Chat With Us LIVE!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, December 20, 2009

SHALATTAS - 14 - Musa Derhaka - 1986

SHALATTAS - 14 - Musa Derhaka - 1986

ISI KANDUNGAN

1. Pengantar
2. Muqaddimah
3. UMNO dalam Delima
4. Musang berbulu ayam
5. Gila Talak
6. Patah Tumbuh Hilang Berganti
7. Surat Sial
8. Sememangnya Begitu
9. Janji Membawa Akibat
10. Pukul Anak Sindir Menantu
11. Petualang Dan Komando Di Rumah UMNO
12. Kenduri Tengku Razaleigh Korbankan Musa
13. Memali Yang Memalukan
14. Ghaffar Timbalan Perdana Menteri Baru?
15. Menuju Kemenangan
16. Antara Hadi Dan Sudirman
17. Ayah Tidak Takut Mati
18. Bye Bye Mus! Selamat Tinggal Hadi!

Inilah dia pemimpin yang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, S.H.Alattas, (pengarang) bergambar dengan Y.A.B Datuk Musa Hitam sebelum perhimpunan agung UMNO Malaysia yang ke32.

Dengan izin dan kehendak Allah apa yang di tulis dan diramalkan oleh pengarang menjadi satu kenyataan, apakah S.H.Alattas masih dinaggap penulis irrasional? Kalau dituduh irrasional oleh pengkeritik, terserahlah.

Walau bagaimanapun, berapa ramai penulis yang dilabelkan sebagai penulis irrasional?

(Disiarkan semula dari buku SIAPA SELEPAS MUSA? - HALAMAN 23)



Musa kena marah dengan Agong di Masjid negara, semua orang tahu Dr Mahathir tak boleh buat apa-apa. Tersipu-sipu saja. Inilah pembalasan kerana dia marah saya depan orang ramai di Merlin Desaru dulu.














Inikah Ika yang diperkenalkan oleh Musa sebelum dia terbang ke London?
















MUSA DERHAKA sebuah buku terbaru S.H Alattas yang akan menelanjangkan politik kotor Datuk Musa Hitam. Dulu orang menganggap MUSAcerdik dan pintar berpolitik tetapi kini apabila nasibnya menjadi buruk tembelangnya terbongkar dia akan jatuh terlantar ditikam oleh senjatanya sendiri

MUSA DERHAKA akan menjawap beberapa perkara:- DimanakahMUSAperolehi berjuta-juta ringgit untuk menyelesaikan kes tuntutan diluar mahkamah bersabit perceraian dia dengan DATIN MARIA?

Mengapa MUSA tidak memberitahuDATUK SRI DR.MAHATHIR terlebih dahulu tentang serangan keatas KAMPUNG MEMALI yang telah meragut 14 nyawa orang islam? Siapakah yang akan bertanggung jawap memikul dosa mangsa tindakan ini?

Apakah kerana MUSAberhenti,UMNO dan negara akan hancur bersamanya?

Kejatuhan MUSA adalah kerana orang-orang disekelilingnya. Sejauh mana kebenarannya? atau MUSA jatuh kerana terpaksa meletakkan jawatan disebabkan takut dengan bayang-bayangnya sendiri?

GILA TALAK

Bukanlah tujuan saya untuk mencampuri urusan peribadi Musa berhubung soal jandanya Maria, tetapi kerana beliau pemimpin kita dan bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri kit satu hari nanti, kita semua kena ambil tahu mengenai peribadi dan rumahtangganya kerana kalau rumahtangganya yang begitu kecil dia tidak boleh menjaganya, macam mana hendak jaga negara. Lagi pun Musa pernah marah saya dihadapan isterinya, di khalayak ramai. Itu bererti soal rumah tangga Musa bukan lagi soal peribadi. Lagi pun kita manusia hendaklah selalu nasihat menasihati antara satu sama lain seperti firman tuhan.

Kerana kalau tak nak ikut Quran, nak ikut siapa lagi. Tak tahulah saya kalau Musa tak nak ikut Quran.

