hanya bergaduh dan berbunuh sesama mereka. Tapi Allah Maha Mengetahui, Allah tetap menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini.

Disebabkan raja-raja mempunyai kekuasaan berlebih-lebihan maka ada di antara raja-raja yang tidak beriman serta tidak dapat mengawal hawa nafsu terlupa bahawa rakyat itu adalah makhluk Allah yang sama seperti mereka juga dan bukannya ‘Alien’.

Raja dan kerabat mereka merasakan diri mereka begitu mulia. Merekalah tuan. Mereka berada di tempat yang tinggi dan mesti disembah-sembah dan diberi penuh penghormatan. Manusia-manusia yang lain dari mereka adalah hamba dan mesti sujud dan ikut saja segala kemahuan mereka. Perbuatan mereka siapa pun tak boleh tegur dan larang. Membantah bererti menderhaka.

Jika ada persamaan ‘nama’ di antara pekerja istana dengan anak cucu raja, maka ‘nama’ itu mesti ditukar. Sebagai contoh katakanlah nama salah seorang anak pekerja itu Kamal dan cucu raja tersebut juga bernama Tengku Kamal, pekerja istana itu mesti menukarkan namanya kepada Kanel. Kedua-dua orang yang saya ambil sebagai contoh ini masih hidup. Bukankah perkara itu suatu keanehan. Tapi kekejaman serupa ini memang pernah berlaku dan mungkin juga masih berlaku di negara¬negara yang masih lagi mengamalkan sistem beraja. Ini memandangkan bahawa mereka selain dari kerabat adalah disifatkan sebagai ‘Alien’.

Dan bermacam-macam lagi bentuk kekejaman dan kezaliman yang berlaku di dalam tembok-tembok istana. Insiden-insiden yang tidak berperikemanusiaan dan bersifat ‘barbaric’ berlaku di kalangan kerabat diraja yang saya tak sanggup nak ceritakan. Namun begitu ramai rakyat yang tahu. Perbuatan-perbuatan sumbang terhadap para dayang adalah lumrah. Begitu juga dengan kejadian memukul para pekerja istana walaupun pekerja yang dipukul itu adalah seorang dewasa dan yang memukul itu masih lagi kanak-kanak. Mereka tak dapat berbuat apa-apa, tak tahu nak mengadu pada siapa. Para kerabat melihatnya sambil bergelak ketawa. Sepatutnya anak-anak itu dididik dan diajar supaya berbudi pekerti mulia seperti yang dituntut oleh agama.

Keadaan di dalam istana ketika itu mencerminkan tahap akhlak yang paling rendah. Pekerja-pekera di istana ada kalanya disifatkan lebih bangsat dari anjing-anjing yang merempat tanpa tuan. Pengaruh feodalisme British hidup dengan begitu subur di dalam istana-istana. Kerabat diraja dan orang-orang besar sahajalah yang dianggap sebagai manusia, sementara rakyat biasa dilihat sebagai suatu mahkluk yang sub-manusia. Dengan pandangan yang semacam ini mereka (kerabat diraja) bebas melakukan apa sahaja terhadap rakyat terutama mereka yang berada di dalam cengkaman raja.

Begitulah keadaan yang berlaku. Mereka yang terlibat terpaksa menanggung saja penderitaan dan penghinaan terhadap diri mereka yang dilakukan oleh kerabat diraja yang tidak mempunyai hati perut. Allah mendengar dan melihat apa yang mereka lakukan. Mereka tidak akan terlepas dari pembalasan dan siksaan Tuhan. Kalau tidak di dunia, di akhirat pasti juga mereka akan menerimanya. Di neraka jahanam itulah nanti tempat mereka yang zalim dan kejam.

Mereka yang tertindas ini, mereka yang menjadi kaum muktahzafin ini, mengangkat tangan berdoa ke hadrat Allah dan Allah makbulkan doa orang-orang yang dizalimi, serta doa orang-orang yang tertindas dan terseksa oleh anak-anak dan kaum kerabat diraja yang begitu angkuh, sombong, bongkak, tamak dan haloba.

Mereka tidak pernah terfikir tentang kebesaran dan kekuasaan Tuhan. Mereka fikir mereka yang berkuasa. Mereka fikir kuasa itu akan kekal dan tidak akan berpindah tangan. Mereka lupa dunia ini pinjam-pinjaman. Tuhan tidak pernah lupa walau sebesar zarah kebaikan yang dibuat atau kejahatan yang dilakukan. Semuanya dihitung dan dihisab untuk diberikan pembalasan.

Berbalik kepada cerita Sumatra setelah tiga setengah tahun tentera Jepun mengambil alih kekuasaan dari pihak Belanda, iaitu pada 17 Ogos 1945, atas nama seluruh rakyat Indonesia Soekarno - Hatta mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia. Namun Belanda masih juga bercita-cita untuk menjajah kembali negara Indonesia. Tapi bagi rakyat Indonesia yang telah mengalami pahit maungnya terjajah selama berabad-abad bengkit serentak berjuang menentang Belanda. Di sinilah bermulanya revolusi menentang Belanda dengan semangat dan senjata bambu runcing.

Mulai dari saat itu, suasana di Sumatra Timur khasnyn di mana banyak terdapat raja-raja Melayu, rakyat yang sedar telah menyaksikan kemunculan satu era baru. Inilah peluang bagi mereka hendak melepaskan diri dari cengkaman dan kezaliman raja-raja. Inilah masanya mereka dapat terkeluar dari neraka yang dibuat khas untuk mereka oleh raja-raja mereka. Rakyat yang telah dipengaruhi oleh PKI telah menunjukkan suatu perubahan yang nyata. Mereka mula berani, mereka mula bersemangat.