Sekarang ini nampaknya Musa mahu jadikan UMNO macam rumahtangganya. Kalau Musa hendak bercerai dengan Mahathir, bercerailah. Siapa peduli. Itu urusan Musa dengan Mahathir. Saya sudah ramalkan dulu lagi bahawa kedatangan satu lagi M, iaitu Mahmud Iskandar (Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertua Agong), satu M mesti pergi, kerana tidak boleh ada tiga M dalam satu kepimpinan. Dari itu, Musa masuk dengan cara baik, keluarlah dengan cara baik.

Janganlah buat kecoh macam ini. Cuma bintang filem yang mahu cari publisiti murah yang sanggup mendedahkan rahsia dalam rumahtangga, kerana pada mereka, cinta masuk ikut pintu keluar ikut tingkap.

Dan apabila sudah bercerai dengan Mahathir, janganlah masih mahu duduk serumah. Tinggalkan semua jawatan. Buat apa hendak kekal lagi jawatan Timbalan Presiden? Tidak malu mukakah, sesudah melemperkan bermacam-macam tuduhan terhadap Mahathir dalam surat yang panjang lebar, surat malang yang tidak dipercayai oleh ahli Majlis tertinggi itu, kemudian mahu kembali duduk dalam satu rumah. Orang yang ada harga diri tidak buat kerja macam ini. Padanlah Mahathir bercakap sangat soal maruah, agaknya dia tahu menteri bawahnya yang demikian. Mahathir tak nak cakap terang-terang macam saya. Dia ingat orang boleh faham. Tapi nampaknya orang tak mahu faham.

Kita ini orang melayu. Orang Melayu kaya dengan adat resam. Kaya dengan sopan santun. Lemah lembut serta berbudi pekerti yang tinggi. Tidak ada satu bangsa serta dalam dunia ini yang seperti bangsa Melayu Lebih-lebih lagi kita ini orang islam. Tidak tahulah kalau kita sudah tidak percaya dengan ini semua. Sudah mintak cerai duduk lagi dalam satu rumah. Ini mengarut. Bila banyak sangat kerja karut yang dibuat nanti orang ramai kata "gila talak" . Kalau kata "gila talak", marah. Tapi sejak bercerai dengan maria, dia hendak bercerai dengan Mahathir pula. Mula-mula bercerai dengan 'Mahmud Iskandar' Duli Yang Maha Mulai Seri Paduka Baginda Yang DiPertua Agung.

Ada orang kata kerana Musa derhaka pada Agung, dia kena daulat Raja. Dia jadi tidak tentu arah. Dia jadi haru-biru macam ini. Ada juga orang kata kerana Musa terlibat dengan peristiwa berdarah di Memali yang telah meragut nyawa pemimpin agama, Musa kena badi orang islam yang mati di Memali. Ada juga kata kerana doa dan sembahyang hajat orang PAS, Musa sudah hilang pandangan. Bercelaru. Allah saja yang tahu, kenapa Musa boleh jadi macam ini sekarang. Kalau saya jadi Musa, cepat-cepat saya bertaubat sebelum terlambat.

Sebelum Musa menang pertandingan Timbalan Presiden, Datin Maria berada entah di pelusok dunia yang mana. Macam inikah perangai isteri pemimpin sebuah negara Islam? tetapi sebaik saja dia menjadi Timbalan Perdana Menteri, Maria tiba-tiba muncul di Ipoh bersamanya. Walaupun tempat isteri tidak semestinya sepenuh masa di rumah,, tetapi isteri pemimpin parti Islam yang terbesar di Malaysia mesti ada dalam negeri biarpun desas-desus mengatakan Maria dan Musa sentiasa tidak sealiran.

Siapa yang tidak tahu tentang Musa yang selalu ke disko? Cerita Musa sering ke disko sudah menjadi bualan umum, tetapi pihak media takut untuk melaporkannya kerana takutkan ISA.

Mahathir sendiri terpaksa diam, tidak menegur Musa kerana takut Musa kecil hati, kerana lepas waktu pejabat, ke mana Musa hendak pergi itu soal peribadi. Musa bukan budak-budak lgi. Ada ulamak-ulamak UMNO, macam Datuk Wan Mokhtar cuma boleh harap untuk baca doa saja. Hendak kritik atau tegur Musa, mana Wan Mokhtar berani.. Pergi pujuk Musa dia berani. Dia jenis ulamak yang mulut disuap. Ulamak makan gaji. Kalau tegur Musa alamat hilang kerusi Menteri Besar. Adapun Abdullah Badawi kononnya orang kuat agama, dia sendiri pun sudah pandai pergi ke "Regines Club". Kalau Dolah Badawi sendiri pun sudah pandai pergi tempat macam itu, kita hendak cakap apa lagi. Malulah saya.