Sultan-sultan, masih dalam keadaan leka dan tidak mahu mengikut perkembangan yang berlaku di dalam negara. Ramai di antara mereka yang mengambil sikap acuh tak acuh saja. Mereka fikir selama-lamanya rakyat akan tunduk, patuh din sembah mereka.

Mereka tak dapat menerima kenyataan bahawa segala bentuk penjajahan dan penindasan sudah tidak mempunyai tempat lagi di hati rakyat Indonesia dan keadaan ini, digunakan sepenuhnya oleh pihak PKI (Parti Komunis Indonesia) untuk menghasut rakyat supaya membenci raja-raja mereka. Ideologi komunis boleh tumbuh dengan subur bila manusia tidak mahu lagi menggunakan ajaran Tuhan melalui kitabNya.

Rakyatyang sudah menjadi ibarat minyak, hanya memerlukan percikan api yang kecil saja bagi menyemarakkan api revolusi. Kebangkitan ini begitu ketara terutama di kalangan mereka yang telah menjadi mangsa dan budak-budak raja. Budak-budak yang sudah tak tahan lagi diseksa dan dianiaya, menggunakan kesempatan ini untuk membalas dendam yang telah lama membara. Bila lagi, inilah masanya hendak mengajar raja yang zalim dan kejam.

Kejadian ini mengingatkan kita kepada apa yang pernah diucapkan oleh Jenderal (B) Abdul Harris Nasution pada tahun 1966 iaitu di saat berlakunya pengganyangan terhadap Parti Komunis Indonesia. Beliau berkata:

"Revolusi Sosial yang pernah berlaku di Sumatra Timur adalah merupakan ‘TEST CASE’ PKI untuk merebut kekuasaan di Indonesia.

Ada juga yang berpendapat bahawa terjadinya revolusi sosial itu mungkin sebahagian daripada muslihat Belanda agar dapat berkuasa semula di bumi Indonesia. Apa pun pendapat manusia, namun itu adalah sebenarnya hukum karma yang merupakan pembalasan dari Allah kepada mereka yang lupa tentang kekuasaan Tuhan, mereka yang telah cuba menjadikan diri mereka Tuhan dan mereka menggunakan pakaian dan kebesaran Tuhan iaitu keangkuhan dan kesombongan. Padahal mereka dijadikan dari tanah. Padahal mereka lemah tak berdaya, tak berupaya melainkan dengan limpah rahmat dari Allah s.w.t.

Walau apa juapun penafsiran orang, namun apa yang disebut sebagai ‘revolusi’ itu adakalanya lebih dahsyat dan lebih kejam daripada peperangan. Cuba kita teliti dan kaji apakah yang terjadi pada ‘revolusi Perancis dan revolusi Iran. Walaupun Shah Iran yang bergelar King of Kings dan dikawal ketat oleh askar-askarnya yang kuat, akhirnya tumbang juga dihalau dari Istana Merak dan tersingkir dari tanahairnya sendiri oleh kuasa rakyat dan akhirnya raja mati di dalam buangan. Saya pergi menziarahi makam Shah di Mesir untuk memberikan keinsafan dan pengajaran kepada saya.

Kalaulah Shah Reza Pahlavi semasa berada di atas takhta dulu sentiasa memikirkan kesejahteraan rakyat, memikirkan yang dia juga seorang manusia biasa, tentu tidak mungkin berlaku ‘revolusi’ terhadap sistem beraja yang telah berusia lebih dari 2500 tahun di Iran. Shah Reza Pahlavi, Raja Iran tidak dapat memahami bahawa rakyat boleh hidup tanpa seorang raja, tetapi raja tidak boleh hidup tanpa rakyat. Rakyat tidak memerlukan raja, tapi sebaliknya rajalah yang memerlukan rakyat. Sebab itu raja mesti berfikir, jangan boros dan membelanjakan wang dari keringat rakyat dengan sesuka hati tanpa memikirkan akibatnya nanti.

Dengan izin Allah jua maka ‘revolusi rakyat’ yang dipimpin oleh Ayatollah Khomeini, seorang tua yang tidak pernah mementingkan dirinya telah dipilih oleh Allah untuk memimpin manusia yang tertindas oleh raja. Beliau berjuang demi untuk mempertahankan maruah bangsa agama dan tanahairnya dan sekaligus memberikan kita semangat bahawa sesungguhnya Allah itu yang Maha Besar. Orang tua yang kelihatan uzur itu dapat menggugat keangkuhan dua gergasi dunia. Kuasa-kuasa besar gagal untuk menundukkannya kerana beliau mendapat pertolongan dengan bantuan dari Allah.

Orang tua yang bernama Ayatollah Khomeini itu kini baru saja kembali kerahmatullah. Ayatollah meninggal semasa saya sedang menyiapkan buku ini. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya dan menempatkan beliau bersama aulia Allah SWT. Al-fatihah untuknya.
Revolusi rakyat

laksana air bah yang membawa arus deras yang menghanyutkan apa sahaja di dalam laluannya. Dengan terjadinya revolusi tersebut dan revolusi sosial yang akan diceritakan ini, kita berharap semoga dapat memberikan kesedaran serta keinsafan bagi manusia yang masih lalai dan leka. Bagi mereka yang terfikir mahu bertaubat, ingatlah Tuhan penerima taubat dan mintalah pengampunan dan bertaubatlah sebelum terlambat. Allah amat pemurah lagi amat mengasihani.
Sebelum kita meneruskan cerita revolusi sosial, ada baiknya kita perhatikan riwayat serba ringkas sultan-sultan yang terlibat dalam revolusi di Kualuh, Sumatra.