Apabila Musa bercerai dengan Maria, pihak media tidak berani melaporkan, kecuali apabila Musa sendiri mengumumkan penceraiannya itu di Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1985. Entah berapakah Musa perlu bayar pada Maria, siapa yang tahu? Tapi apakah jumlahnya kecil? Sudah tentu tidak. Kalau Musa berani, mengapa tidak dedahkan sendiri hal ini? Kalau Musa berani, mengapa tidak dedahkan sendiri hal ini? Dimanakah Musa mendapat wang sebanyak itu untuk diberikan kepada Maria? Musa sendiri yang tahu. Sekarang dia sudah tidak bergaji besar kerana dia tidak lagi menjadi anggota kabinet.

Saya rasa pelik macam mana orng UMNO tidak boleh terfikir hal-hal macam ini semua. Lebih-lebih lagi di Johor. Seolah-olah Musa sudah jadi macam Nabi kepada setengah pengikutnya yang fanatik, yang berfikir tanpa Musa ke mana mereka hendak pergi. Masa Musa berkuasa mereka padang orang lain sebelah mata pun tak ada harga.

Walau bagaimanapun, jangan lupa ramai pemimpin Johor yang berkata lupakan saja Musa, lebih baik suruh Musa bertaubat dahulu, biar dia jadi orang baik sedikit. Cepat-cepat balik ke Segamat jaga kawasan. Pilihanraya sudah pun dekat. Pemimpin di kawasan lain bukan suka sangat padanya.

Dan sekarang saya nak cerita kisah bagaimana Musa suruh saya ambil gambar dia telanjang dan Maria pakai bikini? Datuk Shahrir Samad Menteri Wilayah Persekutuan adalah saksinya, dan ramai lagi.

Orang UMNO memang sudah tidak asing lagi dengan muka saya. Setiap kali diadakan Perhimpunan Agung UMNO, mereka akan bersua muka dengan saya. Pasti saya akan menjual buku saya. Bermula dari tahun 1978 lagi dengan buku saya yang bertajuk ""PERANG DI KUALA LINGGI 1978" (buku politik saya yang pertama mengenai politik UMNO), sesudah itu setiap tahun saya tulis buku.

Kenapa saya jual buku saya sendiri ialah kerana tidak ada penjual buku yang berani menjualkan buku tulisan saya. Saya jadi penerbit pun kerana tidak ada penerbit yang sanggup menerbitkan buku-buku tulisan saya. Hampir setiap buku saya, saya mengkritik para pemimpin UMNO. Sultan Johor pun saya kritik. Tapi belum pernah kena marah dengan mereka semasa saya sedang jual buku di Perhimpunan atau dikhalayak ramai.

Pemimpin yang pertama marah saya dikhalayak ramai ialah Timbalan Ketua Menteri Melaka (Allahyarham) Ghani Ishak. Lepas peritiwa marahkan saya beliau kena tangkap dan masuk penjara kerana kes korupsi, tetapi selepas keluar penjara dia berkawan baik dengan saya sehingga akhir hayatnya. Kisah beliau dengan saya ada saya ceritakan dalam buku 'HANTU BUKIT CHINA'.

Pertama kali saya kena marah dengan Menteri semasa menjual buku ialah di Desaru Merlin, semasa Mesyuarat Agung UMNO Negeri Johor yang diadakan di Hotel tersebut.

Pagi berlangsungnya mesyuarat tersebut buku saya "PERDANA MENTERI YANG KELIMA" laris macam goreng pisang panas dan saya senang hati, lalu duduk dalam coffee house. Ahli-ahli UMNO datang membelinya, ada yang membeli satu, ada yang membeli dua naskah, ada yang membeli sepuluh pun. Selalunya orang UMNO dimusim Perhimpunan suka sangat beli buku, sebab itu saya suka tulis dan jual buku bila UMNO adakah Perhimpunan Agung.

Sudah penat jual buku saya berhenti untuk minum pagi. Sedang saya makan nasi lemak, Syukur Ismail, Setiausaha Akhbar kepada Datuk Shahrir Samad datang kepada saya memberitahu Datuk Musa panggil saya. Saya suruh Syukur beritahu Datuk Musa saya sedang sarapan pagi, saya tidak suka diganggu waktu sedang makan.

Sebenarnya saya sudah tahu Datuk Musa panggil saya ini mesti hendak marah. Buku PERDANA MENTERI YANG KELIMA banyak lanyak dia, dan ramai ahli UMNO yang memeli bawa depan dia. Sana sini dekat ruang tamu, coffee house dan dalam dewan orang bawa dan mencari buku saya. Ini adalah hari pertama buku saya diedarkan di Johor.

Syukur pergi meninggalkan saya untuk memberitahu Datuk Musa yang saya sedang sarapan. Belumpun lama Syukur datang lagi ke meja saya. Kebetulan ada pemimpin UMNO Johor. Datuk Mohamad Rahmat dan Cikgu Hamzah, Setiausaha Kerja UMNO Johor, dan dua orang lain yang sedang minum, antaranya Bahrum Setiausaha Politik Datuk Mohamad Rahmat.

"Habib, Datuk Musa suruh awak datang sekarang juga".

"Apalah sudah kena dengan Datuk Musa ni! Tidak tahu ke dia orang sedang makan. Takkan saya hendak tinggalkan nasi dan berlari pergi jumpa dia," Bisik hati saya. "Syukur, awak cakap dengan Datuk Musa suruh bersabar sekejap. Habis makan saya datang," Syukur pun pergi. Sekejap kemudian dia datang lagi. Mohamad Rahmat dan Cikgu Hamzah pergi meninggalkan meja saya setelah membeli beberapa buah buku untuk dibawa ke Indonesia.

Dahsyat betul Datuk Musa ini. Saya bukan makan gaji dengan dia. Bilik hotel saya bayar sendiri. Minum pagi saya bayar sendiri. Macam mana dia boleh hendak perintah saya macam ini. Tapi memikirkan beliau seorang Timbalan Perdana Menteri dan pemimpin tinggi UMNO, lagi pun saya sedang berniaga di tempat mereka bermesyuarat, mahu tidak mahu saya pergi juga.

Datin Maria duduk disebelahnya. Datuk Sharir dan dua tiga orang lagi pemimpin UMNO Johor yang saya kenali, semuanya macam kehilangan suara berjumpa saya. Saya rapat ke meja Datuk Musa. Dia sedang duduk. Saya nampak kemarahan bermain di mukanya.

"Datuk panggil saya?" Saya bertanya sambil berdiri. Dia tidak mengajak saya duduk sama walaupun ada kerusi yang kosong. Syukur yang memanggil saya cepat-cepat meninggalkan tempat itu.

"Ini Maria. You nak ambil gambar dia pakai bikini ambillah. Itu dekat depan tepi pantai itu you boleh ambil gambar dia pakai bikini. Pergilah. Musa bercakap dengan marah sambil menunjuk ke arah Maria dan ke arah laut. Saya tengok Maria, saya tengok Musa dan saya tengok laut.

"Apa kena dengan Datuk Musa ini? Sudah tak ada modal lain ke, dia nak suruh ambil gambar isterinya pakai bikini. Kalau Maria masih muda jelita tak apalah." Bisik hati kecil saya.Ada ke patut seorang Timbalan Perdana Menteri, Pemimpin tinggi UMNO, suruh saya ambil gambar isterinya pakai bikini. Nasib saya tidak bawa kamera. Kalau tidak, mungkin saya akan bilang O.K" Belum sempat saya keluarkan kata-kata yang ada dalam kepala, saya tergamam, kerana tidak terfikir kata-kata macam itu boleh terkeluar dari mulut seorang Timbalan Perdana Menteri. Datin Maria mencelah. "Saya suka gambar yang you taruh dalam buku you." Kata Maria dalam bahasa Inggeris. Yang dimaksudkan oleh Datin Maria ialah dua keping gambarnya yang saya abadikan dalam buku " TUAH NASIB PEMIMPIN MALAYSIA". Gambar wanita Peru, isteri Datuk Musa yang memberikan pose yang sexy.