Kerajaan negeri Kualuh, ibu negerinya Tanjung Pasir, lebih kurang 200 KM ke selatan Medan. Negeri Kualuh yang berada dalam lingkungan Labuhan Batu diperintah oleh Sultan Al Haj Muhammad Syah, sultan ketiga negeri Kualuh dan sultan yang tertua di antara sultan-sultan lainnya dan juga mempunyai pertalian sejarah yang tersendiri dengan Semenanjung Tanah Melayu. Tanjung Pasir hanya lapan jam dengan menaiki bot kecil dari Pelabuhan Kelang dan hanya setengah jam bila mana sebuah pesawat kecil seperti Focker Friendship F27 digunakan untuk perjalanan di antara kedua-dua tempat yang dinyatakan itu.

Sultan Al-Haj Muhammad Syah adalah ayahanda mertua kepada sultan Mahmud dari kerajaan Langkat dan baginda mempunyai lima orang putra dan putri: yang paling sulung Tengku Roudah yang bergelar Tengku Mahsuri Langkat, yang kedua Tengku Mansyur Syah bergelar Tengku Besar Kualuh berkahwin dengan Tengku Zainab adinda dari Sultan Mahmud Langkat, yang ketiga Tengku Kamilah berkahwin dengan Tengku Syahmenan, anakandanya Tengku Sulung Yahya.

Untuk pengetahuan pembaca, Tengku Sulung Yahya pernah menjadi salah seorang pengadil Pesta Bola Merdeka yang berlangsung di Kuala Lumpur dalam tahun 1970. Putri yang keempat sultan Kualuh ialah Tengku Salmah yang berkahwin dengan Tengku Ibrahim bergelar Tengku Maharaja Binjai Langkat. Dan yang paling bongsu ialah Tengku Darman Syah yang berkahwin dengan Tengku Azhari, adinda dari sultan Deli, Osman Sani Perkasa Alam.

Dalam tahun 1936 kerajaan Kualuh mengadakan ‘Pesta Emas’ atau Jubli Emas secara besar-besaran selama dua minggu bagi menyambut genap 50 tahun sultan Al Haj Muhammad Syah menjadi raja negeri Kualuh. Ramai daripada pembesar¬ pembesar Belanda serta sultan-sultan dari negeri-negeri lain diundang menghadiri Jubli Emas tersebut.

Tidak ketinggalan dalam memeriahkan pesta Jubli Emas Kualuh itu, baginda memanggil sebuah kumpulan joget yang didatangkan khas dari Singapura. Maka berjogetlah segala tetamu di dalam malam yang penuh keseronokkan itu. Dan berlakulah segala macam kemaksiatan dan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah. Pesta untuk berseronok itu adalah satu pembaziran dari wang rakyat yang tertindas. Siapa pun tak berani menegur dan menghalang. Kita tak tahu apa yang dibuat oleh para ulamak ketika itu.

Tidak siapa pun yang dapat meramalkan pada malam Raja berpesta mengadakan Jubli Emas untuk merayakan isteri muda yang baru dibawa dari Johor bahawa 10 tahun kemudian kuasa rakyat akan menumbangkan kekuasaan raja-raja. Inilah contoh satu kuasa yang telah mendapat pertolongan dari Allah. Manusia saja yang akan membinasakan manusia yang lalai dan yang dikuasai oleh iblis. Itulah caranya Allah menghukum manusia¬manusia durjana dan manusia-manusia yang lupa diri.

Sebaliknya jika sambutan Jubli Emas Kualuh itu dilakukan dengan mengadakan majlis tahlil ataupun majlis bacaan Quran dan maulidir rasul secara besar-besaran yang dihadiri oleh rakyat semua peringkat, maka sudah tentu Allah akan memberkati negeri Kualuh dan kerabat-kerabat dirajanya.

Biar bagaimanapun majlis sambutan ala-barat yang telah menghabiskan sebahagian besar dari wang titik-peluh rakyat Kualuh itu berlaku serentak dengan kedatangan seorang isteri baginda sultan dari negeri Johor. Demi untuk menjaga nama baiknya, saya menggelarnya sebagai putri dari Johor saja dan merahsiakan namanya yang sebenar.

Sultan Al Haj Muhammad Syah mengenali puteri dari Johor tersebut melalui salah seorang sahabatnya yang bernama Ibrahim Al Hinduan atau lebih terkenal dengan sebutan Syed Ibrahim Gajah. Gelaran itu diberikan kerana kepakarannya menembak dihutan-hutan Johor.
Kedatangan putri dari Johor itu ke negeri Kualuh membawa dua orang putra dan putri serta disediakan buat mereka sebuah istana kecil yang diberi nama "KAMAR SEMBILAN". Istana ini dibina khas oleh baginda sultan untuk mereka serta disediakan pula para inang pengasuh. Begitulah borosnya sultan berbelanja untuk keluarganya sedangkan rakyat di ketika itu hidup dalam keadaan menderita dan sengsara.