"Kerana Maria Sukalah saya taruh gambar itu dalam buku saya, walaupun saya ada banyak gambar-gambar lain." Habis saya bercakap, Musa bangun, marah. kali ini suaranya begitu tinggi. Hampir semua orang yang berada di Dewan Makan Merlin Desaru menumpukan perhatian ke meja kami.

"Mulai hari ini saya tidak hormat you lagi"

"Saya bukan Yang Berhormat. Datuk tak hoemat pun saya tak kisah." Tapi bukan saya tak hormat Datuk. Saya takut datuk susah." Bisik hati kesil saya.

"You orang Johor, you tak patut buat kerja macam ini, Dan saya tidak akan baca buku you lagi."

"Datuk tak mahu baca buku saya tak apa. Ramai orang lain yang akan baca buku saya".

"You hendak tulis apa pasal saya , you tulislah. Saya tak peduli. Kalau you tidak mahu ambil gambar Maria pakai bikini, you ambil gambar saya telanjang. Sekarang you ambil. Mari pergi tepi laut."

Hanti kecil saya berkata: "Apa sudah jadi dengan Datuk Musa ini. Saya pun malas nak layan dia. Orang macam ini bukan boleh dilayan sangat. Kalau dia tidak maulu, nanti kita yang malu. Saya angkat kaki jalan meninggalkan mejanya. Banyak lagi kerja yang boleh saya buat. Antaranya tulis buku Kisah Musa Buang Tabiat.

SURAT SIAL

Bukan semua surat yang dikirim boleh membawa tuah kepada si pengirim. Ada juga surat yang membawa malang dan kerugian pada si pengirimnya.

Pada 27 Februari 1986, Datuk Musa Hitam telah menghantar surat perletakkan jawatan kepada Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohammad. Surat setebal tujuh halaman itu juga dikirimkan kepada semua ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Ini bukan surat pertama Musa yang dikirimkan kepada seorang Perdana Menteri. Suratnya yang pertama ialah bila Musa menjawab surat Tunku yang bertarikh 28 Julai 1969. Surat itu menamatkan khidmat Musa dengan Kerajaan yang dipimpin oleh Tunku.

Di dalam surat bertarikh 28 Julai 1969 Tunku menulis, "Saya telah menerima satu laporan, yang tidak baik berkenaan saudara, khususnya kesetian saudara kepada kerajaan harus diragui."

Bila menerima surat itu Musa naik melenting lalu membalas surat Tunku. Musa bukan saja menghantar surat kepada Tunku bahkan salinan suratnya itu disebarkan kepada umum. Musa akui sendiri menyebarkan surat itu kepada orang ramai.

Antara lain Musa menulis, "Yang saya kesali hanya satu, isitu tuan telah mengambil keputusan muktamad memecat saya, berdasarkan satu laporan tidak baik, dengan tidak meminta penjelasan daripada saya." Musa tidak membahasakan Yang Mulia ataupun Tunku, tetapi menggunakan tuan. Tidak hairanlah ada pendapat menyebut penggunaan perkataan tuan itu kerana Musa terbawa-bawa dengan "pelajaran Barat dan pengalaman barat itu tadi."

Musa seterusnya menulis, "oleh kerana berita pemecatan saya telah tuan umumkan kepada orang ramai saya pun bertindak menyebarkan surat tuan dan jawapan saya untuk pengetahuan ramai."

Oleh kerana kepimpinan Tunku ketika itu sedang dipertikaikan ekoran peristiwa berdarah 13 Mei 1969, maka pemecatan Musa mendapat simpati.

Bukan isi kandungan surat Musa yang hendak kita perkatakan dalam bab ini, tetapi sikap Musa yang sungguh kurang sopan terhadap orang tua, sikap seorang pekerja terhadap seorang ketua. Mari kita baca sedikit saja dari isi kandungan surat itu.

Musa membahasakan saudara sahaja kepada Dr.Mahathir, menunjukkan betapa angkuhnya Musa terhadap Bossnya. Orang bawah tidak patut bersikap biadap terhadap ketuanya tetapi Musa tidak peduli, kerana beliau fikir dengan "surat sial" ini Mahathir akan jatuh, semua ahli Majlis Tertinggi akan percaya dan "surat sial" ini akan memberikan kekuasaan padanya.