Untuk mengetahui lebih jauh latar belakang putri dari Johor tersebut, semasa berada di Medan, saya berusaha mencari zuriat dari sultan Kualuh. Alhamdulillah. Saya berhasil bertemu dengan Tengku Radiyah Ibni Almarhum Tengku Mansyur Syah, Tengku Besar Kualuh. Tengku Radiah adalah cucunda sultan Al Haj Muhammad Syah dan menyambut baik kedatangan saya dan bersedia menceritakan peristiwa revolusi sosial yang pernah terjadi di negeri Kualuh.

Menurut Tengku Radiyah, beliau beserta adik beradiknya sungguh merasa terhutang budi kepada putri dari Johor. Ini kerana menurutnya jika tidak kerana kebijaksanaan putri dari Johor itu, tentu tidak wujud sebuah sekolah di halaman istana ‘Kamar Sembilan’, dan kemungkinan anak raja di Kualuh menjadi buta huruf.

Sekolah tersebut diberi nama H.I.S. (Hollands Inlandshe School). H.I.S ialah sebuah sekolah rendah dengan bahasa penghantar Belanda. Gurunya juga seorang Belanda yang didatangkan khas dari Bandung. Di sekolah inilah anak-anaknya belajar menguasai bahasa Belanda.
Tengku Radiyah menceritakan betapa malangnya nasib anak-anak raja ketika itu kerana mereka tidak dibenarkan bercampur bersama dengan anak-anak orang kebanyakkan dalam satu sekolah. Raja merasakan diri mereka begitu mulia. Dalam hal menuntut ilmu pun tak boleh anak raja turun mencampuri rakyat. Rakyat dianggap seperti ‘alien’.

Di Tanjung Pasir ada terdapat sekolah. Akhirnya anak-anak raja hidup dalam keadaan buta huruf, tak kenal dunia, tak kenal masyarakat dan tak dapat lihat selain dari pakaian istana. Maka jadilah mereka itu seperti katak di bawah tempurung.

Inilah yang mendorong putri dari Johor itu bekerja keras sehingga terdirinya sebuah sekolah yang dikhaskan buat anak¬anak raja dengan putri dari Johor menjadi ketuanya. Tengku Radiyah adik-beradik diwajibkan tinggal di istana Kamar Sembilan agar putri dari Johor itu mudah mengawasi dan membentuk disiplin yang ketat.

Pada tahun 1961, Tengku Radiyah pernah berkunjung ke Negeri Johor untuk menemui putri dari Johor yang pernah tinggal di negeri Kualuh dan telah menyelamatkan anak-anak raja dinegerinya dari terus menjadi manusia yang buta huruf.

Semasa berada di Johor Tengku Radiyah mengambil peluang mengunjungi semua istana yang terdapat di dalam negeri Johor. Beliau telah membuat suatu kesimpulan bahawa jika dibandingkan kemewahan yang dinikmati oleh raja-raja di Malaysia dengan yang pernah dinikmati oleh keluarga mereka tidaklah ada ertinya. Biar bagaimanapun mereka telah menjadi mangsa fitnah oleh golongan yang tidak senang pada keluarga diraja. Mereka dituduh hidup dalam kemewahan serta berlebihan. Tuduhan itulah yang dijadikan modal oleh para pemimpin komunis untuk menghasut rakyat yang tidak mengerti kedudukan yang sebenarnya. Akhirnya rakyat pun bertindak menghapuskan raja-raja mereka. Maka hiduplah orang Melayu di Sumatra Timur tanpa raja.

"Nah... sekarang kami telahpun tersingkir dari dalam istana. Semua harta benda kami habis disamun oleh orang-orang yang menggelar diri mereka pemimpin rakyat. Namun kami masih dapat hidup... walaupun dengan sederhana... Namun kami bersyukur tapi mereka yang telah menyamun, mencuri serta merompak harta kami telah menerima hukum karma ke atas mereka. Keseronokkan dan kepuasan yang mereka dapati dari hasil yang tidak betul, tidak berkat dan tidak kekal lama.

Beginilah keluhan Tengku Radiyah.
Pada 3hb Mac 1946 tidak kurang dari 500 orang barisan-barisan rakyat telah mengepung istana Kualuh. Satu das tembakan telah mereka lepaskan untuk memecahkan keheningan malam. Mendengar bunyi yang kuat, Tengku Kamilah putri Sultan Kualuh bangkit dengan serta-merta. Pada hematnya bunyi itu tentulah bunyi pintu yang terhempas oleh tiupan angin sebab tidak berkunci. Akan tetapi alangkah terperanjatnya beliau setelah melihat begitu ramai orang sudah berada di halaman istana. Mereka melaungkan kata-kata yang sehingga mati pun mereka tidak akan lupa, kata-kata yang mendebar dan sungguh menakutkan.

"Jatuhkan raja!... Rakyat yang berkuasa...."

Beramai-ramai mereka menyanyikan lagu yang membakar semangat rakyat.

"Darah Rakyat masih berjalan.
Menderita sakit dan miskin.
Padanya datang pembalasan.
Rakyat yang menjadi hakim."

Lagu komunis ini telah diharamkan oleh kerajaan Indonesia. Tetapi apabila berlaku satu pengkhianatan oleh pihak Parti Komunis Indonesia, lagu yang sama dinyanyikan oleh orang-orang komunis. Contohnya semasa pembunuhan Jenderal-jenderal di Lubang Buaya pada 30 haribulan September 1965 di Jakarta. Beramai-ramai mereka nyanyikan lagu ini dengan penuh semangat.

"Darah Rakyat masih berjalan.
Menderita sakit dan miskin.
Padanya datang pembalasan.
Rakyat yang menjadi hakim."