Tulis Musa dengan angkuh: "Saya telah menyatakan hasrat saya meletakkan jawatan di dalam percakapan kita pada 27hb Januari 1986, iaitu sebelum saya bertolak ke Davos, Switzerland. Setelah menimbangkan masak-masak saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan-jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Presiden UMNO".

Musa cuba menghuraikan sebab musabab dia meletakkan jawatan, antaranya dia berkata: "saudara tentu ingat pada malam sebelum Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu, saudara membangkitkan soal bagaimana ada kalangan ahli-ahli Majlis Tertinggi yang kesetiannya kepada saudara dipersoalkan. Bukan itu saja, berbagai-bagai cakap negatif dan tohmah telah dikatakan oleh saudara menimbulkan keadaan tidak sihat dan berpotensi perpecahan di kalangan UMNO".

Menurut Musa, dalam surat terbarunya kata-kata Dr. Mahathir itu tegas dan serius. Inilah bunyi tuduhannya pada mahathir: "Lebih-lebih lagi apabila saudara meminta ahli-ahli Majlis Tertinggi membuat kenyataan taat setia, hinggakan suasana begitu tegang dan resah di kalangan para anggota Majlis. Boleh dikatakan semua ahli tertanya-tanya siapakah yang dimaksudkan itu." Mengikut tafsiran yang dibuat oleh pembaca, surat tersebut cuba hendak menyelami siapakah petualang yang dimaksudkan oleh Dr. Mahathir malam itu. Sepatutnya Musa tidak perlu bertanya kerana hanya orang yang makan cili saja yang merasa pedasnya.

Menurut Mus, pada 15 Januari 1986, di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, Dr. Mahathir sekali lagi menimbulkan keadaan dan suasana resah dan tanda tanya di kalangan ahli-ahli Majlis mengenai beberapa perkara berhubung batang tubuh Dr. Mahathir sendiri.

Kalau kita baca balik surat Tunku yang bertarikh 28 Januari 1969, kita akan dapati bahawa Tunku meragui dan mencurigai kesetiaan Musa kepada kerajaan.

Sejarah berulang kembali. Kali ini Musa yang menulis surat bertanya apakah beliau petualang yang dimaksudkan oleh Mahathir.

Sepatutnya Datuk Musa yang mempunyai hubungan seperti "adik dan abang dengan Perdana Menteri, orang yang sering membincangkan masalah peribadinya dengan Perdana Menteri dan Perdana Menteri pun pernah beberapa kali menasihati Datuk Musa mengenai masalah rumah tangganya dan lain-lain hal peribadi, tidak patut buat perangai macam ini.

kalau beliau hendak meletakkan jawatan, letak sajalah. Datuk Musa tidak berkelakuan seperti seorang adik. Tidak juga berkelakuan seperti seorang Timbalan kepada Ketuanya. Pada hal dia orang Melayu. Orang Melayu terkenal sebagai bangsa yang beradat, tetapi perangai Datuk Musa terhadap Perdana Menteri tidak menunjukkan sifat-sifat keMelayuannya. Mentang-mentang jandanya orang asing, beliau tidak menunjukkan budi bahasa yang baik, jauh sekali menghormati seorang Perdana Menteri. Sejak pulang dari Davos, beliau tidak pun menjengukkan mukanya ke pejabat Perdana Menteri. Beliau juga tidak melaporkan hasil lawatannya kepada Perdana Menteri. Kalau macam itu perangainya masa ahli Majlis Tertinggi mahu percaya isi kandungan suratnya.

Sikap tidak sopannya lebih ketara lagi apabila beliau menyuruh pegawainya menyerahkan surat perletakkan jawatannya. Beliau juga tidak memberitahu Perdana Menteri secara rasmi yang beliau akan keluar negeri.

Beliau tidak meminta cuti, sedangkan beliau masih Timbalan Perdana Menteri, sekurang-kuranganya hingga 16 Mac. Semua kelakuan ini mudah difahami kerana Datuk Musa sendiri pernah beberapa kali melaung-laungkan meminta supaya orang Melayu bersikap "kurang ajar"

Mari kita balik semula ke zaman Tunku jadi Perdana Menteri dulu. Kita bertanya sama ada Musa terlalu ghairah hendak naik ke atas atau pun kerana sifat semula jadinya itu, maka beliau telah disingkir dari jawatan Menteri Muda kepada Timbalan Perdana Menteri?