Setelah berjaya menawan semua para pengawal dan kakitangan istana, komunis pun terus menyerbu ke dalam. Mereka bertanyakan di manakah sultan dengan nada mengherdik dan marah-marah. "Mana sultan! Mana sultan?"

Di sebabkan rasa takut yang teramat sangat, Tengku Kamilah dan kerabat menjadi gugup, tak tahu apa yang mesti dilakukan. Sukar bagi mereka mempercayai bahawa ketika itu mereka sedang menghadapi suatu kenyataan yang di luar dugaan. Beliau tidak dapat berkata walau sepatah pun melainkan menggigil ketakutan. Ini menyebabkan mereka yang mencari sultan menjadi bertambah marah.

Kejadian yang dialami oleh kerabat diraja ini ibarat sebuah mimpi yang ngeri dan dahsyat. Tapi ia bukanlah suatu mimpi melainkan satu tragedi yang sebenarnya sedang berlaku akibat dari kemarahan rakyat terhadap istana yang sudah tidak dapat dikawal lagi. Mereka yang sudah di dalam cengkaman pemberontak yang sedang menyerang istana benar-benar takut melihat muncung senapang dihala ke arah mereka.

Dengan wajah yang ibarat harimau-harimau lapar, kuncu¬kuncu komunis itu telah menggeledah setiap ruang istana untuk mencari sultan. Akhirnya mereka menjumpai juga sultan yang sedang beradu dengan nyenyak dalam kamar peraduan baginda.

Kuncu-kuncu komunis membentak pengawal peribadi sultan yang bernama Tengku Yacub. Mendengar suara yang bising baginda sultan terbangun dari peraduannya sambil terus mengambil sebilah keris dari bawah bantal. Sebelum sempat dikeluarkan dari sarungnya dengan serta merta cucunda baginda Tengku Ulung Yahya memeluk baginda sekuat-kuatnya: "Jangan Atuk jangan, nanti kita semuanya akan mati, lebih baik kita jangan melawan Atuk". Begitulah cucunya merayu kepada sultan. Sultan pun menyimpan semula kerisnya.

Seandainya Sultan Al Haj Muhammad Syah sempat menggunakan kerisnya, besar kemungkinan pihak penyerang itu akan tertewas. Mengikut kepercayaan kerabat diraja, keris itu mempunyai kesaktian. Baginda telah memperolehi keris tersebut dari dalam sebuah lubuk di hulu Sungai Kualuh setelah mendapat sebuah mimpi.

Pada malam itu baginda sultan, Tengku Yacub dan Tengku Ulung Yahya ditangkap. Mereka dibawa entah ke mana. Siapa pun tak tahu dan tidak berani bertanya ketika melihat rakyat yang sedang marah dan mengamuk menyerang istana dari semua penjuru.
Semasa sultan berada dalam tawanan mereka, beberapa orang dari barisan rakyat pergi ke makam diraja untuk mencari Tengku Darman Syah. Mereka tahu Tengku Daraman pasti ada di situ.

Sebagaimana lazimnya pada tiap-tiap malam Tengku Darman Syah sentiasa tidur di makam isterinya, yang bernama Tengku Azhari yang baru sahaja mangkat tiga bulan sebelum revolusi tatkala melahirkan seorang putri.

Pada malam tragedi berdarah di istana Kualuh Tengku Darman seperti biasa telah bersedia meninggalkan istana untuk berkunjung dan bermalam di makam isterinya yang dikasihi itu. Namun sebelum meninggalkan istana, beliau telah mendekati kakaknya Tengku Kamilah dan dengan tidak semena-mena, Tengku Darman telah merebahkan kepalanya ke atas pangkuan kekandanya Tengku Kamilah.

Hal ini membuat Tengku Kamillah merasa kehairanan. Beliau menegur dindanya dengan mengatakan, kurang baik jika dilihat orang abang adik berkelakuan begitu. Mendengar nasihat kandanya, Tengku Deraman pun bangun sambil berkata bahawa anaknya telahpun berusia tiga bulan namun masih belum mempunyai nama. Perbuatan yang tiba-tiba dilakukan itu seperti orang yang berkelakuan ‘buang tabiat’. Hal ini dirasakan oleh Tengku Kamilah.

Setelah beberapa nama diusulkan akhirnya mereka membuat keputusan dengan menamakan anak itu Tengku Darwisah dan selepas itu barulah Tengku Darman Syah bersiap-siap untuk pergi ke makam isterinya yang terletak di perkarangan Masjid Sultan, satu-satunya bangunan yang indah dan satu-satunya harta pusaka peninggalan sultan kepada rakyat dan orang-orang Islam yang masih tinggal di Kualuh. Ini kerana yang lain -lain sudah pun menjadi padang jarak padang terkukur.

Satu peristiwa yang sangat tragis dan menyayat hati telah berlaku kepada anak raja yang dalam kesedihan itu. Beliau sememangnya sudah tidak mahu hidup lagi dan jika boleh biarlah mati sepusara dengan isterinya yang tercinta.

Setelah barisan-barisan pemuda itu menjumpai Tengku Darman Syah sedang mengaji di makam isterinya, lalu mereka pun tidak mambuang masa lagi. Mereka dengan serta merta menghayunkan pedang samurai ke lehernya. Dengan sekali tetak sahaja kepala Tengku Deraman pun terkulai dan hampir-hampir terpisah dari badan.

Beliau mengerang kesakitan, serta menyebut nama Allah, Allah... Allah... Allah... Darahnya mengalir menyiram serta membasahi tanah pusara isterinya yang belum pun kering. Peristiwa yang berlaku ke atas dua manusia yang mahu sehidup semati ini sungguh tragis dan menyayat hati.

Sungguh tidak dapat diterima akal orang yang bertamaddun tergamak melakukan perbuatan yang sebuas itu, namun inilah yang terjadi. Bilamana hati sudah terlalu marah, orang yang baik seperti inipun sanggup dijadikan mangsa. Padahal semua orang tahu semenjak Tengku Azhari mangkat, Tengku Darman Syah tidak lagi menghiraukan berkenaan dengan pemerintahan ayahandanya. Beliau sentiasa duduk berzikir di samping bersembahyang sunat. Sembahyang lima waktu sehari semalam juga tidak pernah ditinggalkannya.

Akan tetapi jikalau nafsu amarah sudah menguasai fikiran, apa sahaja pekerjaan terkutuk orang akan sanggup melakukannya.

Pada zaman Rasulullah, sesudah selesai Perang Badar, peperangan yang besar dan dahsyat menentang musuh¬musuh Islam sehingga ramai terkorban para syuhada, salah seorang sahabat telah bertanya kepada Rasulullah. "Apakah ada lagi perang yang besar selepas peperangan Badar ya Rasulullah?" Baginda Rasulullah menjawab: "Ada, iaitu perang melawan hawa nafsu".
Demikianlah keadaan yang telah berlaku pada hari itu. Jikalau nafsu sudah menguasai fikiran dan manusia sudah mabuk mahu merebut kuasa dan kekayaan dari tangan orang lain, orang sanggup bekerjasama dengan musuh politiknya.

Mereka tidak akan menghiraukan kesejahteraan ummah mahupun keselamatan negara. lnikah yang dinamakan Revolusi Rakyat? Apa sebenarnya yang nak direvolusikan oleh para pemberontak yang telah dipengaruhi oleh anasir-anasir komunis ini?

Penyerbuan yang mereka lakukan ke istana Kualuh dibahagikan kepada tiga kumpulan. Jika kumpulan pertama menyerbu istana Sultan Al Haj Muhammad Syah, kumpulan kedua pula menyerang makam diraja, sementara kumpulan ketiga pula menyerbu ke dalam istana Tengku Mansyur Shah, Tengku Besar Kualuh yang berjarak setengah kilometer dari istana sultan.
Mendengar suara bising di halaman istana, Tengku Besar keluar dengan membawa sepucuk senapang. Setelah mereka melihat bahawa Tengku Besar ada membawa sepucuk senapang lalu mereka tidak membuang masa untuk menembaknya.

Tengku Besar rebah ke tanah kerana sebutir peluru menembusi lengan kanannya dan beliau pura-pura mati. Dengan yang demikian itu orang-orang tersebut tidak menghiraukan beliau lagi. Setelah menggeledah ke dalam istana mereka pun pergi dari situ.

Bilamana Tengku Besar telah mengetahui bahawa orang-orang yang menyerang tadi telah pergi, beliau pun menyuruh anakandanya Tengku Radiyah agar cepat-cepat menyembunyikan ‘wang gaji’ para kakitangan kerajaan Kualuh yang sepatutnya dibayarkan pada hari yang nahas itu. Perlu disebutkan di sini pada masa itu negeri Kualuh tidak ada mempunyai sebuah bank. Semua wang kerajaan negeri simpan di istana Tengku Besar saja.

Pada mulanya mereka menyangka bahawa orang-orang yang menyerang itu adalah lanun-lanun, maka Tengku Radiyah cepat-cepat menyorokkan wang yang banyak itu ke dalam periuk nasi, mangkuk-mangkuk gulai dan tempat-tempat yang dikira selamat.

Cerita wang yang disembunyikan ini terbongkar beberapa hari kemudian bilamana Tengku Radiyah beserta kerabat lainnya berada di dalam tawanan. Seorang pemimpin tertinggi barisan rakyat telah menyedari bahawa semua wang kerajaan negeri disimpan dalam istana Tengku Besar. Dengan itu dia telah berusaha untuk mendapatkan wang tersebut dengan bertanya kepada Tengku Radiyah.

Mungkinkah pemimpin itu mahukan wang tersebut atau ada udang di sebalik batu? Maklumlah hati pemuda mana tidak akan tergugah melihat kejelitaan yang dimiliki oleh Tengku Radiyali waktu itu. Menurut cerita, kecantikannya terkenal hingga ke negeri Johor.

Memang benar, sewaktu saya menemuinya, walaupun Tengku Radiyah telah berumur, namun gambaran kejelitaan itu masih lagi terukir di wajahnya.

SelanjutnyaTengku Radiyah menceritakan bahawa pemimpin itu tidak segan silu mengajak beliau ke istana dengan alasan hendak mencari wang tersebut. Hatinya terasa berdebar-debar ketakutan kerana hendak dibawa pergi oleh seorang laki-laki yang berjiwa kasar dan buas. Salah seorang dari emak saudaranya iaitu, Syarifah Alawiyah memberanikan diri pergi bersamanya untuk mencari wang yang tersembunyi itu.

Berbalik kepada cerita Tengku Besar yang mengerang kesakitan kerana tangannya telah ditembusi oleh peluru dan seluruh tubuhnya telah penuh dengan darah, beliau mencadangkan agar mereka pergi bergabung ke istana ayahandanya.