Penyingkiran dibuat oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman setelah mendapat laporan yang kurang enak tentang kegiatan Musa. Musa memberontak dan marahkah Tunku. Musa kemudian berkata, "Tanpa saya dipanggil menerangkan kedudukan sebenar, saya telah dikeluarkan dari kerajaan. Terkeluarnya saya itu pada tahun 1969 memberi gambaran seolah-olah hubungan saya dnegan Tunku tegang."

Hari ini Musa buat perangai yang sama terhadap Mahathir, kawan baiknya. Tidak hairanlah kalau Musa tidak lagi dihormati orang ramai.

Kerana sebab sebenar perletakkan jawatan tidak dinyatakan di dalam srat kepada Perdana Menteri, tuduhan yang dikatakan Perdana Menteri tidak lagi mempercayainya hanyalah diada-adakan. Sebab-sebab sebenar terkandung di dalam surat terawal yang telah dihantar kepada Perdana Menteri.

Surat yang pertama berupa nota yang dihantar kepada Perdana Menteri, sebelum rombakan kabinet Julai 1984, yang kandungannya menyatakan bahawa dia akan memikirkan kembali kedudukkannya di dalam kerajaan dan parti sekiranya Tengku Razaliegh dilantik semula ke dalam kabinet.

Apabila Tengku Razaleigh dikekalkan di dalam kabinet, Datuk Musa menulis sepucuk surat kepada Perdana Menteri, dengan nada yang lebih keras, menyatakan rasa kesalnya dan penentangannya terhadap lantikan itu. Dengan itu beliau telah memberikan Perdana Menteri masa sehingga Ogos 1985 untuk menggugurkan Tengku Razaleigh. Sekiranya permintaan dan desakannya itu tidak dipenuhi beliau akan meletakkan jawatan. Bagaimanapun bila sampai masanya, Datuk Musa tidak juga mahu melepaskan jawatannya. Sebaliknya beliau menghabiskan masa dengan bersenang-senang di Amerika Syarikat.

Berhubung dengan surat perletakkan jawatannya yang terakhir, setiap orang berakal akan merasa hairan. Sekiranya Datuk Musa benar-benar berhasrat untuk melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, mengapakah ia hanya berkuat-kuasa pada 16 Mac 1986? Satu soalan lain yang penting juga ialah: Mengapakah perlu bagi Datuk Musa menyebarkan suratnya setebal tujuh halaman itu kepada semua Ahli Majlis Tertinggi dalam masa yang sama dengan surat yang dihantar kepada Perdana Menteri? Bahkan ramai dari ahli Majlis Tertinggi yang telah menerima surat itu lebih awal dari Perdana Menteri sendiri.

Bila beliau menghantar surat perletakkan jawatannya yang bertarikh 26 Februari 1986 dia tidak pun menyatakan sebab-sebab seperti yang terdapat dalam suratnya pada tahun 1984 dulu itu. Sekali dinyatakannya tarikh kuat-kuasa perletakkan jawatan itu pada 16 Mac, jelaslah tujuan Datuk Musa itu hanya satu: dia tidak berhasrat untuk meletakkan jawatan. Dia tidak mahu menyebutkan nama Tengku Razaleigh sebagai salah satu sebab kerana dia mahukan suratnya itu tersebar dengan seluas-luasnya, dengan harapan dia akan mendapat simpati dan sokongan, dan dengan itu akan memaksa Perdana Menteri serta ahli-ahli Majlis Tertinggi menolak perletakkan jawatannya. Dengan berbuat demikian akan memudahkannya kembali semula tanpa menjejaskan perasaan penyokong-penyokong Tengku Razaleigh, dan dia akan mendapat kekuatan baru, dan dengan itu bolehlah dia membuat tuntutan kepada Perdana Menteri UMNO dan Bendahari UMNO sekarang.

Bagi mencanangkan harapan itu secara berselindung, beberapa akhbar harian berbahasa malaysia, telah digunakan bagi mewujudkan sentimen orang ramai mengenai apa yang dikatakan dalang didalam perti yang kononnya menyebabkan hubungan Mahathir-Musa retak.