Suara azan Subuh sayup-sayup terdengar sedang menyerukan lebih baik bersembahyang daripada tidur, namun bagi kerabat¬kerabat diraja yang masih berada dalam istana. Sepanjang malam mereka tidak dapat lagi tidur. Mereka mengerjakan sembahyang wajib subuh dan selepas menunaikan sembahyang, mereka pun berteka-teki sesama sendiri peristiwa apakah yang berlaku malam tadi?

Begitulah keadaan yang berlaku sebenarnya, yang menandakan berakhirnya kekuasaan raja. Sewaktu mereka memecahkan makna dari teka¬teki itu, sebuah kereta lembu menghampiri istana.

Alangkah terperanjat mereka setelah melihat muatan kereta lembu tadi tak lain dan tak bukan Sultan Al Haj Muhammad Syah bersama anakanda Tengku Darman Syah yang sedang mengerang kesakitan.

Apa yang berlaku sebenarnya ialah pada malam kejadian itu, setelah mereka menculik Sultan dan Tengku Darman Syah, mereka telah mendera dan menyiksa raja dan puteranya itu dengan sekejam-kejamnya. Mungkin pengawal-pengawal itu menyangka sultan dan anakandanya itu telah mati lalu mereka pun membuangkan mayat-mayat itu ke dalam sebuah longkang di kawasan pekuburan Cina, lebih kurang 1 KM dari istana. Dengan takdir Tuhan seorang penduduk yang membawa kereta lembu menjumpai mereka dan membawanya balik ke istana.
Dalam istana bergema suara ratap dan tangis yang sungguh memilukan menyambut kepulangan sultan bersama anakandanya Tengku Darman Syah dalam keadaan yang mengerikan.

Setelah mengetahui akan kejadian itu, maka datanglah rakyat beramai-ramai ke istana untuk menziarahi raja mereka. Sultan berserta dua orang anakandanya dibaringkan di atas penca persada agar mudah bagi rakyat untuk menemui baginda. Pekerja-pekerja istana juga sibuk menyediakan sarapan pagi dijamukan kepada rakyat yang datang menziarah.

Di Tanjung Pasir pada masa itu tidak terdapat walaupun seorang Doktor. Yang ada hanyalah seorang attendan yang merawat Sultan dan anakandanya.

Menurut attendan yang merawat itu, Tengku Darman Syah sudah tidak dapat diselamatkan kerana kehilangan darah yang terlalu banyak akibat luka dilehernya yang terlalu parah. Apa yang tinggal adalah urat leher sahaja. Tengku Besar hanya mengalami luka-luka ringan. Keadaan sultan pula terdapat pada hampir sekujur tubuhnya bekas ditombak, dicincang dan dipukul namun tidak sampai tembus ke dalam. Mungkin juga ada sesuatu kesaktian di dalam diri baginda.

Dalam pada itu Tengku Mansyur Syah, Tengku Besar Kualuh telah pun dapat memahami makna dari peristiwa yang berlaku pada malam itu kerana jauh sebelum terjadi revolusi sosial itu beliau telah menyatakan kepada salah seorang pegawai bahawa beliau rela turun dari takhta dari meninggalkan istana berserta dengan isinya untuk pergi bertani seperti rakyat biasa dengan satu syarat. Syaratnya ialah beliau mestilah dibenarkan membawa beberapa puluh ekor lembu-lembunya.

Walaupun dalam keadaan yang begitu terdesak bagi Tengku Besar, beliau masih juga terdaya menasihatkan kepada abang sepupunya iaitu Tengku Ibrahim agar cepat bersiap-siap untuk lari ke Semenanjung Tanah Melayu. Kesempatan itu telah digunakan oleh ayahanda Tengku Ibrahim, Tengku Karib berserta keluarganya. Mereka melarikan diri dengan hanya mendayung sampan ke pantai Kelang dan kemudian bermastautin beberapa tahun di situ.

Satu rombongan lagi yang terdiri dari Tengku Abdullah beserta dengan adindanya Tengku Abul Hassan Ibni Almarhum Tengku Muhammad Aziz dan Tengku Idris melarikan diri ke Singapuru juga dengan menaiki sampan. Dalam tahun 1973 Tengku Abdullah meninggal dunia di Kelang, Selangor Darul Ehsan.

Dalam suasana yang cukup sedih dan pilu itu, dan dalam perundingan mencari jalan keluar di antara kerabat diraja, tiba¬tiba muncul sebuah lori yang membawa beberapa orang pengawal yang seolah-olah tampak seperti menghulurkan pertolongan. Mereka mencadangkan kepada permaisuri agar membenarkan mereka membawa sultan berserta anakandanya ke sebuah hospital di Membang Muda, lebih kurang 12 KM jaraknya dari istana untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik.

Kerana usul itu tepat dan mustahak bagi rawatan untuk menyelamatkan jiwa sultan dan anakandanya, dan tanpa merasa curiga, permaisuri bersetuju dan meminta agar dibenarkan Tengku Ibrahim, Pegawai Dearah Tanjung Pasir mengiringi sultan dan anakandanya.
Dengan itu sultan berserta dua orang anakandanya dimasukkan ke dalam lori. Dari dalam lori Tengku Mansyur Syah dengan sayu menatap satu persatu wajah anakandanya yang sedang berdiri di tangga istana untuk melepaskan pemergian ayahanda yang tercinta.

Dari kesayuan pandangan mata Tengku Mansyur Syah terpancar suatu makna bahawa mereka tidak akan bertemu lagi, untuk selama-lamanya. "Jagalah diri kamu baik-baik," mungkin inilah pesanannya yang terakhir yang cuba disampaikan menerusi tatapan sayunya itu.