Mesyuarat kabinet 26 Februari Datuk Musa tidak hadir. Pemberita tanya Perdana Menteri, betulkah Datuk Musa letak jawatan? Dr Mahathir jawap, Timbalan Perdana Menteri pun boleh sakit juga. Datuk Musa sakit, sebab itu dia tak hadir mesyuarat kabinet. Sedangkan waktu itu Musa sudah terbang tinggalkan Malaysia. Datuk Abdullah Badawi turut menghantar dia di lapangan terbang malam itu. Kenapa Mahathir tidak diberitahu? Datuk Dolah Badawi pun ada apa-apa ke?

Hari itu Dr. Mahathir jadi macam orang bodoh. Orang lain sudah tahu Datuk Musa sudah letak jawatan dan sudah terbang ke luar negeri, Dr. Mahathir belum tahu. Dia ingat Datuk Musa sakit, sebab itu tak datang mesyuarat. Rupa-rupanya lain yang jadi. Kalau kita duduk di tempay Dr. Mahathir waktu itu pun kita nak bengang. Patutkah Musa buat macam itu pada sehabatnya Dr. Mahathir? Kalau pun nak letak jawatan, letaklah cara yang betul. Kenapa bikin semua orang jadi kecoh dan huru hara? Sengajakah Musa nak rosakkan UMNO?

Cara Datuk Musa menyampaikan surat perletakkan jawatan menyebabkan ramai ahli parti tertanya-tanya adalah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti Datuk Musa tidak memahami peraturan parti. Adalah menjadi tanggungjawapnya untuk menyampaikan surat itu kepada Perdana Menteri atau kebinet secara peribadi. Sebaliknya dia meminta pegawainya. Seolah-olah untuk memalukan Perdana Menteri.

Menbaca isi surat Datuk Musa orang memang boleh simpati dan kasihan dengan dia. Nampak macam Dia benar-benar jujur. Ditambah dengan berita dia terus pergi ke Tanah Suci menunaikan umrah. Ahli Majlis Tertinggi pun ramai yang terpengaruh dengan isi surat itu. Itulah sebabnya mereka menghantar rombongan empat orang Menteri Besar ke London untuk memujuk Musa. Tapi Dr. Mahathir tahu permainan politik sahabatnya itu. Dia tak mahu UMNO keluar belanja untuk rombongan ke London itu.

Datuk Musa ingat dia pandai memainkan sentimen dan emosi ahli-ahli Majlis Tertinggi. Dia ingat isi suratnya akan diterima oleh Majlis Tertinggi. Inilah bahayanya orang yang menganggap dirinya terlalu pandai sebagai strategis, hingga para pemimpin lain dia anggap boleh terpengaruh dengan strategi dia. Dia lupa kepada Tuhan yang Maha Kaya. Mesyuarat Majlis Tertinggi kemudiannya, yang telah menyedari hakikat sebenar, telah menolak semua alasan-alasan Musa yang dikemukakan dalam surat perletakkan jawatannya. Maka perletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri pun diterima pada 18 Mac 1986.

"Kenapa Majlis Tertinggi tidak menjawap secara rasmi kepada Datuk Musa? " Bila saya tanya pada Datuk Sanusi dia jawab dengan ringkas tapi penuh makna.

"Majlis Tertinggi dalam perbincangan itu tidak ada keputusan untuk buat surat rasmi kepada Datuk Musa. Dan tentu Datuk Musa sudah tahu. Kita ada cara kita sendiri untuk menyampaikan jawapan kepadanya."

Saya berpendapat sekiranya niat dan tujuan surat itu baik, tentu akhirnya akan membawa kebaikan kepada si pengirimnya. tetapi malangnya surat itu telah membawa padah. Siapa pun tidak percaya pada isi kandungan surat tersebut dan tidak akan menghormati orang yang mengirimnya. Surat itu membawa sial pada pengirimnya. Semoga peristiwa ini menjadi pengajaran kepada pemimpin-pemimpin yang lain, yang mahu menulis surat kepada Perdana Menteri.

1 comment:

Husna Nawwar said...

punye tak minat sejarah.. bila baca tulisan atok ni mcm tertarik plak.. mmm almaklumla sejarah ni berlaku sebelum kelahiran sy.. bertuah atok bleh hidup dr zaman sebelum merdeka sampai sekarang.. atok lalui zaman yg sy tak penah lalui..mmm bertuahnyaa..

Get your Tickets now!