Perlahan-lahan lori bergerak meninggalkan istana menuju ke pintu gerbang di jalan raya, kemudian membelok ke kiri dan hilang dari pandangan mata. Bermula dari saat itu para algojo pun memulakan tindakan ganas mereka yang tidak berperikemanusiaan. Mereka memijak-mijak serta menyepak dengan sekuat-kuatnya sultan berserta anakandanya.

Perbuatan yang dilakukan mereka itu benar-benar telah melewati batas¬batas perikemanusiaan dan kejadian itu membawa ingatan kita ke Lubang Buaya di Jakarta, di mana para Jenderal-jenderal sebelum dicampak ke dalam lubang itu terlebih dahulu disiksa sekejam-kejamnya. Kemaluan mereka dikelar-kelar dengan pisau cukur oleh yang menamakan dirinya Pemuda Rakyat. Kaum wanita yang bergabung dalam GERWANI juga turut mengambil bahagian.

Perbuatan seperti itu memang biasa dilakukan oleh orang-orang komunis yang tidak mengakui kewujudan Tuhan. Mereka menghalalkan semua cara untuk mencapai suatu tujuan.
Berbalik kepada cerita tadi, walaupun sultan beserta anakandanya yang sedang menghadapi sakratulmaut kerana luka-luka yang dideritai mereka, namun masih ada juga golongan yang sampai hati memijak-mijak raja mereka.

Melihat perbuatan yang keterlaluan, Tengku Ibrahim menjerit serta melompat dari dalam lori yang sedang laju. Tetapi malang bagi dirinya. Begitu ia melompat, pengawal-pengawal telah menembak tepat pada dadanya. Namun demikian beliau masih sempat lari untuk menyelamatkan dirinya. Tengku Ibrahim bersembunyi ke rumah saudaranya. Akan tetapi akibat terlalu panasnya bahang ‘revolusi sosial’, saudaranya tak sanggup menyembunyikan beliau lalu menyerahkannya ke markas parti di Aek Knopan. Keesokannya harinya Tengku Ibrahim beserta Tengku Yacob pengawal peribadi sultan dibunuh dalam satu lubang.
Sebagai tambahan bahan sejarah Revolusi Sosial di negeri Kualuh, cucunda dari Tengku Ibrahim ini telah berkahwin dengan anak tempatan Malaysia dan kini menetap di Kuala Lumpur.

Menurut orang-orang yang mengetahui peristiwa Sultan Al Haj Muhammad Syah beserta dengan dua orang anakandanya itu, setelah siksaan demi siksaan dilakukan terhadap mereka, tidak juga mati akhirnya mereka ditanam hidup-hidup di pinggir sebuah ladang getah dalam satu lubang yang sama. Hingga saat ini makamnya tidak dijumpai, walaupun ahli waris yang hidup telah berusaha mencarinya. Namun marilah kita menghadiahkan Al-fatihah ke atas roh Almarhum dan dua orang anakandanya yang telah menjadi korban revolusi di Kualuh itu. Al-fatihah.

Kembali ke dalam istana melihat wajah-wajah sedih dan penuh dalam ketakutan yang menyelubungi kerabat-kerabat diraja dan tidak berapa lama kemudian datanglah lori-lori yang membawa pengawal-pengawal untuk menjemput mereka. Semua pekerja istana yang tidak mempunyai pertalian darah dengan raja disuruh kembali ke kampung masing-masing dengan perintah tidak boleh membawa sebarang benda yang bukan milik mereka.

Setelah memisahkan laki-laki dan wanita, kerabat diraja laki-laki disumbatkan ke dalam penjara Tanjung Pasir sedangkan wanita dan anak-anak serta orang-orang tua dipindahkan ke sebuah pondok usang di ladang getah Labuhan Haji. Semua harta benda tidak boleh dibawa kecuali dua helai persalinan dan untuk mengajar kerabat diraja, baik anak-anak maupun orang orang tua, mereka semua diperintahkan berjalan kaki sejauh lima kilometer ke tempat tawanan di Labuhan Haji.

Kini yang tinggal hanyalah bekas-bekas istana tempat raja-raja dan kerabatnya pernah bersukaria, tempat mereka bermanja-manja bersama keluarga. Mereka tinggalkan semua harta benda, tinggalkan intan berlian yang menjadi rebutan di antara mereka yang menggelar diri mereka pemimpin yang mahu memperjuangkan dan membela nasib rakyat. Padahal mereka itulah api dalam sekam, musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan. Revolusi rakyat akhirnya mengakibatkan samun menyamun di antara sesama mereka yang baru dapat harta dan kuasa.

Akhirnya yang tinggal adalah kata-kata yang selalu dilaung¬laungkan mereka selama ini: "Samarata-samarasa!" Kejayaan mereka cuma menghancurkan kedaulatan raja-raja dan menggantikannya dengan kedaulatan rakyat yang menyaksikan raja-raja kehilangan kuasa mereka.

Itulah Semangat 46, sebuah epik sedih yang tertulis pada sejarah sekumpulan bangsa Melayu yang menduduki sebuah negara yang tidak jauh dari negara kita. Semangat 46 akan terus diingati oleh bangsa Melayu sebagai satu semangat yang menakut dan mengerikan. Semangat 46 adalah satu semangat untuk menjatuhkan kedaulatan raja-raja, kerana ada segolongan manusia yang sanggup menjadi hulu kepada mata kapak yang digunakan untuk menebang pohon yang rendang tempat orang Melayu berteduh.

No comments:

Get your Tickets now!